Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Tuesday, June 15, 2010

Kepentingan tasauf

Kepentingan tasauf

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


KITA telah membahaskan kedudukan tasauf dalam kerangka besar agama Islam dan hubungannya dengan syariat dan sunnah. Kali ini kita ingin menekankan kepentingan tasauf dalam kehidupan peribadi seseorang Muslim.

Sesungguhnya pentaklifan syariat yang diperintahkan secara khusus kepada manusia itu kembali kepada dua bahagian. Pertamanya, hukum-hakam yang berkaitan dengan amalan zahiriah dan yang kedua, hukum-hakam yang bersangkutan dengan amalan batiniah. Ataupun dalam erti kata lain, hukum-hakam yang bersangkutan dengan anggota badan manusia dan amalan yang bersangkutan dengan hati.

Amalan jasad itu terbahagi kepada dua jenis; yang berbentuk suruhan seperti solat, zakat, haji dan lain-lainnya, dan juga larangan seperti membunuh, berzina, mencuri, minum arak dan sebagainya.

Amalan hati juga terbahagi kepada dua; yang berbentuk suruhan seperti beriman dengan Allah, malaikat, hari kiamat, kitab-kitab dan rasul-rasulNya.

Begitu juga ikhlas, reda, benar, khusyuk, bertawakal dan sebagainya. Sementara yang berbentuk larangan seperti kufur, munafik, takbur, ujub, riak, menipu, hasad dan dengki.

Aspek kedua iaitu yang bersangkutan dengan hati lebih penting daripada bahagian pertama di sisi Allah, kerana batin adalah asas atau punca bagi yang zahir.

Kerosakan yang berlaku pada batin akan mencacatkan atau menjejaskan nilai amalan zahir. Oleh yang demikian Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan sesiapa yang yang bercita-cita untuk bertemu dengan Tuhannya hendak beramal dengan amalan saleh dan jangan dia mensyirikkan Allah dengan sesuatupun dalam ibadahnya. (al-Kahfi: 110)

Rasulullah SAW juga sangat memberi fokus terhadap penyucian hati dan menegaskan bahawa baik jahatnya seseorang itu tergantung pada hatinya.

Baginda bersabda: Ingatlah, sesungguhnya di dalam jasad itu terdapat seketul daging. Apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad. Sesungguhnya ia adalah hati.

Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa tempat jatuhnya pandangan Allah kepada hamba-Nya adalah hati. Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad kamu, atau pun lahiriah kamu tetapi Dia memandang kepada hati-hati kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana kebaikan seseorang itu bersangkut paut dengan kebaikan hatinya yang menjadi penentu amalan zahirnya, maka wajiblah ke atasnya memperbaiki hatinya dengan mengosongkannya daripada sifat-sifat terkeji yang dilarang oleh Allah dan menghiasinya dengan sifat-sifat terpuji yang diperintahkan oleh Allah.

Dengan itu, hatinya akan berada dalam keadaan sejahtera dan benar. Pemiliknya akan tergolong di kalangan orang yang berjaya dan terselamat pada hari yang tiada manfaat harta benda dan anak isteri melainkan orang yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.

Imam Jalal al-Din al-Suyuti r.a berkata: "Adapun tentang ilmu hati dan mengenal penyakit-penyakitnya seperti hasad, ujub, riak dan sebagainya". Sementara, Imam al Ghazali r.a menyatakan bahawa ia adalah fardu ain. (al-Asybah wa al-Nadzair, H.504)

Sumber : Utusanonline

Friday, June 11, 2010

Sifat 20 (Sifat-sifat Wajib bagi Allah)

Sifat 20

Adalah sifat-sifat yang wajib bagi Allah s.w.t. yang wajib diketahui dengan tafsil ( satu persatu ) iaitu 20 sifat :

1. Wujud : Ertinya Ada

Iaitu tetap dan benar yang wajib bagi zat Allah Ta'ala yang tiada disebabkan dengan sesuatu sebab. Maka wujud ( Ada ) – disisi Imam Fakhru Razi dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi bukan ia a'in maujud dan bukan lain daripada a'in maujud , maka atas qaul ini adalah wujud itu Haliyyah ( yang menepati antara ada dengan tiada) .

Tetapi pada pendapat Imam Abu Hassan Al-Ashaari wujud itu 'ain Al-maujud , kerana wujud itu zat maujud kerana tidak disebutkan wujud melainkan kepada zat. Kepercayaan bahawa wujudnya Allah s.w.t. bukan sahaja di sisi agama Islam tetapi semua kepercayaan di dalam dunia ini mengaku menyatakan Tuhan itu ada.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Dan jika kamu tanya orang-orang kafir itu siapa yang menjadikan langit dan bumi nescaya berkata mereka itu Allah yang menjadikan……………"
( Surah Luqman : Ayat 25 )

2. Qidam : Ertinya Sedia

Pada hakikatnya menafikan ada permulaan wujud Allah s.w.t kerana Allah s.w.t. menjadikan tiap-tiap suatu yang ada, yang demikian tidak dapat tidak keadaannya lebih dahulu daripada tiap-tiap sesuatu itu. Jika sekiranya Allah Ta'ala tidak lebih dahulu daripada tiap-tiap sesuatu, maka hukumnya adalah mustahil dan batil. Maka apabila disebut Allah s.w.t. bersifat Qidam maka jadilah ia qadim. Di dalam Ilmu Tauhid ada satu perkataan yang sama maknanya dengan Qadim iaitu Azali. Setengah ulama menyatakan bahawa kedua-dua perkataan ini sama maknanya iaitu sesuatu yang tiada permulaan baginya. Maka qadim itu khas dan azali itu am. Dan bagi tiap-tiap qadim itu azali tetapi tidak boleh sebaliknya, iaitu tiap-tiap azali tidak boleh disebut qadim. Adalah qadim dengan nisbah kepada nama terbahagi kepada empat bahagian :


1 ) Qadim Sifati ( Tiada permulaan sifat Allah Ta'ala )
2 ) Qadim Zati ( Tiada permulaan zat Allah Ta'ala )
3 ) Qadim Idhafi ( Terdahulu sesuatu atas sesuatu seperti terdahulu bapa nisbah kepada anak )
4 ) Qadim Zamani ( Lalu masa atas sesuatu sekurang-kurangnya satu tahun )

Maka Qadim Haqiqi ( Qadim Sifati dan Qadim Zati ) tidak harus dikatakan lain daripada Allah Ta'ala.

