Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Monday, October 25, 2010

Kata-kata hikmah orang-orang besar dalam Islam

SAYIDINA ABU BAKAR :
1.Sesungguhnya seorang hamba itu bila merasa ujub karena suatu perhiasan dunia, niscaya Allah akan murka kepadanya hingga dia melepaskan perhiasan itu.
2. Semoga aku menjadi pohon yang ditebang kemudian digunakan.
3.Dia berkata kepada para sahabat,”Sesungguhnya aku telah mengatur urusan kamu, tetapi aku bukanlah orang yang paling baik di kalangan kamu maka berilah pertolongan kepadaku. Kalau aku bertindak lurus maka ikutilah aku tetapi kalau aku menyeleweng maka betulkan aku!”

SAYIDINA UMAR BIN KHATTAB :
1. Jika tidak karena takut dihisab, sesungguhnya aku akan perintahkan membawa seekor kambing, kemudian dipanggang untuk kami di depan pembakar roti.

2. Barangsiapa takut kepada Allah SWT niscaya tidak akan dapat dilihat kemarahannya. Dan barangsiapa takut pada Allah, tidak sia-sia apa yang dia kehendaki.
3. Wahai Tuhan, janganlah Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di atas tanganku. Wahai Tuhanku, umurku telah lanjut dan kekuatanku telah lemah. Maka genggamkan (matikan) aku untukMu bukan untuk manusia.

SAYIDINA ALI KARAMALLAHU WAJHAH :
1. Cukuplah bila aku merasa mulia karena Engkau sebagai Tuhan bagiku dan cukuplah bila aku bangga bahawa aku menjadi hambaMu. Engkau bagiku sebagaimana yang aku cintai, maka berilah aku taufik sebagaimana yang Engkau cintai.
2. Hendaklah kamu lebih memperhatikan tentang bagaimana amalan itu diterima daripada banyak beramal, kerana sesungguhnya terlalu sedikit amalan yang disertai takwa. Bagaimanakah amalan itu hendak diterima?
Janganlah seseorang hamba itu mengharap selain kepada Tuhannya dan janganlah dia takut selain kepada dosanya.
3.Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya.

UMAR BIN AZIZ :
1. Orang yang bertakwa itu dihalang.
2.Sesungguhnya syubhat itu pada yang halal.
3.Kemaafan yang utama itu adalah ketika berkuasa.

SUFFIAN AS THAURI :
1. Tidak ada ketaatan bagi kedua ibu-bapa pada perkara syubhat.
2.Sesungguhnya seorang lelaki itu berharta bila dia zuhud di dunia, dan sesungguhnya seorang itu adalah fakir bila dia gemar pada dunia.
3. Menuntut ilmu lebih utama daripada solat sunat.

IMAM AS SYAFIE :
1. Barangsiapa menghendaki akhirat wajib baginya ikhlas pada ilmu.
2.Tidak ada sesuatu yang lebih indah pada ulama kecuali dengan kefakiran dan mencukupi dengan apa yang ada serta redha dengan keduanya.
3. Hendaklah kamu berilmu pengetahuan sebelum kamu menjadi ketua, sebab sesudah kamu menjadi ketua, tidak ada jalan lagi bagimu untuk mencari pengetahuan.
Orang yang berakal itu adalah orang yang akalnya dapat mengawal segala sifat-sifat mazmumah (sifat keji).
Barangsiapa yang menyukai bila Allah menutupinya dengan kebaikan maka hendaklah dia bersangka baik terhadap manusia.

IMAM MALIK :
1. Ilmu itu bukanlah dengan membanyakkan riwayat tetapi ilmu itu adalah cahaya yang Allah letakkan dalam hati.
2. Apabila seseorang itu memuji dirinya maka hilanglah cahayanya.
3. Wajib bagi orang yang menuntut ilmu untuk memiliki kebesaran, ketenangan dan ketakutan.

IMAM ABU HANIFAH :
1. Tidak sekalipun aku solat kecuali aku doakan untuk guruku Hammad dan juga mereka yang pernah mengajarku serta mereka yang pernah aku ajar. (murid-muridnya).
2. Aku telah 50 tahun bergaul dengan manusia. Tidak ku dapati seorangpun yang mengampunkan kesalahanku. Tidak ada yang menghubungi aku ketika aku memutuskan hubungan dengannya. Tidak ada yang menutup keaibanku dan aku tidak akan merasa aman darinya bila dia murka kepadaku. Maka yang lebih mereka bimbangkan adalah perkara yang besar-besar.
3. Telah sampai berita kepadaku, bahawa tidak ada yang lebih mulia daripada seorang alim yang warak.

