Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Sunday, November 13, 2011

Sedia Berkorban Demi Cinta - Hakikat Pengorbanan Sebenar




Berkorban bererti kesanggupan memberikan dengan ikhlas sesuatu amat disayangi kepada orang lain supaya dapat memberi manfaat kepada orang itu. Antara peristiwa mengesankan hati ialah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang mengajar supaya taat perintah, beriman dan berserah kepada Allah.

Berkorban untuk mendapat cinta Ilahi adalah kesanggupan yang tiada galang gantinya, berkorban untuk keredaan-Nya juga tidak mampu dilakukan setiap hamba, malah pengorbanan menuntut desakan hati yang kasihnya hanya pada Yang Esa.

Kerana kuasa ‘korban’ yang begitu besar, sering kali ada bertanya, apakah ganjaran berkorban?

Daripada Zaid bin Arqam, katanya suatu hari sahabat Rasulullah SAW bertanya yang bermaksud: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Jawab Rasulullah: Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim.

Mereka berkata: Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka berkata: Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Hadis ini mengingatkan kita kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup bergadai nyawa demi reda Ilahi dan akur bahawa setiap khazanah bumi hanyalah milik Allah dan Dia berhak mengambil serta menganugerahkan apa saja.

Kitab Tafsir Ibn Kathir merakamkan pada awalnya, Nabi Ibrahim tidak dikurniakan zuriat walaupun Baginda sudah lanjut usia. Namun Baginda tidak pernah berputus asa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat.

Maka dengan kuasa Allah yang tidak dapat diduga, Baginda dikurniakan cahaya mata pertama bernama Ismail. Selepas Nabi Ismail meningkat remaja, satu ujian berat diturunkan Allah SWT ke atas dua beranak itu dengan tujuan menguji keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah.

Allah SWT memerintah Nabi Ibrahim menyembelih putera kesayangannya. Walaupun berat hati Nabi Ibrahim menyatakan perintah Allah kepada anaknya, Ismail, tetapi ia adalah perintah Allah SWT yang wajib dilaksanakan.

Dengan hati sedih, Nabi Ibrahim menyatakan perintah Allah itu kepada Nabi Ismail, namun tiada apa yang mengejutkan Nabi Ismail sebaliknya berkata: “Wahai bapaku laksanakanlah apa diperintahkan oleh Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan orang yang sabar.”

Ada dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar, iaitu seorang ayah terpaksa mengorbankan perasaan cinta dan kasih kepada anak yang sudah lama ditunggu-tunggu dengan ‘mengorbankannya’, demi kepatuhan dan keredaan terhadap perintah Allah SWT.

Seterusnya, ketaatan dan keyakinan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasih kepada ibu dan ayahnya serta keseronokan zaman remajanya, malah sanggup mengorbankan nyawa sendiri, semata-mata taat terhadap perintah Allah dan perintah seorang ayah.

Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah SWT yang tidak berbelah bahagi. Sebab itulah, seandainya seorang Muslim itu mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT iaitu imam yang adil, pemuda yang mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata :

"Sesungguhnya aku takutkan Allah, lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian.” (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya cinta daripada Allah ada sumber cinta yang paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta mereka kepada Allah tanpa ragu-ragu.

Baginda mengetahui bukan mudah meletakkan cinta pada pemiliknya tetapi keyakinan terhadap Ilahi memungkinkan segala-galanya dan ia hanya akan dimiliki oleh sesiapa yang sudah cukup kenal Allah SWT.

Menurut Imam al-Ghazali, makrifah (ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta kerana cinta tanpa makrifah tidak mungkin berlaku. Manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya saja. Sebab itulah kita perlu rasional memilih cinta yang sementara supaya ia tidak mengatasi cinta yang kekal sampai bila-bila.

Takut mengorbankan dunia kerana akhirat pernah menjadi peringatan kepada setiap muslimin. Sifat tamak terhadap cinta dunia yang lumayan menjerumuskan kita ke lembah sia-sia, tiada apa pun yang menjadi milik kita, walau pasir sebesar zarah.

Justeru, biarlah peristiwa 10 Zulhijjah yang mengimbau sebuah pengorbanan menjadi zikir untuk kita menetapkan hati sentiasa beringat bahawa segala khazanah dunia ini pemiliknya hanya satu saja dan kita perlu sentiasa bersedia berkorban apa saja.

Sumber

Wednesday, October 19, 2011

Dari Allah Tuhan semesta Alam

Firman Allah di dalam Al-Quran...

Bismillahir rahmaanir rahiim...



A021
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. (Al-Baqarah 2:21)

A022
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). (Al-Baqarah 2:22)

A023
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. (Al-Baqarah 2:23)

A024
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir. (Al-Baqarah 2:24)

A025
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya. (Al-Baqarah 2:25)

Saturday, August 20, 2011

Al-Quran Mukjizat Terbesar Sepanjang Zaman

Menarik dari blog Sebuah Kehidupan

Mukjizat terbesar yang diturunkan kepada manusia

Sebelum menjadi Rasul, Nabi Muhammad saw telah diberi gelar Al-Amin, yang bermaksud terpercaya, tidak pernah berdusta.

Rasulullah Muhammad SAW banyak mempunyai mukjizat yang nyata iaitu dapat dilihat dengan izin Allah iaitu:

  • Memahami bahasa binatang seperti Nabi Sulaiman
  • Memerintah bumi dan pohon seperti Nabi Musa
  • Diberi mukjizat seperti Nabi Ibrahim
  • Anak yang meninggal bangkit hidup kembali
  • Menyembuhkan orang buta sejak lahir
  • Menyembuhkan orang lumpuh sejak lahir
  • Menyembuhkan orang cacat sejak lahir
  • Mengetahui isi hati orang disekelilingnya
  • Memberi makan kepada beribu orang dengan sedikit makanan
  • Memberi minum kepada beribu orang dengan setitis air
  • Mengeluarkan air ditengah-tengah padang pasir
  • Mengeluarkan air dari celah jari untuk wuduk puluhan ribu orang
  • Menyembuhkan puteri raja yang cacat tanpa tangan dan kaki
  • Membelah bulan menjadi kepada 2 bahagian. Kejadian ini telah dibuktikan oleh para angkasawan Amerika - Kisahnya di sini.
  • Mengetahui apa yang telah terjadi
  • Mengetahui apa yang sedang terjadi
  • Mengetahui apa yang akan terjadi
  • Melihat apa yang dibelakangnya seperti dari depan
  • Musuh tidak mampu membunuh beliau
  • Bumi menelan orang yang hendak membunuh beliau
  • Musuh tidak dapat melihat beliau
  • Menidurkan puluhan musuh
  • Musuh berdiri kaku tidak dapat menghunuskan pedang
  • Tidak dapat dibunuh musuh
  • Rombongan berkuda para sahabat dapat menyeberang laut tanpa basah dan tanpa menyentuh air ketika mengejar gerombolan musuh yang melarikan diri dengan kapal layar

