Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Showing posts with label Coretan Diri. Show all posts
Showing posts with label Coretan Diri. Show all posts

Sunday, November 21, 2010

Dairi Hidupku

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh...

Cuti sekolah baru sahaja bermula. Alhamdulillah segala perancangan sepanjang tahun 2010 sebagai seorang guru telah pun selesai dan kini sedang dalam percutian panjang sementara menunggu tahun 2011 untuk sesi persekolahan baru.

Cuti memang best dapat balik kampung, tetapi apabila sudah sampai di kampung saya terfikir apa yang boleh dibuat dalam tempoh cuti yang cukup lama ini. Azam cuti hujung tahun ini agar dapat dipenuhi dengan baik dari tahun lepas.

Setakat hari ini cuma satu perkara sahaja yang tentu dapat memenuhi masa lapang cuti ini, saya akan menghadiri Kursus Induksi yang akan diadakan di Sibu, Sarawak pada 8-10 Disember 2010. Bermakna, saya perlu terbang semula ke Sarawak setelah kembali ke kampung halaman saya di Tumpat, Kelantan.

Dalam 2 bulan terakhir tahun ini, memang banyak duit habis guna untuk beli tiket flight. Pertama untuk balik cuti akhir tahun bersama isteri dan anak saya (6 bulan) beserta dengan tiket kembali untuk sesi persekolahan baru 2011, dan keduanya tiket seorang untuk kursus induksi. Itu belum termasuk tiket masa isteri bersalin. Saya anggap semua itu adalah salah satu pengorbanan yang patut ditempuhi dalam memenuhi tanggungjawab sebagai seorang guru yang berkhidmat di Sarawak

Perkara lain yang akan saya buat senasa cuti adalah menulis dalam blog ini. Sebelum ini, keadaan tugas harian sama ada di sekolah dengan tugas hakiki sebagai seorang guru atau tugas di rumah sebagai ketua keluarga menyebabkan tiada masa untuk menghasilkan sendiri artikel walaupun dalam pemikiran saya selalu sangat memikirkan untuk menghasilkan sesuatu sebagai suatu perkongsian kepada semua. Insya Allah, akan saya usahakan.

Teringat kepada pesanan Allahyarham ayahanda tercinta sebelum dia meninggal dunia 2 tahun lepas, "Tiada perkara kebaikan yang paling utama iaitu dengan melakukan amal jariah dengan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada semua". Ayahanda sepanjang hidupnya telah mengabadikan dirinya sebagai seorang penjual kitab dan pada masa yang sama juga adalah seorang guru ta'mir serta ahli usrah tetap ABIM kawasan Tumpat.

Sedari kecil saya dapat melihat rutin hidupnya adalah dalam bidang ilmu pengetahuan agama islam dengan membaca, menyampai serta menghidupkan suasana ilmu dengan sesiapa sahaja walaupun ayahanda sebenarnya adalah belajar dalam bidang ekonomi tetapi hati dan hidupnya adalah untuk ilmu agama. Beliau telah melakukan suatu perkara yang tidak seorang pun dari kalangan anakandanya dapat lakukan untuk sampai ke tahap apa yang telah dilakukannya.

Mungkin keberkatan amal yang beliau lakukan telah melahirkan 7 beradik yang berjaya memasuki universiti yang 3 darinya telah keluar sebagai guru dan membawa 4 lagi guru sebagai menantu sebagai meneruskan kesinambungan beliau dalam tugas menyampaikan ilmu pengetahuan. Allah telah memakbulkan niat ayahanda, beliau telah berjaya menghasilkan zuriat yang akan meneruskan apa yang telah dilakukannya dulu sebagai amal jariah yang tidak akan putus-putus diterimanya walaupun ayahanda sudah tiada lagi di dunia ini, Insya Allah.