IMAM AHMAD :
Jangan kamu mengambil ilmu dari orang yang mengambil benda dunia di atas ilmunya.

SUFFIAN BIN UYAINAH :
1. Dua perkara yang susah sekali untuk mengubatinya iaitu meninggalkan loba (tamak) untuk manusia dan mengikhlaskan amal untuk Allah.
2. Siapa yang ditambah akalnya maka kuranglah rezekinya.
3. Zuhud di dunia itu adalah sabar dan menunggu-nunggu kedatangan mati.
4. Ilmu itu jika tidak memberi manfaat padamu maka akan memberi mudarat padamu.
5. Orang yang menuntut ilmu tidak akan dianggap sebagai orang yang berakal hingga dia melihat dirinya lebih hina dari sekalian manusia.

Sebahagian ulama’ salaf bermunajat seperti ini :
“Ya Allah, generasi mana yang tidak membuat kedurhakaan padaMu namun Engkau tetap memberi rezeki kepada mereka. Sesungguhnya Maha Suci Engkau dan Maha Penyantun. Demi kemuliaanMu, Engkau didurhakai manusia namun Engkau tetap melimpahkan pemberian dan rezeki, bagaikan Engkau tidak pernah marah pada mereka, wahai Tuhan kami.”

Sumber

Dr. Yusuf al-Qardhawi

Tokoh Pilihan : Dr Yusuf al-Qardhawi

Membincangkan wacana pemikiran Islam moden, kita tidak boleh mengabaikan nama Dr. Yusuf al Qardhawi. Ini kerana pemikiran-pemikirannya yang bijak disokong oleh dalil-dalil yang kuat, banyak dijadikan rujukan oleh umat Islam, terutama dalam menghadapi permasalahan semasa. Banyak buku ulama kelahiran Mesir ini yang beredar di rantau ini. Antaranya, Fatwa-fatwa Kontemporari, Islam Ekstrem, Menyatukan Pemikiran Pejuang Islam, Ulama versus Tirani, dan Agenda Permasalahan Umat.Pada pandangan Qardhawi, umat Islam sudah lama menghidap krisis identiti yang akut akibat perang pemikiran (ghazwul fikr) Barat yang tidak mengkehendaki Islam bangkit semula. Umat Islam kini seolah-olah sudah tidak percaya lagi kepada agamanya sendiri, justeru lebih percaya kepada peradaban Barat. Sebab itu umat Islam masih di bawah cengkaman peradaban Barat.

Qardhawi adalah salah seorang intelektual yang tidak jemu-jemunya menggilap maruah umat Islam dengan cara secara berterusan menyebarkan pemikiran Islam yang benar dan tidak menyimpang. Beliau tidak hanya aktif dalam penyebaran pemikiran melalui buku-buku karangannya yang pelbagai, tetapi juga melalui seminar-seminar di peringkat antarabangsa. Yang lebih menakjubkan lagi adalah, prinsip hidupnya yang sangat kukuh dalam memegang kebenaran dan prinsip Islam, walaupun ada ketikanya menghadapi tekanan dari pihak-pihak tertentu.Selain itu Qardhawi amat kritis terhadap pelbagai propaganda pemikiran Barat mahupun Timur, termasuk pemikiran salah daripada umat Islam sendiri. Malah beliau tidak berasa malu berbeza pendapat dengan senior-seniornya dalam pergerakan Islam seperti Sayyid Quthb, antara tokoh utama gerakan Islam moden Ikhwanul Muslimin. Qardhawi berani mengkritik pemikiran Sayyid Quthb dalam bukunya yang amat popular "Ma'alim Fii al-Thariiq" (Papan Tanda Sepanjang Jalan).