3. Baqa' : Ertinya Kekal

Sentiasa ada, kekal ada dan tiada akhirnya Allah s.w.t . Pada hakikatnya ialah menafikan ada kesudahan bagi wujud Allah Ta'ala. Adapun yang lain daripada Allah Ta'ala , ada yang kekal dan tidak binasa Selama-lamanya tetapi bukan dinamakan kekal yang hakiki ( yang sebenar ) Bahkan kekal yang aradhi ( yang mendatang jua seperti Arasy, Luh Mahfuz, Qalam, Kursi, Roh, Syurga, Neraka, jisim atau jasad para Nabi dan Rasul ).

Perkara –perkara tersebut kekal secara mendatang tatkala ia bertakluq dengan Sifat dan Qudrat dan Iradat Allah Ta'ala pada mengekalkannya. Segala jisim semuanya binasa melainkan 'ajbu Az-zanabi ( tulang kecil seperti biji sawi letaknya di tungking manusia, itulah benih anak Adam ketika bangkit daripada kubur kelak ). Jasad semua nabi-nabi dan jasad orang-orang syahid berjihad Fi Sabilillah yang mana ianya adalah kekal aradhi jua. Disini nyatalah perkara yang diiktibarkan permulaan dan kesudahan itu terbahagi kepada tiga bahagian :

1) Tiada permulaan dan tiada kesudahan iaitu zat dan sifat Alllah s.w.t.
2) Ada permulaan tetapi tiada kesudahan iaitu seperti Arash , Luh Mahfuz , syurga dan lain-lain lagi.
3) Ada permulaan dan ada kesudahan iaitu segala makhluk yang lain daripada perkara yang diatas tadi ( Kedua ).

4. Mukhalafatuhu Ta'ala Lilhawadith. Ertinya : Bersalahan Allah Ta'ala dengan segala yang baharu.

Pada zat , sifat atau perbuatannya sama ada yang baru , yang telah ada atau yang belum ada. Pada hakikat nya adalah menafikan Allah Ta'ala menyerupai dengan yang baharu pada zatnya , sifatnya atau perbuatannya.
Sesungguhnya zat Allah Ta'ala bukannya berjirim dan bukan aradh Dan tiada sesekali zatnya berdarah , berdaging , bertulang dan juga bukan jenis leburan , tumbuh-tumbuhan , tiada berpihak ,tiada bertempat dan tiada dalam masa. Dan sesungguhnya sifat Allah Ta'ala itu tiada bersamaan dengan sifat yang baharu kerana sifat Allah Ta'ala itu qadim lagi azali dan melengkapi ta'aluqnya.
Sifat Sama' ( Maha Mendengar ) bagi Allah Ta'ala berta'aluq ia pada segala maujudat tetapi bagi mendengar pada makhluk hanya pada suara sahaja. Sesungguhnya di dalam Al-Quraan dan Al-Hadith yang menyebut muka dan tangan Allah s.w.t. , maka perkataan itu hendaklah kita iktiqadkan thabit ( tetap ) secara yang layak dengan Allah Ta'ala Yang Maha Suci daripada berjisim dan Maha Suci Allah Ta'ala bersifat
dengan segala sifat yang baharu.

5. Qiamuhu Ta'ala Binafsihi : Ertinya : Berdiri Allah Ta'ala dengan sendirinya .

Tidak berkehendak kepada tempat berdiri ( pada zat ) dan tidak berkehendak kepada yang menjadikannya. Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan Allah s.w.t. berkehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikannya.
Allah s.w.t itu terkaya dan tidak berhajat kepada sesuatu sama adapada perbuatannya atau hukumannya.
Allah s.w.t menjadikan tiap-tiap sesuatu dan mengadakan undang-undang semuanya untuk faedah dan maslahah yang kembali kepada sekalian makhluk .
Allah s.w.t menjadikan sesuatu ( segala makhluk ) adalah kerana kelebihan dan belas kasihannya bukan berhajat kepada faedah.
Allah s.w.t. Maha Terkaya daripada mengambil apa-apa manafaat di atas kataatan hamba-hambanya dan tidak sesekali menjadi mudharat kepada Allah Ta'ala atas sebab kemaksiatan dan kemungkaran hamba-hambanya.
Apa yang diperintahkan atau ditegah pada hamba-hambanya adalah perkara yang kembali faedah dan manafaatnya kepada hamba-hambanya jua.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Barangsiapa berbuat amal yang soleh ( baik ) maka pahalanya itu pada dirinya jua dan barangsiapa berbuat jahat maka bala-sannya ( seksaannya ) itu tertanggung ke atas dirinya jua ".

( Surah Fussilat : Ayat 46 )

Syeikh Suhaimi r.a.h berkata adalah segala yang maujudat itu dengan nisbah berkehendak kepada tempat dan kepada yang menjadikannya , terbahagi kepada empat bahagian :
1) Terkaya daripada tempat berdiri dan daripada yang menjadikannya iaitu zat Allah s.w.t.
2) Berkehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikannya iaitu segala aradh (segala sifat yang baharu).
3) Terkaya daripada zat tempat berdiri tetapi berkehendakkepada yang menjadikannya iaitu segala jirim. ( Segala zat yang baharu ) .
4) Terkaya daripada yang menjadikannya dan berdiri ia pada zat iaitu sifat Allah Ta'ala.

6. Al – Wahdaniyyah. Ertinya : Esa Allah Ta'ala pada zat , pada sifat dan pada perbuatan.

Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan berbilang pada zat , pada sifat dan pada perbuatan sama ada bilangan yang muttasil ( yang berhubung ) atau bilangan yang munfasil ( yang bercerai ).
Makna Esa Allah s.w.t. pada zat itu iaitu menafikan Kam Muttasil pada Zat ( menafikan bilangan yang berhubung dengan zat ) seperti tiada zat Allah Ta'ala tersusun daripada darah , daging , tulang ,urat dan lain-lain.
Dan menafikan Kam Munfasil pada zat ( menafikan bilangan yang bercerai pada zat Allah Ta'ala )seperti tiada zat yang lain menyamai zat Allah Ta'ala.

Makna Esa Allah s.w.t pada sifat iaitu menafikan Kam muttasil pada Sifat ( menafikan bilangan yang berhubung pada sifatnya ) iaitu tidak sekali-kali bagi Allah Ta'ala pada satu-satu jenis sifatnya dua qudrat dan menafikan Kam Munfasil pada sifat ( menafikan bilangan – bilangan yang bercerai pada sifat ) iaitu tidak ada sifat yang lain menyamai sebagaimana sifat Allah s.w.t. yang Maha Sempurna.