Wednesday, June 9, 2010

Isu Palestin – Suatu penilaian (bahagian 1)

Sekadar perkongsian


Terasa geram dengan apa yang berlaku di timur tengah, bukan hanya hari ini, sejak dari kecil lagi apabila membaca berita atau melihat berita tv mengenai Palestin, berita tentang pembunuhan rakyat Palestin serta kekejaman rejim israel terhadap orang islam Palestin adalah rutin sudah jadi macam perkara biasa dan agak pelik kalau berlaku sebaliknya, kalau ada cerita mengenai gencatan senjata atau perjanjian perdamaian, sudah boleh dibaca kesudahannya macam filem hindustan. Setiap kali berlaku kekejaman serta pembunuhan oleh rejim Israel, dunia celik sekejap, ada yang mengutuk, mengadakan tunjuk perasaan tanda simpati tetapi hanya sementara, apabila keadaan telah reda semua yang berlaku itu seolah-olah dilupakan dan macam tidak pernah berlaku.


Persaudaraan umat islam seluruh dunia


Airmata dan darah umat islam Palestin mungkin terlalu murah pada pandangan dunia hari ini. Tapi tidak pada orang yang menganut agama tauhid la ilaha illa llah muhammadan rasulullah di seluruh pelusuk dunia, sekali sembilu menghiris umat islam tidak kira di negara manapun didunia yang didasari oleh penindasan serta kekejaman, lukanya akan sama dirasai oleh umat islam lain dan selamanya akan terpahat di hati. Rasa persaudaraan islam yang telah diwujudkan oleh agama suci ini menjadikan hubungan sesama islam melangkaui sempadan geografi, politik dan bangsa. Selagi seseorang itu mengaku sebagai seorang islam, hanya takwa yang membezakan tarafnya disisi Allah.


Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

(A-hujurat, 49:10)


Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

(Al-hujuraat, 49:13)


Tidak sepatutnya sebagai seorang islam tidak peka dengan keadaan kesusahan yang dialami oleh saudaranya, apatah lagi apabila diperlakukan sedemikian rupa.


Mafhum dari hadis Rasulullah SAW menyatakan;


Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.



Sikap dan perangai Yahudi


Telah nyata sejak dari zaman berzaman lagi sikap serta perangai kaum yahudi seperti yng dikisahkan dalam Al-Quran dalam pelbagai surah, walaupun demikian ada juga diantara mereka yang beriman kepada Allah dan beramal salih.


Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasaara (Nasrani) dan orang-orang Saabiin, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

(Al-baqarah, 2:62)


Namun sebahagian dari mereka keras hati walaupun mereka mengetahui kebenaran agama Allah yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul mereka.


Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).

(Al-baqarah, 2:146)


Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam). (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.

(Al-baqarah, 2:88)


Mereka juga dengki dengan kebenaran yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW walaupun mereka tahu hakikat sebenarnya.


Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Al-baqarah, 2:109)


Mereka juga mendakwa sesuatu yang tidak sepatutnya.


Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.

(Al-baqarah, 2:111)


Padahal apa yang diperintahkan oleh Allah adalah semata-mata beriman kepada-Nya dengan membenarkan ajaran nabi-nabi terdahulu.


Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran) dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil) dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu orang Yahudi dan Nasrani membeza-bezakannya) dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata.

(Al-baqarah, 2:136)


Mereka juga bertindak lebih berani dengan membunuh nabi-nabi yang diutuskan oleh Allah.


Yang demikian itu karena mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh Para Nabi tanpa alasan.

( Ali Imron: 112)


Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil perjanjian setia dari Bani Israil dan Kami telah utuskan kepada mereka beberapa orang Rasul. (Tetapi) tiap-tiap kali datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi.

( Al Maidah: 70)


Kita patut bersyukur kepada Allah SWT yang menurunkan Al-Quran keatas nabi-nabi dan utusan-Nya yang telah memberi hidayat kepada kita melalui Al-Quran yang mulia menceritakan sikap dan perangai kaum yahudi serta cara yang sesuai apabila berhubungan dengan mereka. Malangnya pada hari ini kita dapat lihat umat islam masih mengikut telunjuk yahudi dan nasrani.


Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.

(Al-baqarah, 2:120)


(Sesudah kamu wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?

(Al-baqarah, 2:75)


Banyak lagi kisah-kisah mengenai kaum yahudi bani israel yang diceritakan oleh Allah dalam Al-Quran.


