Sebuah coretan Buya Hamka bertajuk Lailatul Qadar yang dipetik dari buku bertajuk Renungan Tasawuf: Manisnya Iman.
..........................................................................................................................................................................
Sudah menjadi adat turun-temurun di kampung, bahawa anak laki-laki tidak boleh tidur di rumah. Mesti tidur di surau atau di masjid.
Kalau datang bulan puasa, anak-anak ke surau berbuka bersama orang tua-tua. Yang tua-tua berjemaah mengerjakan shalat tarawih dan anak-anak bertadarus, iaitu membaca Al-Quran secara bergilir, berlingkar, iaitu seraqa’ seorang. Pukul dua malam baru pulang ke rumah untuk membangunkan ibu dan nenek untuk bertanak parak-siang (sahur). Menunggu nasi masak, kami dapat tidur sebentar. Dan setelah makan sahur tersedia barulah kami dibangunkan. Dengan mata mengantuk kami makan. Kadang-kadang baru sahaja selesai makan, kawan-kawan telah memanggil di halaman untuk pergi ke surau lagi.
Biasanya kami tidak tidur lagi sampai Subuh, sesudah shalat Subuh baru kami tidur. Setelah tinggi hari, baru pulang untuk menolong ibu. Petangnya kami bermain layang-layang. Setelah senja baru pulang buat berbuka. Demikianlah hidup kami di kampong selama bulan puasa.
Malam dua puluh tujuh lebih ramai dari yang biasa. Sejak habis berbuka sampai siang, di halaman surau kami bakar tempurung banyak-banyak. Di dinding surau dipasangi dammar-damar (lampu minyak-tanah). Orang tua-tua pun tetap di surau bersembahyang tarawih, berzikir, bermenung menghadapi mihrab.
Waktu masih kecil, guru mengaji Engku Lebai menceritakan, bahawa malam dua puluh tujuh itulah malam Lailatul Qadar. Kata beliau, pada malam itu Malaikat-Malaikat turun dari langit, dikepalai oleh Malaikat Jibril sendiri.
Waktu itu, kata Engku Lebai, sujudlah segala umat semesta; Kayu-kayan, rumah-rumah, gunung-ganang, air pun berhenti mengalir. Seluruh dunia diliputi oleh cahaya lain dari cahaya pelita, lain dari cahaya bulan, lain dari cahaya matahari. Pintu langit terbuka. Ketika pintu langit itu terbuka, maka orang yang dikehendaki Allah akan makbul doanya, melihatlah dia dan tahulah dia bahawa saat itu telah datang. Pada waktu itu bolehlah dia mengemukakan doa kepada Tuhan. Apa sahaja yang diminta akan dikabulkan oleh Tuhan.
Si Salih Sanok, seorang anak bertanya: “Bolehkah kita meminta basikal?”, tanyanya kepada Engku Lebai; (dia bergelar si Salih Sanok, kerana dia pernah muntah-muntah disebabkan terlalu banyak makan Sanok (bubur dalca).
Engku Lebai menjawab dengan suara yakin, “Lebih dari basikal yang diminta akan diberi oleh Tuhan.”
“Pada saat itu juga?” tanya seorang anak lain.
“Pada saat itu juga!” Jawab Engku Lebai dengan yakin.
“Tetapi jarang sekali orang mendapatinya.” Kata beliau selanjutnya. “Kadang-kadang sepuluh orang yang menunggu di satu tempat, hanya seorang yang mendapatnya, sedangkan yang sepuluh tertidur disebabkan sangat mengantuk.”
Itulah cerita yang pertama saya dengar pada waktu kecil tentang Lailatul Qadar. Hal ini saya tanyakan kepada nenek, beliau pun mengiakannya.
Kesan pertama dari cerita ini tidaklah menarik untuk menunggu malam itu. Bagaimana kalau sepuluh orang yang duduk tafakur, belum tentu satu orang yang diberi tahu bahawa waktunya telah tiba? Sungguhpun demikian malam dua puluh tujuh tetap ramai di surau kami. Ibu-ibu banyak menghantarkan sedekah pelbagai juadah dan moreh ke surau. Dan kami tetap membakar unggun tempurung kelapa, dan memasang pelita-pelita di dinding surau.
Sekarang kita telah dewasa, ke mana-mana diarak peruntungan. Telah banyak merantau. Namun masih teringat malam dua puluh tujuh di kampung itu. Konon kebiasaan itu sampai sekarang masih diteruskan, oleh anak-anak yang bagi kita sudah kemenakan, atau anak, mungkin cucu.