Makna Esa Allah s.w.t. pada perbuatan iaitu menafikan Kam Muttasil pada perbuatan ( menafikan bilangan yang bercerai –cerai pada perbuatan ) iaitu tidak ada perbuatan yang lain menyamai seperti perbuatan Allah bahkan segala apa yang berlaku di dalam alam semuanya perbuatan Allah s.w.t sama ada perbuatan itu baik rupanya dan hakikatnya seperti iman dan taat atau jahat rupanya tiada pada hakikat-nya seperti kufur dan maksiat sama ada perbuatan dirinya atau perbuatan yang lainnya ,semuanya perbuatan Allah s.w.t dan tidak sekali-kali hamba mempunyai perbuatan pada hakikatnya hanya pada usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas.


Maka wajiblah bagi Allah Ta'ala bersifat Wahdaniyyah dan ternafi bagi
Kam yang lima itu iaitu :
1) Kam Muttasil pada zat.
2) Kam Munfasil pada zat.
3) Kam Muttasil pada sifat.
4) Kam Munfasil pada sifat.
5) Kam Munfasil pada perbuatan.

Maka tiada zat yang lain , sifat yang lain dan perbuatan yang lain menyamai dengan zat , sifat dan perbuatan Allah s.w.t .Dan tertolak segala kepercayaan-kepercayaan yang membawa kepadamenyengutukan Allah Ta'ala dan perkara-perkara yang menjejaskan serta merosakkan iman.

7. Al – Qudrah : Ertinya : Kuasa qudrah Allah s.w.t. memberi bekas pada mengadakan meniadakan tiap-tiap sesuatu.

Pada hakikatnya ialah satu sifat yang qadim lagi azali yang thabit ( tetap ) berdiri pada zat Allah s.w.t. yang mengadakan tiap-tiap yang ada dan meniadakan tiap-tiap yang tiada bersetuju dengan iradah.
Adalah bagi manusia itu usaha dan ikhtiar tidak boleh memberi bekas pada mengadakan atau meniadakan , hanya usaha dan ikhtiar pada jalan menjayakan sesuatu .
Kepercayaan dan iktiqad manusia di dalam perkara ini berbagai-bagai fikiran dan fahaman seterusnya membawa berbagai-bagai kepercayaan dan iktiqad.

1) Iktiqad Qadariah :
Perkataan qadariah iaitu nisbah kepada qudrat . Maksudnya orang yang beriktiqad akan segala perbuatan yang dilakukan manusia itu sama ada baik atau jahat semuanya terbit atau berpunca daripada usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri dan sedikitpun tiada bersangkut-paut dengan kuasa Allah s.w.t.

2) Iktiqad Jabariah :
Perkataan Jabariah itu nisbah kepada Jabar ( Tergagah ) dan maksudnya orang yang beriktiqad manusia dan makhluk bergantung kepada qadak dan qadar Allah semata-mata ( tiada usaha dan ikhtiar atau boleh memilih samasekali ).

3) Iktiqad Ahli Sunnah Wal – Jamaah :

Perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaahialah orang yang mengikut perjalanan Nabi dan perjalanan orang-orang Islam iaitu beriktiqad bahawa hamba itu tidak digagahi semata-mata dan tidak memberi bekas segala perbuatan yang disengajanya, tetapi ada perbuatan yang di sengaja pada zahir itu yang dikatakan usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas sebenarnya sengaja hamba itu daripada Allah Ta;ala jua. Maka pada segala makhluk ada usaha dan ikhtiar pada zahir dan tergagah pada batin dan ikhtiar serta usaha hamba adalah tempat pergantungan taklif ( hukum ) ke atasnya dengan suruhan dan tegahan ( ada pahala dan dosa ).

8. Al – Iradah : Ertinya : Menghendaki Allah Ta'ala

Maksudnya menentukan segala mumkin tentang adanya atau tiadanya.
Sebenarnya adalah sifat yang qadim lagi azali thabit berdiri pada Zat Allah Ta'ala yang menentukan segala perkara yang harus atau setengah yang harus atas mumkin . Maka Allah Ta'ala yang selayaknya menghendaki tiap-tiap sesuatu apa yang diperbuatnya.
Umat Islam beriktiqad akan segala hal yang telah berlaku dan yang akan berlaku adalah dengan mendapat ketentuan daripada Allah Ta'ala tentang rezeki , umur , baik , jahat , kaya , miskin dan sebagainya serta wajib pula beriktiqad manusia ada mempunyai nasib ( bahagian ) di dalam dunia ini sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Janganlah kamu lupakan nasib ( bahagian ) kamu di dalam dunia " .
( Surah Al – Qasash : Ayat 77 )

Kesimpulannya ialah umat Islam mestilah bersungguh-sungguh untuk kemajuan di dunia dan akhirat di mana menjunjung titah perintah Allah Ta'aladan menjauhi akan segala larangan dan tegahannya dan bermohon dan berserah kepada Allah s.w.t.

9. Al – Ilmu : Ertinya : Mengetahui Allah Ta'ala .

Maksudnya nyata dan terang meliputi tiap-tiap sesuatu sama ada yang Maujud (ada) atau yang Ma'adum ( tiada ).
Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada ( thabit ) qadim lagi azali berdiri pada zat Allah Ta'ala. Allah Ta'ala Maha Mengetahui akan segala sesuatu sama ada perkara Itu tersembunyi atau rahsia dan juga yang terang dan nyata.
Maka Ilmu Allah Ta'ala Maha Luas meliputi tiap-tiap sesuatu di Alam yang fana' ini.

10. Al – Hayat : Ertinya : Hidup Allah Ta'ala.

Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap qadim lagi azali berdiri pada zat Allah Ta’ala .
Segala sifat yang ada berdiri pada zat daripada sifat Idrak ( pendapat ) Iaitu : sifat qudrat , iradat , Ilmu , Sama’ Bashar dan Kalam.