Ikuti sambungan bahagian 2 sedikit masa lagi....


Nukilan Cikgu Syahir

http://cikgusyahir.blogspot.com/

Thursday, April 22, 2010

Sekadar luahan

Assalamualaikum…

Apabila membaca kembali setiap paparan yang saya postkan dalam blog ini, saya terfikir saya ni sebenarnya bukanlah orang sastera yang dapat menyajikan bahasa-bahasa yang indah-indah untuk menarik minat pembaca, saya tak dapat nak memberikan bahasa berbunga untuk menerangkan sesuatu, juga tidak pandai menggunakan bahasa kiasan yang menggunakan ‘bahasa dalam’ yang menepati maksud sesuatu perkara yang dapat memberi kesan kepada pembaca. Saya juga tidak tahu adakah bahasa yang saya gunakan terlalu straight forward yang boleh memberikan maksud yang ingin disampaikan atau mungkin juga boleh menyinggung hati sesiapa.

Saya sebenarnya adalah dari jurusan sains, yang biasanya belajar dalam bidang yang lebih menjurus kepada berfikir secara fakta, analitis, kritis, kreatif atau lebih tepat lagi sekular. Apatah lagi apabila berbicara dalam bidang keagamaan, terlalu jauh bezanya bagai langit dan bumi. Juga terasa segan juga dengan mereka yang terkedepan dari segi iman, ilmu dan amal.

Tapi di atas dasar ingin turut serta dalam penyebaran dan perkongsian ilmu, saya memberanikan diri untuk memberi sekadar apa yang termampu. Artikel yang saya postkan adalah dari pelbagai sumber rujukan dan ada juga yang berdasarkan sudut pemikiran dan idea saya sendiri, paparan dalam blog ini adalah mengikut citarasa saya sendiri seadanya yang bertujuan untuk mencetuskan rasa kesedaran kita untuk kembali kepada fitrah diri dalam menginsafi diri kita, siapa kita, dari mana asal kita apa tanggungjawab yang telah diberikan Allah kepada kita dan kemana kita akan berakhir.

Dengan kesedaran itu dapatlah kita mengatur jejak langkah kita dalam mencari kebenaran mutlak berlandaskan petunjuk sebenar dari Allah disamping memperbetulkan amalan kita dalam kehidupan ini agar seiring dengan peraturan-peraturan dan kehendak ilahi, dengan itu kita akan sentiasa berada di landasan yang benar. Semoga kita dapat menempuhi kehidupan ini dengan lebih tenang tanpa ragu-ragu dan tidak termasuk dalam kategori golongan orang-orang yang kerugian.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Al-‘Asr)


Wassalam…

Sunday, April 18, 2010

Baca Al-Quran...???

Salam...

Ini artikel kedua saya untuk malam ini, terpanggil untuk membicarakan suatu perkara yang boleh dikatakan ada kena mengena dengan setiap orang termasuk diri saya sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengata orang atau menjaga tepi kain orang dalam hal ibadat peribadi tapi lebih kepada muhasabah diri agar perkara ini tidak diambil remeh iaitu berkenaan membaca Al-Quran.

Mungkin bagi setiap individu itu berbeza level dari segi ilmu Al-Quran, mungkin juga kita adalah salah satu dari yang berikut :

1. Tidak boleh membaca langsung Al-Quran.
2. Boleh baca tapi sudah lama tidak membaca Al-Quran.
3. Tiap malam Jumaat tidak mis baca Yasin.
4. Selalu baca selepas sembahyang fardhu.
5. Khatam setahun sekali.
6. Dan sebagainya......

Kalau hendak ditingkatkan level lagi sebenarnya masih banyak lagi dari apa yang saya nyatakan di atas. Tidakkah pernah kita fikirkan hal ini atau kita rasa perkara itu tidak penting?

Macamana jika yang khatam setahun sekali tetapi sekadar baca dan tidak memahami makna yang dibaca, adakah tercapai matlamat Al-Quran itu diturunkan sebagai petunjuk?