Berpuluh tahun telah berlalu, namun cerita Engku Lebai entah yang mempersukar, kita tidak pernah mendapati malam Lailatul Qadar itu, tidak melihat langit terbuka, air berhenti mengalir dan kayu-kayan sujud ke bumi, apalagi rumah.
Lama kemudian, baru kita mengerti bahawa Lailatul Qadar ialah malam Lailatin Mubarakatin. Malam yang diberkati, dan malam yang diperingati. Kerana pada malam inilah mulanya turun Al-Quran ke dunia ini di dalam gua Hira, disampaikan oleh Jibril kepada Nabi kita, Muhammad (s.a.w.).
Nilai ibadat pada malam yang semalam itu, sama dengan ibadat seribu bulan. Sebab edaran siang atau malam tidaklah diukur dengan panjang pendeknya hari, tetapi dinilai dengan bekas yang ditinggalkannya. Kadang 1000 bulan telah dilampau, ertinya 90 tahun, tetapi kosong tidak ada isinya, tidak ada yang penting di dalamnya. Kadang-kadang hanya satu malam sahaja, lima ayat dari surah Al-Alaq, atau Iqra’ turun, 1000 nilainya. Sesudah itu turun lagi, turun lagi. Dalam masa 23 tahun, berjumlah 6236 ayat. Berapa nilainya. Cuba kira!
Mula-mula ketika mendengar cerita Engku Lebai, dikuatkan oleh nenek, kita percaya! Dan selalu mengkhayalkan Lailatul Qadar, sebagaimana yang beliau gambarkan. Setelah mulai dewasa, usia 20 tahun atau 25 tahun, mulailah kita syak wasangka, bahkan menuduh keterangan Engku Lebai itu hanya satu penipuan belaka. Tetapi lambat laun, usia bertambah juga, maka beransur pulalah kita meresapkan kembali tentang Lailatul Qadar itu di dalam gelombang hidup kita.
Hadis-hadis tentang Lailatul Qadar telah kita baca. Di dalam kitab “Fathul Bari”, karangan Ibnu Hajar Al-asqallani, di dalam kitab “Nailul Autar”, oleh Imam Syaukani. Diterangkan tidak kurang dari 45 ulama meriwayatkan tentang Lailatul Qadar. Sejak dari malam 1 Ramadhan, sampai akhir Ramadhan, ada sahaja keterangan-keterangan ulama tentang waktunya Lailatul Qadar. Tidak ada malam yang kosong. Dan Al-Quran sendiri mengistimewakan sepuluh malam yang akhir; malam likuran kata orang Jawa. Imam Sayuti, dikuatkan oleh Syeikh Ahmad Khudari mengatakan malam itu adalah 17 Ramadhan. Tetapi Imam Syafie, mengatakan dua puluh tujuh Ramadhan.
Letakkanlah kitab Hadis kembali, lalu tinjau hidup ini:
“Dapatkah kiranya kita menikmati Lailatul Qadar?”
Renungkanlah hidup yang dilalui, alangkah banyaknya nikmat yang telah dilimpahkan Allah kepada hamba-Nya. Kerapkali kita menginginkan sesuatu, keinginan itu dikabulkan oleh Tuhan. Dan sekali-sekali dicubanya iman kita, ditimpakannya kepada kita kesusahan. Tetapi apabila kita hitung-hitung dan dan banding, namun nikmatnya lebih banyak daripada kesulitan dan penderitaan yang ditimpakannya.
Bandingkan lagi, apabila nikmat datang dan sepintas lalu kita merasa puas, bila dikenang-kenangkan lagi, masih ada kekosongan terasa dalam jiwa. Sesuatu diingini sebelum ada, tetapi setelah ada, kita mengingini lagi yang belum ada. Di mana batasnya?
Bertambah pengalaman hidup ini, bertambah pula terasa memang ada satu hal yang masih dikehendaki oleh jiwa ini. Jiwa terasa kosong bila hal itu tidak dapat. Ada pula rupanya kehausan dalam rohani, pelepas haus itu bukanlah benda. Bukan sahaja diri kita, malah ramai orang-orang di sekeliling kita merasa belum juga lepas dahaga rohaninya, padahal dalam hal benda banyak keinginannya telah tercapai.
Pada suatu ketika, kita bertekur memikirkan diri dan memikirkan Maha Pencipta diri! Kita munajat memanggil Dia. Tuhanku, tarik tanganku, naikkan aku! Pada waktu itu kita lepaskan pengaruh yang lain; dari harta benda, dari yang dicintai, lalu dibulatkan ingatan kepada Yang Satu.
