Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Thursday, January 27, 2011

Asy-Syahid Sayyid Qutb - Pengarang Tafsir Fi Zilalil Quran

Biodata Pengarang Tafsir Fi Zilalil Quran (Di bawah Bayangan Al-Quran)


Al-Maqhfurulahu al-Arif billah as-Syahid Sayyid ibn Qutb Ibrahim telah dilahirkan pada tahun 1906 di Kampung Musyah, daerah Asyut, Egypt dalam satu keluarga yang kuat mematuhi ajaran agama dan mempunyai kedudukan yang terhormat di kampung itu.

Bapanya Haji Qutb Ibrahim seorang yang disegani umum dan banyak berbakti kepada orang-orang miskin. Setiap tahun beliau menghidupkan hari-hari kebesaran Islam dengan mengadakan majlis-majlis jamuan dan tilawah al-Quran di rumahnya terutama di bulan Ramadhan. Ibunya juga seorang yang bertaqwa dan menyintai al-Quran. Ketika majlis-majlis tilawah al-Quran diadakan di rumahnya, ia mendengar dengan penuh khusyu’, dengan seluruh perasaan dan jiwanya. Pemandangan ini begitu melekat dalam ingatan anaknya Sayyid Qutb yang masih kecil di waktu itu dan menjadi kenangan yang manis dalam usia selanjutnya sehingga beliau pernah berangan-angan mempunyai suara yang merdu dan lunak seperti para qari untuk memperdengarkan tilawah al-Qur’an kepada ibunya yang menyintai al-Qur’an, tetapi beliau tidak sedar bahawa takdir ilahi tidak melahirkannya untuk menjadi seorang qari yang bersuara emas, malah untuk menjadi seorang muffasir yang agung di zamannya.

Beliau telah menghafal al-Qur’an sejak dalam usianya yang belum mencecah sepuluh tahun dan dengan itu beliau telah merealisasikan cita-cita dan impian ayah dan ibu yang dikasihi dan beliau telah merakamkan hutang budi keduanya yang telah menanam benih-benih kecintaan kepada al-Qur’an di dalam kata persembahan dua buku karya sulungnya yang terkenal di dalam pengajian al-Qur’an.

Di sepanjang zaman kanak-kanak dan remajanya beliau telah memperlihatkan petanda-petanda kecerdasan yang tinggi dan bakat-bakat yang cemerlang yang menarik perhatian para guru dan pendidiknya, di samping memperlihatkan kegemaran membaca yang lahap, keberanian mengemukakan pertanyaan-pertanyaan dan mengeluarkan pendapat pendapat yang bernas.

Beliau sentiasa mendampingi al-Quran sehingga beliau memasuki Kuliah Darul ‘Ulum sebuah insutusi pengajian tinggi Islam dan sastera Arab yang terkenal di seluruh dunia Islam, di mana kefahaman al-Qur’aniyah dan pemikiran Islamiyah beliau semakin subur dan terserlah. Setelah menamatkan pengajian tingginya, beliau menceburkan di bidang keguruan dan penulisan dan akhirnya dipindah ke bahagian Pentadbiran Kementerian Pelajaran di Qahirah.

Kini nama beliau begitu terkenal selaku seorang penulis yang prolific yang bukan sahaja menulis dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah ilmiyah yang terkemuka, malah menerbitkan majalah-majalah yang lebih berwawasan dari majalah-majalah yang wujud masa itu hingga menggugatkan pihak-pihak yang tertentu. Penulisan-penulisan beliau diminati ramai terutama generasi muda. Mereka tertarik dengan penjelasanpenjelasan yang tajam, pendedahannya yang berani dan analisisnya yang mendalam.

Setelah merasa cukup matang, maka pada tahun 1945 beliau memutuskan untuk memulakan penulisan buku-buku. Ketika itu usia beliau menghampiri empat puluh tahun. Dan sejak tahun itu hingga ke tahun 1950 beliau telah berjaya menghasilkan dua puluh enam buah buku yang bermutu dalam berbagai-bagai bidang penulisan sastera Islamiyah.

