Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Wednesday, August 18, 2010

Kepentingan ilmu Usul Fiqh

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN


Kewajipan menunaikan zakat adalah perintah Allah SWT ke atas sekelian umat Islam.-Gambar hiasan

ILMU Usul Fiqh telah lama berkembang dalam dunia kesarjanaan Islam. Teori pembangunan Usul Fiqh telah bermula sejak kewafatan baginda Rasulullah SAW sehingga ke hari ini.

Ini kerana, semasa hayat baginda, tidak memerlukan kepada ilmu Usul Fiqh kerana memadai Rasulullah sebagai pemutus dalam segala permasalahan yang berlaku semasa itu.

Namun, setelah Rasulullah wafat, sahabat-sahabat perlu berijtihad dalam mengeluarkan hukum mengikut garis panduan yang telah diajar oleh Rasulullah semasa hayat baginda.

Didikan dan tunjuk ajar Rasulullah terhadap sahabat-sahabat untuk berijtihad dapat kita perhatikan melalui sebuah hadis tentang dialog Rasulullah dengan Muadz bin Jabal r.a: "Dari Muadz ibn Jabal r.a. bahawa Nabi SAW ketika mengutusnya ke Yaman, Nabi bertanya: "Bagaimana kamu jika dihadapkan permasalahan hukum? Dia berkata: "Saya berhukum dengan kitab Allah".

Nabi berkata: "Jika tidak terdapat dalam kitab Allah?" Dia berkata: "Saya berhukum dengan sunnah Rasulullah SAW". Nabi berkata: "Jika tidak terdapat dalam sunnah Rasul SAW?" Dia berkata: "Saya akan berijtihad dan tidak berlebih (dalam ijtihad)".

Maka Rasulullah SAW memukul ke dada Muadz dan berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah sepakat dengan utusannya (Muadz) dengan apa yang diredai Rasulullah SAW." (riwayat al-Thabrani)

Melalui hadis tersebut, kita dapat memahami bahawa terdapat sahabat-sahabat yang diberikan mandat untuk berijtihad sewaktu hayat baginda lagi khususnya yang berada jauh daripada Nabi. Ini disebabkan ketinggian ilmu yang ada dan kesukaran untuk merujuk kepada baginda.

Justeru, selepas wafatnya nabi, para sahabat tidak memerlukan ilmu Usul Fiqh kerana jarak mereka yang hampir dengan zaman Rasulullah. Mereka juga memahami secara mendalam bahasa Arab serta mengetahui sebab nuzul Quran dan sebab wujud hadis.

Pada zaman tabi'in, telah mula perluasan kuasa kerajaan Islam. Masyarakat Islam mula dihantar untuk menjadi gabenor atau amir di negeri-negeri yang telah dibuka dalam melancarkan lagi proses berijtihad dalam membuat keputusan.

Namun, para tabi'in biasanya tidak mempunyai masalah untuk berijtihad kerana jarak masa mereka dengan Rasulullah tidak terlalu jauh. Mereka juga berguru dan meriwayatkan hadis-hadis daripada para sahabat.

Justeru, kefahaman mereka terhadap dalil-dalil yang terkandung dalam al-Quran atau hadis masih mendalam di samping kecekapan mereka dalam memahami bahasa Arab.

Keadaan itu berterusan sehingga zaman Tabi' Tabi'in. Pada zaman ini, berlakunya perluasan kuasa dengan lebih pesat lagi sehingga mereka yang dihantar ke negeri-negeri tersebut sukar untuk merujuk kepada ulama-ulama yang muktabar disebabkan mereka dipisahkan dengan jarak lokasi yang agak jauh. Maka pada waktu itu mereka memerlukan kepada kaedah tertentu untuk memudahkan mereka mencari penyelesaian kepada masalah-masalah yang berlaku terutamanya yang tidak disebut hukumnya dalam al-Quran dan hadis.

Menyedari tentang hakikat itulah, maka Imam Syafie atau nama sebenarnya Abu Abdullah Muhammad ibn Idris ibn Abas ibn Usman ibn Syafi' ibn 'Ubaid ibn Abdu Yazid ibn Hashim ibn Mutalib ibn Abdu Manaf (meninggal 820M) telah mengambil inisiatif menyusun ilmu Usul Fiqh sebagai disiplin ilmu yang tersendiri.

Dari usaha yang telah dibuat oleh beliau, maka terhasillah sebuah karya agung yang menjadi rujukan para ulama dalam berijtihad iaitu Al-Risalah.

Setelah itu, ilmu Usul Fiqh semakin berkembang dan menjadi satu kaedah yang membantu para ulama dalam membuat ketetapan hukum bagi sesuatu masalah yang berlaku di kalangan mereka. Ini untuk memastikan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama sejajar dengan maqasid Syariah iaitu untuk membuka maslahah (kebaikan) kepada manusia dan untuk menutup segala ruang kemudaratan (keburukan) daripada berlaku.

Bermula dari detik itulah, maka masyarakat awam mula berjinak dengan ilmu Usul Fiqh. Ia bukan lagi menjadi sebuah ilmu yang eksklusif untuk golongan yang bergelar ulama sahaja. Bahkan, ia dapat dihayati dan difahami oleh mereka yang mengkaji walaupun tidak mempunyai kelayakan untuk melakukan ijtihad.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...