Bagi saya, setiap orang islam tentu tahu peranan Al-Quran sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa, kalau suruh jelaskan tentang perkara ini semua orang tahu, tapi sekadar tahu sajalah.

Saya rasa sebagai orang islam yang beriman perlulah ada impian atau suatu hasrat untuk meningkatkan ilmu Al-Quran sehingga mencapai tahap tertinggi dan itu merupakan matlamat yang patut dicapai dalam hidup ini.Tidak dapat dinafikan baca Al-Quran ini akan dapat pahala bagi setiap huruf berdasarkan sabda nabi, tetapi adakah kita hendak berhenti setakat itu sahaja.

Saya bekas pelajar sekolah arab tetapi cuma setakat tingkatan 3 sahaja, tidak sempat untuk mendalami bahasa arab secara mendalam kerana bertukar ke sekolah lain untuk mengambil aliran sains. Saya baca Al-Quran dan alhamdulillah dapat memahami cuma separuh dari apa yang dibaca, saya terfikir, sayang betul kalau tidak dapat memahami maksud yang dibaca secara terus. Sudah tentu level, pahala dan pengajaran yang boleh diambil juga kurang jika nak dibandingkan dengan mereka yang lebih arif dalam makna bacaan.

Untuk belajar bahasa arab memerlukan masa yang panjang, tetapi masih boleh dilakukan sekiranya kita tekun. Yang paling senang adalah membaca tafsir Al-Quran. Bagi yang ada asas bahasa arab mungkin lebih mudah, cuma merujuk kepada bahagian yang tidak difahami sahaja. Yang tiada asas tiada pilihan, baca ayat dan kemudian maknanya, walaupun lambat asalkan dapat memahami makna Al-Quran adalah suatu yang memberi kepuasan kepada jiwa.

Apabila sudah khatam tafsir Al-Quran 30 juzuk, adakah tamat disitu? Terdapat banyak tafsir-tafsir Al-Quran yang ditafsir oleh ulama-ulama besar yang mengandungi huraian secara mendalam setiap ayat serta sebab diturunkan (asbabun nuzul). Bagi yang ingin mendalami boleh mendapatkannya di pasaran.

Tafsir Quran
1. Tafsir Pimpinan Al-Rahman
2. Tafsir Quran Mahmud Yunus.
3.Tafsir Al-Azhar
4. Tafsir Fi-Zilalil Quran
5. Tafsir Jalalain
6. Tafsir Ibnu Kathir
(sekadar memberi contoh sebahagian)

Untuk sampai keperingkat tertinggi bagi mendalami Al-Quran ini sudah tentu memerlukan masa, dan sepertimana yang saya katakan tadi ini adalah perancangan seumur hidup dan patut bermula sedikit demi sedikit bermula dari sekarang.

Adakah tidak penting hal ini ? Tepuk dada tanya iman kita.

Wassalam

Saturday, April 17, 2010

Al-Quran Petunjuk Sepanjang Zaman...

Terjemahan Surah Al-Baqarah Ayat 1-5,

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[1] Alif, Laam, Miim.

[2] Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa;
[3] Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
[4] Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
[5] Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.


Sekadar tazkirah :

