Tertarik dengan ucapan yang disampaikan oleh Syaikhuna al-Allamah Habib Ali al-Jifri hafizahullah berkenaan “ Pandangan” . Saya terfikir kalau semua orang dapat amalkan seperti apa yang disampaikan oleh Syaikhuna al-Allamah sudah tentu akan wujudnya berbaik sangka dan berlapang dada dengan semua orang.
MasyaAllah, inilah sari pati ilmu Tasawuf yang diperjuangkan oleh para ulama Ahlusunnah Wal Jamaah. Tidak merasakan diri lebih daripada orang lain. Tidak merasakan bahawa hanya diri ini yang layak masuk ke Syurga Allah taala. Bilamana melihat seseorang yang tergelincir daripada jalan Allah taala, terus ditempelak dan dicaci maki zat si pembuat maksiat tersebut. Seolah-olah si ahli maksiat sudah tidak punya peluang untuk bertaubat. Kekadang lupa, kemungkinan orang yang kita caci maki kerana maksiat yang dilakukan olehnya mungkin bisa menjadi seorang yang lebih baik daripada si pencaci. Allah taala berhak membolak-balikkan hati seseorang.
BENCI MAKSIAT, BUKAN SI PEMBUAT MAKSIAT
Ini yang perlu ada pada seorang muslim yang sejati. Kita membenci maksiat dan kesalahan yang dilakukan bukannya zat pembuat maksiat tersebut. Perumpamaannya mudah :
“ Kita membenci bau busuk pada bangkai tersebut, bukannya pada bangkai itu sendiri. Ya kemungkinan bangkai tersebut adalah binatang peliharaan yang paling kita sayangi sebelum rohnya dicabut. Namun bilamana rohnya sudah dicabut, serta berlalunya waktu tertentu menyebabkan mayat tersebut berubah baunya menjadi busuk. Adakah dengan sebab bau busuk pada bangkai tersebut menyebabkan kita terus mencaci maki binatang kesayangan kita sendiri?”
Ya begitu juga dengan maksiat. Kita ibaratkan ianya sebagai bau busuk yang ada pada seseorang. Bau busuk tidak akan hilang jika semua hanya pandai mencai maki semata-mata. Namun apa yang sepatutnya kita lakukan adalah dengan menunjukkan kepada seseorang yang punya bau busuk tersebut cara yang terbaik untuk mengeluarkan dirinya daripada bau busuk itu.
SAYANG TAK SEMESTINYA BERDIAM DIRI
Ya, sayang kepada seseorang bukannya bermaksud kita akan berdiam diri bilamana melihat dirinya melakukan maksiat. Namun apa yang perlu dilakukan adalah mencari jalan terbaik bagaimana ingin mengubah perkara tersebut. Ini barulah sayang yang sebenar. Kalau kita berdiam diri daripada menegur , maka ini bermakna kita menyukai sahabat kita menjerumuskan dirinya ke dalam neraka. Sayangkah begitu?
Cara memalukan seseorang dihadapan orang ramai, menjatuhkan air mukanya bukanlah cara yang terbaik. Malah akan menyebabkan semakin jauh daripada kebenaran.
Kebanyakkan orang yang baik bilamana melihat seseorang tidak memakai tudung akan mengatakan : “ Ish.. Teruknya dia tu, tak pakai tudung!!” .
Mengapa kita tidak cuba mengubah perkataan kita kepada : “ Kenapa dia tak pakai tudung? Bukankah ianya wajib? Emm, mungkin dia tak dapat penjelasan sebenar berkenaan fadhilat memakai tudung. InsyaAllah selepas dia memahami akan hukum hakam memakai tudung dia akan berubah sedikit demi sedikit. Berkemungkinan dia akan jadi lebih baik daripada diri aku satu hari nanti”
KEMUNGKINAN DOSA YANG DILAKUKAN AKAN MENYEBABKAN DIRINYA HAMPIR DENGAN ALLAH TAALA
Jika difikirkan sedalam-dalamnya, ya mungkin inilah hikmahnya mengapa Allah taala menjadikan dosa dan pahala. Ada orang yang terfikir di benak fikirannya “ Mengapa perlu ada dosa? Kan sudah baik kalau yang ada hanya pahala semata.”
Jika berdosa barulah kita akan rasakan betapa diri ini hina di Allah taala, merasa ingin bertaubat serta menghampirkan serta meletakkan sempadan di antara dirinya dan dosa.
Mengapa perlu ada busuk? Rasanya sudah memadai jika wangi meliputi buana.
Cuba fikirkan sedalam mungkin. Jika tidak punya bau busuk, bagaimana kita boleh membezakan ini wangi dan itu busuk? Jadi semua yang Allah taala jadikan punya hikmahnya. Kita diberikan akal untuk berfikir. Gunakan akal untuk kebaikkan, gunakan akal untuk ISLAM, gunakan akal untuk UMMAH.
Semoga diri ini mampu beramal sebelum mengucapkannya. Amin Ya Rabb
Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah Mesir
No comments:
Post a Comment