Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Sunday, January 16, 2011

Lilin yang terbakar......Dedicated to all teachers......

Assalamualaikum Warahmatullah...

Baru berkesempatan menyambung semula penulisan dalam blog...setelah lama rasanya menyepi...x dapat nak online sangat kalau time cuti, insya Allah bermula tahun baru ni akan lebih aktif lagi, banyak perkara baru boleh dibuat asalkan ada niat dan kesungguhan.

Sekarang dah masuk minggu ketiga sesi persekolahan, sudah mulai hilang rasa malas dek kerana cuti yang terlalu panjang, yang ada kini, tanggungjawab baru....

Kalau masa awal nak datang sini dulu, rasa sayang hendak meninggalkan orang tersayang di kampung halaman, risau hendak meninggalkan dalam tempoh yang lama, mana tau itulah kali terakhir jumpa mereka, siapa tahu...tapi tanggungjawab mengatasi segalanya, andainya segala kesedihan serta kesusahan merantau di tempat orang rasa berat untuk ditanggung sebenarnya itulah harga yang patut dibayar demi sebuah tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Erti sebuah perjuangan sebenarnya mengatasi segala kesenangan jiwa, bukanlah namanya berjuang tanpa melalui perit susah payah semasa menempuhinya.

Tidak terlalu berat rasanya perjuangan yang dilalui ini jika dibandingkan perjuangan orang-orang lain yang lebih hebat lagi. Rasanya setakat ini cuma sekadar menjaga serta mengawal sedikit nafsu yang selalu meminta ke arah kesenangan hidup dunia. Namun, besar harapan dihati, agar segala yang dilalui dalam perjalanan hidup ini mendapat keredhaan dari Nya.

Azam tahun baru

Masih boleh lagi bercakap tentang azam tahun baru, sepatutnya bermula dari 1 Muharram lagi untuk kita orang islam Tidak kira di mana pun tahun itu bermula, azam perlu ada. Azam yang tahun lepas macamana agaknya ? Ada yang mungkin berjaya menunaikan azam tahun lepas, tahun ini boleh mulakan dengan azam baru. Yang penting segala yang kita buat ini ada peningkatan, harap segala yang kita buat dan ingin capai tahun ini lebih baik dari tahun lepas.

Bagi saya secara peribadi, setiap orang perlu mempunyai azam dalam diri masing-masing. Tujuan azam itu ialah bagi meletakkan suatu tujuan dalam hidup yang perlu dicapai. Tidak perlu terlalu tinggi azam tapi cukup sekadar termampu. Berazam juga bermaksud meletakkan suatu hasrat untuk mencapai sesuatu dengan cara mengubah diri kita untuk melakukan sesuatu perkara yang lebih baik dari sebelum ini. Boleh juga kita meneruskan azam yang telah kita letakkan sebelum ini untuk mencapai lebih baik lagi, dengan kata lain "Continuos improvement" atau peningkatan berterusan. Maksudnya, kalau kita dah berjaya melakukan apa yang kita azamkan sebelum ini, teruskan dengan melakukan penambahbaikan atas azam yang sama supaya mencapai suatu level terbaik yang kita mampu lakukan.

Sebagai seorang guru, tentu sahaja azam saya dari segi kerjaya ingin melihat kejayaan pelajar saya meningkat tahun ini berbanding tahun lepas atau tahun-tahun sebelumnya. Untuk memenuhi azam demi mendapat hasil yang diimpikan bukan sahaja sekadar tunggu dan lihat atau sekadar berpeluk tubuh menunggu keputusan peperiksaan keluar tapi perlu ada strategi awal seperti membuat penilaian semula (muhasabah) terhadap apa yang telah kita laksanakan sebelum ini. Kita mungkin tidak tahu cara terbaik dalam melakukan tugas kita, mungkin kita rasa cara yang kita buat sebelum ini sudah baik tapi sebenarnya ada banyak lagi ruang untuk menjadi lebih baik.

