Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Friday, May 27, 2011

Tugas dan Tanggungjawab Sebagai Guru Sungguh Mulia di Sisi Allah

Dari blog abubasyer.blogspot.com

Sahabat yang dirahmati Allah,
Guru adalah seorang pendidik sebagai insan yang mulia dan berjasa kerana merekalah yang bertanggungjawab mendidik manusia bagi melahirkan generasi Muslim yang beriman dan beramal soleh serta sanggup melaksanakan tugas terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Guru dalam sejarah hidupnya sentiasa menghargai kejayaan anak didiknya serta sanggup bekorban dan melakukan apa sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan orang lain. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran :

يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت

Maksudnya: “Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat”. (Surah Al-Mujaadalah ayat 11)

Peranan guru adalah luas. Guru adalah pendidik, pembimbing dan pendorong. Dia juga penyampai ilmu, penggerak dan penasihat. Ini bermaksud, guru atau pendidik mempunyai tugas dan tanggungjawab yang mencabar, kepentingan peranan guru itu memang tidak dapat dinafikan kerana boleh dikatakan setiap ahli masyarakat pada zaman ini melalui pendidikan yang diberikan oleh guru.

Islam meletakkan tugas sebagai guru yang melaksanakan tugas tarbiyah adalah ditempat yang sungguh mulia, seluruh masa yang digunakan dikira sebagai ibadah, setiap langkah dari rumah ke sekolah dan pulang kerumah dari sekolah akan mendapat satu pahala dan dihapuskan satu dosa, menyampaikan ilmu secara hikmah dan ikhlas semata-mata kerana Allah merupakan jihad yang paling tinggi pada pandangan Islam seperti mana yang dituntut dalam syariat Islam.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”.( Surah al-Nahl ayat 125)

Dalam Islam terdapat 4 martabat guru atau pendidik iaitu:

1- Mudarris : yang bermaksud guru yang hanya mengajar mata pelajaran kemahiran mereka sahaja.

2- Mu’allim : yang bermaksud guru yang tidak hanya mengajar mata pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan ilmu-ilmu lain.

3- Mursyid : yang bermaksud guru yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar.

4- Murabbi : yang bermaksud guru yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didiknya menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.

Sebagai seorang guru yang beriman dan bertaqwa keempat-empat ciri di atas hendaklah fahami dan dihayati di dalam kehidupannya sebagai pendidik terutama ciri keempat iaitu mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didiknya menjadi manusia berilmu, bertaqwa dan beramal soleh. Jika tugas ini dapat direalisasikan dalam pendidikannya maka kedudukannya sungguh mulia dan akan duduk berdekatan dengan Nabi s.a.w di hari akhirat nanti.

Sahabat yang dimuliakan,
Peranan guru dalam mendidik masyarakat amatlah besar dan luas. Antaranya ialah:

1- Menyampai aqidah dan keimanan yang tulin untuk menghidupkan hati dan menghubungkan manusia dengan Allah, meyakinkan pertemuan dengan Allah, mengharapkan rahmatNya dan takutkan siksaanNya.

2- Menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran meliputi fardhu ain dan fardhu kifayah yang menjadi asas ubudiyah (pengabdian diri kepada Allah), hubungan harmoni sesama manusia dan alam.

3- Membentuk akhlak atau peribadi mulia supaya menjadi contoh tauladan kepada orang lain.

Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama menghayati nasihat Luqman Al-Hakim sebagaimana yang digambarkan oleh Al-Quran:

يبنى أقم الصلوة وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على ماأصابك إن ذلك من عزم الأمور

Maksudnya: “Wahai anakku! Dirikanlah Solat (sembahyang), dan suruhlah berbuat baik serta cegahlah kemungkaran dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. (Surah Luqman : Ayat 17)

Sabda Rasulullah Sollallahu `alaihi wasallam:

كلكم راع وكلكم مسؤل عن رعيته

Maksudnya: “Setiap kamu adalah penjaga (pemimpin) dan setiap kamu ditanya berkaitan dengan tanggungjawabnya”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Untuk mengelakkan gejala sosial daripada merebak dan terus melanda masyarakat kita, maka adalah menjadi tugas dan tanggungjawab guru di sekolah perlulah menanamkan asas aqidah Islam dan keimanan kepada Allah s.w.t. Bentuklah jiwa para pelajar supaya berakhlak dengan akhlak Islam dan takut kepada azab Allah s.w.t jika melakukan maksiat dan kemungkaran.

Semua guru-guru samaada guru agama atau guru akademik perlu memainkan peranan yang berat ini dan jangan jemu-jemu menasihati, mendidik, membentuk dan mengasuh jiwa para pelajar dengan nasihat yang baik. Guru pula perlulah membawa syaksiah Islam dan akan menjadi contoh dan ikutan para pelajarnya.