Pada tahun 1948 beliau dihantar ke Amerika untuk mempelajari system pengajian dan pembelajaran di negeri yang termaju itu dan selama hamper dua tahun berada di sana beliau telah membuat kajian yang lebih mendalam dalam bidang yang menyangkut pendidikan dan pelajaran di negeri itu, iaitu beliau telah melakukan pengamatan-pengamatan yang luas mengenai kehidupan Amerika yang banyak mengecewakannya. Kini beliau telah melihat dan mengenal tamadun Amerika dari dekat. Kemudian dalam suratnya kepada pujangga Taufiq al-Hakim beliau menulis: “Amerika mempunyai segala sesuatu kecuali roh.”

Sekembalinya dari Amerika beliau memutuskan untuk menumpukan seluruh hayatnya kepada pengajian lslamiyah dan harakat Islamiyah dan meninggalkan gelanggang sastera yang menjadi gelanggang peminatannya di zaman silam. Sewaktu merakam titik peralihan ini beliau menulis: “Orang yang menulis kajian ini ialah seorang yang hidup membaca selama empat puluh tahun genap. Kegiatannya di peringkat pertama ialah membaca dan menelaah kebanyakan hasil-hasil pengajian dalam berbagaibagai bidang pengetahuan manusia termasuk kajian yang menjadi bidang ikhtisasnya dan kajian-kajian yang menjadi bidang kegemarannya. Dan pada akhirnya Ia pulang ke pangkal jalan iaitu pulang kepada sumber ‘aqidah (al-Qur’an), pandangan dan kefahamannya. Dan di sana Ia dapati bahawa seluruh apa yang dibacanya itu amat kerdil jika dibandingkan dengan potensi-potensi ‘aqidah Islam yang agung itu dan akan terus dengan sifat agungnya. Walau bagaimanapun ia tidak menyesal atas kehabisan umurnya selama empat puluh tahun itu kerana dengan usianya yang selama itu Ia berjaya mengenal hakikat jahiliyah, mengenal penyelewengnya, kekerdilannya, kekosongannya, kesongsangannya, kesesiaannya dan dakwaan-dakwaannya yang karut. Sejak itu Ia sedar dengan penuh keyakinan bahawa seorang Muslim tidak boleh menyatukan dua sumber ilmu pengetahuan yang berlainan itu untuk diterima olehnya.

Tahun 1951 - 1964 merupakan masa peralihan beliau kepada penulisan-penulisan Islamiyah yang serius dan cemerlang di samping merupakan tahun-tahun yang amat produktif di mana lahirnya karya-karya agung yang menjadi buku-buku warisan Islamiyah yang penting di zaman ini dan di zaman-zaman mendatang. Dan karya yang menjadi mercu tanda daya penghasilan intelektualnya ialah tafsir “Fi Zilalil-Qur’an” dan juzu’ pertama dari tafsir ini muncul pada tahun 1952 dan beliau telah menyelesaikan penulisan tafsir ini sebanyak tiga puluh juzu’ pada akhir tahun lima puluhan, iaitu mengambil masa kita-kira hampir lapan tahun.

Tafsir Fi Zilalil-Qur’an adalah ditulis dengan bersandarkan kepada kajian-kajian beliau yang mendalam, yang ditimba secara langsung dari al-Qur’an dan as-Sunnah, di samping bersumberkan kepada kitab-kitab tafsir yang mu’tabar. Beliau memasuki ke dalam penulisan tafsir ini setelah melengkapkan dirinya dengan pengalaman-pengalaman dan kajian-kajian yang kaya di bidang penulisan, keguruan, pendidikan dan pengamatannya yang luas dan tajam dalam perkembangan-perkembangan sosial dan politik dunia semasa. Beliau telah menghabiskan lebih dari separuh usianya dalam pembacaan dan penela’ahan yang mendalam terhadap hasil-hasil intelektual manusia di dalam berbagai-bagai bidang pengajian dan teori-teori, berbagaibagai aliran pemikiran semasa dan berbagai-bagai kajian mengenai agamaagama yang lain.

