| Menarik dari blog Oleh : Nik Nasri Malek |
| 2 tarikh berturutan dengan 2 event yang sangat kontradik. Satu menuju jalan syaitan, yang satu lagi menuju jalan Nabi SAW. Satu mengundang murka Allah, yang satu lagi mengundang redha Allah. Satu membawa ke neraka, yang satu lagi membawa ke syurga, dengan izin Allah. Bagi umat Islam yang punya kefahaman jelas, mereka tidak sekali-kali menyambut Valentine Day. Bagi generasi muslim yang jauh dari agama, terutama remaja, Valentine Day memberi makna sangat besar kepada mereka. Hari itulah mereka menumpahkan kasih-sayang kepada boyfriend atau girlfriend mereka. Bukan setakat kasih-sayang, maruah, tubuh dan rasa malu juga melayang. Mereka menurut jejak langkah syaitan yang menyesatkan mereka di dunia, dan di akhirat dihumban ke dalam neraka kalau tidak bertaubat. Sebaliknya, dalam buku saya ‘Ku Damba Cintamu Ya Rasulullah‘ pada bab 3, saya memberikan beberapa tip yang boleh dibuat secara praktikal bagi menyuburkan rasa cinta kepada Nabi SAW. Saya mengucapkan syabas kepada PTS Publication yang telah mengambil inisiatif menerbitkan beberapa buah buku sempena Maulidurrasul, membuat promosi yang meluas mengenainya, mengadakan pertandingan memuji Rasulullah SAW dan lain-lain aktiviti. Ia sangat baik dengan memberikan alternatif bagi menentang arus jahiliyyah Valentine Day yang sangat merosakkan itu. Demikian juga, sebuah kerajaan yang bersih dan baik mesti mengambil langkah membendung gejala tidak sihat yang merosakkan anak muda muslim ini. Maulidurrasul pula menjadi di antara peluang mukmin meneliti diri sendiri. Setakat mana mereka berikan masa, diri, harta mereka untuk Islam sebagaimana Nabi SAW telah memberikan seluruh hidupnya untuk Islam. Setakat mana kelahiran Baginda itu dapat menjadi motivasi menyuburkan semangat juang bagi menegakkan Islam seperti yang pernah ditegakkan oleh Baginda sepanjang 23 tahun bergelumang dengan dakwah dan perjuangan. Maulidurrasul bukan sekadar kelahiran seorang manusia. Ia bukan sekadar barzanji, baca rawi dan marhaban. Ia bukan sekadar selawat dan tunjukrasa cintakan Nabi. Ia peringatan terhadap kelahiran junjungan besar yang mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dari kezaliman kepada keadilan, dari sistem jahiliyyah kepada sistem pemerintahan Islam. Apabila kesedaran sampai ke tahap itu, baharulah barzanji, baca rawi, marhaban, berselawat itu benar dengan ertikata sebenar. Rasa cinta Nabi mesti disuburkan. Manakala menyubur rasa cinta melalui Ventine Day mesti dikuburkan. Nik Nasri Malek, Kemaman, Terengganu. |
Saturday, February 12, 2011
2 cinta berbeza, antara redha dan murka Allah - antara Maulidur Rasul dan Valentine
Wednesday, February 2, 2011
Surah Al-‘Asr - Tafsir Fi Zilalil Quran
سورة العصر
Surah Masa
Surah (103) - Makkiyah - 3 ayat
1. Demi masa!
2. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.
3. Kecuali orang yang beriman dan melakukan amalan yang soleh serta saling berpesan supaya menjunjung ajaran (Allah) yang benar dan saling berpesan supaya bersikap sabar.
Dalam surah yang kecil, yang mengandungi tiga ayat ini tergambar satu peraturan hidup yang sempurna bagi manusia sebagaimana yang dikehendaki Islam. Sifat-sifat pokok kefahaman keimanan serta hakikatnya yang agung dan syumul adalah tergambar begitu jelas dalam surah ini. Ia meletakkan seluruh perlembagaan Islam dalam beberapa ungkapan yang pendek dan mensifatkan hakikat dan fungsi umat Islam hanya dalam satu ayat sahaja iaitu ayat yang ketiga dari surah ini. Inilah pengungkapan yang mengkagumkan yang hanya dapat dilakukan oleh Allah 'Azzawajalla sahaja.
Hakikat agung yang dikemukakan oleh keseluruhan surah ini ialah: Biarpun selanjut mana waktu pada seluruh zaman dan sepanjang mana kelangsungan hidup manusia pada semua masa, namun di sana hanya ada satu cara dan satu jalan hidup sahaja yang membawa keuntungan dan keselamatan. Itulah cara dan jalan hidup yang telah dijelaskan sempadansempadan dan batu-batu tandanya dalam surah ini. Selain cara hidup ini adalah sia-sia dan rugi belaka.
Itulah keimanan, amalan yang soleh, saling berpesan menjunjung ajaran yang benar dan saling berpesan supaya bersikap sabar.
Keimanan Dan Nilainya Dalam Kehidupan Manusia.
Apakah iman itu?
Kami tidak bermaksud menta'rifkan iman di sini dengan ta'rif ilmu fiqah, tetapi kami mahu memperkatakan tentang tabi'at iman dan nilainya dalam kehidupan manusia.
Keimanan ialah hubungan makhluk manusia yang bersifat fana, kerdil dan terbatas dengan Allah yang bersifat Mutlak, Azali, Kekal, dan Sumber yang dari-Nya lahir segala yang wujud, juga hubungannya dengan 'alam yang lahir dari Allah dan hubungannya dengan undang-undang yang mengendalikan perjalanan 'alam ini, juga hubungannya dengan tenaga-tenaga 'alam yang tersimpan di 'alam ini. Titik tolak di sini ialah dari perbatasan diri manusia yang kerdil kepada ruang 'alam yang amat luas dan dari batas-batas kekuatannya yang lemah kepada kebesaran tenaga 'alam yang majhul dan dari batas-batas umurnya yang pendek kepada kelanjutan abad-abad yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.