Pengalaman adalah guru terbaik.

Kita tidak akan tahu kekuatan dan kelemahan kita tanpa ada penanda aras dalam menentukan aras pencapaian kita. Dalam konteks ini, keputusan peperiksaan pelajar boleh dijadikan ukuran sejauh mana kejayaan atau kegagalan hasil dari usaha yang telah kita lakukan. Sebenarnya kejayaan atau kegagalan pelajar itu terletak dalam tangan mereka sendiri, sebagai guru sekadar memberi tunjuk ajar kepada mereka dan bukannya 100% kejayaan ataupun kegagalan mereka itu disebabkan oleh guru.

Setiap pelajar itu mempunyai kapasiti tersendiri, tentu susah untuk seorang pelajar yang lemah dalam pelajaran itu berjaya dengan cemerlang tetapi tidak mustahil berlaku sekira kena caranya, gurulah yang mengambil peranan disini dalam mencorak dan mengubah pelajar itu. Mungkin terlalu susah untuk berjaya dengan cemerlang tapi mungkin mudah jika hanya sekadar untuk mereka lulus atau mereka dapat mengubah persepsi mereka terhadap pelajaran. Sekiranya pendekatan yang betul diambil oleh guru, pelajar dapat berubah. Dengan erti kata lain, guru dan pelajar perlu mempunyai "Chemistry" atau keserasian.

Bukan mudah untuk seseorang guru itu memahami pendekatan terbaik dalam melakukan tugas mendidik ini, semuanya perlu bermula dengan pengalaman diri sendiri dan perlu kepada penilaian diri atau muhasabah diri. Setiap kejayaan atau kegagalan perlu diambil positif oleh guru untuk melakukan tindakan pembetulan supaya pencapaian pelajar dapat dipertingkatkan, yang cemerlang terus cemerlang, yang sederhana dapat dicemerlangkan dan yang lemah diberi harapan.

Cabaran Sebagai Pendidik di Sekolah luar bandar dan pedalaman

Salah satu cara terbaik untuk meningkatkan kejayaan adalah belajar dari pengalaman mengajar tahun-tahun sebelum ini. Mungkin kita sudah ada satu cara mengajar yang rutin yang biasa kita lakukan dalam setiap semasa kita melakukan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan kita rasa dengan cara itu kita sudah memberi tunjuk ajar yang sepatutnya kepada mereka. Akan tetapi mungkin kita terlepas pandang suatu ruang dimana terdapat kekosongan yang mana jika sekiranya kita dapat mengisi kekosongan tersebut, pencapaian pelajar akan dapat ditingkatkan lagi demi untuk membentuk masa depan mereka. Sudah tentunya dengan peka terhadap masalah sebenar yang dihadapi dengan mengenalpasti cabaran utama yang wujud.

Antara cabaran-cabaran utama yang perlu dihadapi :

Pertama, pelajar-pelajar yang rata-rata datang dari keluarga berpendapatan rendah mempunyai sikap yang negatif terhadap pelajaran. Mungkin disebabkan persekitaran hidup mereka yang berada di luar bandar menyebabkan kurangnya kesedaran terhadap pendidikan. Terdapat juga pelajar-pelajar yang menghadapi masalah keluarga disebabkan oleh ibu bapa mereka telah bercerai dan lain-lain masalah lagi. Berpunca dari masalah ini menyebabkan pelajar-pelajar menjadi tidak minat dalam pelajaran dan tidak mahu berusaha untuk meningkatkan prestasi akademik mereka walaupun ada diantara mereka mempunyai potensi untuk berjaya.