Di samping itu tafsir Fi Zilalil-Qur’an adalah ditulis dengan tinta derita dan sengsara yang begitu pahit akibat penindasan dan permainan politik gila kuasa yang zalim di zaman itu. Beliau telah menjalani penyeksaan fizikal yang kejam dan tidak berperi kemanusiaan dan seluruh kesengsaraan ini telah membuat seluruh entiti beliau tertumpu kepada Allah dan kepada penghayatan al-Qur’an, di mana beliau hidup di bawah bayangan al-Qur’an dengan seluruh jiwa dan perasaannya dan hidup sebagai seorang penda’wah yang ‘arifbillah, sabar, gigih, redha, tenang, tenteram, berserah bulat kepada Allah, tidak mengenal kalah dan putus asa. Semuanya itu merupakan faktorfaktor penting yang melahirkan tafsir “Fi Zilalil-Qur’an” di dalam bentuknya yang unik yang mengatasi tafsir-tafsir yang lain.

Sebelum memasuki ke dalam pentafsiran isi kandungan al-Qur’an beliau telah membuat kajian yang mendalam selama beberapa tahun untuk mencungkil rahsia-rahsia struktur pengungkapan al-Qur’an dan uslub penyampaiannya yang indah dan penuh mu’jizat. Hasil kajian Qur’aniyahnya yang ulung itu telah dibukukan dengan jodol “ ”التصرالفني في القرأن (Penggambaran Yang Seni Di Dalam Al-Qur’an) diterbitkan pada tahun 1945 kemudian diiringi pula dengan buku “ مشاهدالقيامةفيالقرأن ” (Pemandanganpemandangan Qiamat di Dalam Al-Quran) diterbitkan pada tahun 1947 sebagai huraian dan pelengkap kepada bukunya yang pertama. Hasil kajian yang gemilang ini telah disifatkan oleh para pengkaji sebagai anak kunci yang dikurniakan Allah kepada beliau untuk membongkarkan rahsia-rahsia keindahan al-Qur’an yang unik itu. Dan buku buku inilah yang banyak dirujukkan oleh beliau dalam tafsirnya, yang lahir kira-kira tujuh tahun selepas lahirnya bukunya yang pertama itu.

Tafsir Fi Zilalil-Qur’an berbeza dari tafsir-tafsir yang lain apabila beliau menggunakan satu methodologi pentafsiran yang membersihkan pentafsiran alQuran dari pembicaraan pembicaraan sampingan dan selingan yang tidak disarankan oleh nas-nas al-Quran. Justeru itu beliau menjauhkan tafsirnya dari perbahasan-perbahasan bahasa dan tata bahasa, perbahasanTafsir perbahasan ilmu al-kalam dan ilmu fiqah dan dari cerita-cenita dongeng israeliyat yang lumrah dalam kebanyakan tafsir termasuk tafsir-tafsir yang terkenal sebagai sumber sumber rujukan. Di samping itu beliau juga menjauhkan tafsirnya dan menundukkan nas nas al-Qur’an kepada penemuan-penemuan dan pendapat-pendapat sains yang sering dilakukan oleh orang-orang yang terlalu ghairah untuk mendampingkan pentafsiran al Qur’an dengan pentafsiran sains, sedangkan sumber kedua-dua tafsir ituadalah berlainan iaitu al-Qur’an bersumberkan wahyu dari Allah pencipta yang mengetahui segala sesuatu sementara sains bersumberkan intelektual manusia yang tidak syumul, tidak mantap dan sedang berubah-ubah.

Beliau telah menyifatkan perbahasan-perbahasan sampingan itu sebagai campuraduk yang merosakkan jalan penyampaian al-Qur’an yang indah, lurus dan jelas dan seterusnya menyifatkan perbahasan-perbahasan itu sebagai halangan-halangan “yang melindungkan al-Qur’an dari jiwa saya dan melindungkan jiwa saya dari al-Qur’an.”

