Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Monday, May 24, 2010

Al-Quran Dari Kacamata Barat

Artikel pilihan dari blog.

AL-QURAN diturunkan sebagai mukjizat kepada Rasulullah saw untuk dijadikan panduan semua umat manusia. Di dalamnya terkandung pelbagai sistem kehidupan yang bersesuaian dengan fitrah manusia.

Al-Quran bukan semata-mata untuk bangsa Arab walaupun ditulis dalam bahasa Arab. Al-Quran adalah kitab yang agung untuk umat Islam. Membacanya adalah ibadah manakala mengamalkannya satu kewajipan.

Firman Allah swt bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang lurus dan memberi berita gembira kepada orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.” – (al-Isra’ 17:9)

Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku.” – (Riwayat Abu Daud)

Namun, al-Quran adalah kitab yang digeruni orang Eropah (bukan Islam). Mereka berasakan kitab ini amat berbahaya.

Orientalislah yang menakut-nakutkan dunia Barat akan bahaya al-Quran, iaitu kumpulan yang ditundukkan oleh kemahuan individu dan tujuan politik telah dipertanggungjawabkan untuk mendedahkan bahaya al-Quran melalui kajian yang dianggap ilmiah. Usaha mereka itu betul tetapi disesatkan dengan berbagai cara.

Ketika golongan ini mengkaji al-Quran secara mendalam dan diamati dasarnya yang asas, keistimewaan yang unggul ternyata di dalamnya terdapat seruan untuk bersatu, berpegang kuat dengan tali Allah, bekerjasama untuk kebaikan, meningkatkan ketakwaan, peringatan dari kezaliman, melarang mengejek orang lain atau mengintai-intai, peringatan supaya tidak mengumpat, mengadu domba, gesaan kepada sifat benar, amanah, adil, menuruti janji, gesaan mencari ilmu dan melepaskan diri daripada kejahilan serta peraturan bagaimana menangani kehidupan di dunia ini.

Apabila perkara ini diketahui, orientalis cuba untuk menutup hakikat ini dan menjauhkan orang Islam daripadanya. Mereka segera berjumpa penjajahan lama dan baru serta memberitahu bahawa al-Quran ini adalah kitab yang berbahaya bagi mereka.

Kononnya ia mengandungi dasar yang akan membangun dan menundukkan dunia sekiranya dapat difahami ajarannya dan dipraktikkan, justeru pengikutnya akan menguasai muka bumi ini.

Ini bermakna umat Islam, jika mengetahui kitab mereka dengan sebenar-benar makrifah dan dilaksanakan dengan sempurna, maka penjajah akan menerima kecelakaan.

Oleh itu, mereka sentiasa berusaha bersungguh-sungguh supaya al-Quran tidak diketahui dan dasarnya akan terpisah daripada orang Islam dan serta boleh dipraktikkan.

Barat akan berasa takut dan gementar apabila adanya semangat Islam di setiap tempat di dunia atau sekarang dikenali sebagai kebangkitan Islam. Sekiranya dirancang dengan teratur dan rapi, ia akan kembali kepada al-Quran, justeru ia akan menanamkan semangat dan ketinggian di hati umat Islam untuk menentang musuh Islam. Inilah perkara yang mengancam kepentingan Barat di dunia Islam.

Sebagaimana firman Allah swt bermaksud: “Kamu (umat Islam) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan beriman kepada Allah.” – (al-Imran: 110)

Media Timur dan Barat berusaha menggambarkan gerakan Islam di dunia Islam sebagai pelampau, ekstrim, fanatik, mundur, taksub, pengganas dan semua istilah yang ada di dalam kamus bahasa bagi perkataan seumpama ini.

Dunia Barat dan Timur semua bersepakat supaya Islam jangan bangkit lagi tetapi orang Islam tidak sedar hakikat ini sebenarnya.

Usaha mestilah dijalankan supaya pandangan orang Islam berubah, dengan beranggapan bahawa untuk menyelamatkan umat Islam mestilah mengikut cara sekular Barat, dengan itu dakwah daripada orientalis akan melangkah untuk memperbaiki Islam.

Islam pada anggapan mereka adalah agama yang beku dan tidak selaras dengan zaman moden manakala seruan yang ditujukan kepada umat Islam adalah sesuatu yang asing tetapi mereka mesti melakukannya untuk agama.


Dakwaan itu adalah percubaan untuk mengubah pandangan orang Islam terhadap Islam dan menjadikan Islam lebih hampir kepada orang Kristian setakat yang boleh.

Sebahagian masyarakat Islam telah terpengaruh dengan fahaman orientalis ini, sebagai contoh buku yang dikeluarkan di Jerman pada 1981 bertajuk Azmat al-Islam al-Hadith (Krisis Islam Sekarang).

