Artikel menarik dari blog : Hikmatun
Assalaamu’alaikum w.b.t……. Pembicaraan tentang Nabi Isa a.s mempunyai perbezaan yang sedikit ketara dari kacamata Islam dengan kacamata Kristian. Kali ini saya mahu membawa anda melihat kisahnya sepertimana yang terkandung di dalam AlQuran. Kemudian nanti saya akan sambung dengan kisah tentang Isa a.s di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin dan sebagainya pula insyaAllah.
Sejarah kelahiran Isa a.s
Maryam ibu kepada nabi Isa a.s adalah anak kepada `Imran. Al-Quran telah memaparkan kisahnya kepada kita, iaitu kisah tentang kandungannya, kelahirannya dan pendidikannya.
Allah SWT telah memilih Maryam sebagai ibu kepada anak yang akan menyampaikan berita gembira kepada manusia ketika itu, di mana ibunya (Maryam) yang ketika sarat mengandung telah bernazar supaya anak kandungannya apabila lahir adalah bebas daripada penyembah berhala, syirik dan mahu agar menjadikanya ikhlas berkhidmat kepada Allah. Beliau (Ibu Maryam) telah berdoa supaya Allah mengabulkan nazarnya sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran.
Maksudnya: “(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” – Surah Aali Imran : Ayat 35
Sebagaimana yang tersebut di dalam nas al-Quran nazarnya itu adalah jika anak di dalam kandungannya adalah lelaki, tetapi malangnya apa yang dilahirkannya itu adalah seorang anak perempuan, ini menyebabkan ibu Maryam serba salah dengan nazarnya bahkan mahu sahaja membatalkan nazarnya tersebut, tetapi kerana keimanannya terhadap Allah S.W.T beliau meneruskan nazarnya. Firman Allah mengenai hikayat tersebut;
Maksudnya: Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”. - Surah Aali Imran : Ayat 36
Sejak kecil lagi Maryam telah menunjukkan tanggung jawabnya sebagai seorang yang suka beribadat kepada Allah manakala Nabi Allah Zakaria a.s. telah bertindak memberi tarbiah dan membimbingnya ke arah agama yang betul. Firman Allah S.W.T.
Maksudnya: “Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira”. – Surah Aali Imran : Ayat 37
Masa yang dihabiskan oleh Maryam semenjak zaman kanak-kanak lagi adalah untuk beribadat kepada Allah S.W.T. rupanya petanda awal sebagai calon pilihan Allah di mana Malaikat telah diutuskan untuk menyampaikan firman Allah kepadanya Firman Allah yag bermaksud, “ Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu)”. – Surah Aali Imraan : Ayat 42
Pemilihan Allah ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah sebaliknya merupakan sesuatu yang amat besar dan sulit bagi manusia kerana terpaksa melewati kelogikan akal manusia kerana ianya belum pernah berlaku selama ini. Pemilihan ini bererti Maryam akan menjadi seorang ibu kepada seorang yang bakal dilahirkan tanpa hasil benih kaum Adam, ini sekaligus merupakan tanda betapa maha kuasanya Allah S.W.T. mengatasi segala kemampuan yang ada pada manusia.
Maryam merupakan seorang anak dara yang rajin beribadat kepada Allah S.W.T tiba-tiba menjadi hamil menyebabkan ianya diasingkan daripada kaum keluarganya ke arah satu kawasan yang jauh ke Timur kerana takut menanggung malu di hadapan masyarakat.
Namun Allah S.W.T mengutuskan kepadanya Malaikat yang menyerupai manusia sebagaimana Firman Allah S.W.T.
Maksudnya: Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa. Ia berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci”. Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?” Ia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya. Maka Maryam hamil lah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh. (Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!
Maryam a.s mengandung dan melahirkan Isa a.s tanpa bapa. Mengenai tempoh masa kandungannya tidakpun tersebut athar-athar nabawiyah mahupun dalam al-Quran. Namun tempoh masa kandungan bukanlah perkara yang penting kerana sudah menjadi kebiasaan dikalangan manusia tempohnya adalah sembilan bulan lebih kurang.
