SIAPAKAH AL-IMAM IBN QAYYIM AL-JAUZIYYAH?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)
Soalan: Prof Madya Dr Asri, saya suka membaca buku-buku agama. Walaupun saya tidak boleh membaca bahasa Arab, saya akan membaca dalam Bahasa Melayu atau Inggeris. Baru-baru saya ke Indonesia saya berjumpa buku hasil hasil karya Imam Ibn Qayyim dan saya beli sebuah karya beliau Zad al-Maad. Dengan membaca buku tersebut saya dapati banyak kefahaman saya yang kurang tepat. Apakah pendapat Dr Asri tentang beliau dan karya tersebut?
Jawapan Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah ialah seorang tokoh ilmuan Islam yang terkenal. Buku-buku beliau pada hari ini telah banyak diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu dan Indonesia. Beliau ialah Sham al-Din Abu Abd Allah, Muhammad bin Abi Bakr bin Ayyub bin Sa’d bin Hariz al-Zar‘i al-Dimasyqi. Dikenali dengan panggilan Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Gelaran al-Jauziyyah itu berkaitan dengan pusat pengajian yang dibangunkan oleh Yusuf bin ‘Abd a-Rahman al-Jauzi (meninggal 656H) yang mana bapa Ibn al-Qayyim menjadi pengurusnya. Dilahirkan pada 7hb Safar pada tahun 691H di sebuah kampung sekitar 55 mil (batu dalam kiraan dahulu) dari Bandar Damsyik.
Kitab Zad al-Maad
Guru
Mempelajari hadis daripada al-Syihab al-Nabulusi, al-Qadi Taqiyy al-Din bin Sulaiman, Abu Bakr bin ‘Abd al-Daim, ‘Isa bin al-Mut‘im, Ismail bin Maktum, Fatimah bint Jauhar dan lain-lain. Beliau juga mempelajari ilmu-ilmu lain dalam Bahasa Arab, Fiqh dan al-Usul daripada berbagai-bagai guru seperti yang disebut dalam sumber-sumber kitab Tarajum dan Tarikh.
Namun episod yang paling penting dalam hidupnya adalah perguruannya dengan Syeikh al-Islam al-Hafizd Ibn Taimiyyah r.h. Beliau sentiasa mendampingi Ibn Taimiyyah sejak kepulangan Ibn Taimiyyah dari Mesir pada tahun 712H sehingga pada hari kewafatannya pada tahun 728H. Perdampingan beliau dengan Ibn Taimiyyah pada masa usianya masih muda dan penuh kemampuan untuk mengutip limpahan keluasan dan kematangan ilmu Syeikh al-Islam berkenaan. Kecintaannya kepada gurunya itu telah memenuhi hidupnya.
Seperti kita tahu, Ibn Taimiyyah seorang yang hebat. Sehingga al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) mensifatkan:
“Ibn Taimiyyah imam kepada semua para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan ulama, pewaris para anbiya..” sehinggalah beliau menggelarnya sebagai “Syeikh al-Islam”. (Ibn Hajar al-`Asqalani, al-Durar al-Kaminah,1/158-159, Beirut: Dar al-Jil).
Sementara tokoh penganalis rawi hadis iaitu al-Hafiz al-Zahabi (meninggal 748H) menyenaraikan Ibn Taimiyyah itu di dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz yang dikhaskan untuk para hafiz dalam hadis. Beliau menyebut:
“Ibn Taimiyyah: seorang syeikh, imam, al-`allamah (sangat alim), al-hafizd, seorang yang kritis, mujtahid, penafsir (al-Quran) yang mahir, beliau adalah Syeikh al-Islam…. dari lautan ilmu, dari para cendikiawan yang terbilang, dari golongan zuhud yang sukar dicari, dari tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh penyokong dan penentang” (Al-Imam al-Zahabi, Tazkirah al-Huffaz, 4/1496, India: Haidar Abad).
Limpahan ilmu Ibn Taimiyyah ini telah membanjiri kehidupan Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Beliau begitu mencintai Ibn Taimiyyah sehingga al-Hafiz Ibn Hajar ketika memperkenalkan biodata Ibn al-Qayyim r.h berkata:
“Beliau seorang yang berani, luas ilmunya, pakar dalam dalam perbezaan pendapat dan mazhab-mazhab salaf. Kecintaannya kepada Ibn Taimiyyah telah mempengaruhinya sehingga dia tidak berbeza pendapat sedikit pun dengan Ibn Taimiyyah bahkan membela semua pendapatnya. Beliaulah yang telah meringkaskan buku-buku Ibn Taimiyyah dan menyebarkan ilmunya.. beliau dikurung dalam kubu bersama Ibn Taimiyyah selepas dihina dan dipukul atas unta yang dibawa mengeliling orang ramai. Apabila Ibn Taimiyyah meninggal dia dikeluarkan dari kurungan.. tempoh perdampingannya dengan Ibn Taimiyyah adalah sejak Ibn Taimiyyah pulang dari Mesir pada tahun 712H sehingga Ibn Taimiyyah meninggal”. ( Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Durar al-Kaminah, 4/401)
Demikian al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkongsi menghadapi tribusi dakwah yang terpaksa dilalui oleh gurunya sehingga gurunya meninggal. Kata Ibn Hajar al-‘Asqalani:
“Ibn Taimiyyah terus dipenjara sehingga kembali ke rahmat Allah. Kepada Allah juga kembali segala urusan. Dia (Allah) memerhatikan mereka yang khianat dan apa yang disembunyikan dalam dada. Hari kematian Ibn Taimiyyah itu menjadi bukti, manusia memenuhi jalan menyambut jenazahnya, orang Islam datang dari serata pelusuk. Mereka mengambil keberkatan dengan menghadiri jenazahnya, pada hari yang ditegakkan bukti, mereka semua ingin memegang pengusungnya sehingga patah kayunya. ( Ibn Hajar al-`Asqalani, al-Durar al-Kaminah, 1/155).