Kasihanilah anak-anak didik kita ini dengan tutur kata yang lemah lembut kerana fitrah manusia suka kepada kelembutan. Anggaplah mereka semua seperti anak kita sendiri dekatilah mereka yang bermasaalah dengan penuh kasih sayang seperti seorang ibu yang mengasihi anak-anaknya.

Selain daripada guru-guru yang mengajar di sekolah ibu bapa juga perlulah mengambil tanggungjawab bersama guru untuk memikul tugas yang besar dan berat ini dan meneruskan pendidikan dirumah pula. Pihak sekolah pula perlu memperbanyakkan aktiviti-aktiviti ko korikulum yang menjurus kepada insan beriman dan bertaqwa iaitu dengan menganjurkan kem motivasi, smart solat, khemah Ibadah, qiyamulail, kelas hafazan, tazkirah ,kuliah agama dan group usrah di waktu-waktu cuti atau hujung minggu.

Lebihkan aktiviti berbentuk agama daripada aktiviti-aktiviti lain kerana waktu mata pelajaran agama Islam yang diajarkan terlalu sedikit untuk menampung keperluan ilmu dan tarbiyah kepada para pelajar.

PIBG sekolah juga boleh mengembeling tenaga bersama ibu bapa dan guru merangka program yg bermanfaat. Apabila aktiviti ini dapat dilaksanakan bermakna kita telah sama-sama menyokong serta memartabatkan profesyen keguruan, sekaligus melaksanakan konsep amar ma’ruf dan nahi munkar.

Sahabat yang dikasihi,
Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum Ad-Diin menjelaskan supaya kita mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak, dengan mengajar Al-Quran, Hadis-hadis Nabi Sollallahu `alaihi wasallam, sejarah para sahabat r.a dan para solehin, hukum-hukum agama dan termasuk juga pendidikan jasmani di sekolah-sekolah.

Antara perkara asas yang mesti diberi perhatian dan penekanan ialah:

1- Mendidik anak dan remaja menunaikan solat secara berterusan. Sabda Rasulullah Sollallahu `alaihi wasallam:

مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر وفرقوا فى المضاجع

Maksudnya: “ Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat apabila mereka mencapai umur 7 tahun dan pukullah mereka apabila mereka mencapai umur 10 tahun serta pisahkan di antara mereka tempat tidur ”.( Hadis Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)

Berkata Sayyidina Ali Karramallahu wajhah:

علموا أولادكم وأهليكم الخير وأدبوهم

Maksudnya: “Ajarlah anak-anak kamu dan ahli rumahtanggamu kebaikan dan perbaikilah adab sopan mereka ”.

2- Mempamerkan tingkah laku dan tauladan yang baik. Firman Allah taala:

لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الأخر وذكر الله كثيرا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang terbaik iaitu bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan ( keredhaan ) Allah taala dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (di dalam masa Sedih dan Senang)”. (Surah Al-Ahzab:Ayat 21)

Marilah kita sama-sama berusaha menjayakan matlamat pendidikan untuk melahirkan pelajar dan masyarakat yang beriman, berilmu , bertaqwa dan berketerampilan, yang dapat menyumbang kepada pembangunan agama, masyarakat dan negara.

Masyarakat yang ingin kita bina ialah masyarakat Islam yang berwawasan, bercita-cita luhur dan murni, bekerjasama, adil dan bertanggungjawab sesama insan.

Guru membawa misi penyempurnaan akhlak, sebagaimana misi diutusnya Rasulullah Muhammad s.a.w . Nabi sendiri dengan tegas pernah bersabda: "Innama buitstu liutammima makaarima al-akhlaq, artinya sesungguhnya aku diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak (manusia)."

Lantaran itu, tidak salah jika ahli tafsir mengatakan bahwa posisi guru setingkat di bawah Nabi, sebagaimana yang ia pahami dalam sabda Nabi s.a.w., : "Al-Ulama'u waratsatu al-Anbiya', (Ulama [menurutnya termasuk guru] adalah pewaris para Nabi).

Sahabat,
Guru yang menyampaikan ilmunya adalah berupa ilmu yang bermanfaat, jika ilmu tersebut di amalkan berterusan hingga ke hari kiamat maka walaupun ia telah kembali ke alam barzakh maka pahalanya akan berterusan diperolehi.

Perhatikanlah hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan do'a anak soleh yang mendoakannya (Hadith Riwayat Muslim)

Oleh itu bergembiralah wahai para guru jasamu tetap dikenang , pahalamu tetap berterusan walaupun kau sudah tidak ada di dunia ini.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...