Bagi Qardhawi, perbezaan pendapat adalah sesuatu yang tidak mungkin untuk dihalang. Ini kerana selama terdapat sebab-sebab yang membolehkannya, maka perbezaan itu tidak akan pernah berakhir. Malah beliau berpendapat, sikap taksub yang terdapat pada sesetengah umat Islam, sering menimbulkan suasana yang tidak tenteram dan merugikan umat Islam sendiri. Ini kerana masing-masing dengan penuh semangat mempertahankan pendapat masing-masing dan menganggap pendapat merekalah yang paling benar. Mereka menyangka, pendapat mereka adalah ajaran agama dan apabila seseorang mengikut atau menentangnya mereka mendapat pahala atau seksa. Sebab tu dengan sekuat tenaga mereka menjadikan pendapat-pendapat tersebut sebagai kebenaran yang mutlak dan menolak sekiranya berlaku perbezaan.

Bagi beliau ini adalah sikap yang tercela, kerana sikap ini akan menimbulkan sikap taksub yang berlebihan sehingga menghalang berlakunya perbezaan pendapat sebagaimana yang dibenarkan oleh agama Islam.Perbezaan pendapat akan sentiasa wujud kerana agama Islam tidak mengongkong pentafsiran yang menghasilkan kesimpulan yang berbeza. Selagi pentafsiran itu berasaskan sumber hukum yang dibenarkan, maka perbezaan ini akan sentiasa berkembang. Perbezaan seorang alim yang mengambil rukhsah (keringanan hukum) dengan mengambil 'azimah (sesuai dengan perintah hukum syarak), atau yang mengambil hukum dengan berhati-hati (al-ahwath) dengan yang mengambilnya dengan cara lebih mudah (al-aysar), tidak mungkin dipertemukan sehingga hari kiamat.Para sahabat juga berbeza pendapat antara mereka. Namun hal itu tidak menjadikan mereka saling bercakaran, bahkan mereka dengan tenteram hidup dalam alam perbezaan itu. Mereka bersembahyang berimamkan yang lain tanpa syak wasangka dan caci-maki.Dalam hal ini Qardhawi sangat kecewa dengan sikap sesetengah umat Islam yang tidak dapat membezakan antara perbezaan pendapat yang terpuji dan tercela berpandukan syariat.

Pandangan-pandangan Qardhawi yang tajam dalam hal perbezaan yang terpuji dan tercela ini, telah dipaparkannya dalam buku As-Shahwah al-Islamiyah baina al-ikhtilaf al-masyru' wa al-tafarruq al-madzmum (Kebangkitan Islam antara Perbezaan yang Terpuji dan yang Tercela). Atau dalam sebuah bukunya yang lain Awaamil sa'sah wa al-muruunah fii al-syariah al-Islamiyah (Elemen-elemen Fleksibiliti dalam Syariah Islam).

Dilahirkan di sebuah desa kecil di Mesir, iaitu desa Shafth Turaab pada 9 September 1926. Semasa berusia 10 tahun, ia sudah hafal al-Qur'an. Selepas tamat belajar di Ma'had Thanta dan Ma'had Tsanawi, Qardhawi melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar, Fakulti Usuluddin dan menamatkan pengajian pada tahun 1952. Ia menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah pada tahun 1972 dengan kajian "Zakat dan Peranannya dalam Membenteras Kemiskinan", yang kemudian disempurnakannya menjadi buku Fekah Zakat. Inilah buku yang sangat terperinci membahaskan permasalahan zakat dalam konteks kehidupan moden.Punca ia terlambat menamatkan pengajiannya di peringkat doktor falsafah adalah kerana beliau terpaksa meninggalkan Mesir akibat tekanan pihak berkuasa ketika itu.

Qardhawi terpaksa berhijrah ke Qatar pada tahun 1961 dan di sana ia sempat menubuhkan Fakulti Syariah di Universiti Qatar. Pada masa yang sama, ia juga menubuhkan Pusat Kajian Sejarah dan Sunnah Nabi. Ia kemudian memperoleh kewarganegaraan Qatar dan menjadikan Doha sebagai tempat tinggalnya.Dalam perjalanan hidupnya, Qardhawi pernah merasai "didikan" penjara semasa mudanya. Ketika Mesir diperintah oleh Raja Farouk, pada tahun 1949 Qardhawi didakwa dan kemudiannya dipenjarakan kerana dituduh terbabit dalam gerakan Ikhwanul Muslimin. Ketika itu umurnya 23 tahun. pada April tahun 1956, ia ditangkap semula semasa berlakunya Revolusi Jun di Mesir. Ia kemudiannya menghuni penjara tentera selama dua tahun.Walaupun telah melalui pelbagai peristiwa pahit, Qardhawi tetap lantang dan berani menyuarakan pendapatnya terutama dalam khutbah-khutbahnya sehingga ia pernah dilarang menjadi khatib di sebuah masjid di daerah Zamalik. Alasannya, khutbah-khutbahnya dianggap mempengaruhi pandangan awam terhadap ketidakadilan rejim yang memerintah ketika itu.