Begitu banyak bukan. Mungkin sukar untuk kita percaya kalau kita dilahirkan bukan dalam Islam. Sepertimana kita tidak percayakan keajaiban Siddhartha Guatama Buddha. Ada juga sebilangan muslim yang tidak percayakan mukjizat ini kerana belum pernah membaca hadis-hadis sahih bukhori dan Sahih Muslim ataupun Shahih Ahmad yang lengkap, bukannya dari ringkasan hadis.

Sukar bagi mereka untuk mempercayai mukjizat Muhammad saw

Abu Bakar RA bertanya: Ya Rasulullah, adakah zaman dimana muslim memiliki iman yang lebih tinggi dibandingkan dengan kami?

Rasulullah Muhammad SAW bersabda:

Wahai Abu Bakar, apa yang menghalangimu untuk percaya padaku sedangkan wahyu masih turun dan aku masih berada ditengah-tengah kamu sementara kamu semua menyaksikan sendiri mukjizat-mukjizat yang diberikan kepadaku? Tetapi di akhir zaman, ada segolongan ummatku yang mereka sama sekali tidak pernah melihatku, mereka tidak pernah hidup disampingku dan mereka hanya mendengar cerita tentangku tetapi mereka percaya kepadaku, merindukanku, mencintai Allah, mencintaiku, beriman pada Allah dan beriman pada kerasulanku. Iman merekalah yang lebih tinggi dibandingkan dengan kamu semua".

Tetapi semua itu telah beralu. semua itu hanya tinggal cerita. semua itu hanya dapat kita dengar sahaja. semua itu tidak dapat kita lihat sendiri. Sukar bagi sesetengan orang untuk mempercayai apa yang tidak dapat dilihatnya.

Akan Tetapi

Al-Qur'an, sebuah buku yang banyak mengandungi keajaiban ayat yang baru dapat dibuktikan secara nyata oleh ilmu pengetahuan dan bahkan alat moden tercanggih abad ini, telah dinyatakan di dalam Qur'an 1400 Tahun yang lalu.

Al-Qur'an ialah mukjizat sepanjang masa. Diakui Qur'an mempunyai ilmu kesusasteraan yang terindah. Keindahan bahasa dan hikmah didalamnya sangat sempurna.

Al-Qur'an ialah keajaiban dari keajaiban. Dari segi matematik, Qur'an ialah keajaiban matematik. Di segi Kimia, Qur'an telah mendahului. Dari sudut astronomi, Quran telah membuktikan kebenaran sebelum orang lain mengetahuinya.

Fahamilah Al-Quran, sesungguhnya setiap ayat mengandungi mukjizat

Di masa Ilmu pengetahuan berada pada tahap tertinggi, tidak ada satupun dari ayat Qur'an yang bertentangan dengan ilmu pengetahuan, malah ayat Qur'an menyatakannya secara terperinci.

Bahasa Arab iaitu bahasa Al-Qur'an ialah bahasa yang paling sukar di dunia, kerana satu perkataan mempunyai banyak maksud, bahkan dalam 1 perkataan jantina dapat memberi maksud lelaki pada salah satu suku arab, tetapi bermaksud wanita pada suku lain.

Tidak seperti kitab lain yang telah kehilangan bahasa aslinya seperti naskah tertua dari Alkitab Kristian (Bible) Perjanjian Baru ialah di dalam bahasa Greece (Yunani), padahal Nabi Isa a.s. menggunakan bahasa Ibrani.

Kebenaran Al-Qur'an ini masih dapat kita lihat di hadapan kita sendiri. Sebagai mukjizat yang tetap hidup selamanya.

Sebuah Kitab yang mengaku dari Allah swt harus berani dihadapkan dengan segala macam permasalahan, segala zaman, segala segi, segala sisi, dari sudut manapun dan harus sepanjang zaman membawa kebenaran.

Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya (Al-Qur'an), ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.
(Qs.41 Fussilat:42)

Dari segi sastra, matematik, astronomi, psikology, sains, tata negara, muamalat, ekonomi, jumlah surah, jumlah ayat, jumlah kalimat, jumlah huruf, biologi, astronomi, fizik, kimia, geologi, geografi, segala ilmu, segala abad, sejak penciptaan alam semesta, masa lalu, masa kini, masa depan, sehingga masa kiamat dan kehidupan setelah kiamat sekalipun, semuanya dinyatakan di dalam Al-Qur'an.

Zaman ini merupakan zaman ilmu pengetahuan, adakah Qur'an, Bible ataupun kitab-kitab lain dapat mengikuti perkembangan zaman?

Maka adakah mereka tidak memperhatikan Al Quran? Kalau sekiranya Al Quran itu bukan dari Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.

Ramai orang bukan Islam bertanya, mengapa mukjizat hanya berupa sebuah buku dari orang buta huruf yang datangnya dari tengah padang pasir pada zaman jahiliyyah?

Sebuah mukjizat terbesar berupa sebuah buku yang diturunkan melalui seorang Al-Amin (tidak pernah berbohong) yang tidak dapat membaca di zaman kuno kepada umat terakhir yang pintar dan kadar celik hurufnya amat tinggi. Siapa lagi yang mewahyukan jika bukan pencipta alam semesta.

Dan katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap". Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.
(Qs. 17 Israa':81)

Sesungguhnya masih banyak bukti untuk membahaskan ayat ini. Bukti diatas sudah cukup untuk orang berfikir menggunakan akal. Nabi Isa a.s. pun menyuruh agar umatnya mengutamakan dan mengedepankan akal dalam menyembah Allah swt.

Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu dan dengan segenap kekuatanmu.
(Markus 12:30)

Jawab Jesus kepadanya: "Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu.
(Matius 22:37)

Jawab orang itu: "Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap kekuatanmu dan dengan segenap akal budimu, dan kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri."
(Lukas 10:27)

Sudah banyak bukti dikemukakan. Islam terbukti benar.

Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi
(Qs.3 Ali Imran:85)

Sesungguhnya agama disisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya
(Qs.3 Ali Imran:19)

Sumber

Kelebihan Orang-orang Yang Mati Syahid (Syuhada)

Menarik dari blog abubasyer.com

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia akan mati dan kematian datang bila-bila masa samaada manusia sudah buat persiapan atau belum membuat persiapan. Kematian ditentukan oleh Allah SWT samaada kematian dengan mendapat husnul khatimah atau su'ul khatimah.

Nabi SAW mengajar kita supaya sentiasa berdoa setiap saat dan masa semoga Allah SWT kurniakan kita husnul khatimah (kematian yang baik) dan menjauhkan daripada su'ul khatimah (kematian yang buruk).

Di kalangan hamba-hamba Allah SWT ada diantara mereka dipilh oleh Allah SWT mendapat mati syahid iatu kematian yang sangat mulia, dan menjadi idaman para mukmin dan solihain kerana mati syahid adalah kematian yang terlepas daripada seksa kubur dan kegawatan di Padang Mahsyar. Mereka yang mati syahid akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.

Dalam Islam, mati syahid (bahasa Arab: شَهيد ‎ šyahīd, jamak: شُهَداء šyuhadā’) ertinya muslim yang mati ketika berperang atau berjuang di jalan Allah membela kebenaran atau mempertahankan hak dengan penuh kesabaran dan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah. Siapa yang berjuang membela harta miliknya, jiwanya, keluarganya, agamanya, dan meninggal dalam perjuangannya itu, maka ia meninggal fi sabilillah atau mati syahid. Mati syahid merupakan cita-cita tertinggi umat Islam. Salah satu jalan menuju mati syahid adalah berjuang di jalan Allah (jihad fi sabilillah).

Sejarah membuktikan bukan sedikit umat Islam yang gugur sebagai syahid terutama melalui perjuangan menentang golongan kafir.

Dalam perjuangan peringkat awal kebangkitan Islam dibawah pimpinan Rasulullah SAW jumlah yang syahid ialah perang Badar (14) , perang Uhud (71), perang Khandak/Ahzab (6), perang Khaibar (21), perang Muktah (12) serta perang Hunain dan Taif (16).

Dalam perang Uhud, bapa saudara Rasulullah SAW, Hamzah bin Abd Mutalib, gugur syahid.

Orang pertama gugur syahid dalam Islam ialah Sumayyah binti Khayyat, ibu kepada Ammar bin Yasir yang mati kerana mempertahankan agama Allah di tangan pemuda Quraisy Makkah, Abu Jahal.

Hakikat sebenarnya mereka yang mati syahid bukanlah mati tetapi mereka hidup di sisi Allah SWT dan sentiasa mendapat rahmat dan rezeki daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang Yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki;(169)
(dan juga) mereka bersukacita Dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) Yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira Dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam Yang sedang berjuang), Yang masih tinggal di belakang, Yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) Bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.(170). Mereka bergembira Dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), Bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman" (171)
(Surah Ali-Imran ayat 169-171)

Asbabun Nuzul ayat 169-171 :

Ibnu Abbas r.a. menjelaskan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda,"Allah telah menjadikan ruh saudara-saudaramu yang gugur di medan Uhud berada di dalam rongga burung berwarna hijau yang berada dipinggir sungai di syurga. Burung itu memakan buah-buahan syurga kemudian bertengger di atas lampu-lampu yang terbuat dari emas yang tergantung di bawah Arasy. Saat mereka telah mendapat makanan, minuman, dan tempat tidur yang menyenangkan, mereka berkata, 'Jika saudara kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa-apa yang Allah berikan kepada kita, mereka tidak akan meninggalkan jihad di jalan Allah dan tidak akan lari dari medan perang." Lalu turunlah ketiga-tiga ayat ini.(Hadis sahih riwayat Hakim diriwayatkan Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Tirmidzi)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya". (Surah al-Baqarah ayat 154)

Asbabun Nuzul ayat 154 :

Ibnu Abbas r.a mengatakan bahawa Umar bin al-Hammam r.a gugur dalam Perang Badar, Allah lalu menurunkan ayat ini, terkait dengan Umar r.a dan sahabat-sahabat lain yang gugur sebagai syuhada. (Hadis Riwayat Ibnu Mandah. Lihat al-Wahidi : 36-37)

Sahabat yang dimuliakan,
Alangkah mulianya mereka yang mendapat gelaran para syuhadah , sentiasa mendapat rezeki dan nikmat yang sungguh besar dikurniakan oleh Allah SWT jika boleh mereka ingin kembali kedunia dan mereka ingin mati syahid sekali lagi kerana betapa nikmatnya mati sebagai para syuhadah.

Anas bin Malik ra.berkata : Dari Nabi SAW. baginda bersabda maksudnya : "Tidak ada satu jiwa pun yang mati dan akan memperoleh kebajikan yang menggembirakannya di sisi Allah kerana dia dapat kembali ke dunia bukan kerana untuk memperoleh dunia serta isinya kecuali orang yang mati syahid. Kerana ia berharap dapat kembali lagi lalu terbunuh lagi di dunia, melihat besarnya keutamaan mati syahid."(Hadis Riwayat Muslim : 3488)

Dalam hadis riwayat Jabir ra., ia berkata: Seorang lelaki bertanya: "Wahai Rasulullah, di mana aku nanti bila telah mati terbunuh? Baginda menjawab: "Di surga." Lelaki itu lalu segera melemparkan beberapa buah kurma yang berada di tangannya, kemudian ia berperang hingga gugur. Dalam hadis Suwaid: Seorang lelaki berkata kepada Nabi saw. pada waktu perang Uhud."(Hadis Riwayat Muslim : 3518)

Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim Rasulullah SAW bersabda maksudnya : Seorang yang mati syahid diberi enam perkara pada saat titisan darah pertama tumpah dari tubuhnya:

1. Diampunkan semua kesalahannya.
2. Diperlihatkan tempatnya di syurga.
3. Dikahwinkan dengan bidadari.
4. Diamankan daripada kesusahan kedahsyatan yang besar(pada hari kiamat).
5. Diselamatkan daripada seksa kubur.
6. Dihiasi dengan pakaian keimanan."