1. Al-Quran mukjizat terbesar yang diturunkan tuhan untuk manusia.
2. Salah satu rukun iman ialah setiap orang islam wajib percaya kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada nabi-nabi iaitu Taurat kepada Nabi Musa a.s, Injil kepada Nabi Isa a.s, Zabur kepada Nabi Daud dan Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW.
3. Penurunan kitab atau wahyu menunjukkan sifat Rahman (Pemurah) dan Rahim (Pengasihani) kepada manusia.
4. Tujuan Allah menurunkan kitab-kitab melalui nabi dan rasul-Nya adalah sebagai petunjuk kepada manusia dalam menjalani kehidupan didunia ini serta memberitahu tentang hari kebangkitan selepas mati.
5. Wahyu diturunkan untuk memberi khabar gembira dan peringatan kepada manusia.
6. Khabar gembira bagi orang yang percaya dengan apa yang diturunkan oleh Allah iaitu orang-orang yang beriman dan beramal soleh yang meraka akan mendapat balasan syurga.
7. Peringatan kepada orang yang ingkar, tidak mahu percaya (kafir) dengan apa yang diturunkan oleh Allah serta orang yang melakukan kerosakan di muka bumi yang mereka akan mendapat azab neraka.
8. Turunnya kitab-kitab menjelaskan kembali tugas serta tanggungjawab yang patut ditunaikan oleh manusia sebagai khalifah di bumi.
9. Manusia telah diberi tanggungjawab oleh Allah sebagai pencipta dan manusia tidak dapat memilih untuk mengelak dari menerima tanggungjawab tersebut.
10. Penurunan kitab adalah sunnah sejak dahulu lagi, tuhan yang mencipta manusia dan tuhanlah juga memberi petunjuk kepada manusia.
11. Al-Quran menyatakan kitab-kitab yang pernah diturunkan kepada Nabi-nabi sebelum nabi Muhammad adalah benar, yang datang dari Allah walaubagaimanapun telah diubah oleh orang-orang yang derhaka sehingga hilang keasliannya sebagai kitab Allah.
12. Allah telah menyempurna agama-Nya melalui Al-Quran sebagai petunjuk dan sunnah yang patut diikuti oleh manusia untuk kesejahteraan manusia.
13. Semua nabi-nabi membawa seruan agama yang sama sejak dari zaman Nabi Adam a.s sehingga Nabi terakhir junjungan besar Nabi Muhammad SAW iaitu TIADA TUHAN SELAIN ALLAH YANG ESA (Satu) dan TIADA SUATU PUN YANG BERSEKUTU DENGANNYA.
14. Seruan yang sama telah bergema sejak azali dan terus berkekalan hingga ke hari kiamat.
15. Perkara yang berbeza antara nabi-nabi adalah syari'at. Syari'at berbeza kerana Allah sebagai pencipta Maha Mengetahui ajaran terbaik untuk sesuatu ummat.
15. Tiada yang berbeza antara orang-orang Yahudi, Kristian dan Islam selain dari mengikut wahyu terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai utusan dan penerus kesinambungan agama Allah di muka bumi ini.
16. Sekiranya masih ragu-ragu, CARILAH KEBENARAN ITU, Allah pasti akan memberi petunjuk kepada mereka yang mahukan kebenaran.
17. Pintu rahmat tuhan sentiasa terbuka, pohonlah rahmat itu selama hayat dikandung badan dan sebelum nafas terhenti.
18. Tiada pilihan lain, HANYALAH JALAN ITU, TIADA YANG LAIN.....

Wassalam.


Tuesday, April 13, 2010

Mujahadah nafsu di bumi Kapit.

Salam....

Sehingga rencana ini ditulis, sedar tak sedar saya telah pun berada di bumi Kapit, Sarawak ini selama 2 tahun 4 bulan dengan bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah menengah di bahagian itu. Tempat yang mengambil masa selama lebih kurang 3 jam dari Sibu dengan menggunakan bot ekspress yang merupakan satu-satunya pengangkutan yang ada untuk ke Kapit. Semua yang hendak dibawa ke Kapit mesti melalui jalan air. Tidak hairanlah dengan keadaan itu meningkatkan kos semua benda di Kapit dan berstatus sebagai salah satu bahagian yang agak terasing dari bahagian-bahagian lain di Sarawak, berada di Kapit mengundang pelbagai persoalan kepada semua orang luar sama ada mereka boleh atau tidak berada disini. Kalau hendak membanding apa yang terdapat di Kapit dengan tempat-tempat lain, terlalu jauh bezanya.