Dr. Qardhawi kini memiliki tujuh orang anak, empat perempuan dan tiga lelaki. Sebagai seorang ulama yang sangat disegani, ia mempunyai sikap yang sangat terbuka dalam pendidikan anak-anaknya. Bagi beliau anak-anak bebas memilih bidang dan institusi pendidikan yang sesuai dengan minat dan bakat masing-masing. Dan hebatnya lagi, dia tidak membezakan pendidikan yang harus dipilih oleh anak-anak perempuan dan anak lelakinya.Salah seorang anak perempuannya memperoleh gelaran doktor fizik dalam kajian nuklear di England. Anak perempuan keduanya memperoleh gelaran doktor dalam jurusan kimia juga di England. Manakala yang ketiga masih menyelesaikan pengajian di peringkat doktor falsafah. Sedangkan yang keempat telah menamatkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Texas, Amerika. Anak lelakinya yang pertama sedang menuntut di peringkat doktor falsafah di bidang teknologi di Amerika, yang kedua belajar di Universiti Darul Ulum Mesir sedangkan yang bongsu telah menamatkan pengajiannya di Fakulti Elektrikal.Melihat kepada latar belakang pendidikan yang dipilih anak-anaknya, kita boleh membaca sikap dan pandangan Qardhawi terhadap pendidikan moden.

Daripada tujuh orang anaknya, hanya seorang yang belajar di Universiti Darul Ulum Mesir dalam pengajian aliran agama. Sedangkan yang lainnya memilih aliran sains san teknologi dan kesemuanya belajar di luar negara, iaitu negara-negara barat. Ini disebabkan Qardhawi merupakan seorang ulama yang menolak pembahagian ilmu secara sempit. Bagi beliau, semua ilmu boleh dianggap Islam dan sebaliknya, bergantung kepada orang yang menilai dan mempergunakannya. Pemisahan ilmu secara sempit menurut Qardhawi telah menghalang kemajuan umat Islam.Bagi Qardhawi, peradaban tentang sesuatu bangsa dan agama boleh maju jika peradaban tersebut bijak menyerap hal-hal positif daripada tamadun bangsa yang lebih maju, dengan syarat tidak meninggalkan jati diri dan ajaran Islam.

Qardhawi menganggap, kemajuan peradaban mana pun amat tergantung pada manusianya. Begitu jugalah semangat untuk memajukan peradaban Islam, ia diusahakan dengan memajukan umat dalam pelbagai bidang keilmuan.Peradaban Islam yang mundur dalam pandangan Qardhawi adalah berpunca kerana umat Islam jahil dalam pelbagai bidang ilmu yang menjadi asas kemajuan masyarakat. Islam menjadi ajaran yang telah disempitkan dengan pelbagai bidang ilmu khusus, sehingga tidak lagi menggambarkan sebagai satu ajaran yang universal. Jadi keagungan Islam dimundurkan oleh umatnya sendiri yang menganggap ilmu-ilmu Islam itu hanya dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan fardu ain sahaja dan mereka mengabaikan tuntutan fardu kifayah.Dalam buku-buku yang ditulisnya, Qardhawi selalu menyeru umat Islam kepada pemikiran moderat dan sangat anti pemikiran ekstremisme. Dia selalu mencanangkan keagungan Islam dalam semua aspek kehidupan. Bagi beliau, Islam selalu menggalakkan umatnya bersikap terbuka dan sederhana.

Sebagai ulama yang sangat arif terhadap tuntutan al-Qur'an dan sunnah Nabi, Qardhawi sangat fleksibel dalam memandang ajaran Islam. Sikap kritisnya dalam memahami ajaran Islam ini sangat membantunya untuk selalu bersikap arif dna bijak. Namun pada saat yang sama, sangat kuat dalam mempertahankan pendapat-pendapatnya yang digalinya daripada al-Qur'an dan hadith.Kini Dr. Qardhawi tidak jemu-jemu mencanangkan pemikiran Islam sebagai agama yang sederhana. Islam amat menghargai perbezaan sebagai fenomena sosial yang tidak mungkin disekat dan dihapuskan. Tidak hairan jika Qardhawi sangat anti terhadap gerakan-gerakan Islam yang bercorak militan yang suatu ketika dulu tergamak membunuh para pelancong barat yang sedang melancong di bumi Mesir, tanpa alasan yang jelas dan diterima akal. Tindakan seperti itu, dianggapnya sebagai tindakan ganas yang hanya memburukkan maruah dan nama baik umat Islam.