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
"Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu:

1. diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar

2. melihat tempatnya didalam syurga.

3. dilindungi dari azab kubur - dan terjamin keamanannya dari malapetaka besar

4. merasakan kemanisan iman,

5. dikahwinkan dengan bidadari, dan

6. diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya"

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?
Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.
Baginda bersabda: "Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit."
Kalangan sahabat kembali bertanya: "Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid."
(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

Sahabat yang dikasihi,
Golongan syahid tidak wajib disolatkan dan dimandikan sekalipun berada dalam hadas kecil atau besar.Perkara itu seperti arahan Rasulullah ke atas syuhada perang Uhud.Sabda baginda maksudnya: "Jangan kamu mandikan mereka kerana setiap luka dan darah itu adalah wangi semerbak pada hari kiamat dan tidak usah solat ke atas jenazah mereka."

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang meminta mati syahid dengan benarnya, Allah akan menyampaikan hajatnya itu pada kedudukan mati syahid, walaupun dia meninggal di tempat tidur-nya."
(Hadis riwayat Muslim (al-Nawawi, 1972, jil.13: 56).

Hadis tersebut mempengaruhi orang Islam supaya bercita-cita mati syahid, iaitu kematian yang termulia dalam Islam, dengan menjanjikannya akan mendapat kedudukan yang dimintanya itu, walaupun dia hanya meninggal di rumah.. Sesiapa yang tidak bercita-cita mahu mati syahid dan di dalam hatinya tidak ada niat langsung maka matinya dalam kehinaan kerana tidak mendapat ganjaran mati syahid sedangkan semulia-mulia kematian adalah mati syahid, setiap amalan bergantung pada niatnya.

Sumber

Wednesday, August 10, 2011

Adakah Batal Puasa Mandi Wajib Selepas Subuh



Dipetik dari blog : http://www.ustaznoramin.com

Sumber

Sebenarnya masih ramai dikalangan umat Islam Malaysia tidak menguasai perkara yang remeh temah tentang ibadah, setiap tahun atau boleh dikatakan setiap hari ruangan komen blog saya dihujani dengan persoalan remeh dan sama pada komen-komen yang lepas dan banyak jawapan saya berikan. Saya mengharapkan pihak pengunjung dapat menyemak dalam jawapan-jawapan yang saya telah berikan diruangan komen tersebut. Kemungkinan soalan yang anda ingin bertanya itu mempunyai kaitan dengan soalan dan jawapan yang telah diberikan dalam ruangan komen blog ustaz.

Kali ini saya siapkan lagi satu artikel yang berkaitan dengan lewat mandi wajib bagi orang yang telah berpuasa di Bulan Ramadhan. Banyak orang tidak tahu adakah puasa terbatal atau tidak disebabkan lewat mandi wajib. Maka dari ini, saya menyediakan jawapan secara ringkas dan padat untuk mengangkat masalah berkaitan yang timbul dalam benak fikiran anda. Aisyah ra dan Ummu Salamah ra pernah menceritakan bahawa :

“Nabi saw pernah bangun pagi dalam bulan Ramadhan dalam keadaan berjunub kerana bersetubuh dengan isterinya. Baginda mandi dan kemudiannya berpuasa tanpa mengqadhanya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalil hadis yang diberikan di atas menunjukkan bahawa orang yang mandi selepas azan subuh atau selepas subuh tidak membatalkan puasa mereka. Bagi orang yang bangun lewat, maka hendaklah ia cepat menyegerakan mandi hadasnya untuk menyegerakan solat subuh. Kalau lewat bangun tidur disebabkan tidak terjaga sahur atau tidak disengajakan, maka perbuatan tersebut dimaafkan oleh Allah, tapi kalau ia disengajakan atau selepas makan sahur tidur balik, maka dosa baginya kerana ia mengabaikan perintah Allah iaitu mengerjakan solat subuh. Makruh juga orang yang sengaja melewatkan mandi wajib kerana banyak perkara yang terhalang ketika ia berhadas besar.

Sumber

Sunday, August 7, 2011

Ayat-ayat berkenaan dengan Puasa


A183
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah 2:183) | | English Translation

A184
(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Al-Baqarah 2:184) | | English Translation

A185
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Al-Baqarah 2:185) | | English Translation

A186
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah 2:186) | | English Translation

A187
Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa. (Al-Baqarah 2:187) | | English Translation

Sunday, June 12, 2011

Hayatilah Empat Ciri-ciri Orang Bertakwa

Artikel menarik dari blog abubasyer.blogspot.com

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.(iaitu) orang-orang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."(Surah Ali-Imran ayat 133-134)
Huraiannya :

Dalam ayat 133 surah Ali-Imran di atas Allah SWT menyuruh supaya kaum muslimin bersegera meminta ampun kepada-Nya bila sewaktu-waktu jatuh ke jurang dosa dan maksiat, kerana manusia tidak luput dari kesalahan dan kesilapan. Seorang muslim tidak akan mahu mengerjakan perbuatan yang dilarang Allah SWT, tetapi kadang-kadang kerana kuatnya godaan dan tipu daya syaitan dia terjerumus juga ke dalam jurang maksiat, kemudian dia sedar akan kesalahannya dan menyesal atas perbuatan itu lalu bertaubat dan mohon ampun kepada Allah SWT, maka Allah SWT akan mengampuni dosanya itu. Dia adalah Maha Penerima taubat dan Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Bila seorang muslim selalu menaati perintah Allah SWT dan Rasul-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya dan bertaubat bila jatuh ke jurang dosa dan maksiat maka Allah SWT akan mengampuni dosa-dosanya dan akan memasukkan nanti di akhirat ke dalam syurga yang amat luas sebagai balasan atas amal yang telah dikerjakannya di dunia iaitu syurga yang disediakan-Nya untuk orang yang. bertakwa kepada-Nya.


