Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Showing posts with label Fadhilat Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Fadhilat Ilmu. Show all posts

Monday, March 5, 2012

Kisah Yang Boleh Menginspirasikan Para Pendakwah

ImageSeorang Sheikh telah mendapat jemputan ceramah agama dari sebuah perkampungan yang letaknya sejauh 400km. Untuk tidak menghampakan penganjur dan penduduk setempat, maka Sheikh tersebut pun bersetuju untuk datang ke perkampungan itu.

Sampai sahaja di perkampungan tersebut, beliau telah disambut oleh seorang lelaki yang merupakan penganjur kepada program ceramah yang diadakan. Si Sheikh agak terkejut dengan penampilan lelaki itu. Bukan sahaja pakaiannya tidak sesuai dengan majlis ilmu, malah tangannya pula asyik memegang puntung rokok yang berasap. Si Sheikh dapat mengagak latar belakang penduduk perkampungan itu dengan melihat kepada peribadi lelaki penganjur itu. Jika si penganjur majlis agama pun sudah macam itu, tentu agaknya penduduk lain lebih kurang macam itu atau lebih teruk lagi.

Betullah anggapan si Sheikh itu. Tidak sampai 15 minit ceramah disampaikan, penduduk yang hadir dalam majlis ilmu tersebut mula bercakap sesama sendiri. Ada yang tidur. Ada yang keluar dan masuk. Dan malah ada yang mula menghisap rokok. Situasi ini amat tidak menyenangkan si Sheikh itu. Sudahlah datang dengan memandu sejauh 400km untuk memberi ceramah, begini pula layanan para penduduk kepada beliau.

Selesai ceramah, si Sheikh pun pulang dengan sedikit hampa. Dalam hatinya berkata, “selepas ini memang aku tak datang dah ke sini…”

Setahun berlalu.

Tiba-tiba si Sheikh itu menerima panggilan dari seorang lelaki untuk menjemput beliau untuk memberi ceramah. Suara dan gaya percakapan lelaki tersebut dapat dicam oleh si Sheikh itu. Lelaki yang sama yang menjemput beliau ke perkampungan yang terletak 400km itu. Sheikh tersebut masih ingat.

Walaupun Sheikh itu telah mengatakan bahawa beliau tidak akan lagi ke kampung itu kerana terlalu jauh, namun jauh di sudut hatinya mengharapkan ada perubahan selepas setahun berlalu. Si Sheikh itu pun bersetuju untuk hadir memenuhi jemputan ceramah agama tersebut.

Sampai sahaja di kampung itu selepas pemanduan sejauh 400km, lalu Sheikh itu disambut oleh lelaki yang menelefon beliau dengan mesra. Rupa-rupanya lelaki tersebut masih tidak berubah. Masih dengan penampilan seperti setahun yang lalu dan juga dengan rokok di tangannya. Si Sheikh menguatkan semangat beliau untuk memberikan ceramah.

Selepas 20 minit ceramah, perkara yang sama berlaku. Iaitu ada bercakap sana-sini. Ada yang tidur. Ada yang mundar-mandir di dalam majlis ilmu dan ada juga yang menghisap rokok. Tidak berubah dari tahun yang lalu. Si Sheikh berasa sedikit kecewa namun ceramah tetap diteruskan demi untuk menyampaikan dakwah.

Seperti biasa, selepas ceramah lalu diadakan sesi soal-jawab. Hanya 3 soalan diajukan. Ini menggambarkan betapa tidak berminatnya penduduk tersebut dengan majlis ilmu yang beliau telah sampaikan. Mengikut kebiasaan, biasanya di mana-mana pun beliau berceramah, banyak soalan diajukan dan ia menandakan betapa seronoknya pendengar dengan majlis ilmu. Tetapi di sini hanya 3 sahaja.

Walaupun agak kecewa dengan layanan penduduk terhadap beliau yang datang dari jauh, namun setelah membaca salah satu surat dari pendengar yang mengajukan soalan, kekecewaan beliau terubat. Beliau kembali semakin bersemangat dan tersenyum. Kandungan surat itu berbunyi:

“Sheikh, demi ALLAH, saya tidak pernah meninggalkan walau satu hari pun solat sunnat Witir sejak setahun lepas selepas saya mendengar Sheikh menceritakan tentang solat Witir dalam ceramah yang tuan Sheikh sampaikan tahun lalu.”

ALLAHU AKBAR!