Hubungan seperti ini selain memberi kekuatan, kelanjutan dan kebebasan kepada manusia ia juga memberikan keni'matan hidup kepada mereka dengan segala keindahan 'alam dan dengan aneka ragam makhluk di mana terjalin di antaranya dengan mereka rasa kasih sayang yang mendalam pada jiwa masing-masing. Ini adalah suatu keuntungan yang tidak dapat dibandingkan dengan keuntungan-keuntungan yang lain dan kehilangannya merupakan suatu kerugian yang tidak dapat dibandingkan dengan kerugian-kerugian yang lain.
Kemudian asas-asas keimanan itu sendiri merupakan asas-asas kemanusiaan yang luhur. Menyembah Allah yang Tunggal membebaskan manusia dari perhambaan kepada yang lain dari Allah dan menegakkan dalam jiwanya kesedaran berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan sesama manusia. Kerana itu ia tidak menghinakan dirinya kepada seseorang yang lain dan tidak tunduk melainkan kepada Allah yang Maha Kuasa. Dari sinilah lahirnya kebebasan haqiqi bagi manusia, iaitu kebebasan yang terbit dari dhamir dan dari kefahaman terhadap hakikat yang berlaku di 'alam iaitu tiada kekuasaan melainkan kekuasaan Allah yang Tunggal dan tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Tunggal. Pembebasan diri ini adalah terbit dengan sendirinya dari kefahaman ini, kerana ia merupakan satusatunya kesimpulan yang logik.
Ciri Rabbaniyah.
Ciri Rabbaniyah (yang menjadi teras keimanan) itulah yang menentukan arah dari mana manusia harus menerima kepercayaankepercayaannya, nilai-nilainya, ukuran-ukurannya, pertimbanganpertimbangannya, syari'at-syari'atnya, undang- undangnya dan segala peraturan yang mengikatnya dengan Allah atau dengan 'alam atau dengan manusia. Dengan demikian kehidupan manusia terhindar dari perintah hawa nafsu dan kepentingan dan tempat kedua-duanya digantikan dengan syari'at dan keadilan.
Ciri Rabbaniyah itu juga yang menaikkan rasa bangga seseorang mu'min terhadap nilai cara hidupnya dan memandang rendah kepada kepercayaan-kepercayaan Jahiliyah, nilai-nilainya dan pertimbanganpertimbangannya, juga memandang rendah kepada nilai-nilai yang diambil dari perhubungan-perhubungan kebumian (keduniaan) walaupun dia sebatang karah, kerana ia menghadapi kepercayaan-kepercayaan dan nilai-nilai jahiliyah itu dengan kepercayaan dan nilai-nilai yang diambil secara langsung dari Allah yang sudah tentu lebih tinggi, lebih kuat dan lebih utama diikuti dan dihormati.
Hubungan yang jelas antara Khaliq dengan makhluk dan perbezaan yang nyata antara taraf Uluhiyah dengan taraf Ubudiyah dapat menghubungkan manusia yang fana dengan Allah yang Kekal itu dengan hubungan yang lurus tanpa kerumitan dan tanpa memerlukan wasilah. Hubungan yang jelas itu juga memberi nur dalam hati, memberi ketenteraman kepada roh dan memberi kemesraan dan kepercayaan kepada jiwa, menghapuskan keraguan-keraguan, ketakutan, kecemasan, dan kegelisahan di samping menghapuskan perasaan takbur dan sombong terhadap sesama makhluk dengan da'waan-da'waan palsu.
Juga sikap yang jujur mematuhi cara hidup yang dikehendaki Allah. Kerana itu sesuatu perbuatan yang baik bukanlah lahir secara kebetulan dan bukanlah hasil dari keinginan yang tiba-tiba dan bukanlah sesuatu yang dilakukan sekali-sekala sahaja, malah sesuatu perbuatan yang baik itu adalah lahir dari motif-motif tertentu dan menuju kepada satu matlamat yang tertentu dan semua individu yang berjuang kerana Allah akan terus bekerja-sama mempertahankannya, dengan itu terbentuklah kelompok Muslimin yang mempunyai satu matlamat dan satu panji dan mereka akan bekerjasama dan berpadu sebagaimana yang dilakukan oleh generasi-generasi Islam yang silih berganti yang berpegang kukuh dengan agama ini.
Anggapan bahawa manusia itu mulia di sisi Allah meninggikan pandangan manusia terhadap dirinya sendiri, menimbulkan dalam dhamirnya perasaan segan dan malu untuk menjatuhkan dirinya dari martabat luhur yang diangkatkan Allah itu. Konsep manusia itu mulia di sisi Allah merupakan satu tanggapan yang paling tinggi yang ditanggapkan manusia terhadap dirinya. Setiap isme dan setiap pemikiran yang merendahkan darjah manusia pada pandangannya sendiri atau menurunkan asalnya kepada asal-usul yang hina yang memutuskan hubungannya dengan 'alam Malaikat adalah isme dan fikiran yang menyeru manusia kepada menjatuh dan merendahkan diri sendiri walaupun ia tidak mengatakannya secara terus-terang.
Dari sinilah saranan-saranan atau pendapat-pendapat Darwin, Freud dan Karl Marx mengenai manusia merupakan saranan-saranan dan pendapat-pendapat yang paling keji yang menimpa fitrah manusia dan kepimpinan manusia. Pendapat-pendapat itu menyarankan kepada manusia bahawa setiap kerendahan, kehinaan dan kekotoran adalah perkara biasa yang memang diduga dan dijangka, tiada suatu yang menganehkan dan tiada suatu yang patut dimalukan. Ini adalah satu perbuatan jenayah terhadap manusia yang patut dicela dan dikecamkan.