11. Al - Samu’ : Ertinya : Mendengar Allah Ta'ala.

Hakikatnya ialah sifat yang tetap ada yang qadim lagi azali berdiri pada Zat Allah Ta’ala. Iaitu dengan terang dan nyata pada tiap-tiap yang maujud sama ada yang maujud itu qadim seperti ia mendengar kalamnya atau yang ada itu harus sama ada atau telah ada atau yang akan diadakan. Tiada terhijab ( terdinding ) seperti dengan sebab jauh , bising , bersuara , tidak bersuara dan sebagainya. Allah Ta'ala Maha Mendengar akan segala yang terang dan yang tersembunyi.

Sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :
" Dan ingatlah Allah sentiasa Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ".
( Surah An-Nisa'a - Ayat 148 )

12. Al – Bashar : Ertinya : Melihat Allah Ta'ala .

Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada yang qadim lagi azali berdiri pada zat Allah Ta'ala. Allah Ta'ala wajib bersifat Maha Melihat sama ada yang dapat dilihat oleh manusia atau tidak , jauh atau dekat , terang atau gelap , zahir atau tersembunyi dan sebagainya.

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud :
" Dan Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan ".
( Surah Ali Imran - Ayat 163 )

13 . Al – Kalam : Ertinya : Berkata-kata Allah Ta'ala.

Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada , yang qadim lagi azali ,berdiri pada zat Allah Ta'ala. Menunjukkan apa yang diketahui oleh ilmu daripada yang wajib, maka ia menunjukkan atas yang wajib sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

" Aku Allah , tiada tuhan melainkan Aku .........".
( Surah Taha - Ayat 14 )

Dan daripada yang mustahil sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :
" ........( kata orang Nasrani ) bahawasanya Allah Ta'ala yang ketiga daripada tiga..........".
( Surah Al-Mai'dah - Ayat 73 )

Dan daripada yang harus sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :
" Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu".
( Surah Ash. Shaffaat – Ayat 96 )

Kalam Allah Ta'ala itu satu sifat jua tiada berbilang.
Tetapi ia berbagai-bagai jika dipandang dari perkara yang dikatakan iaitu :
1) Menunjuk kepada 'amar ( perintah ) seperti tuntutan mendiri solat dan lain-lain kefardhuan.
2) Menunjuk kepada nahyu ( tegahan ) seperti tegahan mencuri dan lain-lain larangan.
3) Menunjuk kepada khabar ( berita ) seperti kisah-kisah Firaun dan lain-lain.
4) Menunjuk kepada wa'ad ( janji baik ) seperti orang yan taat dan beramal soleh akan dapat balasan syurga dan lain-lain.
5) Menunjuk kepada wa'ud ( janji balasan seksa ) seperti orang yang menderhaka kepada ibubapa akan dibalas dengan azabseksa yang amat berat.

14. Kaunuhu Qadiran : Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Berkuasa Mengadakan Dan Mentiadakan

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala , tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada
sifat Qudrat.


15.Kaunuhu Muridan : Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Menghendaki dan menentukan tiap-tiap sesuatu.

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala , tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada
sifat Iradat.


16.Kaunuhu 'Aliman : Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala , tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum, iaitu lain daripada sifat Al-Ilmu.


17.Kaunuhu Haiyan : Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Hidup.

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada sifat Hayat.


18.Kaunuhu Sami'an : Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Mendengar akan tiap-tiap yang Maujud.

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum, iaitu lain daripada sifat Sama'.


19.Kaunuhu Bashiran : Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Melihat akan tiap-tiap yang Maujudat ( Benda yang ada ).

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada sifat Bashar.


20.Kaunuhu Mutakalliman : Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Berkata-kata.

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada sifat Qudrat.

Sumber : Info Islam www.al-azim.com

Jabatan Mufti Melaka

Semoga bermanafaat

Permulaan Ilmu Tauhid

Permulaan Ilmu Tauhid

Mabadi ( Permulaan ) Ilmu Tauhid

Perkataan ' Mabadi ' itu bahasa Arab jama' daripada perkataan mabda' Bererti : Punca , mula terbit . Maksudnya keterangan yang ringkas atau tujuan sesuatu ilmu sebelum membaca atau belajar ilmu itu. Disebut juga Pembukaan sesuatu ilmu. Adalah Mabadi ilmu tauhid itu sepuluh perkara :

1) Nama ilmu ini :

Iaitu dinamakan Ilmu Tauhid , Ilmu Kalam , Ilmu Usuluddin, Ilmu 'Aqaid, Ilmu sifat dan Al-Iman.

2) Tempat ambilannya :

Iaitu diterbitkan daripada Al-Quraan dan Al-Hadith.

3) Kandungannya :

Iaitu mengandungi pengetahuan dari hal membahaskan ketetapan pegangan, kepercayaan kepada Allahdan kepada rasul-rasulnya daripada beberapa simpulan atau ikatan kepercayaan dengan segala dalil-dalil supaya diperolehi I'ktikad yang yakin, kepercayaan yang putus yang mana ia akan menaikkan perasaan bekerja dan beramal menurut bagaimana kepercayaan tersebut.

4) Tempat bahasannya ( Maudhu'nya )kepada empat tempat :

Pertama : Pada zat Allah Ta'ala dari segi sifat-sifat yang wajib bagiNya, Sifat-sifat yang mustahil atasNya dan sifat yang harus padaNya.

Kedua : Pada zat Rasul-rasul dari segi sifat-sifat yang wajib bagiNya, Sifat-sifat yang mustahil atasNya dan sifat yang harus padanya.

Ketiga : Pada segala kejadian dari segi jirim-jirim dan aradh-aradh yang mana menjadi dalil dan bukti atas wujud yang menjadikannya.

Keempat : Pada segala pegangan dan kepercayaan dengan kenyataan yang didengar daripada perkhabaran Rasulullah seperti hal-hal perkara ghaib contohnya arash , syurga , mahsyar ,neraka dan lain-lain tentang hari Qiamat.

5) Faedah Ilmu Tauhid :

Iaitu dapat mengenal Allah s.w.t. dan percayakan rasul serta mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat yang kekal.

6) Nisbah ilmu Tauhid dengan ilmu-ilmu yang lain :

Ilmu yang merangkumi ilmu asas di dalam ajaran Islam dan yang paling utama sekali.

7) Yang menghantarkan :

Imam Abu Hasan Al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi. Dan orang yang pertama menerima ilmu Tauhid daripada Allah Ta'ala ialah nabi Adam a.s. dan yang akhir sekali ialah Saidina Muhammad s.a.w.

8) Hukumnya :

Iaitu fardhu A'in atas tiap-tiap orang mukallaf lelaki atau perempuan mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t. dengan cara ijmal ( ringkas ) dan dengan cara tafsil ( huraian atau satu persatu ) berserta dengan dalil ijmal . Adapun mengetahui dalil tafsil itu fardhu kifayah .