Walaupun tafsir Fi Zllalil-Qur’an telah selesai ditulis dan walaupun masih meringkuk di dalam pen jara, namun beliau masih belum puas menimba lautan kalamullah. Ufuk-ufuk pemikirannya yang meluas, gagasangagasan lslamiyah yang segar dan baru, pandangan pandangan dan perasaan-perasaan kesedarannya yang lebih halus merangsangkan hati dan jiwanya, justeru itu pada awal tahun 1960 beliau sekali lagi tampil dengan penuh dedikasi mengemaskinikan tafsir Fi Zilalil-Qur’an dengan menokokkan huraian-huraian tambahan yang baru dan penghalusan-penghalusan yang perlu untuk menjadikan tafsir itu sebuah tafsir haraki yang sempurna. Usaha ke arah itu menjadi lebih lancar apabila beliau dibebaskan dari penjara dengan campurtangan Presiden Republik Iraq Abdul Salam ‘Arif pada masa itu. Dalam kesempatan ini beliau telah berjaya membuat pembaharuan tafsir itu hingga ke juzu’ yang ketiga belas di mana tamatnya Surah Ibrahim, tetapi beliau tidak sempat mengemaskinikan juzu yang baki, kerana beliau tiba-tiba ditangkap kembali atas tuduhan-tuduhan yang palsu dan zalim.

Setelah diundang ke alam para syuhada’ tafsir Fi Zilalil-Qur’an merupakan satu satunya tafsir yang paling luas tersebar di seluruh dunia Islam di zaman ini, di samping menjadi bahan-bahan kajian dan rujukan utama para ulama’ dan para mufassirin. Ujar Dr. Hasan Farahat: “Tafsir Fi Zilalil-Quran” telah menjadi begitu terkenal dengan sebab Sayyid Qutb (Rahimahullah) telah menulis tafsir ini sebanyak dua kali; kali pertama ia menulis dengan tinta seorang alim dan kali kedua dia menulis dengan darah syuhada’. Ujar Yusof al-‘Azym” “Tafsir Fl Zilalil-Qur’an” adalah wajar dianggap sebagai suatu pembukaan Rabbani yang diilhamkan Allah kepada penulisnya. Beliau telah dianugerahkan matahati yang peka yang mampu menanggap pengertian-pengertian, gagasan-gagasan dan fikiran yang halus yang belum dicapai oleh mana-mana penulis tafsir yang lain. Adalah jelas sekali bahawa keimanan beliau yang tulen, pembacaan beliau yang luas, pengalamannya yang mendalam dan bakat-bakat semulajadinya yang gemilang telah menjadikan tasir Fi Zilalil Qur’an sebuah tafsir yang unik dan secara adil dapat diletakkan di kemuncak tafsir-tafsir yang lama dan yang baru, di mana terkumpul penjelasan-penjelasan yang syumul, himpunan ilmu pengetahuan, huraian yang citarasa dan da’wah yang lantang ke arah mengulangi semula hayat Islamiyah”, sementara Dr. Saleh Abdul Fatah al-Khalidi pengkaji karya-karya Sayyid Qutb dan penulis biografinya yang terkenal telah berkata: “Sayyid Qutb dalam tafsir “Fi Zilalil-Quran” adalah dianggap sebagai mujaddid di dalam dunia tafsir, kerana beliau telah menambahkan berbagai-bagai pengertian dan fikiran haraki, dan berbagai-bagai pandangan tarbiyah yang melebihi tafsir-tafsir yang lalu, juga dianggap sebagai pengasas pengajian baru dalam ilmu tafsir, di mana beliau telah memperkenalkan aliran tafsir haraki.”

Itulah liku-liku hidup yang penuh bersejarah yang dilalui oleh al-alim ar-Rabbani Syed Qutb dalam perjalanan menamatkan pengembaraannya yang jauh di bawah bayangan al-Qur’anul-Karim dan meninggalkan hasil pengembaraannya yang kekal abadi kepada umat Muslimin.

Kemudian di waktu fajar hari Isnin 13 Jamadil Awal 1386 bersamaan 29 Ogos 1966 beliau telah menemui syahadatnya di tiang gantung setelah didapati bersalah oleh “Mahkamah Tentera” yang telah ditubuhkan oleh kerajaan revolusi di zaman itu. Mahkamah ini mempunyai sejarah pengadilan yang hitam dan banyak mengorbankan orang-orang yang tidak berdosa. Hukuman gantung itu telah dilaksanakan secara mendadak ke atas al-Marhum tanpa menghiraukan bantahan dunia Islam dan menolak secara tidak sopan telegram rayuan penbadi dari Raja Saudi Al-Marhum Faisal ibn Abdul Aziz di mana baginda merayu supaya beliau dibebaskan dan hukuman gantung dan baginda bersedia memberi apa sahaja yang dituntut oleh Kerajaan Mesir.