Rupa-rupanya ada juga insan yang mengambil manfaat atas apa yang beliau telah sampaikan. Walaupun persoalan solat sunnat Witir itu cuma salah satu daripada banyak perkara yang beliau telah sentuh dalam ceramah, tetapi apabila mendapat tahu bahawa ada orang mengamalkannya asbab dari ceramah tersebut, malah orang itu istiqamah pula, ia cukup menggembirakan Sheikh tersebut.

Selepas peristiwa itu, si Sheikh cuba untuk membuangkan perasaan kecewa atau hampa akibat dari layanan para pendengarnya. Mengingati peristiwa tersebut membuatkan beliau sentiasa bersemangat untuk menyampaikan dakwah walau sejauh mana pun tempat itu dan bagaimana pun layanan masyarakat setempat.

Ternyata, dalam ramai-ramai orang kampung itu, walaupun majoriti tidak memberikan perhatian, namun di sana tentu ada orang yang menyambut seruan dakwah. Kalau tidak ramai, seorang pun sudah cukup. Memang suatu yang menggembirakan buat pendakwah jika mengetahui apa yang disampaikannya diamalkan oleh para pendengar yang hadir.

Tuan/puan sekalian yang dirahmati ALLAH sekalian,

Kisah di atas cuma secuit contoh dari masyarakat yang boleh diambil iktibar dan pengajaran. Sudah tentulah kisah-kisah besar dari para Nabi, Rasul dan para pejuang yang memperjuangkan agama ALLAH sentiasa menjadi pedoman ampuh buat kita semua dalam terus bersemangat mencari redha ALLAH melalui usaha dakwah.

Dan hadith dari Abu Mas`ud `Uqbah bin `Amr al-Ansori al-Badri radhiAllahu `anhu ini sentiasa menjadi motivasi dan inspirasi besar buat para pendakwah untuk terus menyampaikan dakwah, iaitu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda:

“Barangsiapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya”

(HR Muslim)

Dan jika tiada langsung yang menyahut seruan dakwahmu wahai pendakwah, jangan bersedih dan layu semangat, kerana ALLAH sentiasa melihat usahamu dan pasti akan membalasinya.

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman:

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ

Maksudnya: ”Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya.”

(Surah al-Zalzalah, ayat ke-7.)

Kebaikan dari sisi ALLAH buat penyeru kebaikan dan pendakwah pasti ada walau zahirnya nampak seperti gagal atau tidak berhasil.

Peranan pendakwah adalah terus menyampaikan seruan-seruan kebaikan. Adapun tentang perubahan yang bakal terjadi kepada orang yang didakwah itu serahkan sahaja pada ALLAH. Terpulang kepada ALLAH. DIA lah memberikan hidayah dan taufiq kepada hamba-hambaNYA.

Sebagaimana kisah di atas telah memberi inspirasi buat saya, saya berharap kisah ini bermanfaat juga buat tuan/puan yang membacanya, khususnya buat para pendakwah. Dan kena ingat, kita semua adalah pendakwah.

(Kisah di atas saya dengar dari Ustadz Syed Norhisyam dalam majlis Konvensyen Fiqh 2012, PWTC)

Sekadar menyampaikan,

Shahmuzir Nordzahir

Sumber

muzir.wordpress.com

2 Mac 2012.

Tuesday, January 31, 2012

Bagaimana Mahu Berjumpa Nabi Di Dalam Mimpi?

Masjid Nabi, Madinah al-Munawwarah.

Seorang remaja lelaki menghantar mesej SMS kepada saya bertanya soalan bagaimanakah untuk berjumpa dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi? Ma Sya ALLAH, memang bagus betul soalan tersebut. Ia biasanya ditanya oleh orang-orang yang soleh yang rindukan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Saya tidak mampu untuk menjawabnya. Soalan itu berat untuk saya menjawabnya kerana saya sendiri pun belum lagi direzekikan oleh ALLAH Ta`ala untuk mengalami mimpi yang mulia itu. Beruntunglah sesiapa yang dapat bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi semasa hayatnya.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu, bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda:

“Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, bererti dia benar-benar melihatku. Sesungguhnya Syaitan tidak mampu menjelma rupaku.” (HR Muslim)

Saya pernah mendengar jawapan yang sangat cantik yang pernah dijawab oleh Sheikh Muhammad Hassan (semoga ALLAH memelihara beliau) apabila ditanya soalan yang sama. Beliau telah menjawabnya dengan menyampaikan suatu kisah yang beliau perolehi dari seseorang yang beliau kenali. Kisahnya seperti berikut:-

Pada suatu hari, seorang pelajar datang bertemu tuan gurunya kerana ingin bertanya suatu soalan yang sangat penting.

