Topik kita pada malam ini adalah “ Kewajipan Berda’wah”, InsyaAllah. Terlebih dahulu izinkan saya memperkenalkan diri secara ringkas. Nama saya ialah Shah Kirit bin Kakulal Govindji. Pelik bukan? Kebiasaan di Malaysia, apabila seseorang itu masuk Islam, dia dikehendaki menukar nama bapa dia kepada Abdullah. Sebenarnya tidak ada satu pun nas dari Al-Qur’an mahupun Hadith Shahih yang mewajibkan seseorang yang masuk Islam mesti tukar nama bapa dia kepada Abdullah.
Shah Kirit bin Kakulal Govindji
Saya telah dilahirkan sebagai seorang Islam tetapi ibu bapa saya telah membesarkan saya sebagai seorang Hindu. Tuan-tuan dan puan-puan mesti hairankan. Ini adalah kerana didalam Islam kita percaya bahawa setiap kanak-kanak di dunia ini dilahirkan dalam fitrah Islam tetapi ibubapalah yang mencorakkan mereka menjadi Nasrani, Yahudi, Majusi, Hindu, Buddha mahupun sebagai seorang ‘Free Thinker’. Justeru itu saya lebih suka menggunakan perkataan ‘Revert’ daripada ‘Convert’ apabila seseorang itu menganuti agama Islam kerana mereka kembali kepada fitrah kejadian mereka.
Masuk Islam kerana syarat untuk berkahwin
Punca awal saya masuk Islam adalah atas dasar perkahwinan. Ya, kerana saya mahu berkahwin dengan perempuan Islam. Saya cakap ‘direct’ kerana di kalangan masyarakat kita ada sejenis ‘penyakit’, termasuklah dikalangan kakitangan Jabatan Agama Islam. Apabila sesorang itu menyampaikan hasrat untuk memeluk agama Islam, dia akan diperli atau disindir seperti “kenapa mau masuk Islam? Kalau tak ada perempuan Melayu memang tak sah!” Salah kah kami masuk Islam kerana mahu berkahwin? Sebenarnya masuk Islam kerana mahu berkahwin tidak salah. Mungkin itu Qada’ dan Qadar, bersabit dengan perkahwinan seseorang itu mendapat hidayah dari Allah. Yang salah ialah sudah masuk Islam tidak mahu belajar dan tidak mahu beramal dengan Islam. Yang turut salah ialah masyarakat Islam setempat yang tidak mahu membimbing atau membantu orang yang baru masuk Islam.
Kalau kita perhati keadaan sekeliling, kita akan dapati ramai yang masuk Islam adalah kerana perkahwinan. Ini adalah kerana orang-orang Islam di Malaysia hampir-hampir tidak ada melakukan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sekeliling mereka. Dahlah tak buat kerja, nak sindir orang pula!
Alhamdulillah, hari ini kita sebagai orang-orang Islam sedar bahawa Islam bukanlah milik orang-orang Arab atau Melayu sahaja tetapi adalah untuk seluruh umat manusia. Malangnya kita umat Islam hari ini telah lalai dari tanggung-jawab yang diamanahkan Allah kepada kita untuk menyampai da’wah Islam kepada mereka yang belum terima Hidayah lagi. Allah swt mencela golongan seperti ini dalam Surah Al-Baqarah 2:140
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan”.
Na’uzubillah, janganlah kita termasuk dalam golongan ini.
Allah swt memberikan penghormatan kepada kita orang-orang Islam didalam surah Ali Imran 3:110
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi(faedah) umat manusia”.
Kita pun rasa sangat seronok mendengarkan ayat ini. Namun begitu kita lupa bahawa setiap penghormatan itu datang bersama tanggung-jawab. Lagi besar suatu penghormatan maka lagi beratlah tanggung-jawab yang harus dipikul. Tanggung-jawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita orang-orang Islam yang melayakkan kita di gelar ‘sebaik-baik umat’ juga disebut dalam ayat yang sama; “(Kerana) kamu menyuruh membuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah”. Ini bermakna kita harus menjadi masyarakat ‘amar maaruf nahi munkar’ iaitu melakukan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam secara serentak.