9) Kelebihannya :

Iaitu semulia-mulia dan setinggi-tinggi ilmu daripada ilmu-ilmu yang lain kerana menurut hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :
" Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memfardhukan sesuatu yang terlebih afdhal daripada mengEsakan Allah dan ada sesuatu itu terlebih afdhal daripadanya ,nescaya tetaplah telah difardhukan ke atas MalaikatNya padahal setengah daripada Malaikat-malaikat itu ada yang rukuk selama-lamanya dan setengahnya ada yang sujud selama-lamanya."
( Riwayat Hakim )

10) Kesudahan ilmu ini :

Iaitu dapat membezakan di antara 'aqaid dan kepercayaan yang sah dengan yang batil.

Sumber : Info Islam www.al-azim.com

Jabatan Mufti Melaka


Semoga bermanafaat

Wednesday, June 9, 2010

Tasauf bercanggah dengan sunnah?

Sumber Utusanonline

ARKIB : 08/06/2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA menyambung bicara kita tentang tasauf dengan menyentuh suatu tohmahan dan salah tanggapan bahawa ia tidak harmoni dengan sunnah.

Akibatnya muncul satu pola pertentangan dalam aliran-aliran Islam semasa antara sufi dan hadis. Ini sebenarnya adalah suatu gambaran yang tersasar.

Dasar pengambilan tasauf adalah al-Quran dan sunnah. Ilham-ilham dan ilmu-ilmu yang dibukakan bagi ahli-ahlinya tasauf yang tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.

Tidak dinamakan tasauf jika ia menyanggahi perlembagaan terbesar Islam ini. Kelahiran tasauf itu sendiri seiring degan Islam.

Cuma, pada zaman di mana setiap peringkat masyarakat mula menjuruskan pandangan terhadap dunia, wujud golongan yang menyusun tasauf dengan meletakkan istilah-istilah tertentu kepada ilmu ini.

Tidak dinafikan timbul pula segolongan yang menggunakan tasauf untuk kepentingan peribadi. Mereka membawa gejala-gejala negatif ke dalam tasauf sehingga mendatangkan fitnah dan menjejaskan pandangan masyarakat terhadap tasauf. Sekali gus menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap konsep tasauf yang tulen.

Alhamdulillah, sebagai cabang ilmu asasi dalam Islam, tasauf tetap dipelihara oleh Allah SWT dengan tampilnya golongan yang berusaha sedaya upaya mempertahankan ketulenannya seperti Imam Abdul Wahhab al Sya'rani r.a yang mengarang kitab Tanbih al Mughtarrin dan Imam al-Qusyairi r.a yang mengarang kitab Risalah al Qusyairiyyah fi Ilmi al-Tasawwuf.

Begitu juga dengan tokoh-tokoh seperti Sheikh Abdul Halim Mahmud, mantan Sheikh al-Azhar, Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim, Sheikh Abdullah Siddiq al-Ghumari dan lain-lainnya yang cemerlang dalam mempertahankan kemurnian tasauf.

Juga tidak ketinggalan, tokoh ulama Mekah Ahlus Sunnah zaman mutakhir ini, al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al-Maliki al-Hasani.

Beliau memerhatikan bahawa tasauf sengaja diberi imej yang buruk oleh sesetengah orang.

Beliau berkata: "Sesungguhnya tasauf telah teraniaya, ditohmah dan dipandang serong. Tidak ramai yang memandangnya dengan pandangan yang tepat dan betul.

"Sebahagian besar ahli masyarakat melabelkan tasauf dan sufi dengan sifat-sifat yang tercela dan keji sehingga menjatuhkan hak penyaksian dan keadilan seseorang ahli tasauf.

"Mereka berkata 'si fulan tidak boleh dipercayai dan tidak boleh diterima khabarnya' kenapa? Kerana dia adalah seorang sufi.

"Namun demikian, apa yang menghairankan, orang-orang yang begitu lancang mencaci tasauf dan menentang ahli sufi ini, mengutip kata-kata dan perbuatan ahli sufi untuk dijadikan bahan dalam teks ucapan dan pengajaran mereka.

"Mereka seolah-olah tidak berasa malu meminjam kata-kata imam-imam sufi ini untuk digunapakai dalam khutbah-khutbah dan majlis-majlis pengajian mereka.

"Kita seringkali mendengar mereka mengucapkan 'telah berkata al Fudhail ibn 'Iyadh r.a, telah berkata Junaid al-Baghdadi r.a, telah berkata Hasan al-Basri r.a, telah berkata Sahl al-Tasturi r.a, telah berkata al-Muhasibi r.a, telah berkata Bisyr al-Hafi r.a' dan sebagainya.

"Adakah mereka tidak kenal siapakah insan yang meniti di bibir-bibir mereka? Nama-nama ulama yang mereka sebut merupakan pemuka-pemuka tasauf yang tidak asing lagi. Malah, ulama inilah yang telah menyusun kaedah-kaedah ilmu tasauf dan telah mencapai kedudukan sebagai wali qutub (pangkat tertinggi wali-wali).

"Kitab-kitab tasauf juga dipenuhi dengan kata-kata mereka, khabar-khabar dan biografi mereka. Tidak dapat dipastikan, sama ada orang yang mentohmah ahli tasauf ini benar-benar orang yang jahil atau pun buat-buat jahil? Atau pun, mereka ini buta atau buat-buat buta?" (Mafahim Yajibu an Tusohhah, H: 107)

Isu Palestin – Suatu penilaian (bahagian 1)

Sekadar perkongsian


Terasa geram dengan apa yang berlaku di timur tengah, bukan hanya hari ini, sejak dari kecil lagi apabila membaca berita atau melihat berita tv mengenai Palestin, berita tentang pembunuhan rakyat Palestin serta kekejaman rejim israel terhadap orang islam Palestin adalah rutin sudah jadi macam perkara biasa dan agak pelik kalau berlaku sebaliknya, kalau ada cerita mengenai gencatan senjata atau perjanjian perdamaian, sudah boleh dibaca kesudahannya macam filem hindustan. Setiap kali berlaku kekejaman serta pembunuhan oleh rejim Israel, dunia celik sekejap, ada yang mengutuk, mengadakan tunjuk perasaan tanda simpati tetapi hanya sementara, apabila keadaan telah reda semua yang berlaku itu seolah-olah dilupakan dan macam tidak pernah berlaku.


