Pengumuman sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan peruntukan sebanyak RM 90 Juta bagi membina jalan yang menghubungkan Kapit-Sibu sedikit sebanyak telah memberi sedikit sinar harapan kepada seluruh warga masyarakat Kapit tidak kira dari penyokong kerajaan atau pembangkang. Kapit yang sudah di kenali sebagai satu-satunya bahagian di Sarawak yang terputus hubungan jalanraya dengan dunia luar yang hanya boleh dihubungi melalui sungai dengan menggunakan bot expres Sungai Rajang yang mengambil masa 3 jam dari Sibu.
Walaupun sebelum ini telah banyak kali ura-ura pembinaan jalan telah pun di war-warkan, namun sehingga sekarang masih tidak nampak proses untuk membina jalan tersebut termasuk pengumuman oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 2009 (sumber) yang berjanji akan memulakan pembinaan jalan tersebut iaitu pembinaan jalan raya Nanga Tada-Ngemah-Kapit yang menelan belanja sebanyak RM174 juta dan jalan raya Song-Kapit sebanyak RM152 juta.yang sepatutnya bermula pada tahun 2010 dengan menggunakan peruntukan dari bajet 2010.
Jom ke Sibu
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Mungkin itulah yang boleh dikatakan apabila melihat realiti sebenar masyarakat ini. Dari kejauhan mungkin sudah dapat agak kesusahan yang dialami oleh masyarakat kapit yang rata-rata terdiri dari golongan yang berpendapatan rendah dengan kehidupan yang ala kadar, mungkin ada yang sekadar cukup untuk makan. Ini dapat saya perhatikan sendiri pada kebanyakan pelajar saya yang ibubapa atau penjaga mereka bekerja sebagai petani ataupun bekerja di kem balak dengan pendapatan antara RM200-RM400 sebulan.
Pemandangan sekitar pasar Kapit.
Perjalanan dengan menggunakan bot ekspres dari Kapit-Sibu memerlukan tambang minima RM20 satu hala bermakna RM40 pergi dan balik. Apalah daya mereka yang tidak berkemampuan untuk menggunakan satu-satunya kemudahan untuk keluar dari Kapit ke tempat lain, tambahan pula mereka perlu mencari tempat penginapan apabila sampai di Sibu. Tanpa ada pilihan menyebabkan mereka “terkurung” sekitar Kapit dan ada yang tidak pernah keluar dari Kapit untuk masa yang lama disebabkan oleh faktor kewangan.
Jalan Kapit-Sibu pelengkap demi masa depan mereka.
Salah satu kesan yang paling ketara oleh sebab faktor berada di kawasan luar bandar yang terputus hubungan adalah tahap kesedaran serta perkembangan pelajar tentang dunia luar begitu lemah sekali apatah lagi kesedaran terhadap pendidikan. Pelajar-pelajar ini cuma mengetahui apa yang ada di sekitar mereka sahaja. Mereka sudah disetkan barangkali selepas mereka tamat belajar, mereka akan meneruskan hidup seperti orang tua mereka dan tidak perlu keluar dari daerah ini. .Pelajar-pelajar yang telah biasa dengan kehidupan pedalaman ini kebanyakannya amat lemah sekali dalam pelajaran dan boleh dilihat dalam keputusan peperiksaan setiap tahun. Mereka tidak merasakan dengan pendidikan itu boleh mengubah hidup dan masa depan mereka.
Inilah antara peranan dan cabaran guru-guru yang berkhidmat di bahagian Kapit ini dalam menghadapi situasi pelajar kami disebabkan oleh faktor ketiadaan jalan raya. Bukanlah bermakna kami mencari alasan atau mengelakkan diri dari tanggungjawab disebabkan oleh faktor ini. Memang setiap masa telah bermacam-macam aktiviti telah dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk memberi pendidikan yang terbaik untuk mereka, tetapi dengan adanya jalan Kapit-Sibu akan lebih terbuka lagi kawasan Kapit ini dari segi ekonomi serta pembangunan lain dan dapat mempertingkatkan lagi tahap pemikiran masyarakat terutama sekali golongan pelajar agar setanding dengan rakan-rakan mereka di bahagian lain. Insya Allah.
Akhir sekali, saya menyambut baik dan mengalu-alukan sebarang usaha pembinaan jalanraya Kapit-Sibu untuk kepentingan seluruh masyarakat Kapit.
Nota :
Penulis adalah seorang guru yang berkhidmat di sekolah menengah di bahagian Kapit.
Saya setuju dengan pembinaan jalan tersebut, tetapi say mahu setiap warga kapi diberi peta mengenai kedudukan sebenar jalan tersebut bagi mengelakkan JERUNG-JERUNG putih daripada mengambila kesempatan terhadap kemisikinan penduduk Kapit dimana jerungjerung ini akan bekerjasama dengan bahagian perancangan bandar dan wilayah untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang lokasi sebenar bagi jalan SIBU-KAPIT tersebut. Saya mahu rakyat Kapit tahu lokasi tersebut supaya mereka boleh merancang sendiri apa yang mereka hendak lakukan apabila jalan tersebut siap nanti.
ReplyDelete