Allah swt mengatakan didalam surah Al-Ikhlas 103:1-3
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar”.
‘Berpesan-pesan dengan kebenaran’ bermakna melakukan ‘amal maaruf nahi munkar’ yakni melakukan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam. Ayat ini jelas menunjukkan tanggung-jawab melakukan da’wah bukan tugas ustaz, imam atau Jabatan Agama sahaja tetapi adalah tanggung-jawab setiap orang Islam.
Didalam Khutbah terakhir, Rasulullah saw telah bertanya kepada para sahabah yang tidak kurang dari 110,000 orang
“Adakah aku telah sampaikan pesanan Islam” dan para sahabah pun secara serentak menjawab “Ya Rasulullah! Kau telah sampaikan”. Maka Rasulullah saw seterusnya memerintahkan mereka “Siapa-siapa yang hadir disini, sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir”.
Para sahabat pun faham akan perintah Rasulullah saw lalu keluar dari negeri Arab menyampaikan da’wah Islamiah. Maka Islam telah pun sampai ke Negeri Cina, India, Sepanyol dan seterusnya ke Malaysia. Alhamdulillah, sahabat-sahabat dulu tidak ada sikap macam kita iaitu hanya mahu bercerita tentang Islam sekiranya ada yang bertanya tetapi sebaliknya telah bertebaran kepelbagai pelusuk dunia dalam menyampaikan syiar Islam.
Penyebaran Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.
Didalam Shahih Bukhari jilid 4 hadith 667 diriwayatkan dari Abdullah Ibn Amr bahawa Rasulullah saw telah bersabda “sampaikanlah walau satu ayat”. Kita tidak perlu dapatkan Phd atau ijazah atau menjadi ustaz / ustazah dalam menyampaikan da’wah Islam. Walaupun kita tahu satu ayat dalam Qur’an, kita boleh menyampaikannya. Sebagai orang Islam, kita tahu lebih dari satu ayat. Sekurang-kurangnya kita tahu ‘La ilaha ilallah’, maka sampaikanlah ia.
Dewasa ini dunia kita sudah berubah menjadi materialistik. Setiap perkara yang dilakukan mesti ada ganjaran atau keuntungan. Allah swt mengajak kita berniaga denganNya dalam Surah As-Saff 61:10-11
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan hartabenda dan diri kamu”.
Kini bila berniaga kita hendak tahu peratusan keuntungannya. Keuntungan yang dijanjikan oleh Allah swt dalam Surah Al-Baqarah 2:261 adalah
“Bandingan (derma) orang-orang yang belanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya”.
Yakni setiap satu biji benih tumbuh menjadi tujuh ratus biji benih. Didalam bahasa perniagaan, ini adalah keuntungan yang tidak kurang dari 70,000%! Mana ada perniagaan lain didunia ini yang menjamin 100% pulangan keuntungan sehingga 70,000%?
‘Master key’ untuk melakukan da’wah kepada orang-orang bukan Islam ada diterangkan dalam Surah Ali Imram 3:64
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak sembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya suatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah’.”
Untuk mencari kalimah-kalimah yang bersamaan antara kita dengan mereka, maka kita hendaklah mengkaji kitab mereka (bukan untuk beriman tetapi) untuk mencari ayat-ayat yang menjurus kepada tauhid. Sekiranya diperingkat permulaan kita hanya menggunakan Al-Qur’an dan Hadith sahaja mungkin orang-orang bukan Islam ini tidak percaya atau tidak yakin kerana mereka belum beriman kepada Al-Qur’an. Sekiaranya kita menggunakan Bible maka orang-orang Kristian terpaksa menerimanya. Berikut adalah beberapa hujah-hujah yang boleh kita gunakan dari Bible terhadap orang-orang Kristian:
“My Father is greater than I” [John 14:28]
“My father is greater than all” [John 10:29]
“…I cast out devil by the spirit of God…” [Matthew 12:28]
“…I with the finger of God cast out devils…” [Luke 11:20]
“I can of mine own self do nothing: as I hear, I judge: and my judgment is just; because I seek not my own will, but the will of the Father which hath sent me.” [John 5:30]
“…and the word which ye hear is not mine, but the Father’s which sent me.” [John 14:24]
“Shama Israelu Adonai Ila Hayno Adonai Ikhad.” “Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord.” [Mark 12:29]
Apabila kita mulakan da’wah kepada orang-orang Hindu, adalah lebih baik sekiranya kita mulakan dengan konsep ketuhanan dalam Islam yang terdapat dalam Surah Al-Ikhlas 112”1-4
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tiada diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya’.”