Kelahiran Isa a.s tanpa bapa telah menyebabkan kaumnya merasa pelik dan hairan sama ada yang tahu tentang ibadatnya mahupun yang sebaliknya. Peristiwa pelik ini telah mengundang berbagai-bagai tohmahan, celaan dan tuduhan-tuduhan yang kurang selesa ke atas Maryam. Allah S.W.T. sudah pasti tidak akan membiarkan hamba-hambanya yang beriman dianiayai, lalu diturunkan bukti-bukti yang menunjukkan Maryam suci daripada segala tohmahan dan celaan tersebut. Allah S.W.T telah menuturkan lidah bayi yang baru lahir yang tidak mungkin bahkan mustahil bagi bayi-bayi lain berbuat demikian. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! “Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!” Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?” Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. ” Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)”. Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.
Kelahiran Isa a.s juga telah mengancam kedudukan dan penguasaan Raja Heroduts, oleh sebab itu Heroduts sudah pasti membunuhnya kalau Isa a.s bersama ibunya tidak melarikan diri ke Mesir.
Nabi Isa as telah bertutur walaupun masih dalam kedaan bayi sebagai bukti yang amat jelas tentang kesucian ibunya daripada sebarang tuduhan dan tohmahan yang tidak berasas sama sekali. Imam Ibnu Kathir daripada Ibnu Abbas telah meriwayatkan kisah ini katanya:
“Sesungguhnya Isa a.s telah berpegang kepada kata-kata ini sehinggalah sampai ke peringkat baligh, kemudian Allah telah mengurniakan kepadanya beberapa hikmah dan keterangan-keterangan.”
Semua ini telah Allah kurniakan kepadanya untuk menolak dakwaan bahawa ibunya Maryam telah melakukan kemungkaran, dengan sebab tuduhan-tuduhan ini Allah telah melaknat orang-orang Yahudi serta di campakkan ke dalam jiwa mereka perasaan bermusuh-musuhan dan benci membenci antara satu sama lain sehinggalah hari qiamat.
Maksudnya: “Demikian juga (Kami laknatkan mereka) dangan sebab kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap Maryam (dengan tuduhan yang amat dustanya”.
Al-Quran juga telah memberi isyarat tentang hikmat Ilahiyah melalui kelahiran Isa as tanpa berbapa. Firman Allah:
Maksudnya: “Ia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya”.
Nabi Isa a.s sebagai Utusan Allah. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”.
Firman Allah SWT lagi:
Maksudnya: “(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata”.
Firman Allah SWT lagi:
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika orang orang Hawariyyiin berkata: “Wahai Isa Ibni Maryam! Dapatkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada kami satu hidangan dari langit?” Nabi Isa menjawab: “Bertaqwalah kamu kepada Allah jika benar kamu orang-orang yang beriman”.Mereka berkata: “Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu (untuk mengambil berkat), dan supaya tenang tenteram hati kami, dan juga supaya kami ketahui dengan yakin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami, dan supaya menjadilah kami orang-orang yang menyaksikannya sendiri”.Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki”.Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu, kemudian sesiapa di antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan seseorang pun dari sekalian makhluk”.
Isa a.s hanya lah seorang rasul dan bukannya Tuhan
“Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu).” Surah Al Maidah : Ayat 75
“(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata” Surah Al Maidah : Ayat 110
Dalil2 yang membatalkan aqidah Kristian
“Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” – Surah An Nisaa’ : Ayat 157 – 158
“Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).” – Surah An Nisaa’ : Ayat 171
“Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam) katakanlah (wahai Muhammad): “(Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Ia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya?” Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” - Surah Al Maidah : Ayat 17
“Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata:” Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”. – Surah Al Maidah : Ayat 72
“Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” – Surah Al Maidah : Ayat 73
“Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ‘ ” Nabi `Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib. “Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ‘ dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.” – Surah Al Maidah : Ayat 116 – 117
Demikianlah beberapa petikan dari AlQuran yang dapat diberikan di sini. InsyaAllah akan bersambung pula ke Petikan kisah-kisah Nabi Isa / Yesus a.s di dalam Ihya’ Ulumuddin.
Rujukan:
1- AlQuranul Karim
2 – Kristian dan Kristianisasi di negara-negara Islam – Jumain Abd.Ghani , B.A (Hons) Usuluddin (Aqidah & Falsafah) , Universiti Al-Azhar, Menoufiah, Shibin el-Kom
No comments:
Post a Comment