Warf Sibu untuk ke Kapit

Kalau diajukan pertanyaan kepada sesiapa pun disini 'Apa yang ada di Kapit?' Jawapannya sudah tentu berkenaan dengan kos hidup yang tinggi, semua mahal, makanan mahal, sewa rumah mahal. Kat Kapit jugak susah hendak keluar masuk lebih-lebih lagi apabila berlaku kecemasan, bot ekspress yang terakhir keluar dari kapit ke Sibu adalah pada pukul 3.15 petang, sekiranya ada perkara kecemasan terpaksa menunggu sehingga awal pagi esok, bot terawal adalah pukul 5.30 pagi. Mungkin segalanya akan berakhir apabila jalan menghubungkan Sibu-Kapit dibina. Kalau pembinaan jalan itu dimulakan sekarang, bermakna dalam 2-3 tahun baru siap jalan itu. Tapi untuk pembangunan Kapit mungkin memerlukan 5-10 tahun lagi. Mungkin pada masa itu barulah keadaan ekonomi Kapit akan sama dengan bahagian-bahagian lain di Sarawak. Itu pun kalau pembinaan jalan itu dimulakan sekarang.

Pemandangan di Warf Kapit berlatarbelakang sungai Rajang

Bagi mereka yang telah biasa dengan cara hidup 'mewah' di semenanjung, mungkin berada di Kapit adalah 'mimpi ngeri'. Semasa kali pertama diberitahu penempatan pertama sebagai guru di bahagian Kapit, ramai yang kecewa, takut, menangis pun ada. Terbayang difikiran mereka kesusahan yang bakal ditempuhi apabila berkhidmat nanti, macam-macam yang difikirkan, macamana hendak hidup disana? kalau ada kecemasan seperti kematian atau orang tua sakit dikampung macamana ? ada life ke kat sana ? Berapa lama kena berkhidmat disana? Bila dapat transfer balik ke kampung halaman ? Seribu satu masalah timbul dek perbezaan yang amat ketara dengan kehidupan di semenanjung. Kalau disemenanjung dah biasa sejak dari zaman belajar lagi, kalau setiap hujung minggu nak makan KFC, Pizza, Mc Donald dan lain-lain makanan segera. Kat Kapit cuma ada Sugarbun buat pengubat 'luka' dan 'dendam' dengan makanan segera. Tempat terdekat untuk dapat semua tu Sibu, itupun mungkin sebulan sekali kesana masa dapat gaji. Siapa boleh tahan macam ni?

Kapit, Sarawak

Kalau hendak diberikan alasan kenapa perlu keluar dari Kapit, seribu satu alasan dapat diberi untuk me'rasional'kan pertimbangan itu. Tapi untuk terus berada di Kapit tanpa menghiraukan masalah yang diperkatakan bukanlah sesuatu yang mudah walaupun ianya tidak mustahil. Kenapa begitu ? Siapa yang boleh menerbalikkan semua masalah yang sedang dihadapi akan dapat 'hidup' di Kapit tanpa menghiraukan semua masalah itu. Walaupun Kapit jauh di pedalaman, walaupun makanan di Kapit mahal, walaupun tidak dapat makan makanan KFC, Pizza, Mc Donald, walaupun sewa rumah di Kapit mahal, walaupun hidup di Kapit tidak sama dengan hidup di semenanjung atau kampung halaman sendiri, seseorang itu akan dapat kepuasan berada di Kapit sekiranya dia mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap TANGGUNGJAWAB, AMANAH serta IKHSAN terhadap masyarakat Kapit di bumi Sarawak ini.

Pelajar dengan pakaian tradisional mereka

Sekiranya difikirkan serta dihalusi dengan mata hati, tergamakkah kita disebabkan hanya mementingkan kesenangan serta tidak sanggup hidup susah, kita sanggup meninggalkan masyarakat ini yang memerlukan bantuan serta sokongan kita terutama guru-guru semenanjung untuk membantu mereka mendapat kehidupan yang lebih baik di masa akan datang. Kita sendiri telah datang, menjejakkan kaki dan melihat sendiri kesusahan yang telah mereka hadapi, adakah kita sanggup melihat generasi seterusnya terus berada dalam keadaan ini. Adakah kita sanggup merelakan anak-anak mereka yang pernah menjadi pelajar kita hanyut tidak mengenal erti kehidupan, belum terbuka pemikiran. Adakah kita mengharapkan orang lain datang dan memikul tanggungjawab yang pernah kita pikul. Itulah tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada kita sebagai guru semenanjung yang datang menabur bakti di tanah pertiwi Sarawak. Walaupun kita hanya sekadar dibayar gaji, walaupun mereka bukanlah sebangsa dengan kita. Tapi atas dasar kesedaran terhadap TANGGUNGJAWAB, AMANAH serta IKHSAN, tiada yang lebih besar selain dari itu.