Dalam ayat berikutnya 134, ayat ini langsung menjelaskan sifat-sifat orang-orang yang bertakwa iaitu:


Pertama: Orang yang selalu menafkahkan hartanya baik dalam keadaan berkecukupan maupun dalam keadaan kesempitan (miskin).


Dalam keadaan berkecukupan dan dalam keadaan sempit ia tetap menginfakkan hartanya sesuai dengan kemampuannya.


Menafkahkan harta itu tidak semistinya dalam jumlah yang tertentu sehingga membei ruang dan mengizinkan orang miskin untuk memberi sumbangan. Bersedekah itu boleh saja dengan barang atau wang ringgit yang sedikit jumlahnya. kerana itulah kesanggupan untuk memberi sumbangan tetap akan memperoleh pahala dari Allah SWT.


Diriwayatkan oleh 'Aisyah Ummul mukminin bahwa dia pernah bersedekah dengan sebiji anggur, dan di antara sahabat-sahabat Nabi SAW ada yang bersedekah dengan sebiji bawang.


Diriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Peliharalah dirimu dari api neraka meskipun dengan menyedekahkan sepotong kurma, dan perkenankanlah permintaan seorang peminta walaupun dengan memberikan sepotong kuku hewan yang dibakar" (Hadis Riwayat Ahmad dalam musnadnya)


Bagi orang kaya dan berharta tentulah sedekah dan dermanya harus disesuaikan dengan kemampuannya bukanlah memberi ala kadar sahaja. Sungguh amat mendukacitakan bila seorang yang berlimpah-ruah kekayaannya hanya memberikan derma atau sedekah sama banyaknya dengan pemberian orang miskin. Ini menunjukkan bahawa kesedaran bersedekah belum tertanam di dalam hatinya.


Allah SWT berfirman maksudnya : "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya; Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan"

(Surah at-Talaq ayat 7)

Sifat kikir (kedekut) yang tertanam dalam hati manusia hendaklah dibuangkan dengan segala macam cara dan usaha, kerana sifat ini adalah sifat orang fasik dan munafik. Tak ada satu umatpun yang dapat maju dan hidup berbahagia kalau sifat kikir ini menguasai dalam jiwa umat Islam. Sifat kikir adalah sifat ahli neraka dan bertentangan dengan sifat kemanusiaan.


Oleh sebab itu Allah SWT memerintahkan orang beriman supaya menginfakkan hartanya dan menjelaskan bahawa harta yang ditunaikan zakatnya dan disedekahkan sebagiannya tidak akan berkurang bahkan akan bertambah.


Firman Allah SWT maksudnya : "Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah"

(Surah al-Baqarah ayat 276)

Imam al-Gazali menjelaskan seperti berikut : "Memerangi suatu sifat yang buruk haruslah dengan membiasakan diri melakukan lawan sifat itu. Jadi kalau seseorang hendak menghapuskan sifat kikir dalam dirinya hendaklah dia membiasakan bersedekah dan memberi pertolongan kepada orang lain. Dengan membiasakan diri itu akan hilanglah sifat kikirnya itu dengan berangsur-angsur.


Kedua: Orang-orang yang menahan amarahnya.


Biasanya orang yang mengikuti rasa amarahnya tidak dapat mengawal akal fikirannya dan ia akan melakukan tindakan-tindakan kejam dan jahat sehingga apabila sedar dia pasti menyesali tindakan yang dilakukannya itu melampau batas.


Oleh kerana itu bila seorang dalam keadaan marah hendaklah ia berusaha sekuat tenaganya menahan rasa amarahnya itu lebih dahulu. Apabila ia telah menguasai dirinya kembali dan amarahnya sudah mulai reda, barulah ia melakukan tindakan yang adil sebagai balasan atas perlakuan orang terhadap dirinya.


Apabila seorang telah melatih dirinya seperti itu maka dia tidak akan melakukan tindakan-tindakan yang melampaui batas, bahkan dia akan menganggap bahawa perlakuan yang tidak adil terhadap dirinya itu mungkin kerana kesilapan dan tidak disengaja dan ia akan memaafkannya. Allah SWT menjelaskan bahawa menahan marah itu suatu jalan ke arah takwa. Orang-orang yang benar bertakwa pasti akan dapat menguasai dirinya di waktu marah.


Pernah Siti Aisyah menjadi marah kerana tindakan pembantunya. Tetapi beliau dapat menguasai dirinya, kerana sifat takwa yang bersemi dalam dirinya. Beliau berkata: "Alangkah baiknya sifat takwa itu. dia menjadi ubat bagi segala kemarahan".


Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)


Hal itu dinyatakan Rasulullah SAW kepada seorang lelaki bertanya baginda: “Wahai Rasulullah! Apakah sesuatu yang lebih berat? Dijawab Rasulullah SAW : "Kemurkaan Allah!" Lelaki itu bertanya lagi: "Apakah sesuatu yang dapat menjauhkan aku daripada kemurkaan Allah? Rasulullah SAW menjawab: "Jangan marah."

(Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Amr)

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Dan apabila mereka marah segera memberi maaf'

(Surah as- Syura ayat 37)

Ketiga: Orang yang memaafkan kesalahan orang lain.


Memaafkan kesalahan orang lain sedang kita sanggup membalasnya dengan yang setimpal adalah suatu sifat yang baik yang harus dimiliki oleh setiap muslim yang bertakwa. Mungkin hal ini sukar dipraktikkan kerana sudah menjadi kebiasaan bagi manusia membalas kejahatan dengan kejahatan tetapi bagi manusia yang sudah tinggi akhlak dan kuat imannya serta telah dipenuhi jiwa dengan takwa, maka memaafkan kesalahan itu mudah saja baginya.


Mungkin membalas kejahatan dengan kejahatan masih dalam rangka keadilan tetapi harus disedari bahwa membalas kejahatan dengan kejahatan pula tidak dapat membasmi atau melenyapkan kejahatan itu. Mungkin dengan adanya balas membalas itu kejahatan akan meluas dan berkembang.


Tetapi bila kejahatan itu dibalas dengan maaf dan sesudah itu diiringi dengan perbuatan yang baik, maka yang melakukan kejahatan itu akan insaf, bahawa dia telah melakukan perbuatan yang buruk dan tidak adil terhadap orang bersih hatinya dan suka berbuat baik.Dengan demikian dia tidak akan melakukannya lagi dan tertutuplah pintu kejahatan itu.