Akhlak Orang Beriman.
Kesedaran terhadap akhlak merupakan hasil yang tabii dan pasti dari keimanan kepada Allah yang Maha Adil, Maha Penyayang, Maha Pengampun, Maha Pemurah, Maha Pengasih dan Sabar, iaitu Tuhan yang bencikan kejahatan dan cintakan kebaikan dan Tuhan yang mengetahui jelingan mata yang tidak jujur dan rahsia yang tersimpan di dalam dada.
Di sana terdapat tanggungjawab sebagai hasil dari kebebasan kemahuan dan pengawasan Allah yang ketat. Tanggungjawab itu menimbulkan kesedaran, rasa sensitif, sikap yang bijaksana dan hati-hati. Ia bukan sahaja merupakan tanggungjawab perseorangan, malah ia juga merupakan tanggungjawab kemasyarakatan, tanggungjawab terhadap kebaikan itu sendiri, tanggungjawab terhadap manusia seluruhnya di hadapan Allah. Apabila seseorang mu'min itu bertindak, ia akan merasa seluruh tanggungjawab itu, ia akan menilai hasil setiap langkahnya sebelum ia menghayunkan kakinya. Ia sedar bahawa dia adalah makhluk yang mempunyai nilai di 'alam ini dan mempunyai tanggungjawab dalam system 'alam ini.
Antara saranan keimanan lagi ialah menjauhi sikap tamak-haloba terhadap keni'matan-keni'matan hidup dunia yang fana dan memilih balasan-balasan yang tersedia di sisi Allah yang lebih baik dan kekal.
Bumi bukannya negeri balasan dan hidup di dunia bukannya stesen pengembaraan. Dari sumber inilah seseorang mu'min itu mengambil bekalan daya kudrat untuk terus berbuat kebaikan. Dan inilah sumber yang menjadikan amalan berbuat kebaikan itu suatu cara hidup yang bersambungsambung, bukannya hasil dari keinginan yang timbul mendadak dan bukan pula suatu hasil yang tunggal yang tidak bersambung. Inilah sumber yang membekalkan tenaga raksasa kepada seseorang mu'min untuk menentang kejahatan sama ada berupa pemerintahan yang zalim atau berupa tekanan dari pandangan-pandangan Jahiliyah atau berupa tekanan keinginankeinginan hawa nafsunya sendiri terhadap kemahuannya.
Tekanan ini adalah terbit dari perasaan dan kesedaran seseorang bahawa umurnya begitu pendek untuk menghabiskan keni'matan-keni'matan hidupnya dan mencapaikan cita-citanya, juga kesedarannya terhadap kelemahannya untuk melihat hasil kebaikan yang jauh, dan untuk melihat kemenangan kebenaran di atas kebatilan. Di sinilah keimanan bekerja mengubati perasaan-perasaan itu dengan pengubatan asasi yang sempurna. Iman itulah punca hidup yang agung. Dari punca inilah lahirnya segala cabang kebaikan dan dengan punca inilah bergantungnya segala hasil kebaikan. Tanpa iman, cabang kebaikan merupakan satu cabang yang terputus dari pokoknya, yang akan terus layu dan kering, dan tanpa iman hasil kebaikan itu merupakan satu hasil dari Syaitan yang tidak lanjut dan kekal.
Amalan saling berpesan.
Amalan saling berpesan supaya menjunjung ajaran Allah yang benar dan saling berpesan supaya bersikap sabar melahirkan gambaran umat Islam atau kelompok Muslimin yang mempunyai identiti, ikatan dan tujuan perjuangan yang sama, iaitu kelompok yang sentiasa sedar terhadap hakikat dirinya dan terhadap kewajipannya, di samping sentiasa sedar terhadap hakikat tugas iman dan amalan soleh yang termasuk di bawahnya tugas memimpin umat manusia ke jalan iman dan amalan soleh. Kerana itu, untuk melaksanakan tugas atau amanah agung ini mereka perlu saling berpesan dan nasihat-menasihati terhadap satu sama lain.
Dari kata-kata saling berpesan itu nampaklah satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu-padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan. Itulah gambaran umat Islam yang dikehendaki oleh Islam. Islam mahukan mereka menjadi satu umat yang terpilih, kuat, sedar, siap sedia mengawasi kebenaran dan kebaikan dan sentiasa saling berpesan sesama mereka supaya menjunjung kebenaran dan bersabar dalam perjuangan dan hidup saling mesra, bekerjasama dengan semangat Ukhuwah Islamiyah sebagaimana yang disarankan oleh kata-kata saling berpesan di dalam al-Qur'an.
Amalan saling berpesan menjunjung ajaran Allah yang benar merupakan satu keperluan dalam perjuangan, kerana usaha-usaha menegakkan kebenaran itu amat sukar dan batu-batu penghalangnya beraneka ragam dalam bentuk hawa nafsu, logik kepentingan, kefahamankefahaman masyarakat, dan kemaharajalelaan pemerintah-pemerintah dan orang-orang yang zalim. Dengan amalan saling berpesan dapatlah diberi peringatan, pemberangsangan dan penyedaran terhadap persamaan matlamat, persamaan tugas dan amanah untuk melipatgandakan daya usaha perjuangan mereka. Setiap pejuang kebenaran akan merasa bahawa di sampingnya ada orang lain yang sentiasa berpesan, memberangsang dan turut berjuang bersamanya, juga sentiasa menyayanginya dan tidak menghampakannya.