Islam sebagai agama yang cintakan kedamaian dan sangat berperikemanusiaan dalam melayan seseorang tidak kira bangsa dan agamanya, telah dikotori oleh semangat barbarian yang suka menumpahkan darah.Bagaimanapun Qardhawi juga mengingatkan semua pihak bahawa tindakan ganas itu adakalanya berpunca bukan kerana keinginan mereka. Tindakan tersebut timbul disebabkan kemerdekaan mereka telah dirampas oleh para penguasa yang tidak memberikan peluang pada mereka melaksanakan keyakinan seperti yang mereka yakini.

Sumber

Bidaah baik dan buruk

Bidaah baik dan buruk

ALHAMDULILLAH, dengan izin-Nya jua dapat kita menunaikan hasrat seperti yang dinyatakan di minggu lepas untuk kita memulakan perbahasan beberapa isu yang sering dimanipulasikan oleh sesetengah pihak untuk memakaikan imej negatif terhadap Tasawuf.

Berdasarkan kitab rujukan kita, Mafahim karya Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki, isu pertama yang diberi tumpuan adalah isu bidaah. Tasawuf atau aliran Sufi yang sebenarnya merupakan pegangan dan kecenderungan para ulama arus perdana umat, termasuk para ulama hadis dan fiqh sering digambarkan sebagai penuh dengan pegangan dan amalan bidaah.

Untuk mengelakkan kita terjerumus kepada menyalahkan sekian ramai para ulama umat yang terpilih ini, marilah kita meneliti makna dan erti bidaah yang sebenar.

Di akhir perbincangan nanti, kita berharap sekurang-kurangnya mereka yang tidak bersetuju tetap akan mengakui bahawa kita tetap ada asas pijakan ilmiah bagi pendirian kita lantas bersedia untuk lebih berlapang dada dalam berbeza pendapat.

Terdapat di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai ulama atau pakar ajaran Islam telah menisbahkan diri mereka kepada salafussoleh.

Malangnya, mereka mengajak umat Islam mengikut jejak langkah atau Sunnah ulama Salafussoleh dengan cara-cara yang primitif, penuh kejahilan, fanatik buta, akal yang senteng, pemahaman yang dangkal dan dada yang sempit.

Bahkan, mereka juga berani memerangi setiap sesuatu yang baru dan mengingkari setiap penemuan baru yang baik dan berfaedah hanya kerana menilai (dengan pemahaman mereka yang sempit) perkara tersebut sebagai bidaah. Pada pemahaman mereka, semua bidaah adalah sesat tanpa membezakan di antara jenis-jenis bidaah yang ada.

Sedangkan, roh dan semangat agama Islam menghendaki supaya kita membezakan di antara pelbagai bidaah yang ada. Sepatutnya umat Islam perlu mengakui bahawa bidaah itu ada yang baik dan ada yang sesat. Inilah perkara yang lebih selari dengan akal yang cerdas dan penelitian yang cemerlang.

Inilah perkara yang telah ditahqiq (diakui kebenarannya setelah dilakukan penelitian) oleh ulama usul daripada kalangan ulama Salaf umat ini seperti Imam al 'Iz Ibnu Abdul Salam, Imam Nawawi, Imam Suyuti, Imam Jalaluddin al Mahalli, dan Ibnu Hajar, semoga Allah merahmati mereka semua.

Inilah perbahasan awal dalam menetapkan bahawa sebenarnya ada hujah yang kuat dan muktabar untuk menerima pembahagian bidaah kepada yang tercela dan terpuji, baik dan buruk. Insya-Allah kita akan menyambung perbincangan ini di minggu hadapan dengan harapan agar Allah SWT sentiasa membuka hati-hati kita untuk mendengar kalam yang baik lalu mengikut yang terbaik. Hanya Dialah yang menunjukkan seseorang ke jalan yang lurus.