Apa yang terkesan? Di tidak nampak. Tetapi dahaga rohani itu jadi hilang. Kita berasa, bahawa kita ada. Waktu itu sahaja kita rasai, bahawa hakikat hidup ini lain. Hidup hakiki bukanlah semata-mata benda. Kepuasan yang mendalam adalah kepuasan roh! Itulah yang satu kali dinamakan Tumakninah, dan di kali yang lain dinamakan Sakinah!
Setiap waktu kita dianjurkan mencarinya, mencubanya. Syukur kalau sering kita mendapatinya. Shalat lima waktu, ditambah dengan shalat Nawafil (sunat) pun adalah pintu untuk memasuki saat itu.
Puasa Ramadhan lebih-lebih lagi, adalah pintu untuk memasuki suasana itu. Moga-moga entah di malam yang mana, memang terbukalah pintu langit bagi rohani kita. Ibarat kita memutar knop radio, mencari-cari satu stesen gelombang pemancar, padahal banyak gangguan, akhirnya bertemu juga; tidak kita lepas-lepaskan lagi. Sekali bertemu, jadilah, nilainya sama dengan 1000 bulan.
Berusia 1000 bulan pun telah terlalu lama. Jarang manusia yang mencapai usia melebihi 90 tahun. Kalaupun ada, kekuatan sudah tidak ada lagi. Tetapi Tuhan membuka kepada kita saat-saat pendek yang menentukan arah seluruh hidup kita ini.
Pada suatu hari seorang jahiliyah musyrik mencari Nabi (s.a.w.), hendak membunuhnya. Sebab dia memandang Muhammad (s.a.w.) seorang pengacau. Di tengah jalan ada orang bertanya: “Engkau hendak ke mana?” Musyrik itu menjawab, hendak mencari Muhammad, hendak membunuhnya. Kerana telah ramai pemuda-pemuda yang telah sesat dari ajaran nenek-moyang mereka, disebabkan mengikuti ajaran Muhammad. Lalu orang yang bertanya itu menasihatinya, bahawa sebelum mencari Muhammad, pergilah lihat dahulu adik perempuannya yang telah “berubah” pula. Dengan segera dan marah dia pergi ke rumah adik perempuannya itu. Setelah sampai, dilihatnya adiknya sedang membaca sebuah catatan dengan amat khusyuknya, dan suaminya mendengarkan dengan khusyuk pula. Mereka tahu dia masuk, tetapi mereka tidak peduli.
Dengan garangnya, dimintanya catatan itu dari adiknya, dia hendak tahu apa isinya. “Tidak mahu.” Kata adiknya; “Abang tidak boleh, jangankan membaca, menyentuhnya pun tidak.”
Dengan amat murka ditempelengnya adiknya itu, hingga berdarah pipinya dan terjatuh catatan yang dibacanya itu. Catatan itu dikutip oleh orang itu, lalu dibacanya; Pangkal ayat surah Thaha:
“Tidaklah kami turunkan kepada engkau Al-Quran supaya engkau sengsara. Melainkan peringatan bagi orang yang takut. Diturunkan oleh yang menjadikan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu Yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas Arasy.”
(Surah Thaha, ayat 1-5).
Dibacanya ayat-ayat itu dua tiga kali, diulang-ulangnya, maka datanglah suasana yang menentukan arah hidup manusia 1000 bulan itu. Ayat-ayat itu masuk ke seluruh tubuhnya, ke seluruh jiwaraganya. Maka berubahlah mukanya, dia berkata kepada adiknya: “Di mana Muhammad sekarang? Bawa aku kepadanya! Aku akan masuk Islam!”
Itulah Umar bin Khattab!
Seorang pemuda merayap (merayau) malam-malam mencari perempuan yang akan dapat diajaknya berbuat jahat, berzina. Tiba-tiba dilihanya di satu rumah lampunya terang dan kedengaran suara perempuan sedang bernyanyi dengan suara yang merdu. Sudah dia tahu bahawa di rumah itu memang ada perempuan cantik tidak bersuami. Pemuda itu menyelinap masuk rumah itu. Di muka bilik perempuan itu, dia terpeguan melihat rupa perempuan itu yang cantik dan mendengarkan suaranya yang merdu bernyanyi. Rupanya perempuan itu bukan bernyanyi, melainkan membaca Al-Quran dengan sangat khusyuknya. Tepat didengar oleh pemuda itu, ayat:
“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman buat tunduk hati mereka mengingat Allah dan kebenaran yang telah Dia turunkan.”