Agama Islam yang benar ini tidak dapat ditegakkan melainkan dengan pengawasan dan kawalan kelompok Muslimin yang saling membantu, saling berpesan dan bersatu padu. Amalan saling berpesan supaya bersikap sabar juga merupakan satu keperluan dalam perjuangan, kerana usaha-usaha menegakkan iman dan amal soleh, dan usaha-usaha menjaga kebenaran dan keadilan merupakan tugas-tugas yang amat sukar yang dihadapi oleh kelompok dan orang perseorangan dan inilah yang memerlukan kesabaran, iaitu sabar melawan tentangan hawa nafsu sendiri, sabar melawan tentangan-tentangan orang lain, sabar menghadapi gangguan dan kesulitan, sabar menentang keangkuhan, kebatilan dan kejahatan, sabar mengharungi jalan perjuangan yang panjang, sabar menempuh peringkat-peringkat perjuangan yang lambat, sabar kerana hilangnya batu-batu tanda jalan perjuangan dan sabar kerana kejauhan matlamat.
Amalan saling berpesan supaya bersabar itu menambahkan daya kebolehan, kerana ia dapat menimbulkan perasaan kesatuan matlamat dan tujuan dan kerjasama di antara semua pihak, di samping membekalkan perasaan kasih mesra terhadap satu sama lain, keazaman dan tekad perjuangan yang kukuh dan sebagainya dari konsep-konsep kelompok kerana dalam suasana kelompoklah hakikat Islam itu hidup dan menonjol
jika tidak, maka itulah kerugian dan kehilangan. Pada hari ini apabila kita melihat dari kacamata undang-undang, perlembagaan yang digariskan oleh al-Qur'an untuk panduan hidup kelompok orang-orang Mu'min yang terselamat dari kerugian itu, kita merasa begitu cemas melihat umat manusia di merata pelosok bumi sedang dilingkungi kerugian. Kita merasa begitu cemas melihat kesesiaan-kesesiaan atau kepercumaan hidup mereka di dunia, dan melihat mereka berpaling dari agama yang baik yang telah dikurniakan Allah kepada mereka, serta melihat, tidak adanya pemerintah yang terpilih, beriman dan tegak di atas agama yang benar di muka bumi ini.
Orang-orang Islam atau lebih halus orang-orang yang menda'wa beragama Islam merupakan orang-orang yang paling kuat berpaling dari cara hidup Ilahi yang telah dipilih Allah untuk mereka, dan dari undang-undang yang disyari'atkan Allah kepada mereka dan dari jalan tunggal yang digariskan Allah untuk menyelamatkan mereka dari kerugian dan kesesiaan. Negeri Arab yang dahulunya menjadi tempat lahirnya agama yang baik itu telah meninggalkan panji-panjinya yang telah dikibarkan Allah untuk mereka, mereka meninggalkan panji-panji iman untuk bergantung dengan panji-panji kebangsaan yang tak pernah mereka capai kebaikan di bawah kibarannya di sepanjang sejarahnya, dan nama mereka tak pernah disebut di bawah kibarannya baik di bumi mahupun di langit sehingga datangnya agama Islam mengibarkan panji-panji Allah yang Tunggal yang tiada sekutu bagi-Nya, dan di bawah kibaran panji-panji inilah umat Arab mencapai kemenangan, menjadi kuat dan berjaya bagi pertama kalinya dalam sejarah mereka dan sejarah umat manusia seluruhnya.
Ciri-ciri Pemimpin Islam.
Ujar al-Ustaz Abul Hasan an-Nadawi dalam bukunya yang bermutu:
ماذاخرالعالم يانحطاط المسلمين "Apakah Kerugian Dunia Dengan Sebab
Kejatuhan Umat Muslimin?" yang memperkatakan tentang kepimpinan Islam yang terpilih dan unik ini di bawah judul: “Zaman Kepimpinan Islam” dan "Pemimpin-pemimpin Islam dan Sifat-Sifat Mereka.":
"Umat Muslimin muncul memimpin dunia. Mereka memecat umatumat palsu dari kepimpinan umat manusia dengan penuh kesungguhan, bijaksana dan adil. Mereka mempunyai sifat-sifat yang cukup yang melayakkan mereka memimpin umat-umat manusia dan menjamin kebahagiaan dan kejayaan umat yang berada di bawah naungan dan pimpinan mereka. "
Pertama:
Umat Muslimin mempunyai kitab suci dan syari'at yang diturunkan Allah. Mereka tidak membuat undang-undang sendiri, kerana membuat undang-undang sendiri itu merupakan punca kejahilan, kesalahan dan kezaliman. Tindak-tanduk mereka, politik mereka dan cara pergaulan mereka dengan manusia tidak sembarangan dan tidak lintang-pukang. Allah telah mengurniakan nur kepada mereka dengan nur inilah mereka berjalan di kalangan umat manusia.
Kedua:
Umat Muslimin tidak memegang teraju pemerintahan dan kepimpinan tanpa didikan akhlak dan pembersihan jiwa iaitu berlainan dengan kebanyakan umat, individu-individu dan pegawai-pegawai pemerintah dahulu dan sekarang, malah mereka tinggal sekian lama di bawah didikan dan pimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang membersihkan jiwa mereka, mengajar adab sopan kepada mereka dan melatihkan mereka dengan sifat-sifat zahid, wara', bersih hati, mementingkan kebajikan orang lain, takut kepada Allah dan tidak bercita-cita dan tamak untuk menjadi ketua." Telinga mereka sentiasa terdengar-dengar firman Allah 'Azzawajalla:
Kerana itu mereka tidak berlumba-lumba untuk merebut jawatanjawatan apatah lagi untuk mencalonkan diri mereka ke jawatan-jawatan ketua, atau menonjolkan kebaikan diri mereka atau berkempen untuk menaikkan diri mereka atau membelanjakan harta untuk mendapatkan jawatan-jawatan. Dan apabila mereka dilantik ke jawatan pegawai pemerintah, maka mereka tidak menganggapkan jawatan itu sebagai suatu hasil keuntungan atau perolehan dari usaha tenaga dan harta yang mereka telah korbankan untuknya, malah mereka anggapkannya sebagai suatu amanah yang diletakkan di atas bahunya dan sebagai suatu ujian dari Allah. Mereka benar-benar sedar bahawa mereka akan berdiri mengadap Allah dan bertanggungjawab kepada-Nya dalam semua urusan pentadbiran baik yang kecil mahupun yang besar.