Persaudaraan umat islam seluruh dunia


Airmata dan darah umat islam Palestin mungkin terlalu murah pada pandangan dunia hari ini. Tapi tidak pada orang yang menganut agama tauhid la ilaha illa llah muhammadan rasulullah di seluruh pelusuk dunia, sekali sembilu menghiris umat islam tidak kira di negara manapun didunia yang didasari oleh penindasan serta kekejaman, lukanya akan sama dirasai oleh umat islam lain dan selamanya akan terpahat di hati. Rasa persaudaraan islam yang telah diwujudkan oleh agama suci ini menjadikan hubungan sesama islam melangkaui sempadan geografi, politik dan bangsa. Selagi seseorang itu mengaku sebagai seorang islam, hanya takwa yang membezakan tarafnya disisi Allah.


Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

(A-hujurat, 49:10)


Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

(Al-hujuraat, 49:13)


Tidak sepatutnya sebagai seorang islam tidak peka dengan keadaan kesusahan yang dialami oleh saudaranya, apatah lagi apabila diperlakukan sedemikian rupa.


Mafhum dari hadis Rasulullah SAW menyatakan;


Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.



Sikap dan perangai Yahudi


Telah nyata sejak dari zaman berzaman lagi sikap serta perangai kaum yahudi seperti yng dikisahkan dalam Al-Quran dalam pelbagai surah, walaupun demikian ada juga diantara mereka yang beriman kepada Allah dan beramal salih.


Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasaara (Nasrani) dan orang-orang Saabiin, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

(Al-baqarah, 2:62)


Namun sebahagian dari mereka keras hati walaupun mereka mengetahui kebenaran agama Allah yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul mereka.


Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).

(Al-baqarah, 2:146)


Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam). (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.

(Al-baqarah, 2:88)


Mereka juga dengki dengan kebenaran yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW walaupun mereka tahu hakikat sebenarnya.


Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Al-baqarah, 2:109)


Mereka juga mendakwa sesuatu yang tidak sepatutnya.


Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.

(Al-baqarah, 2:111)


Padahal apa yang diperintahkan oleh Allah adalah semata-mata beriman kepada-Nya dengan membenarkan ajaran nabi-nabi terdahulu.


Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran) dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil) dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu orang Yahudi dan Nasrani membeza-bezakannya) dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata.

(Al-baqarah, 2:136)


Mereka juga bertindak lebih berani dengan membunuh nabi-nabi yang diutuskan oleh Allah.


Yang demikian itu karena mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh Para Nabi tanpa alasan.

( Ali Imron: 112)


Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil perjanjian setia dari Bani Israil dan Kami telah utuskan kepada mereka beberapa orang Rasul. (Tetapi) tiap-tiap kali datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi.

( Al Maidah: 70)


Kita patut bersyukur kepada Allah SWT yang menurunkan Al-Quran keatas nabi-nabi dan utusan-Nya yang telah memberi hidayat kepada kita melalui Al-Quran yang mulia menceritakan sikap dan perangai kaum yahudi serta cara yang sesuai apabila berhubungan dengan mereka. Malangnya pada hari ini kita dapat lihat umat islam masih mengikut telunjuk yahudi dan nasrani.


Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.

(Al-baqarah, 2:120)


(Sesudah kamu wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?

(Al-baqarah, 2:75)


Banyak lagi kisah-kisah mengenai kaum yahudi bani israel yang diceritakan oleh Allah dalam Al-Quran.


Ikuti sambungan bahagian 2 sedikit masa lagi....


Nukilan Cikgu Syahir

http://cikgusyahir.blogspot.com/

Sunday, June 6, 2010

Jangan takut untuk belajar

Artikel menarik dari blog
http://an-nawawi.blogspot.com

Pada masa kini, kaedah untuk belajar ada banyak caranya. Tapi, apa itu yang dimaksudkan dengan belajar?

Secara mudahnya, belajar ialah suatu proses mendapatkan (menguasai) ilmu, kemahiran, atau menambahkan maklumat untuk keperluan tertentu.

Belajar juga memerlukan kita untuk berguru. Berguru adalah seseorang yang memiliki ilmu yang kurang (rendah), belajar kepada seseorang yang tinggi ilmunya (yang banyak maklumatnya) dalam skop yang dimaksudkan. Pada masa kini, tidak dapat dinafikan bahawa kaedah dan sarana untuk berguru itu sangat banyak sekali dan mungkin berbeza-beza di antara satu individu (atau kumpulan) dengan individu yang lainnya.

Mungkin kaedah berguru tidak sahaja boleh dilakukan dengan cara berhadapan (face to face) sahaja, iaitu dengan tanpa menafikan bahawa kaedah berhadapan (dengan guru) adalah antara yang terbaik. Sebagaimana kumpulan ilmuan yang terdahulu dan lebih awal dari kita sendiri banyak sekali meninggalkan ilmunya melalui buku-buku tertentu (menurut skop ilmu masing-masing) yang sehingga kini menjadi rujukan, panduan, dan bahan kajian. Perlu kita akui dan sedari, pada saat kemudahan sains dan teknologi yang meletus dengan begitu hebat sekali di era ini, ia secara tidak langsung sekaligus membolehkan kita untuk belajar dengan cara yang antaranya melalui pembacaan dari medium berupa buku, e-book, internet, website, majalah, dan pelbagai lagi. Selain itu, ia juga membolehkan kita untuk belajar berpandukan dari medium berupa VCD (rakaman video), rakaman audio (seperti mp3), berdialog di internet (chatting), bertukar ilmu melalui telefon dan e-mail, serta pelbagai lagi. Malah, baru-baru ini saya menemukan satu kaedah belajar yang diuruskan oleh sebuah universiti iaitu cara belajar secara online. Mendapatkan ijazah juga secara online, yang mana ianya diuruskan oleh universiti-universiti di luar negara. Sebenarnya, semua ini bukanlah suatu perkara yang menghairankan pada masa ini.

Kalau mungkin sebelum ini kita menonton rancangan memasak untuk menguasai sesuatu menu yang baru, baru-baru ini saya menjumpai pelbagai jenis VCD yang menyediakan kepada kita cara-cara untuk mempelajari solat sama ada VCD untuk anak-anak kecil atau pun untuk peringkat umur yang umum. Saya melihatkan ia sangat berkesan sekali dan mudah untuk difahami. Ia juga dilengkapi dengan buku panduan yang lengkap dengan hadis-hadis dan terjemahan bahasa melayu. Hasil daripada VCD tersebut, saya sendiri telah berjaya memanfaatkannya bagi tujuan membantu dan mengajak beberapa orang rakan untuk sama-sama memperbaiki solat.