Keempat: Orang-orang yang berbuat kebajikan.


Berbuat baik dan suka membuat kebajikan termasuk sifat orang yang bertakwa maka di samping memaafkan kesalahan orang lain hendaklah memaafkan itu diiringi dengan berbuat baik kepada orang yang melakukan kesalahan.


Diriwayatkan oleh Al Baihaqi, ada seorang jariah (hamba wanita) kepunyaan Ali bin Husein menolong tuannya menuangkan air dari bekas untuk mengambil wuduk. Kemudian bekas itu jatuh dari tanganya dan pecah, lalu Ali bin Husen menentang mukanya seakan-akan dia marah.


Hamba itu berkata: "Allah SWT telah berfirman yang maksud : "Dan orang-orang yang menahan amarahnya".(Surah Ali- Imran ayat 134)


Ali bin Husen menjawab : "Aku telah menahan amarah itu".


Kemudian hamba itu berkata pula: Allah SWT berfirman maksudnya : "dan orang-orang yang memaafkan (kesalahan) manusia" (Surah Ali- Imran ayat 134)


Dijawab oleh Ali bin Husen: "Aku telah memaafkanmu"


Akhirnya hamba itu berkata lagi: Allah juga berfirman maksudnya : "dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan" (Surah Ali Imran ayat 134)


Ali bin Husen menjawab: "Pergilah kamu aku telah memerdekakanmu" demi untuk mencapai keredaan Allah.


Demikianlah tindakan salah seorang cicit Nabi Muhammad SAW. terhadap kesalahan seorang hambanya kerana dia adalah seorang mukmin yang bertakwa, tidak saja dia memaafkan kesalahan hambanya bahkan diiringinya kemaafan itu dengan berbuat baik kepadanya dengan memerdekakannya.


Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita menghiasi diri kita dengan sifat takwa iaitu meragkumi empat ciri-ciri akhlak Islam seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam ayat-ayat di atas iaitu sifat suka bersedekah, menahan perasaan marah, memaafkan kesalahan orang lain dan sentiasa membuat kebaikan dan kebajikan. Jika kita sentiasa istiqamah dengan sifat-sifat ini maka tidak ada balasan yang lebih baik melainkan balasan syurga.

sumber

Saturday, May 28, 2011

Kewajipan berdakwah kepada bukan Islam.

Salam,

Tersentuh dengan artikel ini. Semoga mendapat manfaat.

Selamatkan "Mereka" wahai Umat Islam

Sedutan dari ceramah oleh Shah Kirit bin Kakulal Govindji

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang di rahmati Allah, Assalamu’alaikum warohmatulahi wabarokatuh.

Topik kita pada malam ini adalah “ Kewajipan Berda’wah”, InsyaAllah. Terlebih dahulu izinkan saya memperkenalkan diri secara ringkas. Nama saya ialah Shah Kirit bin Kakulal Govindji. Pelik bukan? Kebiasaan di Malaysia, apabila seseorang itu masuk Islam, dia dikehendaki menukar nama bapa dia kepada Abdullah. Sebenarnya tidak ada satu pun nas dari Al-Qur’an mahupun Hadith Shahih yang mewajibkan seseorang yang masuk Islam mesti tukar nama bapa dia kepada Abdullah.
Shah Kirit bin Kakulal Govindji

Saya telah dilahirkan sebagai seorang Islam tetapi ibu bapa saya telah membesarkan saya sebagai seorang Hindu. Tuan-tuan dan puan-puan mesti hairankan. Ini adalah kerana didalam Islam kita percaya bahawa setiap kanak-kanak di dunia ini dilahirkan dalam fitrah Islam tetapi ibubapalah yang mencorakkan mereka menjadi Nasrani, Yahudi, Majusi, Hindu, Buddha mahupun sebagai seorang ‘Free Thinker’. Justeru itu saya lebih suka menggunakan perkataan ‘Revert’ daripada ‘Convert’ apabila seseorang itu menganuti agama Islam kerana mereka kembali kepada fitrah kejadian mereka.

Masuk Islam kerana syarat untuk berkahwin

Punca awal saya masuk Islam adalah atas dasar perkahwinan. Ya, kerana saya mahu berkahwin dengan perempuan Islam. Saya cakap ‘direct’ kerana di kalangan masyarakat kita ada sejenis ‘penyakit’, termasuklah dikalangan kakitangan Jabatan Agama Islam. Apabila sesorang itu menyampaikan hasrat untuk memeluk agama Islam, dia akan diperli atau disindir seperti “kenapa mau masuk Islam? Kalau tak ada perempuan Melayu memang tak sah!” Salah kah kami masuk Islam kerana mahu berkahwin? Sebenarnya masuk Islam kerana mahu berkahwin tidak salah. Mungkin itu Qada’ dan Qadar, bersabit dengan perkahwinan seseorang itu mendapat hidayah dari Allah. Yang salah ialah sudah masuk Islam tidak mahu belajar dan tidak mahu beramal dengan Islam. Yang turut salah ialah masyarakat Islam setempat yang tidak mahu membimbing atau membantu orang yang baru masuk Islam.

Kalau kita perhati keadaan sekeliling, kita akan dapati ramai yang masuk Islam adalah kerana perkahwinan. Ini adalah kerana orang-orang Islam di Malaysia hampir-hampir tidak ada melakukan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sekeliling mereka. Dahlah tak buat kerja, nak sindir orang pula!

Alhamdulillah, hari ini kita sebagai orang-orang Islam sedar bahawa Islam bukanlah milik orang-orang Arab atau Melayu sahaja tetapi adalah untuk seluruh umat manusia. Malangnya kita umat Islam hari ini telah lalai dari tanggung-jawab yang diamanahkan Allah kepada kita untuk menyampai da’wah Islam kepada mereka yang belum terima Hidayah lagi. Allah swt mencela golongan seperti ini dalam Surah Al-Baqarah 2:140

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan”.

Na’uzubillah, janganlah kita termasuk dalam golongan ini.

Allah swt memberikan penghormatan kepada kita orang-orang Islam didalam surah Ali Imran 3:110

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi(faedah) umat manusia”.