Ketiga:
Umat Muslimin bukannya berkhidmat untuk kepentingan perkauman, mereka bukannya utusan bangsa atau negeri yang berjuang untuk kemakmuran dan kepentingan bangsa dan negeri itu sahaja atau percaya bahawa bangsa dan negeri mereka sahaja yang mempunyai kelebihan atas segala bangsa dan negeri yang lain dan bahawa mereka sahaja yang dijadikan untuk memerintah dan bangsa-bangsa yang lain adalah dijadikan untuk diperintah oleh mereka. "Umat Muslimin tidak dilahirkan untuk membangun Empayar Arab yang mewah makmur dan untuk bermegah-megah hidup di bawah pemerintahannya. Mereka tidak dilahirkan untuk mengeluarkan manusia dari penjajahan Rom dan Farsi kepada pemerintahan Arab atau pemerintahan mereka sendiri, malah mereka dilahirkan untuk mengeluarkan manusia dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah yang Tunggal seperti yang diucapkan oleh Rab'ii ibn 'Amir di majlis Yazdajrad: "Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah yang Tunggal dan dari kesempitan dunia kepada keluasan Akhirat dan dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam." Semua bangsa dan semua manusia di sisi mereka adalah sama sahaja iaitu semuanya dari keturunan Adam dan Adam berasal dari tanah. Tiada kelebihan bagi bangsa Arab ke atas bangsa bukan Arab dan tiada kelebihan bagi bangsa bukan Arab ke atas bangsa Arab melainkan dengan taqwa.
Keempat:
Manusia itu tersusun daripada jisim dan roh. Ia mempunyai hati, akal, perasaan dan tubuh-badan. Oleh itu manusia tidak akan berbahagia, berjaya, dan mencapai kemajuan yang seimbang melainkan seluruh bahagian dirinya subur dan berkembang dengan seimbang dan mendapat makanan yang baik. Tamadun yang baik tidak akan wujud kecuali manusia terdidik dalam 'alam sekitar yang menyuburkan agama, akhlak, akal dan tubuh badan dan memberi kemudahan kepada mereka untuk mencapai kesempurnaan insaniyah.
Hal ini menurut pengalaman tidak mungkin berlaku melainkan apabila teraju pimpinan dan pentadbiran tamadun itu berada di tangan orang-orang yang beriman kepada roh dan benda, yang dapat menunjukkan contoh-contoh yang baik dalam kehidupan keagamaan dan akhlak serta mempunyai akal yang sejahtera dan bijaksana dan mempunyai ilmu pengetahuan yang benar dan berguna.
Kesimpulan
Itulah masalah untung rugi di dunia ini, dan jika dibandingkan dengan untung rugi di akhirat, maka untung rugi di dunia adalah amat kecil, di akhirat sanalah untung rugi yang sebenar. Untung rugi di sana berlanjutan dalam zaman yang berterusan, dalam kehidupan yang kekal dan dalam 'alam hakikat yang sebenar. Di sanalah untung rugi yang sebenar iaitu keuntungan mendapat Syurga dan keredaan Allah atau kerugian tidak mendapat Syurga dan keredaan Allah. Di sanalah manusia akan mencapai kemuncak kesempurnaan yang ditentukan untuk mereka atau akan terhumban jatuh ke darjah yang menghilangkan martabat kemanusiaan mereka dan akhirnya mereka menjadi senilai dengan batu, malah batu lebih senang dari mereka.dari segi kerehatan.
Surah ini begitu tegas sekali menentukan jalan iaitu seluruh manusia berada dalam kerugian, melainkan orang-orang yang beriman, melakukan amalan yang soleh dan saling berpesan supaya menjunjung ajaran yang benar dan supaya bersikap sabar. Inilah satu-satunya jalan, tiada jalan yang lain lagi, iaitu jalan beriman dan beramal soleh dan menegakkan masyarakat Islam yang bersatu-padu menjaga ajaran yang benar dengan berbekalkan sifat sabar.
Itulah satu-satunya jalan, kerana itu dahulu ada dua orang lelaki dari sahabat Rasulullah s.a.w. apabila mereka bertemu, mereka tidak berpisah sehingga salah seorang dari mereka membaca "Surah al-'Asr" kepada seorang lagi, kemudian barulah mereka bersalam-salaman. Mereka berdua seolaholah berjanji setia untuk menjunjung perlembagaan Ilahi ini, iaitu berjanji untuk tegak di atas iman dan amalan yang soleh, saling berpesan supaya menjunjung ajaran yang suci dan supaya bersikap sabar. Mereka berdua berjanji untuk mengawal perlembagaan ini dan untuk menjadi golongan umat Islam yang hidup tegak di atas perlembagaan ini.
Semoga bermanfaat.
Nota penulis :
Tafsir Fi Zilalil Quran adalah sebuah tafsir yang cukup hebat dengan penafsiran ayat Al-Quran secara mendalam oleh Syed Qutb. Apa yang mampu saya paparkan di sini adalah sekadar sebahagian isi sebagai pengenalan kepada pembaca tentang pentafsiran oleh beliau yang mengkagumkan itu. Saya syorkan kepada pembaca untuk cuba mendapatkan sendiri tafsir ini sebagai koleksi peribadi demi untuk memahami serta mempelajari ayat-ayat Al-Quran secara lebih mendalam lagi.