Memahami hadis tentang bidaah

KAEDAH ilmu menetapkan bahawa hadis-hadis Nabi SAW perlu ditafsir di antara sebahagiannya dengan sebahagian hadis yang lain dan perlu disempurnakan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain. Umat Islam perlu memahami sabda Nabi Muhammad SAW dengan pemahaman yang cermat, komprehensif dan sempurna. Ia juga mesti ditafsirkan dengan roh Islam dan difahaminya bertepatan dengan pendapat dan penelitian Ahli Nazar (Pakar-pakar pengkaji Islam).

Oleh kerana itu, kita mendapati untuk memahami atau mentafsir banyak hadis, memerlukan kepada kecemerlangan akal, kecerdasan intelektual dan pemahaman yang mendalam serta disertai hati yang sensitif. Pemahamannya mesti berdasarkan syariat Islam. Di samping memerhatikan keadaan dan situasi umat Islam serta pelbagai keperluannya. Situasi dan keadaan umat memang harus diselaraskan dengan batasan-batasan kaedah Islam, nas-nas al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW tanpa terkeluar daripadanya.

Contohnya termasuklah hadis ini: "Setiap bidaah adalah sesat." Untuk memahami hadis seperti ini dengan betul, kita mesti mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis ini ialah bidaah sayyi'ah, iaitu bidaah yang salah dan menyesatkan. Yang tidak didasarkan kepada ajaran pokok agama Islam.

Pendekatan seperti ini atau apa diistilahkan sebagai taqyid (membataskan yang mutlak) juga digunakan pada hadis yang lain seperti hadis:"Tidak ada solat (yang sempurna) bagi tetangga masjid, kecuali (yang dilakukan) di dalam masjid."

Hadis di atas, meskipun mengandungi hasr (pembatasan), iaitu menafikan solat tetangga masjid, tetapi kandungan umum daripada hadis-hadis lain mengenai solat, mengisyaratkan bahawa hadis tersebut perlu difahami dengan suatu qayyid atau pengikat. Maka pengertiannya ialah, "tidak ada solat (fardu) yang sempurna bagi tetangga masjid, kecuali di masjid." Namun, tetap terdapat perselisihan pendapat di antara ulama dalam isu ini.

Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW ini: "Tidak ada solat di samping makanan (yang telah terhidang)." Maksudnya adalah "tidak sempurna solat di samping makanan yang telah terhidang."

Pendekatan yang sama juga harus kita gunakan untuk memahami hadis berikut: "Tidak beriman seseorang kamu kecuali ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri." Iaitu dengan erti kata, "tidak sempurna iman."

Begitu juga hadis berikut: "Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman (dengan keimanan yang sempurna)." Ada yang bertanya, "Siapakah (yang tidak sempurna keimanannya) itu, wahai Rasulullah?" Baginda SAW bersabda: "Orang yang jirannya tidak berasa aman dengan gangguannya."

Demikian juga hadis-hadis ini: "Tidak masuk syurga pengadu domba." "Tidak masuk syurga pemutus tali persaudaraan. Tidak masuk syurga orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya."

Menurut tafsiran ulama, yang dimaksudkan dengan tidak masuk syurga itu adalah tidak masuk awal ke dalam syurga, atau tidak masuk syurga jika menghalalkan perbuatan mungkar tersebut. Justeru kita dapati, para ulama tidak memahami hadis tersebut menurut zahirnya, tetapi mereka memahaminya melalui dengan pendekatan takwil (melihat makna alternatif yang muktabar).

Maka hadis bidaah tersebut juga termasuk dalam bab ini. Keumuman kandungan pelbagai hadis lain dan amalan para sahabat RA memberikan kesan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis tersebut hanyalah bidaah sayyi'ah; yakni bidaah yang jelas tidak mempunyai landasan pokok daripada ajaran Islam; dan bukan semua bidaah.

Cuba pula kita perhatikan hadis berikut: "Sesiapa yang melakukan suatu Sunnah yang baik, maka ia berhak mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya hingga hari Kiamat." Juga hadis, "Hendaklah kalian mengikut Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang memberikan petunjuk." Perhatikan juga perkataan Umar al Khattab RA mengenai solat Terawih (secara jemaah): "Sebaik-baik bidaah adalah perbuatan ini."

Sumber

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...