Seterusnya kita boleh bincangkan mengenai ayat-ayat yang ada persamaan didalam kitab-kitab mereka contohnya Veda, Upanishad, Purana, Maha Bharata, Ramayana dan yang paling popular dikalangan orang-orang Hindu adalah
Bhagavad Geeta. Berikut adalah beberapa contoh yang boleh kita gunakan:
“ Those whose intelligence has been stolen by material desires surrender unto demigods and follow the particular rules and regulations of worship according to their own natures.” [Bhagavad Gita 7:20]
“He is One only without a second” [Chandogya Upanishad 6:2:1] 1
“Of Him there are neither parents nor lord.” [Svetasvatara Upanishad 6:9] 2
“There is no likeness of Him” [Svetasvatara Upanishad 4:19] 3
“His form is not to be seen, no one sees Him with the eye.”
[Svetasvatara Upanishad 4:20] 4
“There is no image of Him” [Yajurveda 32:3] 5
“He is bodiless and pure” [Yajurveda 40:8] 6
“They enter darkness, those who worship the natural elements” (Air, water, fire, etc.). “They sink deeper in darkness, those who worship sambhuti (created things; table, chair, idol etc.).” [Yajurveda 40:9] 7
Brahma Sutra of Hinduism:
“There is only one God, not the second; Not at all, not at all, not in the least bit”.
Namun begitu dalam kita menyampaikan da’wah kepada orang-orang bukan Islam, adalah penting kita sentiasa mengambil kira nasihat yang diberikan oleh Allah swt didalam Surah An-Nahl 16:125
“Serulah kejalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”.
Adakah kita menggunakan hikmat kebijaksanaan dan menasihatkan dengan cara pengajaran yang baik dan lemah lembut bila menyampaikan da’wah Islamiah kepada orang-orang bukan Islam? Jarang sekali. Kebiasaannya bila ada orang bertanya mengenai Islam, jawaban yang lazim diberikan adalah; “Dalam Islam kita mesti sembahyang 5 kali sehari, Bulan Ramadhan mesti puasa satu bulan dari pagi sampai senja – tidak boleh makan atau minum, mesti bayar zakat, tidak boleh makan ‘kerbau pendek’ (khinzir), tidak boleh minum (arak), mesti kena ‘potong’ dulu (berkhatan), pergi masjid mesti pakai songkok dan kain, kalau pergi solat Hari Raya mesti pakai baju Melayu (seolah-olah solat itu tidak sah tanpa memakai baju Melayu!) dan bermacam-macam lagi.
Saya perhatikan bahawa kita sebenarnya lebih banyak ‘meMelayukan’ seseorang yang masuk Islam dari mengIslamkannnya. Kita memberikan gambaran seolah-olah Islam ini adalah satu agama yang sangat menyusahkan umatnya.
Sepatutnya kita jangan terlalu menekankan berkenaan fikah (halal dan haram) pada peringkat permulaan. Yang harus diutamakan adalah tauhid, apabila iman dia sudah mantap barulah kita sampaikan bab fikah secara beransur-ansur ikut kemampuan seseorang individu. Bila iman sudah kukuh dihati, seseorang itu akan mengerjakan perintah Allah tanpa perlu disuruh, InsyaAllah.