Penafsiran sepenuhnya di Sumber
Download Tafsir Fi Zilalil Quran
Kebangkitan rakyat Mesir: Saat sekutu Israel dijatuhkan Allah
| Oleh : Nik Abdul Aziz Nik Mat |
| Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut. Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam. Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas). Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini? Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa. Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat. Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel. Sekian, wasalam. Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS. |
Tuesday, February 1, 2011
Pentafsiran Ayat 14-16 Surah Al-Buruj - Fi Zilalil Quran
Tafsir Ayat 14-16 Surah Al-Buruj - Fi Zilalil Quran
"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani"
14. “Dan Dialah Yang Maha pengampun dan Maha Penyayang”
Darjat kasih mesra dari Allah.
Keampunan merupakan rahmat dan limpah kurnia yang tidak terbatas, Ia merupakan pintu yang terbuka, yang tidak tertutup kepada sesiapa yang ingin pulang ke pangkal jalan dan bertaubat, walaupun dosa dan maksiatnya amat besar. Sementara sifat kesayangan pula mempunyai hubungan dengan pendirian orang mukmin yang mengutamakan Allah di atas segala-galanya. Kesayangan itu ialah kasih mesra yang lembut. Apabila Allah mengangkat para hamba yang dicinta-Nya ke satu martabat yang menyukarkan mata pena untuk mendiskripsikannya jika ia tidak dikurniakan Allah, iaitu martabat persahabatan antara Tuhan dan Hamba. Itulah darjat kasih mesra dari Allah kepada hamba kesayangan-Nya yang muqarrabin. Apakah ertinya nyawa yang dikorbankan oleh orang mukmin itu sedangkan nyawa itu sendiri lambat laun akan hilang juga? Dan apakah ertinya azab kesiksaan (dugaan didunia) di samping setitis kemesraan yang dikurniakan Allah dan sekilas pandang kasih sayang-Nya.
Ada abdi-abdi di bumi yang dimiliki manusia bersedia untuk mencampakkan diri dalam kebinasaan kerana sepatah kata perangsang yang keluar dari mulut tuannya, atau kerana satu pandangan tanda gembira terbayang pada wajahnya. Inilah kasih sayang di antara hamba dengan hamba, maka bagaimana pula dengan hamba Allah yang mendapat kasih sayang dari Allah Yang Maha Pemurah, iaitu Allah.
15. “ Yang mempunyai singgahsana yang amat agung”
Yang Maha Tinggi, Maha Penguasa, Maha Mulia dan Maha Pemurah. Tidakkah nyawa dan azab seksaan (dugaan didunia) menjadi perkara kecil? Tidakkah segala sesuatu yang mahal dan disayangi itu menjadi perkara kecil untuk mendapatkan keredhaan Allah Yang Maha Penyayang dan memiliki singgahsana agung itu?
16. “Dialah Yang Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya”
Kehendak dan Tindakan Allah yang bebas
Inilah sifat Allah yang banyak menjadi kenyataan dan sentiasa bertindak. Dia mempunyai Iradat yang bebas, Dia memilih apa yang disukai-Nya. Dia membuat apa yang dikehendaki-Nya, Dia selama-lamanya begitu dan itulah sifat-Nya. Sekali dia mahukan orang-orang mukmin mencapai kemenangan di bumi ini kerana sesuatu hikmah yang dikehendaki-Nya, dan sekali pula Dia mahukan keimanan mengatasi malapetaka penindasan dan mahukan tubuh badan yang fana itu terkorban kerana sesuatu hikmah yang dikehendaki-Nya. Dan sekali Dia mahu bertindak terus membinasakan manusia-manusia yang zalim di bumi, dan sekali pula Dia menangguhkan balasan terhadap mereka sehingga hari kiamat yang dijanjikan itu kerana suatu hikmat tertentu yang direalitikan di dunia di sini dan di akhirat sana mengikut perencanaan-Nya yang tersusun rapi.
Semoga beroleh manafaat.
Nota penulis :
Tafsir Fi Zilalil Quran adalah sebuah tafsir yang cukup hebat dengan penafsiran ayat Al-Quran secara mendalam oleh Syed Qutb. Apa yang mampu saya paparkan di sini adalah sekadar petikan dari beberapa ayat sebagai pengenalan kepada pembaca tentang pentafsiran oleh beliau yang mengkagumkan itu. Saya syorkan kepada pembaca untuk cuba mendapatkan sendiri tafsir ini sebagai koleksi peribadi demi untuk memahami serta mempelajari ayat-ayat Al-Quran secara lebih mendalam lagi.
Insya Allah, saya akan postkan lagi tafsiran ayat dari masa ke semasa.
Ulama dan budaya membaca
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
| |
| Budaya membaca perlu dipupuk sejak kanak-kanak lagi kerana manfaatnya amat besar dalam membentuk pemikiran masyarakat. |
SENGAJA ditulis pada ruangan ini berkenaan dengan kepentingan membaca. Mudah-mudahan masyarakat Malaysia membudayakan budaya iqra’ dalam kehidupan harian mereka.
Di sini, disertakan mutiara kata dan hikmah oleh cendekiawan dan tokoh berkenaan dengan menuntut ilmu dan membaca.
Suatu ketika, ada seorang lelaki mengadu kepada Imam Ahmad bin Hanbal tentang perasaannya yang sedih dan kesepian, lalu Imam Ahmad berkata kepada sahabatnya: “Ambil buku lalu baca!”