Rujukan : Tafsir Fi Zilalil Quran

Nota : Insya Allah akan menyusul selepas ini Surah Pilihan dari Tafsir Fi Zilalil Quran



Tuesday, January 25, 2011

Kembara Nabi Musa Dengan Nabi Khidir

Menarik dari blog.

"Oleh Abu Muhammad

Nabi Allah, Musa AS pernah mengembara dan berguru dengan seorang hamba Allah. Kebanyakkan ulama menyatakan hamba Allah tersebut ialah Nabi Khidir.

Nabi Musa AS merupakan Rasul yang ternama, pendakwah yang alim dan pemimpin bani Israel manakala hamba Allah tersebut merupa seorang pengembara yang tidak ternama.

Cerita pengembaraan Nabi Musa bersama hamba Allah ini tersurah dalam al Kahf sekitar ayat 65-82 memberikan kita beberapa pengajaran.

Tasawuf Penting Bagi Orang Berilmu
Berilmu tanpa imu tasawuf bagaikan buah berkulit cantik tetapi berisi buruk. Apa yang nabi Musa pelajari daripada hamba Allah itu ialah ilmu tasawuf iaitu penanaman benih-benih kesabaran ke dalam hati. Jelas tahap kesabaran hamba Allah tersebut lebih tinggi daripada Nabi Musa.

Kebanyakan manusia yang beriman terutamanya agamawan pada zaman ini gemar meninggalkan ilmu tasawuf bahkan memusuhinya. Ini adalah kesilapan besar. Ilmu tasawuf penting dalam membersihkan hati dan mempercantikkan akhlaq disamping mendekatkan diri dengan Allah melalui zikir-zikir dan uzlahnya.

Tasawuf bukan pada jubah atau serban besar, jumlah ribuan zikir atau pada tareqatnya tetapi pada detik hati setiap saat dan berserta nafas dan fikirnya mengingati Allah dalam apa jua perkara dilakukan. Orang tasawuf hidup bersyariat, beraqidah dan akhlaqnya berpasak al Quran dan hadith Rasululllah. Rasulullah ikutan mereka bukannya para ulama atau syeikh mursyid mereka.

Orang berilmu agama harus ‘dalam' sabarnya. Al Junaid menyatakan "sabar adalah meminum kepahitan tanpa wajah masam". Dalam menyampai ilmu agama atau menghadapi gerombolan para musuh, kesabaran sangat diperlukan terutamanya soalan-soalan bersifat ‘bodoh' yang dikemukakan oleh orang jahil atau buat-buat jahil.

Kefahaman yang Benar
Setiap perkara yang dilakukan oleh hamba Allah tersebut tidak difahami oleh Nabi Musa. Ekoran daripada itu, Nabi Musa mula membantah apa yang dilakukan oleh hamba Allah tersebut.

Setiap orang berilmu mempunyai penafsiran berbeza terhadap sesuatu perkara. Lebih malang jika orang berilmu agama gagal memahami secara tulen tentang sesuatu perkara.

Khalifah Umar Abdul Aziz menyatakan "siapa yang beramal tanpa pengetahuan lebih banyak merosak berbanding mengelokkan".

Kelebihan seseorang terutamanya agamawan bukan terletak pada ijazahnya, pengetahuan, amalan dan hafalan tetapi dengan kefahaman yang mendalam dan tulen.

Sabda Rasulullah SAW "sesorang faqih itu lebih ditakuti oleh syaitan berbanding seribu ‘abid" (al Termizi). Maknanya kefahaman yang lurus boleh memandu seseorang agar hidup bersyariat bukannya tenggelam dalam banjir ibadat sahaja.