Bergambar bersama-sama anak didik

Kita cuma sekadar menjalankan tugas kecil sebagai pendidik tidak mampu mengubah sesuatu, tapi dengan pendidikan, pelajar kita mampu mengubah keadaan masyarakat mereka, dan kita sebagai guru adalah pencetusnya. Siapa yang sanggup?


Cabaran orang mukmin...

Bismillaahir rahmaanir rahiim...
[214] Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). Surah Al-Baqarah (ayat 214)

Subhanallah.....
Alangkah lemah dan kerdilnya diri ini mengenangkan ujian dan cobaan yang telah dilalui oleh orang-orang yang beriman pada masa lepas....
Alangkah teguhnya keimanan mereka dalam melaksanakan suruhan tuhan....
Alangkah mulianya perjuangan hidup mereka.....
Alangkah tingginya tawakkal dan harapan mereka pada tuhan...
Alangkah dekatnya pertolongan tuhan pada mereka....
Alangkah bahagianya mereka diakhirat....

Alhamdulillah....
Syukur kepada tuhan yang memberikan kami petunjuk-Mu menuju jalan yang lurus melalui lisan hamba-Mu dan rasul-Mu, junjungan kami Nabi Muhammad SAW...
Semoga dengan petunjuk Al-Quran, dapat kami jadikan pedoman dalam menjalani kehidupan ini..

Allahu Akbar...

Wa ilal liqa'.....


Monday, April 5, 2010

From Engineering to Education

Ramai yang bertanya kepada saya kenapa bertukar bidang dari kejuruteraan masuk ke bidang pendidikan atau dari seorang jurutera kepada seorang guru. Mungkin pada sesetengah orang perkara itu adalah suatu perkara pelik dan sesetengahnya berfikir mungkin saya mengambil keputusan untuk bertukar profession sebagai jalan mudah untuk lari dari perkara susah ke bidang yang lebih senang dengan gaji serta elaun lumayan. Ada juga yang fikir, sebab keadaan sekarang yang susah nak dapat kerja, apply jadi guru dan terus dapat.



Apabila saya mendapat tawaran kursus Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), seorang kawan saya menghubungi saya bertanya kenapa saya memilih untuk bertukar bidang menjadi seorang guru, tidakkah saya telah establish dalam bidang core study iaitu dalam bidang kejuruteraan dan telah pun ada pengalaman selama 5 tahun dalam bidang industri. Tambahan pula katanya, saya memilih untuk turun level dari seorang engineer yang lebih professional kepada seorang guru. Saya jawab ringkas padanya, saya rasa sudah tiba saya memilih hala tuju baru dalam hidup saya dalam bidang yang saya rasa saya boleh melakukannya dan saya yakin dengan pilihan saya itu. Kawan saya akur dengan jawapan saya.



Semasa saya mengikuti latihan mengajar (LM) DPLI, seorang pensyarah yang menilai saya bertanya “Kenapa mesti ada DPLI, pelajar-pelajar saya yang sudah belajar kursus pendidikan 3-4 tahun nak letak mana? Mulanya saya terkejut dengan soalan macam tu, saya kira sebagai seorang pensyarah yang bergelar doktor sepatutnya sudah memahami dasar kementerian mewujudkan kursus DPLI ini. Saya katakan padanya yang kami di sini dihantar oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atas dasar dan persetujuan antara KPM dan pihak universiti, mereka tentu lebih maklum atas kewajaran kewujudan kursus ini, kami telah dipilih dan telah lulus ujian kelayakan yang telah ditetapkan oleh KPM. Sekiranya pengambilan ini dipertikaikan, seharusnya pertanyaan itu perlulah ditujukan kepada pihak KPM dan universiti sendiri. Memang pada mulanya pelajar-pelajar DPLI di pandang serong termasuklah dalam kalangan pensyarah universiti sendiri.