(Surah Al-Hadid: ayat 16)
Seakan-akan kepadanyalah dipukulkan ayat itu. Padahal wanita itu tidak tahu bahawa ada orang yang mengintipnya. Telah datang saat itu, suatu saat yang mempunyai nilai lebih dari 1000 bulan. Pemuda itu merasakan dalam lubuh jiwanya dan dalam hati sanubarinya akan adanya iman itu, hanya selama ini diselubungi oleh hawa nafsu. Runtuhlah pada saat itu segala angkara syahwat, timbullah kesedaran malu dan lain-lain perasaan lagi dari kemanusiaannya, dengan langkah lambat, dia pun meluncur turun, dia terus ke masjid dan shalat. Sejak malam itu berbubahlah hidupnya sama sekali, 100%.
Itulah orang salih yang terkenal Fudhail bin Ayyad.
Di Bukittinggi kira-kira 80 tahun yang lalu, seorang pemuda parewa (jahat) dikejar-kejar orang kira-kira pukul 3 tengah malam. Dia menyembunyikan diri di tebat di perkarangan sebuah surau. Setelah dicari-cari tidak bertemu. Yang mengejar telah pergi. Dia terus bersembunyi sampai datang waktu subuh. Tiba-tiba didengarnya azan subuh! Demi setiap kalimat azan itu, laksana dituangkan rasanya ke seluruh jiwaraganya. Telah datang kepadanya saat yang nilainya lebih 1000 bulan.
Mulai waktu itu, berbubahlah hidupnya. Kepada ayahnya minta dihantar ke Mekah. Beberapa tahun dia di Mekah, dia pun pulang menjadi Ulama Besar.
Itulah Almarhum Syeikh Muhammad Jamil Jambek.
Dengan bebarapa detik memutar knop radio, kita dapat mendengar suara dari mana-mana pemancar yang kita ingini. Dari Canbera,
Maka untuk mendapat anugerah suasana pendek Lailatul Qadar, yang nilainya lebih dari 1000 bulan, adalah hati yang ikhlas dihadapkan semata-mata kepada Allah. Mulailah dahulu dengan kesedaran adanya diri sendiri, kemudian lihatlah dan renunglah alam sekeliling.
Di sini ada harapan suasana itu akan datang, suasana yang disebut oleh ahli-ahli Tasawuf:
“Tidaklah aku melihat kepada sesuatu, melainkan aku lihatlah Allah sertanya.”
Bukan Wihdatul Wujud! Melainkan Wihdatul Syuhud.
Sedangkan waktu melilitkan serban ke kepala pada waktu shalat subuh, selalu terkenang kepada sahabat yang membawakan serban itu sebagai buahtangan (hadiah) dari Mekah; Apatah lagi buahtangan (hadiah) dari Tuhan!
Orang Buddha menemukan saat bersemadi untuk mencapai Nirwana.
Orang Yogi mempunyai latihan Yoga.
Maka kita orang Islam mempunyai Iktikaf di masjid. Mempunyai pula ibadat selama bulan Ramadhan. Moga-moga dikurniakan “Lailatul Qadar”. Iaitu menurut yang digariskan oleh syarak, menurut Al-Quran dan Sunnah, dengan muhasabah dan muqarabah. Kita mengharap datang saat itu. Bukan kita rasai keadaan yang sebenarnya, iaitu; Dia Ada beserta kita! Bukan beserta Zat dengan Zat, tetapi roh kita merasai dekat dengan Dia. Tidak ada yang mendinding. Sebab mata hati menembus segala dinding.
Tadi dikatakan, kerapkali setelah menerima kenikmatan kebendaan dan keduniawian, kita masih sahaja merasakan masih ada sesuatu yang kosong. Sebaliknya ada pula saat-saat yang kita ditimpa murung dan muram. Tertumbuk jalan, tertutup segala pintu. Tak tampak jalan ke luar. Gelap!
Pernah kita terasa hanyut. Rumput kalau ada tempat berpegang, kita pegang. Pernah kita rasanya jatuh ke lubang yang dalam dan gelap. Akar terjumbai kalau ada, walaupun rumput mahu rasanya kita pergantungi.
Pintu terbuka tidak ada, rumput sarut tak ada, akar berjumbai pun tak ada. Tapi akan teruskah begitu? Pada waktu gelap-gulita malam, tidakkah agak sebuah bintang pun bercahaya? Ada! Saat gelap, sepi, lingau dan muram itu tidak akan lama. Waktu shalat telah tiba. Kita berwuduk dan kita berdiri, takbir, ruku dan sujud. Sehabis shalat kita dapat tafakur sejenak. Kita dapat bercakap, bersahut-sahutan dengan diri sendiri.