Jika dilihat di antara para nabi sendiri, tahap kefahaman yang diberikan oleh Allah SWT adalah berbeda. Perkara ini jelas dalam ayat 78-79 surah al Anbiya'. Apatah lagi para agamawan dan ulama kita yang berbeza pendapat. Jangan jadikan perbedaan pendapat suatu kesalahan.

Solusinya, ilmu tasawuf dan kefahaman yang benar antara intisari penti ng dalam pembentukan peribadi seorang mukmin terutamanya para agamawan."

Sumber

Sunday, January 16, 2011

Lilin yang terbakar......Dedicated to all teachers......

Assalamualaikum Warahmatullah...

Baru berkesempatan menyambung semula penulisan dalam blog...setelah lama rasanya menyepi...x dapat nak online sangat kalau time cuti, insya Allah bermula tahun baru ni akan lebih aktif lagi, banyak perkara baru boleh dibuat asalkan ada niat dan kesungguhan.

Sekarang dah masuk minggu ketiga sesi persekolahan, sudah mulai hilang rasa malas dek kerana cuti yang terlalu panjang, yang ada kini, tanggungjawab baru....

Kalau masa awal nak datang sini dulu, rasa sayang hendak meninggalkan orang tersayang di kampung halaman, risau hendak meninggalkan dalam tempoh yang lama, mana tau itulah kali terakhir jumpa mereka, siapa tahu...tapi tanggungjawab mengatasi segalanya, andainya segala kesedihan serta kesusahan merantau di tempat orang rasa berat untuk ditanggung sebenarnya itulah harga yang patut dibayar demi sebuah tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Erti sebuah perjuangan sebenarnya mengatasi segala kesenangan jiwa, bukanlah namanya berjuang tanpa melalui perit susah payah semasa menempuhinya.

Tidak terlalu berat rasanya perjuangan yang dilalui ini jika dibandingkan perjuangan orang-orang lain yang lebih hebat lagi. Rasanya setakat ini cuma sekadar menjaga serta mengawal sedikit nafsu yang selalu meminta ke arah kesenangan hidup dunia. Namun, besar harapan dihati, agar segala yang dilalui dalam perjalanan hidup ini mendapat keredhaan dari Nya.

Azam tahun baru

Masih boleh lagi bercakap tentang azam tahun baru, sepatutnya bermula dari 1 Muharram lagi untuk kita orang islam Tidak kira di mana pun tahun itu bermula, azam perlu ada. Azam yang tahun lepas macamana agaknya ? Ada yang mungkin berjaya menunaikan azam tahun lepas, tahun ini boleh mulakan dengan azam baru. Yang penting segala yang kita buat ini ada peningkatan, harap segala yang kita buat dan ingin capai tahun ini lebih baik dari tahun lepas.

Bagi saya secara peribadi, setiap orang perlu mempunyai azam dalam diri masing-masing. Tujuan azam itu ialah bagi meletakkan suatu tujuan dalam hidup yang perlu dicapai. Tidak perlu terlalu tinggi azam tapi cukup sekadar termampu. Berazam juga bermaksud meletakkan suatu hasrat untuk mencapai sesuatu dengan cara mengubah diri kita untuk melakukan sesuatu perkara yang lebih baik dari sebelum ini. Boleh juga kita meneruskan azam yang telah kita letakkan sebelum ini untuk mencapai lebih baik lagi, dengan kata lain "Continuos improvement" atau peningkatan berterusan. Maksudnya, kalau kita dah berjaya melakukan apa yang kita azamkan sebelum ini, teruskan dengan melakukan penambahbaikan atas azam yang sama supaya mencapai suatu level terbaik yang kita mampu lakukan.

Sebagai seorang guru, tentu sahaja azam saya dari segi kerjaya ingin melihat kejayaan pelajar saya meningkat tahun ini berbanding tahun lepas atau tahun-tahun sebelumnya. Untuk memenuhi azam demi mendapat hasil yang diimpikan bukan sahaja sekadar tunggu dan lihat atau sekadar berpeluk tubuh menunggu keputusan peperiksaan keluar tapi perlu ada strategi awal seperti membuat penilaian semula (muhasabah) terhadap apa yang telah kita laksanakan sebelum ini. Kita mungkin tidak tahu cara terbaik dalam melakukan tugas kita, mungkin kita rasa cara yang kita buat sebelum ini sudah baik tapi sebenarnya ada banyak lagi ruang untuk menjadi lebih baik.