Kita pun rasa sangat seronok mendengarkan ayat ini. Namun begitu kita lupa bahawa setiap penghormatan itu datang bersama tanggung-jawab. Lagi besar suatu penghormatan maka lagi beratlah tanggung-jawab yang harus dipikul. Tanggung-jawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita orang-orang Islam yang melayakkan kita di gelar ‘sebaik-baik umat’ juga disebut dalam ayat yang sama; “(Kerana) kamu menyuruh membuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah”. Ini bermakna kita harus menjadi masyarakat ‘amar maaruf nahi munkar’ iaitu melakukan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam secara serentak.

Allah swt mengatakan didalam surah Al-Ikhlas 103:1-3

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar”.

‘Berpesan-pesan dengan kebenaran’ bermakna melakukan ‘amal maaruf nahi munkar’ yakni melakukan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam. Ayat ini jelas menunjukkan tanggung-jawab melakukan da’wah bukan tugas ustaz, imam atau Jabatan Agama sahaja tetapi adalah tanggung-jawab setiap orang Islam.

Didalam Khutbah terakhir, Rasulullah saw telah bertanya kepada para sahabah yang tidak kurang dari 110,000 orang

“Adakah aku telah sampaikan pesanan Islam” dan para sahabah pun secara serentak menjawab “Ya Rasulullah! Kau telah sampaikan”. Maka Rasulullah saw seterusnya memerintahkan mereka “Siapa-siapa yang hadir disini, sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir”.

Para sahabat pun faham akan perintah Rasulullah saw lalu keluar dari negeri Arab menyampaikan da’wah Islamiah. Maka Islam telah pun sampai ke Negeri Cina, India, Sepanyol dan seterusnya ke Malaysia. Alhamdulillah, sahabat-sahabat dulu tidak ada sikap macam kita iaitu hanya mahu bercerita tentang Islam sekiranya ada yang bertanya tetapi sebaliknya telah bertebaran kepelbagai pelusuk dunia dalam menyampaikan syiar Islam.

Penyebaran Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Didalam Shahih Bukhari jilid 4 hadith 667 diriwayatkan dari Abdullah Ibn Amr bahawa Rasulullah saw telah bersabda “sampaikanlah walau satu ayat”. Kita tidak perlu dapatkan Phd atau ijazah atau menjadi ustaz / ustazah dalam menyampaikan da’wah Islam. Walaupun kita tahu satu ayat dalam Qur’an, kita boleh menyampaikannya. Sebagai orang Islam, kita tahu lebih dari satu ayat. Sekurang-kurangnya kita tahu ‘La ilaha ilallah’, maka sampaikanlah ia.

Dewasa ini dunia kita sudah berubah menjadi materialistik. Setiap perkara yang dilakukan mesti ada ganjaran atau keuntungan. Allah swt mengajak kita berniaga denganNya dalam Surah As-Saff 61:10-11

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan hartabenda dan diri kamu”.

Kini bila berniaga kita hendak tahu peratusan keuntungannya. Keuntungan yang dijanjikan oleh Allah swt dalam Surah Al-Baqarah 2:261 adalah

“Bandingan (derma) orang-orang yang belanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya”.
Yakni setiap satu biji benih tumbuh menjadi tujuh ratus biji benih. Didalam bahasa perniagaan, ini adalah keuntungan yang tidak kurang dari 70,000%! Mana ada perniagaan lain didunia ini yang menjamin 100% pulangan keuntungan sehingga 70,000%?

‘Master key’ untuk melakukan da’wah kepada orang-orang bukan Islam ada diterangkan dalam Surah Ali Imram 3:64

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak sembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya suatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah’.”

Untuk mencari kalimah-kalimah yang bersamaan antara kita dengan mereka, maka kita hendaklah mengkaji kitab mereka (bukan untuk beriman tetapi) untuk mencari ayat-ayat yang menjurus kepada tauhid. Sekiranya diperingkat permulaan kita hanya menggunakan Al-Qur’an dan Hadith sahaja mungkin orang-orang bukan Islam ini tidak percaya atau tidak yakin kerana mereka belum beriman kepada Al-Qur’an. Sekiaranya kita menggunakan Bible maka orang-orang Kristian terpaksa menerimanya. Berikut adalah beberapa hujah-hujah yang boleh kita gunakan dari Bible terhadap orang-orang Kristian:

“My Father is greater than I” [John 14:28]

“My father is greater than all” [John 10:29]

“…I cast out devil by the spirit of God…” [Matthew 12:28]

“…I with the finger of God cast out devils…” [Luke 11:20]

“I can of mine own self do nothing: as I hear, I judge: and my judgment is just; because I seek not my own will, but the will of the Father which hath sent me.” [John 5:30]

“…and the word which ye hear is not mine, but the Father’s which sent me.” [John 14:24]

“Shama Israelu Adonai Ila Hayno Adonai Ikhad.” “Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord.” [Mark 12:29]

Apabila kita mulakan da’wah kepada orang-orang Hindu, adalah lebih baik sekiranya kita mulakan dengan konsep ketuhanan dalam Islam yang terdapat dalam Surah Al-Ikhlas 112”1-4

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tiada diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya’.”

Seterusnya kita boleh bincangkan mengenai ayat-ayat yang ada persamaan didalam kitab-kitab mereka contohnya Veda, Upanishad, Purana, Maha Bharata, Ramayana dan yang paling popular dikalangan orang-orang Hindu adalah Bhagavad Geeta. Berikut adalah beberapa contoh yang boleh kita gunakan:

“ Those whose intelligence has been stolen by material desires surrender unto demigods and follow the particular rules and regulations of worship according to their own natures.” [Bhagavad Gita 7:20]

“He is One only without a second” [Chandogya Upanishad 6:2:1] 1

“Of Him there are neither parents nor lord.” [Svetasvatara Upanishad 6:9] 2

“There is no likeness of Him” [Svetasvatara Upanishad 4:19] 3

“His form is not to be seen, no one sees Him with the eye.”
[Svetasvatara Upanishad 4:20] 4

“There is no image of Him” [Yajurveda 32:3] 5

“He is bodiless and pure” [Yajurveda 40:8] 6

“They enter darkness, those who worship the natural elements” (Air, water, fire, etc.). “They sink deeper in darkness, those who worship sambhuti (created things; table, chair, idol etc.).” [Yajurveda 40:9] 7

Brahma Sutra of Hinduism:
“There is only one God, not the second; Not at all, not at all, not in the least bit”.