Apa yang engkau renungkan? Hai diri! Lupakah engkau bahawa engkau ber-Tuhan? Dan Dia selalu ada dekat denganmu? Dari kandungan sampai engkau lahir, siapa yang memelihara engkau? Siapa yang menimbulkan air susu pada ibumu? Siapa yang menangis mulai sahaja keluar dari rahim, bersama tangis itu pula tumbuh kasih-sayang ibumu padamu, siapa yang menumbuhkan kasih-sayang itu?
Cuba engkau fikirkan kembali, berapa kali kesusahanmu yang telah dilepaskannya? Begini baru perasaan yang menimpa dirimu, engkau telah merengek. Bagaimana sebenarnya hubunganmu dengan Tuhan? Apakah hubungan cintamu kepada Tuhan hanya sekadar untuk kesenangan? Demi tiba sedikit cubaannya, engkau telah mengeluh? Mana tahu ujiannya yang sekali ini adalah ujian tulen atas lancung kasihmu kepadanya?
Mengapa begitu sayang?
Air mata pun titik! Kata Nabi (s.a.w.), air mata seorang bila telah titik mengenang Tuhannya, itulah tali penghubung antara bumi dan langit.
Setelah selesai menanya diri, memang ada rasanya yang terbuka. Dada jadi lapang, Nur memnuhi kalbu, pintu langit terbuka rasanya. Bukit dan kayu-kayan di hutan turut rasanya bersujud. Dibawa tidur, tidur pun nyenyak. Tenteram telah memenuhi jiwa. Saatnya itu pendek, tapi nilainya lebih dari 1000 bulan.
Terasalah pada waktu itu, Allah dekat sekali; Allah ada bersama kita. Kita tidak berdiri sendiri, kita tidak hanyut, kita tidak jatuh ke dalam lubang yang dalam. Dia melihat kita, Dia tersenyum penuh kasih memandangi kita. Sehingga terasa bahawa kasih antara kita dengan Dia, bukan lagi bagai parang yang tajam sebelah.
Pandangan kita kepada orang lain, yang ada sangkut-pautnya dengan prihidup kita pun berubah. Jika mendapat keuntungan dari pertolongan seseorang, maka kepada Allahlah kita mengucapkan syukur yang sebenarnya, kerana Allah telah memakai orang itu buat saluran nikmat-Nya kepada kita. Dan kita pelihara hubungan silaturrahim dengan orang itu dalam rangka mensyukuri nikmat Allah itu. Tetapi bukanlah kepada orang itu kita menghambakan diri dan mengorbankan peribadi.
Sebaliknya, jika ada orang yang dengki kepada kita, berbuat jahat kepada kita, berlaku curang, membuat fitnah, mengarangkan dusta untuk mencelakakan kita, dendam kita hilang berganti dengan keinsafan bahawa dia hanya alat sahaja dan Tuhan di dalam Tuhan melangsungkan ujian kepada kita. Rasa bencinya tidak kita sambut dengan benci pula. Malahan doalah yang timbul moga-moga dia diberi petunjuk dan dihindarkan dari bahaya kerana telah biasa bahawa orang yang menggali lubang buat mencelakakan orang lain, akhirnya dia sendiri yang menimbun lubang itu dengan dirinya.
Inilah kekayaan jiwa yang timbul bilamana kita telah merasai suasana “Lailatul Qadar” itu. Hanya sejenak tetapi nilainya lebih dari 1000 bulan. Sehingga di dalam menghadapi mujur dan malang itu, hanya satu yang kita ingat, iaitu Redha.
Penderitaan menjadi pemupuk kekayaan jiwa. Gelombang dan angin badai yang demikian dahsyatnya tadi berganti dengan lautan yang tenang dan langit yang cerah.
Pintu gerbang untuk memasuki ketenteraman jiwa dan Halawatul Iman, kelazatcitaan rasa percaya kepada Tuhan itu, ialah Doa.
Setelah berdoa! Mohon kepadanya apa yang engkau ingini. Doa itu sendiri sudah ibadat. Apabila seseorang telah bertekun berdoa, jelaslah kelihatan betapa seorang hamba yang menyedari kepapaannya tengah mengadukan perasaannya kepada Tuhannya Yang Maha Kaya. Dan yang sebaik-baiknya doa ialah menyerahkan kepada-Nya apa yang patut Dia berikan. Dan kalau hendak memilih juga, sebaiknya pilihlah kekayaan yang kekal dunia-akhirat. Jangan tanggung-tanggung! Mintalah:
“Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.”
Contohilah doa Siti Asyiah, permaisuri Firaun, yang telah berani menegakkan iman di tengah-tengah syirik. Tinggal di dalam istana indah, tetapi hatinya tidak lekat di sana.
Dia berdoa, bunyinya:
“Tuhan! Bangunkan untukku sebuah rumah di sisi Engkau dalam syurga.”