Kesimpulan dari VCD solat tersebut membuatkan saya berfikir bahawa alasan tidak sempat untuk belajar agama dan tidak tahu di mana ada kelas agama adalah tidak relevan lagi pada masa ini. Kerana kaedah dan medium untuk belajar itu kini ada pelbagai. Buku-buku terjemahan yang mudah dan mesra pembaca juga sudah banyak memenuhi pasaran. Penulisan-penulisan yang ilmiyah bersumberkan al-Qur’an dan hadis juga sudah mula menyebar di pasaran. Rakaman-rakaman kuliah (seperti format MP3) juga sudah begitu banyak boleh didapati secara percuma di internet. Janganlah hanya berkhayal untuk memuat turun mp3 lagu-lagu yang tidak senonoh, tetapi kita lupa (melupakan) bahawa di sana juga terdapat rakaman audio mp3 yang lebih bermanfaat untuk agama kita.

Suatu yang tidak perlu dihairankan jika seseorang yang asas pendidikannya adalah biologi, tiba-tiba dia begitu mahir dalam bidang komputer dan IT (teknologi maklumat) sama ada mahir dalam membangunkan sebuah website, mengendalikan aplikasi php, menyelesaikan permasalahan hardware, atau mungkin software sekaligus. Malah, mungkin juga dia begitu mahir dalam beberapa bidang tertentu untuk satu-satu masa. Malah sahabat saya sendiri yang merupakan seorang pelajar di dalam jurusan kimia industri, dia begitu mahir dalam bidang graphic design dengan menggunakan beberapa jenis perisian komputer tertentu. Malahan dia tahu membezakan perisian yang mana adalah terbaik untuk rekaan tertentu. Dia juga mahir dalam flash animation. Saya pernah menanyakan dari mana dia belajar? Dia menjelaskan bahawa dia hanya mempelajarinya dari beberapa sumber dari internet di samping minat yang mendalam dalam bidang tersebut. Maka, di sini jelas bahawa ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Seperti kata peribahasa “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Langkah ke seribu itu bermula dengan langkah yang pertama, walaupun terpaksa jalan merangkak sebelum mampu berjalan betul.

Terimalah hakikat bahawa dunia kita sudah berubah. Apa yang patut kita fahami adalah sama ada kita mahu belajar atau tidak? Kita mahu berusaha atau tidak. Ia juga bergantung kepada kretiviti serta kebijaksanaan kita untuk memilih kaedah pembelajaran dan menguruskan masa bersesuaian dengan corak dan situasi kita. Minat yang mendalam dan sikap amanah serta ilmiyah adalah teras kejayaan kita. InsyaAllah. Sekaligus, kenyataan kuno, “Siapa yang menuntut ilmu tanpa guru (atau dengan berpandukan buku semata-mata) maka dia sebenarnya menuntut ilmu dengan syaitan” tidak lagi relevan pada zaman ini. Bahkan ia hanya akan merencatkan perkembangan dan kemajuan masyarakat di era intelek. Tetapi, hakikatnya ramai juga orang yang berguru dan bertalaqi masih juga ditakuk lama natijah dari diri sendiri yang tidak memiliki jiwa yang berdaya maju, tidak mahu berusaha untuk membangun, dan mungkin juga disebabkan memilih guru yang salah.

Hanya apa yang perlu ditekankan adalah perlunya untuk kita mengambil dari sumber yang tepat bagi setiap skop dan bidang yang dikehendaki. Jangan sampai kita mahu menguasai maklumat permotoran, tetapi asyik buku IT yang kita belek, maka mungkin ilmu IT yang akan kita perolehi. Begitu pula dalam persoalan agama, jangan sampai disesatkan oleh kitab-kitab orientalis!

Oleh itu janganlah takut untuk sentiasa belajar. Sama-samalah kita berusaha untuk sentiasa memperbaiki diri dari masa ke semasa supaya jangan sampai dikatakan ketinggalan zaman!

Friday, June 4, 2010

Benarkah Berguru Dengan Buku, Ibarat Berguru Dengn Syaitan?

Artikel menarik dari blog Sebuah Perkongsian

Oleh: Abu Bakr Al-Humaidi

Benarkah Berguru Dengan Buku, Ibarat Berguru Dengn Syaitan?


Pernah sekali di kampus, saya membawa buku Kitab Fikih Mazhab Syafie ke Masjid di kampus saya untuk berbincang dengan Ustaz tentang suatu permasalahan agama kerana saya mempunyai beberapa kekeliruan semasa membaca kitab berkenaan. Semasa sesi perbincangan, ada beberapa orang jemaah masjid yang sama-sama mengikuti sesi perbincangan bersama Ustaz. Di akhir sesi perbincangan tersebut, seorang senior membelek-belek buku berkenaan lalu menasihati saya supaya berguru jika mahu membaca kitab-kitab fikih. Saya hanya tersenyum bila mendengar nasihatnya sambil timbul dalam benak fikiran saya beberapa persoalan untuk menjawab semula nasihatnya seolah-olah tidak boleh membaca kitab fikih secara sendirian.


Saya pernah juga berhujah dengan seorang senior saya di dalam email mengenai hal-hal berkaitan wajibnya mentaati pemerintah walaupun mereka zalim (iaitu dalam hal-hal yang ma’ruf). Dalam perbincangan tersebut banyak juga dalil yang saya kemukakan.Sebenarnya bukan semua dalil saya hafal, saya hanya copy dan paste dari internet dan sempat merujuk buku-buku yang ada di hadapan saya semasa itu sebagai bahan hujah saya. Yang sangat menggelikan hati saya adalah, dalam sesi berhujah itu, senior saya ada mengugut saya dengan perkataan “kuarantin” dari jemaah/organisasi kerana selalu memberi pendapat yang berbeza dengan sebahagian ahli-ahli organisasi. Akhir dari sesi perbincangan tersebut, senior saya memberi amaran kepada saya sekali lagi dengan satu ungkapan yang katanya merupakan hadis Nabi saw (padahal ianya bukan hadis), katanya “Barangsiapa yang berguru dengan buku, ia ibarat berguru dengan syaitan”.