Penyelesaiannya, tiada pilihan lain untuk seseorang guru selain dari mencari jalan mengatasi masalah ini. Mungkin setiap orang itu mempunyai cara yang berbeza tapi matlamatnya adalah untuk mengubah persepsi mereka terhadap pelajaran. Mungkin dengan suatu cara yang sesuai boleh menghilangkan sejenak masalah yang mereka hadapi di luar sana dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang dapat menarik minat mereka terhadap pelajaran. Mungkin dengan cara memberi aktiviti-aktiviti berbentuk santai tetapi ada kaitan dengan subjek yang diajar ataupun mungkin perlukan lebih penekanan dengan mewujudkan suasana mereka perlu takut kepada guru supaya mereka lebih memberikan perhatian semasa guru sedang mengajar mahupun semasa membuat tugasan dan kerja rumah. Berdepan dengan situasi sebegini juga boleh menyebabkan berlaku tekanan pada guru yang menyebabkan mereka mengambil tindakan luar kawalan yang di luar bidang kuasa mereka seperti merotan pelajar atau denda-denda lain. Walaubagaimanapun, setiap pelajar adalah unik dan hanya guru yang mengajar mereka yang lebih arif tentang sikap dan cara yang sesuai mendidik serta mengubah mereka.

Kedua, kebanyakan pelajar yang mengambil peperiksaan PMR dan SPM langsung tidak mempunyai buku rujukan selain dari buku-buku kerja yang wajib dibeli semasa awal tahun persekolahan. Bagi mereka, apa yang diberikan oleh cikgu itulah yang mereka guna dalam menghadapi peperiksaan. Kalau bagi pelajar yang pandai mungkin mereka lebih bijak dalam menentukan apa yang terbaik bagi mereka, tapi bagi pelajar yang sederhana dan lemah, guru-guru perlu menunjukkan jalan keluar untuk mereka menyelesaikan masalah yang tidak pernah ada dalam kamus hidup mereka. Memang agak susah untuk mewajibkan kesemua pelajar membeli buku dengan tahap kesedaran mereka yang rendah terhadap pelajaran serta mereka sendiri rasakan membeli buku itu tidak penting bagi mereka dan cukup sekadar apa yang cikgu berikan. Lebih-lebih lagi harga buku-buku rujukan di pasaran yang mahal. Jika ada pun yang membeli hanya buku nota padat iaitu ringkasan yang tidak lengkap. Ada juga yang memberi alasan tidak mempunyai duit disebabkan kemiskinan keluarga

Penyelesaiannya, masih terdapat cara untuk mengatasi masalah ini. Beban sebenar terletak di atas bahu guru-guru sebagai pendidik untuk menolong mereka mengatasi masalah ini. Guru-guru boleh menunjukkan cara belajar dengan menggalakkan mereka menggunakan kemudahan perpustakaan. Kaedah berkongsi buku dan membuat kerja secara berkumpulan juga boleh mengatasi masalah tiada buku rujukan untuk belajar. Tapi ini hanya boleh berjaya sekiranya pelajar tersebut betul-betul berkeinginan untuk mengubah keadaan diri sendiri. Guru-guru juga boleh menggunakan buku-buku soalan peperiksaan tahun-tahun lepas sebagai buku latihan pelajar dan mengadakan perbincangan soalan. Semasa melakukan perbincangan soalan, guru juga dapat memberi tip menjawab soalan serta maklumat-maklumat tambahan berkaitan dengan soalan. Mudah-mudahan dengan cara ini, pelajar dapat dibekalkan ilmu yang cukup untuk mereka menghadapi peperiksaan.

Inilah antara cabaran yang biasa dihadapi oleh guru-guru di kawasan luar bandar dan pedalaman. Pelajar-pelajar sebenarnya dapat mengikuti pengajaran yang diberikan guru-guru mereka. Mungkin ada antara mereka sedikit lembab dalam pembelajaran, tetapi dalam proses P&P mereka menunjukkan perhatian dan berupaya melakukan tugasan yang diberikan dengan baik walaupun perlu lebih bimbingan daripada guru mereka.

Sebagai guru, kita hanya berusaha sekadar termampu dengan menjalankan kewajipan kita dalam mendidik mereka. Hanya dengan usaha mereka sendiri yang mampu mengubah nasib serta masa depan mereka.

Oleh : Cikgu Syahir


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...