(Surah At-Tahrim: Ayat 11)
Siti Asyiah, permaisuri Firaun, tidak meminta emas-perak, tidak meminta istana yang indah, tidak meminta benda. Pengelaman-pengalamannya sebagai isteri raja besar, sudah cukup pahit, kemegahan dunia ini hanya laksana memakan buah limau – manis sahaja. Pahit peninggal.
Dia memohon dibuatkan rumah di syurga, di tempat aman damai; tak ada umpat-puji, tak ada gunjing dan kata-kata bohong. Keinginannya hanya sebuah rumah di alam lain, tidak di dunia ini, dan dekat dari Tuhan.
Demikianlah jika telah dilatih dekat dengan Tuhan, maka yang dimohon kepada Tuhan di dalam doa pun jadi setaraf dengan jiwa yang telah mencapai mustawa itu.
Sebab itu, maka jiwa yang tidak terlatihlah yang kerapkali sumbang doanya kepada Tuhan.
Doa, tidak engkau pandai berdoa bahasa Arab, berdoalah dalam bahasa ibumu. Syarat utama dari doa ialah hati yang ikhlas.
Tegakkanlah selalu Allah di dalam hati. Bertemanlah dengan orang-orang salih suasana “Lailatul Qadar” itu, semalam yang lebih bernilai dari 1000 bulan itu. Engkau akan mendapat jiwa yang tenteram, kepuasan rohani, kebahagiaan akhirat, dan redha Allah:
“Wahai jiwa yang telah mencapai ketenteramannya, pulanglah kembali kepada Tuhanmu, dalam keadaan redha dan diredhai. Maka masuklah dalam golongan hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”
(Surah Al-Fajr: Ayat 27-30)
Engkau akan mendapat saat yang pendek yang akan menentukan jalan hidupmu selanjutnya. Sependek saat penyembah berhala Umar bin Khattab membaca surah Thaha dari catatan adiknya itu, yang merubah hidupnya menjadi sebagai apa yang dikatakan Rasulullah (s.a.w.):
“Sesudahku tidak ada lagi Nabi. Kalau ada Nabi sesudahku, Umarlah yang patut menjadi Nabi.”
Atau sependek saat pemuda nakal Fudhail bin Ayyadh mendengar perempuan cantik membaca Al-Quran, hingga merubah hidupnya menjadiseorang Zahid yang besar.
Atau sependek saat parewa Minang si Jamil Sutan Maleko mendengar azan subuh, yang merubah jalan hidupnya menjadi Syeikh Muhammad Jamil Jambek.
Wahai kalau kepada kita terbuka hijab itu dan dianugerahi saat itu, alangkah kayanya kita. Syeikh At-Taifah, Junaid anak
“Kalau sekiranya raja-raja tahu apa yang kita simpan ini, mungkin dipotongnya leher kita dengan pedang.”
Saya tahu saudara bertanya: “Kalau begitu, Lailatul Qadar tidak khusus di dalam bulan puasa sahaja.”
Memang tidak, saudara! Bahkan pada zaman lain dan tempat lain, di dalam Ramadhan dan di luar Ramadhan, insyaAllah kita pun dapat merasakan suasana Lailatul Qadar. Entah di belakang jenazah yang sedang dibawa ke kubur, entah di jalan sepi di dusun yang jauh, entah tentera sedang berpalaton di hutan belantara, entah di tengah kesibukan lalu-lintas di
“Turun Malaikat dan roh padanya, dengan izin Tuhan mereka membawa dari tiap-tiap perintah.”
Ertinya membawa bingkisan dan nikmat rohani untuk sesiapa yang Dia kehendaki dan membahagi-bahagikannya.
Kemudian
“Sesungguhnya orang-orang yang berkata “Tuhan kami adalah Allah”. Kemudian tegak lurus dengan pendiriannya itu, akan turun kepada mereka Malaikat (menyampaikan kata); bahawa janganlah kamu takut dan jangan berdukacita dan terimalah berita gembira, iaitu syurga yang telah dijanjikan untukmu.”
(Surah Fushshilat; ayat 30)
Ayat ini menjadi petunjuk, bahawa suasana “Lailatul Qadar” pun ada di luar Lailatul Qadar. Suasana itu adalah anugerah Ilahi kepada hambanya. Yang utama bagi kita sebagai hamba ialah berusaha, memasang jerat untuk menangkap suasana itu. Siapa yang ingin belut, pasanglah lukah di rawa. Siapa yang ingin air pergilah ke perigi, jangan ke
Pada saat-saat sepi manusia tidur itu, di cakerawala selalu ramai, ramai dengan Malaikat-Malaikat yang naik menyampaikan doa orang yang memohon, dan turun menghantarkan Ijabah. Dia menyampaikan semacam perintah Ilahi, sebagai tersebut di dalam Hadis Qudsi:
“Wahai; Mana yang memohon, akan Ku-beri. Wahai; Mana yang meminta ampun, akan ku Ampuni”.