Namun begitu dalam kita menyampaikan da’wah kepada orang-orang bukan Islam, adalah penting kita sentiasa mengambil kira nasihat yang diberikan oleh Allah swt didalam Surah An-Nahl 16:125

“Serulah kejalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”.

Adakah kita menggunakan hikmat kebijaksanaan dan menasihatkan dengan cara pengajaran yang baik dan lemah lembut bila menyampaikan da’wah Islamiah kepada orang-orang bukan Islam? Jarang sekali. Kebiasaannya bila ada orang bertanya mengenai Islam, jawaban yang lazim diberikan adalah; “Dalam Islam kita mesti sembahyang 5 kali sehari, Bulan Ramadhan mesti puasa satu bulan dari pagi sampai senja – tidak boleh makan atau minum, mesti bayar zakat, tidak boleh makan ‘kerbau pendek’ (khinzir), tidak boleh minum (arak), mesti kena ‘potong’ dulu (berkhatan), pergi masjid mesti pakai songkok dan kain, kalau pergi solat Hari Raya mesti pakai baju Melayu (seolah-olah solat itu tidak sah tanpa memakai baju Melayu!) dan bermacam-macam lagi.

Saya perhatikan bahawa kita sebenarnya lebih banyak ‘meMelayukan’ seseorang yang masuk Islam dari mengIslamkannnya. Kita memberikan gambaran seolah-olah Islam ini adalah satu agama yang sangat menyusahkan umatnya.

Sepatutnya kita jangan terlalu menekankan berkenaan fikah (halal dan haram) pada peringkat permulaan. Yang harus diutamakan adalah tauhid, apabila iman dia sudah mantap barulah kita sampaikan bab fikah secara beransur-ansur ikut kemampuan seseorang individu. Bila iman sudah kukuh dihati, seseorang itu akan mengerjakan perintah Allah tanpa perlu disuruh, InsyaAllah.

Saya ingin mengajak semua yang hadir disini termasuklah diri saya agar marilah kita semua bangun. Bukannya bangun dari tempat duduk tetapi marilah kita bangun tidur kita. Kita telah lama tidur dengan mata celik. Marilah kita bangun dan laksanakan tanggung-jawab yang telah diamanahkan oleh Allah kepada kita untuk menyampaikan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah kepada sesama Islam.

Berhenti dari memberikan alasan. Bila saya mengajak orang untuk berda’wah, mereka selalu memberikan alasan dan minta tunggu. Hendak tunggu apa lagi? Allah swt memberika amaran kepada kita dalam Surah At-Taubah 9:24

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-oramg yang fasik (derhaka)”.

Hari ini kita orang-orang Islam masih lagi tunggu!

Marilah kita berhenti dari memberikan alasan-alasan seperti berikut:

a) Tunggulah saya pandai – sampai bila-bila pun kita tidak akan cukup pandai sekiranya kita tidak cuba dari sekarang. Sekali lagi saya rujuk kepada hadith diatas iaitu; “Sampaikanlah walau satu ayat”.

b) Tunggu bila ada orang bertanya baru nak cerita tentang Islam – sekali lagi saya rujuk kepada petikan dari Khutbah terakhir Rasulullah saw; “Siapa-siapa yang hadir disini sampaikanlah kepada yang tidak hadir”.

c) Negara kita negara majmuk, sensitif untuk melakukan da’wah – di zaman Nabi Muhammad s.a.w. terdapat tidak kurang dari 360 suku kaum. Ini tidak menghalang baginda dari memberikan da’wah kepada kaum Musyirikin pada masa itu malahan baginda telah berjaya menyatu padukan semua kaum tersebut dibawah panji Islam!

d) Agama ini urusan peribadi, jangan masuk campur dalam hal orang lain – Dalam Islam ia menjadi tanggung-jawab semua orang-orang Islam mencampuri urusan orang lain apabila ia melibatkan perkara akidah; ‘amal maaruf nahi mungkar’.

Saya akhiri dengan sketsa berikut; bayangkanlah suatu hujung minggu kita pergi berkelah bersama keluarga ke pusat peranginan di tanah tinggi seperti di Genting Highland (tanpa singgah di kasino). Bila sampai ke puncak yang paling tinggi, kita pun menghamparkan tikar dan mula menjamu selera bersama-sama dengan keluarga. Dalam kelekaan kita makan dan minum, anak kita yang berumur 2 tahun telah berlari-lari sampai ke hujung tebing; dihadapannya adalah jurang yang cukup dalam. Na’uzubillah, cuba bayangkan anak atau adik kita yang berumur 2 tahun berada dalam situasi itu. Cemas tak? Betul-betul sebelah anak kita ada seorang lelaki dewasa yang sihat dan waras. Apa yang perlu dilakukannya adalah hulurkan tangan dia dan pegang anak kita, InsyaAllah anak kita akan selamat. Tetapi lelaki tadi tidak endahkan anak kita dan anak kita melangkah lagi lalu jatuh kedalam gaung dan mati. Ketika itu adakah kita akan ucapkan terima-kasih kepada lelaki itu kerana tidak masuk campur dalam urusan orang lain? Tidak, kita akan salahkan dia kerana tidak mahu menolong anak kita. Kita akan tuduh lelaki itu sebagai seorang yang sangat kejam.

Tuan-tuan dan puan-puan, sebenarnya kitalah orang-orang Islam yang memegang watak lelaki yang kejam tadi. Kita ada ramai kenalan bukan Islam seperti rakan kerja, kawan jiran dan sebagainya tetapi kita tak pernah buka mulut kita menyampaikan mesej Islam. Kita biarkan sahaja mereka mati dalam keadaaan kafir. Di akhirat nanti mereka akan mengadu kepada Allah dan menarik kita sama-sama masuk ke neraka, na’uzubillah. Apakah alasan yang akan kita berikan pada Allah ketika itu? Marilah kita sama-sama bangun dan sampaikan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam.

Wa akhiri da’wana anil hamdulillahi Robbil ‘alamin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...