Saya begitu terkejut dengan perkataan beliau yang menyatakan ayat tersebut adalah hadis nabi, lalu saya terus search di internet dan mendapat beberapa artikel berkenaan ungkapan berkenaan. Ternyata, ianya bukanlah perkataan Nabi mahupun perkataan sahabat Nabi saw. Lalu saya pun memberi amaran kepada beliau dengan hadis Nabi saw yang bermaksud “Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka” (HR Bukhari dan Muslim). Selepas dari posting tersebut, senior saya terus tidak membalas email saya. Moga-moga dia mengambil pelajaran betapa bahayanya mencipta hadis palsu dan perlunya berhati-hati menukilkan kata-kata Nabi saw.


Buku Karangan Manusia Vs Quran Al-Karim


Ternyata, jika kita membezakan darjat buku-buku yang dikarang oleh manusia biasa (termasuklah para ulama), maka ianya tidaklah boleh menandingi darjat Kitab Al-Quran yang merupakan perkataan-perkataan Allah. Tetapi, ternyata Nabi saw menyarankan kita supaya membaca Al-Quran seperti sabdanya;


“Dari Abu Umamah r.a dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bacalah Al-Quran itu kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat bagi para pembacanya.” (HR Muslim).


Malah, Nabi saw menyarankan para sahabatnya supaya membaca al-Quran walaupun masih merangkak-rangkak seperti dalam sabdaannya yang bermaksud;


Orang yang membaca al-Quran dan dia mahir dalam membacanya, dia bersama para malaikat yang mulia lagi sangat taat. Sedangkan yang membaca al-Quran dengan bertatih-tatih dan bacaan itu terasa sulit baginya mendapat dua pahala” (HR Bukhari dan Muslim)


Sudah pastilah yang mendapatkan kebaikan dari pembacaan Quran itu mestilah memahami isi kandungan Quran dan mengamalkan ajarannya. Dan yang dimaksudkan mendapat dua pahala itu adalah pahala membaca Quran dan satu lagi pahala belajar membaca al-Quran. Wallahua’lam.


Maka di sini jelas, Quran yang sangat tinggi darjatnya pun dituntut untuk dibaca sendiri-sendiri sebagai sumber peringatan, inikan pula buku-buku karangan manusia yang berlambak di atas muka bumi ini. Maka boleh jugalah dibaca untuk mendapatkan peringatan dan ilmu-ilmu yang lain.


Bertanya Kepada Ahli Ilmu Jika Tidak Tahu


Allah swt mengajar kita supaya beradab dalam menimba ilmu iaitu kita tidak boleh memandai-mandai menafsirkan sesuatu perkara yang kita tidak tahu. Oleh itu, Allah swt menyarankan kita supaya bertanya kepada pakar-pakar ilmu jika kita tidak faham atau tidak tahu tentang sesuatu perkara seperti firmanNya yang bermaksud;


“…maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui” (Al-Anbiya’: 7)


Dari ayat ini dapatlah kita mengambil pelajaran bahawa, jika kita tidak faham sesuatu permasalahan semasa membaca buku, keliru atau ingin kepastian lanjut, maka ketika itu, seharusnya kita bertanya kepada orang yang tahu iaitu pakar-pakar dalam bidang yang dibaca ataupun orang yang tahu permasalahan tersebut.


Anjuran Berkata “Allah lebih mengetahui” (Allahu A’lam)


Salah satu dari tuntutan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah mengatakan “Allah lebih mengetahui” dalam perkara-perkara yang tidak jelas kepada kita. Inilah tuntutan disiplin ilmu dalam Islam. Kita hanya boleh berkata dalam ruang lingkup yang kita tahu sahaja, sebaliknya jika kita tidak tahu hendaklah kita mengatakan Allahu A’lam (Allah lebih mengetahui) dan berdiam diri dari menambah-nambah perkara yang dia tidak tahu.


Pernah sekali Imam Malik r.h didatangi oleh seorang lelaki untuk bertanya kepadanya tentang empat puluh persoalan. Akan tetapi beliau hanya menjawab empat daripada empat puluh persoalan tersebut. Selebihnya beliau menyatakan “Saya tidak tahu”. Sehingga lelaki yang bertanya itu mengatakan, “Saya datang dari negeri yang jauh dengan tungganganku dan anda hanya mengatakan ‘Saya tidak tahu’


Imam Malik lalu berkata “Naikilah tungganganmu, dan kembalilah ke negeri asalmu dan katakanlah “Saya telah bertanya kepada Malik, dan dia hanya mengatakan “Saya tidak tahu”.


Demikian juga Nabi saw, apabila ditanya sesuatu yang belum diturunkan wahyu kepadanya, beliau akan menunggu sehingga ada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepadanya.


Hayatilah firman Allah swt yang bermaksud;


“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pedengaran, penglihatan dan hati semua itu akan diminta petanggungajawabannya” (Al-Isra’ :36)


Penutup


Oleh itu, kepada para pembaca. Marilah kita menuntut ilmu terutamanya ilmu berkaitan dengan agama. Yang dikatakan agama itu adalah al-Quran dan As-Sunnah.


Sumber mendapatkan ilmu itu ada pelbagai. Melalui kuliah agama di masjid secara bertalaqi, mendengar mp3 taupun rakaman video, malah melalui pembacaan. Semua memberi manfaat kepada kita semua.


Usah takut untuk membaca, kerana membaca itu adalah kunci ilmu. Kejayaan sesuatu tamadun adalah kerana tingginya budaya membaca dalam masyarakatnya. Yang penting, kita mestilah mengikuti adab dan disiplin dalam menuntut ilmu.


Usahlah percaya dengan slogan-slogan orang yang lemah fikirannya. Mereka melarang manusia membaca kitab-kitab agama dengan alasan “Berguru dengan buku ibarat berguru dengan syaitan”. Dari perbuatan mereka ini, ternyata mereka mengharamkan apa yang tidak diharamkan oleh Allah. Semoga Allah mengampuni kesilapan kita semua atas kejahilan kita yang terdahulu.


Semoga bermanfaat.

Wallahua’lam.

Sumber:


1. Penjelasan Ringkas Matan Akidah At-Thahawiyah, Akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah, Syaikh Salih bin Fauzan, ms 269. Pustaka Asy-Syifa, Indonesia.

2. Riadus Solihin, Imam Nawawi, Bab Keutamaan Membaca Al-Quran, ms 211.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...