Demikianlah! Suasana “Lailatul Qadar” ada juga di luar Lailatul Qadar. Tetapi dengan ayat-ayat yang istimewa Tuhan Allah menganjurkan kita mengintai “Lailatul Qadar” di dalam bulan puasa (Ramadhan). Sebab syarat-syarat buat mendapatkannya lebih lengkap pada waktu itu daripada hari-hari dan bulan-bulan yang lain. Sebab pada siangnya, sebulan penuh kita telah beribadat dengan puasa. Dan malamnya, sebulan penuh kita telah melakukan Qiyamullail dan membaca Al-Quran.
Dengan tegas seketika Tuhan Allah menurunkan wahyu tentang puasa, Tuhan berfirman:
“Dan apabila ditanya kepada engkau oleh hamba-Ku perihal Aku, maka Aku adalah dekat. Aku perkenankan permohonan yang memohon, bila dia memohon kepada -Ku. Sebab itu sambutlah panggilanku dan percayalah semua kepada-Ku. Supaya mereka mendapat jalan yang benar.”
(Surah Al-Baqarah: ayat 186)
Dengan tegas pula Nabi Muhammad (s.a.w.) menjelaskan:
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan iman dan menghitung-hitung kelalaian diri, akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.” Menurut satu riwayat lagi: “Dan dosa yang akan datang.”
(Hadis: Dirawikan oleh Bukhari dan Muslim).
Dengan kedua-dua keterangan ini, Al-Quran dan Hadis, maka teranglah bahawa kesempatan berbahagia ini, dibuka luas pada bulan puasa, bulan Ramadhan , malam Lailatul Qadar.
Ada pula teman bertanya: Apa benarkah seluruh kayu di hutan, gunung-ganang, bahkan rumah-rumah bersujud pada waktu itu? Kalau memang benar, adakah kiranya orang-orang salih itu yang pernah menceritakan bahawa dia pernah melihat atau mengalami? Apakah ini hanya dongeng sahaja?
Waktu masih muda, memang kita merasa-rasa, kalau-kalau cerita Engku Lebai yang waktu kecil di surau itu memang barangkali hanya dongeng sahaja. Tetapi sekarang, Astaghfirullah! Mohonlah ampun kepada Tuhan. Sekarang dan Insya Allah, bahawa ini bukan dongeng Engku Lebai, tetapi benar-benar firman Tuhan. Cubalah baca Surah Al-Hajj, ayat 18:
“Tidakkah engkau lihat, bahawasanya Allah itu, sujud kepadanya siapa-siapa yang ada di semua langit dan siapa-siapa yang ada di bumi, matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, pohon-pohon, haiwan-haiwan dan ramai dari manusia. Tetapi ramai pula yang pantas azab menimpa atasnya. Dan barangsiapa yang dihinakan oleh Allah, tidak ada siapa pun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah berbuat apa yang dikehendaki-Nya.”
(Surah Al-Hajj: ayat 18)
Keterangan begini terdapat juga di Surah Ar-Ra’ad (ayat 16). Tersebut pula dalam surah An-Nahl (ayat 49). Tersebut juga dalam surah Ar-Rahman (ayat 6).
Kalau di dalam ayat ini Tuhan Allah bertanya: “Apakah tidak engkau lihat?” Ertinya ialah menyuruh melihat. Mungkin secara mudah orang akan berkata:
Saya sudah berkali-kali cuba melihat, namun dia tidak juga kelihatan. Apa sebab? Sebab saudara memakai alat pelihat benda yang sangat terbatas ini, untuk melihat alam rohaniah yang begitu luas, selamanya saudara akan gagal! Sedangkan sarjana atom, melihat atom tidak dengan mata, bahkan tidak dengan microscope. Mengapa alam rohaniah hanya akan dilihat dengan mata? Kalau begitu kasihan Ibnu Ummi Maktum, Muazzin Rasulullah di samping Bilal, yang tiap pagi sebelum orang bangun, telah tiba di masjid.
Surah Abasa (surah ke 30) adalah kehormatan buat dirinya. Beliau buta! Kasihan orang-orang seperti beliau tidak akan melihat seluruh alam bersujud kepada Tuhan.