Pernah suatu ketika, para sahabat Abdullah bin Mubarak berkata kepadanya: “Kenapa kamu tidak mahu duduk dan berkumpul dengan kami?” Lalu dia berkata kepada mereka: “Saya lebih senang duduk dan berkumpul bersama Baginda SAW dan para sahabat (iaitu lebih senang bersama buku-bukunya), kerana setiap kali berkumpul di dalam majlis, kamu selalu mengumpat dan membicarakan orang lain.”
Abdullah bin al-Amri berkata: “Tidak ada sesuatu yang lebih bermanfaat dari buku”.
Al-Ma’mun berkata: “Tidak ada sesuatu yang lebih mengasyikkan dari berjalan-jalan di alam fikiran orang-orang berilmu”.
Al-Jahiz berkata: “Buku adalah sebaik-baik kawan penghibur tatkala kesepian dan sebaik-baik kawan di kala menyendiri”.
Sesungguhnya berbual dengan kitab-kitab pada saat-saat yang panjang menanamkan air mata yang banyak berkilauan, terpancar daripadanya sungai-sungai hikmah terbelah, lalu keluar daripadanya air bayan, turun daripadanya khazanah-khazanah kecerdikan dan petikan-petikan genius.
Maka kitab-kitab adalah pintu gerbang agama dan nikmat pendidikan asal, bagi akal yang waras.
Kitab tidak mempunyai sifat mengumpat, riak, hasad dan takbur, kitab tidak mempunyai perasaan bosan, jemu, muak dan kebencian.
Kitab mengandungi hikmat yang terang benderang, pengajaran yang cemerlang, ungkapan yang fasih, metod yang betul, pandangan yang segar, khabar yang terpilih dan eksperimen yang hidup.
Dr. Aidh al-Qarni berkata: “Antara buku-buku yang akan cepat mati adalah buku-buku pemikiran yang hanya bersifat karangan belaka, di dalamnya tidak tercantum nas-nas agama, penukilan, analisa mahupun pendalaman suatu bidang”.
Dr. Aidh al-Qarni menyeru supaya membaca dan merenungi riwayat hidup para sahabat, tabi’in, para ulama besar dan orang soleh.
Ini kerana hal sedemikian dapat menjadikan hati seseorang lembut dan tidak keras.
Francis Bacon berkata: “Sedikit ilmu malah memungkinkan dapat membuat anda menjadi orang yang ateis, dan jika anda mahu memperdalam ilmu, maka anda akan beriman kepada Tuhan”.
Amat baik kita meneruskan aktiviti membaca kerana terlalu banyak faedah dan manfaatnya. Dinukilkan di sini, pendapat Dr. Aidh al-Qarni melalui bukunya Beginilah Zaman Memotivasikan Kita.
Antara lain, beliau berkata: “Aktiviti membaca dapat menambah ilmu, wawasan dan meluaskan lagi cakerawala pemikiran setiap orang yang mahu membaca, karya-karya orang lain dan ilmu pengetahuan mereka, maka sudah pasti pengetahuan dan wawasannya akan semakin bertambah luas dan akal fikirannya dapat berkembang, terutama jika yang dibaca adalah hal-hal yang bermanfaat.
“Saya dapat merenungi pelbagai permasalahan dan pengalaman yang nampak, kerana tidak lain adalah dari membaca buku.
“Daripada aktiviti membaca, saya dapat mengemukakan pelbagai hal yang menarik dan menakjubkan.
“Saya dapat mengetahui pelbagai pengalaman, kejadian dan musibah yang menimpa umat manusia.
“Melalui aktiviti membaca, abad-abad yang telah lalu seolah-olah digulung di hadapan saya seperti lembaran-lembaran kertas, seolah-olah bangsa yang telah lalu dikumpulkan di hadapan saya.
“Wahai orang yang dapat bersabar untuk menyendiri, yang dibukakan baginya pintu pengetahuan dan wawasan yang bersabar hanya berteman buku, jangan kamu bersedih hati dan menyesal kerana telah kehilangan beberapa hal di luar sana.
“Ini kerana sebenarnya kamu hanya kehilangan orang yang iri hati, cepat bosan atau orang yang pemarah.
“Sesiapa yang telah merasakan nikmatnya uzlah (menyendiri) bersama buku-buku yang bermanfaat, maka ia tidak akan menginginkan pengganti yang lain, sekalipun ia berupa kerajaan Kisra dan Kaisar.
DOKUMEN Asli !! ISI Surat – Surat Nabi Muhammad SAW Untuk Para Raja
Menarik dari Blog.
Oleh Cahaya Iman
Setelah Perjanjian Hudaibiyyah Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam memiliki kesempatan untuk berdakwah yang lebih luas. Beliau mengirimkan banyak surat kepada pembesar di berbagai negeri menyeru mereka kepada Islam. Berikut ini adalah kisah tiga orang raja yang berbeda reaksinya ketika menerima surat dari Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam. Perbedaan reaksi ini berakibat pada perbedaan nasib yang mereka alami.
1- Surat Nabi saw untuk Raja Negus (Penguasa Ethiopia)
Isi surat:
Dari Muhammad utusan Islam untuk An-Najasyi, penguasa Abyssinia (Ethiopia).
Salam bagimu, sesungguhnya aku bersyukur kepada Allah yang tidak ada Tuhan kecuali Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengaruniakan keamanan, Yang Maha Memelihara, dan aku bersaksi bahwa Isa putra Maryam adalah ruh dari Allah yang diciptakan dengan kalimat Nya yang disampaikan Nya kepada Maryam yang terpilih, baik dan terpelihara. Maka ia hamil kemudian diciptakan Isa dengan tiupan ruh dari-Nya sebagaimana diciptakan Adam dari tanah dengan tangan Nya. Sesungguhnya aku mengajakmu ke jalan Allah. Dan aku telah sampaikan dan menasihatimu maka terimalah nasihatku. Dan salam bagi yang mengikuti petunjuk.