Saya ingin mengajak semua yang hadir disini termasuklah diri saya agar marilah kita semua bangun. Bukannya bangun dari tempat duduk tetapi marilah kita bangun tidur kita. Kita telah lama tidur dengan mata celik. Marilah kita bangun dan laksanakan tanggung-jawab yang telah diamanahkan oleh Allah kepada kita untuk menyampaikan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah kepada sesama Islam.
Berhenti dari memberikan alasan. Bila saya mengajak orang untuk berda’wah, mereka selalu memberikan alasan dan minta tunggu. Hendak tunggu apa lagi? Allah swt memberika amaran kepada kita dalam Surah At-Taubah 9:24
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-oramg yang fasik (derhaka)”.
Hari ini kita orang-orang Islam masih lagi tunggu!
Marilah kita berhenti dari memberikan alasan-alasan seperti berikut:
a) Tunggulah saya pandai – sampai bila-bila pun kita tidak akan cukup pandai sekiranya kita tidak cuba dari sekarang. Sekali lagi saya rujuk kepada hadith diatas iaitu; “Sampaikanlah walau satu ayat”.
b) Tunggu bila ada orang bertanya baru nak cerita tentang Islam – sekali lagi saya rujuk kepada petikan dari Khutbah terakhir Rasulullah saw; “Siapa-siapa yang hadir disini sampaikanlah kepada yang tidak hadir”.
c) Negara kita negara majmuk, sensitif untuk melakukan da’wah – di zaman Nabi Muhammad s.a.w. terdapat tidak kurang dari 360 suku kaum. Ini tidak menghalang baginda dari memberikan da’wah kepada kaum Musyirikin pada masa itu malahan baginda telah berjaya menyatu padukan semua kaum tersebut dibawah panji Islam!
d) Agama ini urusan peribadi, jangan masuk campur dalam hal orang lain – Dalam Islam ia menjadi tanggung-jawab semua orang-orang Islam mencampuri urusan orang lain apabila ia melibatkan perkara akidah; ‘amal maaruf nahi mungkar’.
Saya akhiri dengan sketsa berikut; bayangkanlah suatu hujung minggu kita pergi berkelah bersama keluarga ke pusat peranginan di tanah tinggi seperti di Genting Highland (tanpa singgah di kasino). Bila sampai ke puncak yang paling tinggi, kita pun menghamparkan tikar dan mula menjamu selera bersama-sama dengan keluarga. Dalam kelekaan kita makan dan minum, anak kita yang berumur 2 tahun telah berlari-lari sampai ke hujung tebing; dihadapannya adalah jurang yang cukup dalam. Na’uzubillah, cuba bayangkan anak atau adik kita yang berumur 2 tahun berada dalam situasi itu. Cemas tak? Betul-betul sebelah anak kita ada seorang lelaki dewasa yang sihat dan waras. Apa yang perlu dilakukannya adalah hulurkan tangan dia dan pegang anak kita, InsyaAllah anak kita akan selamat. Tetapi lelaki tadi tidak endahkan anak kita dan anak kita melangkah lagi lalu jatuh kedalam gaung dan mati. Ketika itu adakah kita akan ucapkan terima-kasih kepada lelaki itu kerana tidak masuk campur dalam urusan orang lain? Tidak, kita akan salahkan dia kerana tidak mahu menolong anak kita. Kita akan tuduh lelaki itu sebagai seorang yang sangat kejam.
Tuan-tuan dan puan-puan, sebenarnya kitalah orang-orang Islam yang memegang watak lelaki yang kejam tadi. Kita ada ramai kenalan bukan Islam seperti rakan kerja, kawan jiran dan sebagainya tetapi kita tak pernah buka mulut kita menyampaikan mesej Islam. Kita biarkan sahaja mereka mati dalam keadaaan kafir. Di akhirat nanti mereka akan mengadu kepada Allah dan menarik kita sama-sama masuk ke neraka, na’uzubillah. Apakah alasan yang akan kita berikan pada Allah ketika itu? Marilah kita sama-sama bangun dan sampaikan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam.
Wa akhiri da’wana anil hamdulillahi Robbil ‘alamin.