Memang, ayat ini banyak menerangkan manusia yang bersujud bersama matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, kayu-kayan dan binatang-binatang melata. Orang-orang inilah melihat segala sesuatu itu sujud kepada Tuhan. Orang-orang inilah yang menikmati suasana “Lailatul Qadar”. Sebab pada saat itu orang-orang itu telah bersatu dengan alam, dan dia telah melihat dengan rohaninya. Tetapi ramai pula manusia tidak melihat semuanya itu, sebab hanya mata pelihat bendanya ini sahaja yang melihat mata batinnya, mata untuk melihat alam rohaninya buta!
Jangankan melihat matahari dan bulan sujud, melihat orang sujud pun dia jarang atau tidak pernah sama-sekali. Dan dia sendiri pun jarang sujud atau tidak pernah.
Tentang pertanyaan, adakah orang-orang salih yang melihat suasana Lailatul Qadar itu dan menceritakan apa yang dilihatnya? Tentu sudah menjawabnya. Kita sebagai Muslim, amat percaya telah banyak orang melihatnya. Tetapi tidaklah akan mudah hal itu diceritakan, menceritakan pengalaman rohaniah itu, terutama kepada insan yang dipesona oleh kehidupan kebendaan. Sampai orang-orang Sufi ada yang berkata:
“Kalau diceritakan apa yang aku alami, aku akan dituduh gila”
Cuma ada beberapa yang menerangkan serba sedikit. Tentu tidak mencukupi.
Asy-Syakrani, menamakan suasana itu, “Kehidupan Hati”. Dia berkata:
“Apabila engkau ingin hatimu hidup, iaitu hidup yang tidak ada mati sesudahnya lagi, maka keluarlah engkau dari menyandarkan harapan kepada makhluk. Matikan hawamu dan iradatmu. Pada waktu itulah engkau mulai akan diberi oleh Allah hidup yang sejati, hidup yang tidak ada maut sesudahnya lagi. Kaya yang tidak ada miskin sesudahnya lagi. Pemberian yang tidak ada terhenti-henti lagi. Lalu diangkatnya nilai engkau dalam hati hamba-hamba-Nya. Sehingga engkau tidak akan hina lagi untuk selama-lamanya.”
Jalaluddin Rumi; Menamakannya sebagai “Diri yang telah terjual”. Dia berkata:
“Allah telah membeli jiwa kita, untuk Dia. Bayarannya ialah syurga. Sebab itu tidak seorang pun yang dapat membelinya dan menawarnya sampai akhir zaman. Suatu barang tidak boleh dijual dua kali.”
Tetapi orang-orang salih yang lain tidak dapat menceritakan. Mereka hanya berkata:
“Cubalah sendiri. Siapa yang belum mencuba, belum mengenalinya. Lafaz adalah ungkapan dan makna, namun banyak makna yang tidak dapat diungkap dengan lafaz.”
Mendenging-denging kembali ucapan Engku Lebai yang kita dengar waktu kecil di surau dahulu itu:
“Kayu-kayan, rumah-rumah, gunung-ganang sama sujud, air pun berhenti mengalir! Seluruh dunia diliputi oleh cahaya, lain dari cahaya pelita, lain dari cahaya bulan, lain dari cahaya matahari. Pintu langit terbuka! Ketika pintu langit itu terbuka dan orang yang dikehendaki Allah akan makbul doanya. Melihatlah dia dan tahulah dia saat itu telah datang.
Dahulu kita terima sebagai sebuah dongeng yang indah. Setelah itu kita sangsi. Akhirnya percaya dengan segala kerendahan hati.
Sekarang datang waktunya. Ramadhan datang!
Kita puasa, kita tarawih, kita baca Al-Quran.
Dan kita mengintai suasana “Lailatul Qadar”. Yang lebih tinggi nilainya dari 1000 bulan.
Tamat…
Allahyarham Hamka juga pernah mendiami dalam tahanan (jel) beberapa tahun, iaitu ketika berkuasanya orde Lama, kerajaan Soekarno.
Ketika itu dia menderita sakit sehingga untuk waktu yang lama dalam status sebagai orang tahanan dihabiskannya di hospital. Pada bulan puasa Ramadhan, dia menulis satu karangan berjudul “Lailatul Qadar” dimuatkan dalam Majalah Gema Islam, 1965, tanpa mencantumkan namanya.
Karangan ini merupakan renungannya mengenai cerita-cerita tentang Lailatul Qadar yang didengarnya sejak masa kecil di kampung. Dan dalam usia tua, juga dalam suasana kesepian sebagai seorang tahanan, Hamka mencari pengertian-pengertian hakiki dari kisah Lailatul Qadar yang didengarnya di surau pada waktu masih kanak-kanak itu.
No comments:
Post a Comment