Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Friday, August 27, 2010

Beribadat jangan ikut musim

ARTIKEL MENARIK DARI BLOG

Oleh RAMLI ABDUL HALIM

Membantu individu serta kelompok yang memerlukan seperti anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak harus terhad pada bulan Ramadan sahaja. - Gambar hiasan

SEANDAINYA mahu melihat masjid, surau dan madrasah penuh dengan jemaah, maka bulan puasalah masanya. Malah sesetengah tempat terpaksa didirikan khemah-khemah khusus untuk berterawih.

Lazimnya, yang mengimamkan sembahyang fardu dan sunat terawih sepanjang Ramadan adalah imam-imam import.

Malah rata-ratanya terdiri dari kalangan para hafiz yang mempunyai suara yang baik dan gaya bacaan yang menarik.

Masjid, surau dan madrasah yang imamnya dianggap 'sedap' dan 'berjelira' akan penuh sesaklah dengan para jemaah.

Memilih imam yang betul bacaan dan sempurna tajwidnya memang wajar kerana bukan sahaja membaca dan membaiki bacaan, termasuk membetulkan bacaan al-Quran dengan golongan yang pakar, tetapi mendengar bacaan al-Quran, terutama yang betul bacaannya adalah juga suatu ibadah.

Bagaimanapun kalau pun imam itu seorang tahfiz yang sedap suaranya, ditambah pula dengan pandai berlagu tetapi bacaannya kurang tepat dan tajwidnya tidak betul, apatah lagi kalau bacaan al-Fatihah tidak mengikut cara Rasulullah SAW baca, maka makmum kena menegur. Bacaan al-Fatihah adalah fardu dalam sembahyang.

Yang kena dipilih bukan kerana sedap imam mengalunkan bacaan dengan macam-macam lagu tetapi ketepatan sebutan dan tajwidnya serta niat berterawih itu sendiri atas dasar apa kena diutamakan, kerana tujuan ibadah kepada-Nya atau kerana 'sedap' dan berjelira dengan imam.

Harus diingat bahawa sembahyang fardu atau sunat yang diterima oleh Allah adalah hanya sembahyang kerana Allah, bukan kerana imam yang memiliki ciri-ciri di atas semata-mata.

Kalau sembahyang kerana imam, ia lari daripada tujuan dan konsep sembahyang itu sendiri yang tidak ada kerana lain selain daripada kerana Allah. Niat adalah kunci utama dalam ibadah. Punah niat, punah ibadah. Bila beribadat dalam keadaan punah, layakkah kita mengharapkan pahala?

Dalam pada itu beribadat tidak boleh bermusim, sebaliknya ia kena berterusan dan berkesinambungan mengikut keupayaan kita. Allah dan Rasul-Nya tidak memberatkan kita dalam beribadat. Kita digalakkan beribadat mengikut kemampuan.

Kalau rasa larat dan tidak sampai menyiksakan diri, berterawihlah sehingga 20 rakaat. Tetapi kalau sekadar mampu setakat lapan rakaat, maka buat lapanlah. Kuantiti tidak penting, yang perlu ditekankan adalah kualiti ibadah.

Kalau kerana waktu-waktu masa lalu, menyebabkan kita sekadar hanya hafal surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas, maka berusahalah supaya kita betul-betul hafal surah-surah berkenaan sehingga benar-benar tepat bacaannya.

Paling penting kena dipastikan bacaan al-Fatihah kena betul dan tepat. Ia adalah rukun dalam sembahyang. Tidak betul bacaan al-Fatihah, sembahyang tidak sah.

Tetapi kalau setelah belajar habis-habisan namun sebutan tetap tidak tepat kerana masalah lidah kita, maka jangan berdukacita kerana Allah akan tetap menerimanya sebagai betul asalkan kita tidak berhenti belajar untuk membetulkannya.

Bacalah ayat-ayat yang kita hafal itu sepanjang masa, kecuali pada tempat dan dalam keadaan kita diharamkan membaca ayat al-Quran, kita tetap akan dapat ganjaran pahala yang besar kerana membaca al-Quran. Jangan hanya bersungguh-sungguh sekadar sepanjang bulan Ramadan sahaja.

Kalau sekadar sepanjang bulan puasa sahaja kita tidak lekang daripada membaca al-Quran dan berjemaah di masjid tetapi selepas itu hilang dan sembahyang waktu pun sudah tidak berjemaah lagi dan kita mula isi masa dengan menyanyi dan bersiul, ia akan bersifat seperti mahu menipu Allah.

Mengapa pada bulan puasa kita menjadi pengibadah yang tegar, kita sanggup beriktikaf di masjid dan berqiamullail? Jawapannya, kerana mahu mencari satu malam serba berkat, yakni malam Lailatul-Qadar yang lebih baik daripada 1,001 bulan.

Bila habis Ramadan, maka harapan untuk bertemu Lailatul-Qadar sudah tidak ada, kena tunggu Ramadan akan datang pula. Soalnya apakah masih ada usia kita untuk bertemu dengan Ramadan akan datang?

Lagi pun dari segi logiknya, apakah hanya dengan tegar beribadat sepanjang bulan puasa sahaja maka Allah akan mempertemukan dengan malam yang sangat istimewa itu? Apatah lagi kalau sebaik sahaja habis bulan puasa kita kembali pada tabiat asal, tidak lagi ke masjid melakukan solat berjemaah.

Bagaimanapun daripada tidak buat langsung, lebih baik buat jugalah kerana Allah itu Maha Pemurah. Tetapi sebaik-baiknya kalau mahu jadi pengibadah tegar yang dimulakan pada Ramadan kali ini biarlah ia statik dan berkesinambungan dengan kualiti ibadah yang dipastikan meningkat saat demi saat.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...