Ketika Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam menulis surat kepada An-Najasyi yakni Ashhamah bin Al-Abjar dan menyerunya kepada Islam. Raja An-Najasyi mengambil surat itu, beliau lalu meletakkan ke wajahnya dan turun dari singgasana. Beliaupun masuk Islam melalui Ja’far bin Abi Tholib radiyallahu ‘anhu.
Beliau lalu mengirimkan surat kepada Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam dan menyebutkan tentang keislamannya.
Raja An-Najasyi akhirnya meninggal dunia pada bulan Rajab tahun ke-9 Hijriyyah. Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam memberitakan hal itu pada hari wafatnya lalu melakukan shalat ghaib untuknya. Beliau juga mengabarkan bahwa Raja An-Najasyi kelak akan masuk surga.
2- Surat Nabi saw untuk Raja Heraclius (Kaisar Romawi)
Isi surat:
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad utusan Allah untuk Heraclius Kaisar Romawi yang agung.
Salam bagi siapa yang mengikuti petunjuk. Salain dari pada itu, sesungguhnya aku mengajak kamu untuk memeluk Islam. Masuklah kamu ke agama Islam maka kamu akan selamat dan peluklah agama Islam maka Allah memberikan pahalah bagimu dua kali dan jika kamu berpaling maka kamu akan menanggung dosa orang orang Romawi. “Katakanlah: Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”. Al-Imron 64
Ketika Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam mengirim surat kepada Kaisar Heraklius dan menyerukan kepada Islam. Pada waktu itu Kaisar sedang merayakan kemenangannya atas Negeri Persia.
Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam telah mengirim Dihyah bin Khalifah Al-Kalby sebagai utusan kepada Kaisar Heraklius penguasa Kekaisaran Romawi, negara adi daya pada masa itu. Sang Kaisar pun berkeinginan untuk melakukan penelitian guna memeriksa kebenaran kenabian Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam. Maka beliau memerintahkan untuk mendatangkan seseorang dari Bangsa Arab ke hadapannya.
Abu Sufyan rodhiyaullahu ‘anhu, waktu itu masih kafir, dan rombongannya segera dihadirkan di hadapan Kaisar. Beliau diminta berdiri paling depan sebagai juru bicara karena memiliki nasab yang paling dekat dengan Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam. Rombongan yang lain berdiri di belakangnya sebagai saksi, sehingga beliau tidak berani berbohong. Itulah strategi Kaisar untuk mendapatkan keterangan yang valid.
Maka berlangsunglah dialog yang panjang antara Kaisar dengan Abu Sufyan rodhiyaullahu ‘anhu. Kaisar Heraklius adalah seorang yang cerdas dengan pengetahuan yang luas. (Baca: Dialog Dengan Raja Heraclius Dan Pengakuannya => Cari disitus ini menggunakan fitur pencarian Diatas)
Dengan kecerdasan dan keluasan ilmunya Kaisar bisa mengetahui kebenaran kenabian Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam. Bahkan Kaisar menyatakan :
“Dia (maksudnya Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam) kelak akan mampu menguasai wilayah yang dipijak oleh kedua kakiku ini.” Sedang saat itu Kaisar sedang dalam perjalanan menuju Baitul Maqdis.
Kaisar lalu memuliakan Dihyah bin Khalifah Al-Kalby dengan menghadiahkan sejumlah harta dan pakaian. Kaisar memuliakan surat dari Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam namun masih lebih mencintai tahtanya. Akibatnya adalah di dunia Allah Subhanahu wa Ta’ala memanjangkan kekuasaannya. Namun dia harus mempertanggungjawabkan kekafirannya di akhirat kelak.
3- Surat Nabi saw untuk Raja Khosrau II (Penguasa Persia)
Isi surat:
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad utusan Allah untuk Khosrau, penguasa Persia yang agung.
Salam bagi orang yang mengikuti petunjuk, beriman kepada Allah dan RasulNya, dan bagi orang yang bersaksi bahwa tidak ada Tuhan kecuali Allah, Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bagi yang bersaksi bawha Muhammad itu hamba Nya dan utusan Nya. Aku mengajakmu kepada panggilan Allah sesungguhnya aku adalah utusan Allah bagi seluruh manusia supaya aku memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup (hatinya) dan supaya pastilah (ketetapan azab) terhadap orang-orang kafir. Peluklah agama Islam maka kamu akan selamat. Jika kamu menolak maka kamu akan menanggung dosa orang orang Majusi.
Ketika Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam mengirim surat kepada Kisra Abrawaiz raja dari Negeri Persia dan menyerunya kepada Islam. Namun ketika surat itu dibacakan kepada Kisra, iapun merobeknya sambil berkata, ”Budak rendahan dari rakyatku menuliskan namanya mendahuluiku.
Ketika berita tersebut sampai kepada Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam, beliaupun mengatakan, ”Semoga Allah mencabik-cabik kerajaannya.”
Doa tersebut dikabulkan. Persia akhirnya kalah dalam perang menghadapi Romawi dengan kekalahan yang menyakitkan. Kemudian iapun digulingkan oleh anaknya sendiri yakni Syirawaih. Ia dibunuh dan dirampas kekuasaannya.
Seterusnya kerajaan itu kian tercabik-cabik dan hancur sampai akhirnya ditaklukkan oleh pasukan Islam pada jaman Khalifah Umar bin Khaththab radiyallahu ‘anhu hingga tidak bisa lagi berdiri. Selain itu Kisra masih harus mempertanggung-jawabkan kekafirannya di akhirat kelak.
Rujukan :
1. Situslakalaka
2. Vivanews – Forum