Pengalaman adalah guru terbaik.

Kita tidak akan tahu kekuatan dan kelemahan kita tanpa ada penanda aras dalam menentukan aras pencapaian kita. Dalam konteks ini, keputusan peperiksaan pelajar boleh dijadikan ukuran sejauh mana kejayaan atau kegagalan hasil dari usaha yang telah kita lakukan. Sebenarnya kejayaan atau kegagalan pelajar itu terletak dalam tangan mereka sendiri, sebagai guru sekadar memberi tunjuk ajar kepada mereka dan bukannya 100% kejayaan ataupun kegagalan mereka itu disebabkan oleh guru.

Setiap pelajar itu mempunyai kapasiti tersendiri, tentu susah untuk seorang pelajar yang lemah dalam pelajaran itu berjaya dengan cemerlang tetapi tidak mustahil berlaku sekira kena caranya, gurulah yang mengambil peranan disini dalam mencorak dan mengubah pelajar itu. Mungkin terlalu susah untuk berjaya dengan cemerlang tapi mungkin mudah jika hanya sekadar untuk mereka lulus atau mereka dapat mengubah persepsi mereka terhadap pelajaran. Sekiranya pendekatan yang betul diambil oleh guru, pelajar dapat berubah. Dengan erti kata lain, guru dan pelajar perlu mempunyai "Chemistry" atau keserasian.

Bukan mudah untuk seseorang guru itu memahami pendekatan terbaik dalam melakukan tugas mendidik ini, semuanya perlu bermula dengan pengalaman diri sendiri dan perlu kepada penilaian diri atau muhasabah diri. Setiap kejayaan atau kegagalan perlu diambil positif oleh guru untuk melakukan tindakan pembetulan supaya pencapaian pelajar dapat dipertingkatkan, yang cemerlang terus cemerlang, yang sederhana dapat dicemerlangkan dan yang lemah diberi harapan.

Cabaran Sebagai Pendidik di Sekolah luar bandar dan pedalaman

Salah satu cara terbaik untuk meningkatkan kejayaan adalah belajar dari pengalaman mengajar tahun-tahun sebelum ini. Mungkin kita sudah ada satu cara mengajar yang rutin yang biasa kita lakukan dalam setiap semasa kita melakukan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan kita rasa dengan cara itu kita sudah memberi tunjuk ajar yang sepatutnya kepada mereka. Akan tetapi mungkin kita terlepas pandang suatu ruang dimana terdapat kekosongan yang mana jika sekiranya kita dapat mengisi kekosongan tersebut, pencapaian pelajar akan dapat ditingkatkan lagi demi untuk membentuk masa depan mereka. Sudah tentunya dengan peka terhadap masalah sebenar yang dihadapi dengan mengenalpasti cabaran utama yang wujud.

Antara cabaran-cabaran utama yang perlu dihadapi :

Pertama, pelajar-pelajar yang rata-rata datang dari keluarga berpendapatan rendah mempunyai sikap yang negatif terhadap pelajaran. Mungkin disebabkan persekitaran hidup mereka yang berada di luar bandar menyebabkan kurangnya kesedaran terhadap pendidikan. Terdapat juga pelajar-pelajar yang menghadapi masalah keluarga disebabkan oleh ibu bapa mereka telah bercerai dan lain-lain masalah lagi. Berpunca dari masalah ini menyebabkan pelajar-pelajar menjadi tidak minat dalam pelajaran dan tidak mahu berusaha untuk meningkatkan prestasi akademik mereka walaupun ada diantara mereka mempunyai potensi untuk berjaya.