Murid-Muridnya
Antara bukti kehebatan tokoh ilmuwan adalah hasil ilmiah yang tertonjol pada diri murid-murid yang mengambil ilmu daripadanya. Begitulah Ibn al-Qayyim terbukti kehebatannya menerusi murid-muridnya. Di sini disebutkan beberapa orang tokoh ilmuwan besar dalam bidang hadis yang lahir dari asuhan al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah; al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali (meninggal 795H). Tokoh ilmuwan terbilang terutama dalam bidang hadis. Menghasilkan karangan-karangan yang masyhur termasuk Syarh Sunan al-Tirmizi. Juga al-Hafiz Ibn Kathir (meninggal 774H). Tokoh hadis, al-Tafsir bi al-Ma`thur dan sejarahwan yang terkenal. Antara karangannya yang terkenal al-Bidayah wa al-Nihayah, Tafsir al-Quran al-‘Azim, al-Fusul fi Sirah al-Rasul, Jami’ al-Masanid, Mukhtasar ‘Ulum al-Hadith dan lain-lain. Juga, al-Hafiz Ibn Qudamah al-Maqdisi atau dikenali dengan Ibn ‘Abd al-Hadi (meninggal 744H). Ilmuwan hadis yang terbilang. Menulis lebih daripada 70 karangan. Meninggal sebelum sempat berusia 40 tahun. Antara karangannya dalam bidang hadith al-‘Ilal.
Kewafatannya
Kata Ibn Rajab al-Hanbali:
“Beliau wafat waktu Isyak, malam Khamis pada 13hb Rejab 751H… Diiringi jenazahnya oleh manusia yang begitu ramai. Diperlihatkan untuknya mimpi-mimpi yang begitu banyak dan baik. Allah meredhainya. Sebelum meninggal, dia melihat al-Syeikh Taqiyy al-Din (Ibn Taimiyyah) dalam mimpinya. Dia bertanya mengenai kedudukan gurunya itu. Gurunya mengisyaratkan tentang kedudukannya melebihi sebahagian tokoh-tokoh yang besar. Kemudian Ibn Taimiyyah berkata: “Engkau hampir mencapai kedudukan kami, tetapi engkau sekarang pada peringkat Ibn Khuzaimah”. (Ibn Rajab al-Hanbali, Zail Tabaqat al-Hanabilah, 1/363).
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menerima kisah tersebut dan menyebutnya dalam al-Durar al-Kaminah:
“Teramat ramai yang menghadiri pengebumiannya. Diperlihatkan kepadanya mimpi-mimpi yang baik. Beliau menyebut sebelum kematiannya bahawa beliau melihat gurunya Ibn Taimiyyah dalam mimpinya. Beliau bertanya mengenai kedudukan gurunya itu, lalu dia menjawab bahawa beliau ditempatkan melebihi kedudukan beberapa tokoh yang besar dan “engkau hampir akan mencapai kedudukan itu, cumanya engkau berada pada peringkat Ibn Khuzaimah” (4/403).
Pujian Ulamak
Banyak pujian yang telah diungkap oleh ilmuwan-ilmuwan besar untuk al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah ini. Antara mereka yang memuji beliau ialah tokoh-tokoh pengkaji Rijal (rawi hadis) seperti al-Zahabi, Ibn Rajab al-Hanzali, Ibn Nasir al-Dimasyqi, Ibn Hajar al-‘Asqalani dan lain-lain. Di sini memadai dipetik pujian al-Hafiz Ibn Kathir yang disebut oleh Ibn Hajar al’Asqalani dalam al-Durar al-Kaminah:
“Ibn Qayyim itu banyak bersolat, membaca al-Quran, baik akhlaknya, sangat penyayang, tidak hasad dan dengki. Aku tidak tahu sesiapa di zamannya yang lebih kuat ibadah daripadanya. Beliau bersolat sangat lama, memanjangkan rukuk dan sujudnya.. apabila selepas Solat Subuh beliau akan duduk ditempatnya dan berzikir sehingga matahari terbit lalu berkata: “inilah pagiku, jika aku tidak duduk maka hilanglah kekuatanku” (Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Durar al-Kaminah 4/401).
No comments:
Post a Comment