Saya memilih untuk menjadi guru kerana rasakan itu adalah bidang yang saya rasakan terbaik serta termampu saya ceburi yang di pilih berdasarkan kepada kelulusan, pengetahuan yang saya miliki dari pengalaman hidup saya serta hasil dari pemahaman saya dalam mengenal erti sebenar kehidupan. Saya yakin inilah landasan terbaik untuk ditempuhi sebagai memenuhi hasrat nurani saya yang menganggap hidup ini adalah medan perjuangan untuk membuat kebaikan kearah mencari keredhaan Allah. Bukan saya hendak merendahkan kerjaya lama dalam kejuruteraan itu tidak bagus atau tidak dapat dianggap sebagai ibadah. Semua kerja dalam bidang apa-apa pun adalah ibadat sekiranya kita melakukannya dengan jujur dan amanah semata-mata kerana Allah. Hatta, seorang makcik cleaner pun melakukan amal jariah dalam tugas sehariannya sekiranya dia melakukannya kerana jujur dan amanah kerana Allah. Alasan terbaik saya, Sebagai seorang jurutera, hasil terbaik adalah membuat keuntungan kepada syarikat serta menjanakan ekonomi negara manakala sebagai seorang guru, hasil yang terbaik adalah kejayaan pelajar. Terlibat secara langsung sebagai seorang guru, sebagai pendidik, bagai lilin yang membakar diri demi melihat kejayaan pelajar adalah suatu kepuasan dan amal jariah yang paling berharga disisi Allah. Diatas asas inilah saya memberanikan diri untuk terjun dalam bidang perguruan untuk bergelar cikgu.

Semoga pilihan saya tepat dan mendapat keredhaan Allah. Amin.

Wa ilal liqa’…….

Cikgu syahir..
4 April 2010

Thursday, April 1, 2010

Rintihan Nurani

Salam.

Doa iftitah " Inna sholaati wa nusuki wa mahyaayaa wa mamaati lillaahi rabbil 'aalamin"
maksudnya " Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Tuhan sekalian alam.

Ini lah doa yg selalu kita baca sewaktu sembahyang.
Adakah kita memahami makna yang tersurat dan tersirat disebalik bacaan kita?.......
Adakah kehidupan yang kita lalui setiap hari sudah memenuhi ikrar yang kita lafazkan semasa 'berhadapan' dengan Allah?.......
Ataupun kita cuma melafazkannya sekadar memenuhi bacaan ketika solat?

Ya Allah ya Tuhanku, ku mohon kepadamu agar segala apa yang kulalui dalam kehidupanku setiap hari tidak menyimpang dari jalan Mu. Ku mohon petunjuk dari Mu, tambahkan ilmu kepada ku untuk aku mengenali Mu, untuk sampai ke jalan Mu yang benar (shirothal mustaqim).

Ya Allah, jadikan segala amal pekerjaanku dalam kehidupan ini sebagai ibadat. Permudahkanlah, permudahkanlah...

Ya Allah, ampuni segala dosaku.

Rintihan Nurani

Wednesday, March 31, 2010

Salam perkenalan....

Bismillahirrahmanir rahim...

Allahummaftah 'alaina hikmataka, wansyur 'alaina min khazaaini rahmatika, ya arhamarrrahimin...

Allahumma shalli 'alaa saidina muhammadin wa'ala aalihi wa shohbihi ajma'iin...

Setinggi syukur kepada Allah taala kerana dengan limpah kurnia Nya dapat saya meluangkan masa untuk menghasilkan suatu blog yang saya kira merupakan suatu perkongsian ilmu kepada semua. Walaupun dengan kesibukan masa sebagai seorang guru, saya merasakan suatu tanggungjawab untuk turut serta dalam menyampaikan maklumat-maklumat serta input-input kearah kebaikan.

Semoga apa yang akan dikongsi nanti akan memberi manfaat kepada semua.

Terima kasih.

Cikgu Syahir
31 Mac 2010
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...