Penyelesaiannya, tiada pilihan lain untuk seseorang guru selain dari mencari jalan mengatasi masalah ini. Mungkin setiap orang itu mempunyai cara yang berbeza tapi matlamatnya adalah untuk mengubah persepsi mereka terhadap pelajaran. Mungkin dengan suatu cara yang sesuai boleh menghilangkan sejenak masalah yang mereka hadapi di luar sana dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang dapat menarik minat mereka terhadap pelajaran. Mungkin dengan cara memberi aktiviti-aktiviti berbentuk santai tetapi ada kaitan dengan subjek yang diajar ataupun mungkin perlukan lebih penekanan dengan mewujudkan suasana mereka perlu takut kepada guru supaya mereka lebih memberikan perhatian semasa guru sedang mengajar mahupun semasa membuat tugasan dan kerja rumah. Berdepan dengan situasi sebegini juga boleh menyebabkan berlaku tekanan pada guru yang menyebabkan mereka mengambil tindakan luar kawalan yang di luar bidang kuasa mereka seperti merotan pelajar atau denda-denda lain. Walaubagaimanapun, setiap pelajar adalah unik dan hanya guru yang mengajar mereka yang lebih arif tentang sikap dan cara yang sesuai mendidik serta mengubah mereka.

Kedua, kebanyakan pelajar yang mengambil peperiksaan PMR dan SPM langsung tidak mempunyai buku rujukan selain dari buku-buku kerja yang wajib dibeli semasa awal tahun persekolahan. Bagi mereka, apa yang diberikan oleh cikgu itulah yang mereka guna dalam menghadapi peperiksaan. Kalau bagi pelajar yang pandai mungkin mereka lebih bijak dalam menentukan apa yang terbaik bagi mereka, tapi bagi pelajar yang sederhana dan lemah, guru-guru perlu menunjukkan jalan keluar untuk mereka menyelesaikan masalah yang tidak pernah ada dalam kamus hidup mereka. Memang agak susah untuk mewajibkan kesemua pelajar membeli buku dengan tahap kesedaran mereka yang rendah terhadap pelajaran serta mereka sendiri rasakan membeli buku itu tidak penting bagi mereka dan cukup sekadar apa yang cikgu berikan. Lebih-lebih lagi harga buku-buku rujukan di pasaran yang mahal. Jika ada pun yang membeli hanya buku nota padat iaitu ringkasan yang tidak lengkap. Ada juga yang memberi alasan tidak mempunyai duit disebabkan kemiskinan keluarga

Penyelesaiannya, masih terdapat cara untuk mengatasi masalah ini. Beban sebenar terletak di atas bahu guru-guru sebagai pendidik untuk menolong mereka mengatasi masalah ini. Guru-guru boleh menunjukkan cara belajar dengan menggalakkan mereka menggunakan kemudahan perpustakaan. Kaedah berkongsi buku dan membuat kerja secara berkumpulan juga boleh mengatasi masalah tiada buku rujukan untuk belajar. Tapi ini hanya boleh berjaya sekiranya pelajar tersebut betul-betul berkeinginan untuk mengubah keadaan diri sendiri. Guru-guru juga boleh menggunakan buku-buku soalan peperiksaan tahun-tahun lepas sebagai buku latihan pelajar dan mengadakan perbincangan soalan. Semasa melakukan perbincangan soalan, guru juga dapat memberi tip menjawab soalan serta maklumat-maklumat tambahan berkaitan dengan soalan. Mudah-mudahan dengan cara ini, pelajar dapat dibekalkan ilmu yang cukup untuk mereka menghadapi peperiksaan.

Inilah antara cabaran yang biasa dihadapi oleh guru-guru di kawasan luar bandar dan pedalaman. Pelajar-pelajar sebenarnya dapat mengikuti pengajaran yang diberikan guru-guru mereka. Mungkin ada antara mereka sedikit lembab dalam pembelajaran, tetapi dalam proses P&P mereka menunjukkan perhatian dan berupaya melakukan tugasan yang diberikan dengan baik walaupun perlu lebih bimbingan daripada guru mereka.

Sebagai guru, kita hanya berusaha sekadar termampu dengan menjalankan kewajipan kita dalam mendidik mereka. Hanya dengan usaha mereka sendiri yang mampu mengubah nasib serta masa depan mereka.

Oleh : Cikgu Syahir


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...