Buku dihasilkan pengarang Islam Arab yang bertugas sebagai profesor di Universiti Jerman itu menyeru dengan bersemangat sekali supaya mengambil contoh Barat dalam usaha untuk menjadikan agama sebagai ajaran akhlak, bukan ajaran yang berbentuk tanggungjawab yang mesti dipatuhi.

Pada pendapatnya, itulah satu cara untuk menyelesaikan krisis Islam, justeru dapat memisahkan agama dengan urusan kehidupan mengikut bentuk sekular Barat. Jika dilihat pada masa sekarang, fahaman ini telah semakin menular di kalangan masyarakat Islam khasnya.

Di setengah negara Islam sekular, sudah ada yang melayani pemikiran Islam seperti melalui pemikiran Mark kerana anggapan mereka Islam adalah berbahaya dan wajib diperangi serta dihukum pendakwahnya.

Penjajah telah membuat perancangan rapi untuk melemahkan Islam dan menjauhkan mereka daripada dasar Islam.
Ia akan menghalang apa saja percubaan untuk menyatupadukan semua umat Islam sekali lagi.

Penjajah mendapati umat Islam sendiri yang merelakan diri mereka untuk dijadikan alat bagi tujuan penjajah itu.

Kita tidak akan menemui kenyataan itu daripada mulut mereka tetapi inilah yang tercatat di dalam watikah rahsia penjajah sendiri.

Politik orientalis yang menyokong Arab di dalam peperangan yang besar (yang pertama) hanya semata-mata satu strategi untuk menghancurkan kekuatan Turki.

Malah, ia juga sebagai strategi untuk memisahkan penguasaannya terhadap dua bandar suci, Makkah dan Madinah, daripada khalifah Uthmaniyah yang memerintah pada waktu itu.

Perkara yang paling menggembirakan orientalis ialah Kamal Ataturk tidak hanya meletakkan pembaharuan yang jauh kesannya dan akhirnya menolak lambang Turki sebagai negara Islam.

Benarlah sebagaimana firman Allah swt bermaksud: “Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah:

Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk sebenar. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” – (al-Baqarah: 120)

Ayat ini dikuatkan lagi dengan hadis Rasulullah saw bermaksud: “Kamu akan mengikut tatacara orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga walaupun mereka itu masuk ke lubang biawak, kamu turut sama ke dalamnya.”

Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah (yang dimaksudkan) mereka itu Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab: “Siapa lagi.” – (Riwayat Muslim)

Biduk berlalu kiambang bertaut, walaupun terdapat celaan dan cacian, propaganda serta diserang dengan bermacam tuduhan, terutama daripada mereka yang memusuhi Islam, masih ada ahli fikir Barat atau orientalis yang tidak sempit hatinya mahu menyelami Islam dan jiwa junjungan kita, Muhammad saw.

Mereka mengkaji sejarah umat yang dihidupkan oleh tuntutan wahyu Ilahi itu, seperti Thomas Carlyle, mengaku bahawa Nabi Muhammad itu bukan orang biasa dan al-Quran itu bukan suatu hasil kesusasteraan belaka.

Edward Gibbon (1737-1794), seorang ahli sejarah Inggeris, berkata mengenai al-Quran seperti berikut: “Al-Quran itu adalah sebuah kitab agama, kitab kemajuan, kenegaraan, persaudaraan dan perundangan.

Al-Quran mengandungi isi yang lengkap, daripada urusan ibadat, akidah, akhlak hingga pekerjaan sehari-hari dan daripada urusan rohani hingga jasmani seterusnya.
Ia juga menerangkan segala pembalasan atas amalan manusia. Sebab itu amat besar perbezaan al-Quran dengan Bible. Dalam Bible, tidak ada peraturan yang berhubung keduniaan melainkan cerita untuk penyucian diri. Bible tidak boleh menandingi al-Quran kerana al-Quran bukan saja menerangkan kaitan amalan kegamaan, bahkan mengupas asas politik kenegaraan. Al-Quran menjadi sumber undang-undang dasar memutuskan semua perkara yang berhubung dengan material kejiwaan.”

Ini adalah antara pandangan cendikiawan Barat yang mengkaji al-Quran berdasarkan fahaman yang benar.

Firman Allah swt bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” – (al-Hijr: 9)

Ayat ini adalah jaminan daripada Allah swt bahawa al-Quran tetap akan terpelihara daripada sebarang perubahan dan akan terus kekal hingga ke hari kiamat.

Oleh itu, umat Islam perlu sedar hakikat ini supaya mereka mengkaji al-Quran dan menghayati kandungannya, lebih-lebih lagi pada era globalisasi ini supaya kita tidak tertipu dengan dakyah yang dibawa musuh Islam

Dari blog : DPP Tumpat

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...