“Wahai tuan guru, tolonglah ajarkan kepada saya tentang caranya untuk bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi saya” Tanya pelajar itu kepada tuan gurunya.

“Engkau mahu melihat Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpimu?” Tuan guru bertanya semula.

“Ya, wahai tuan guru” Jawab pelajar tersebut dengan sungguh-sungguh.

“Jika begitu. Marilah datang ke rumah saya malam ini. Kita makan malam sama-sama ya…” Jemput tuan guru kepada pelajarnya yang bertanya itu.

“Apa? Ma Sya ALLAH, ini sudah bagus, rezeki” Pelajar tersebut terkejut dan gembira dengan pelawaan tuan gurunya itu.

Lalu pada malamnya si pelajar itu datang ke rumah tuan gurunya untuk mendapatkan jawapan yang ditanya itu, iaitu bagaimana untuk berjumpa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi. Beliau sangat mengharapkan tuan gurunya yang alim dan murobbi itu dapat memberikannya jawapan.

Tuan guru menjemput pelajar itu makan makanan yang dihidangkan. Tetapi makanan yang disediakan itu sengaja dilebihkan garam dan beliau tidak pula menyediakan air untuk pelajar tersebut minum.

“Boleh saya minta air? Saya dahaga, wahai tuan guru” Pinta pelajar tersebut yang berasa haus disebabkan oleh kemasinan makanan yang disediakan.

“Oh tidak, air tidak dibenarkan” Jawab tuan guru.

“Tetapi tuan guru, saya berasa sangat dahaga.” Pelajar itu memberitahu keadaannya yang sedang mengalami kehausan.

“Tidak, air tidak dibenarkan. Makan sahajalah” Tuan guru bertegas lalu memintanya teruskan makan.

“Baiklah tuan guru.” Pelajar tersebut akur.

Setelah selesai makanan, pelajar itu pun meminta agar jawapannya dijawab oleh tuan gurunya.

“Tuan guru, mengenai soalan saya siang tadi. Boleh tuan guru ajarkan kepada saya bagaimana untuk bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi” Pelajar itu bertanya.

“Oh, tidak. Bukan sekarang. Saya tidak akan ajar kamu tentang itu sekarang.” Jelas tuan gurunya dengan lembut.

“Habis tu, bila wahai tuan guru?” Tanya pelajar itu dengan nada sedikit kecewa.

“Tidurlah sekarang. Nanti sebelum Subuh, insyaALLAH saya akan tunjukkan kepada kamu bagaimana caranya untuk bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi” Jawab tuan gurunya sambil memujuk.

Pelajar itu pun lalu tidur dengan harapan Subuh nanti beliau akan memperolehi suatu pelajaran yang sangat beliau nantikan. Beliau benar-benar ingin bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi, tetapi tidak tahu caranya.

“Wahai anakku, marilah ke sini…” Tuan guru memanggil pelajarnya setelah mereka sama-sama bangun sebelum Subuh.

“Ajarlah saya wahai tuan guru tentang bagaimana untuk bertemu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi!” Pelajar tersebut tanpa bersabar terus meminta agar diajarkan beliau dengan suatu ilmu yang besar itu.

“Nanti dulu. Sebelum itu saya ingin bertanya adakah kamu melihat apa-apa malam tadi di dalam mimpi kamu?” Tanya tuan guru dengan wajah yang manis.

“Ya, ada.” Jawab pelajar tersebut ringkas.

“Apa yang kamu lihat?” Tanya tuan guru lagi.

“Wahai tuan guru, saya telah melihat hujan yang lebat turun dari langit, sungai mengalir dan laut berombak pula berada di hadapan saya” Pelajar itu menjelaskan apa yang beliau lihat di dalam mimpinya. Ternyata beliau sangat senang sekali dengan apa yang dilihatnya.

“Benarlah wahai anakku. Engkau telah bercakap benar. Engkau telah bercakap benar. Dan engkau juga mempunyai niat yang benar. Maka sebab itulah mimpi engkau juga benar.” Tuan guru lalu memberikan respon terhadap jawapan pelajarnya itu.

“Dan jika cintamu benar terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, maka engkau akan dapat melihat Baginda di dalam mimpi sebagaimana benar dan kuatnya perasaanmu terhadap air tadi.” Tuan guru menyambung lagi.

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad. Kisah tersebut membuka suatu pertanyaan yang besar buat kita yang perlu kita sendiri muhasabah dengan jawapan tersebut.

Benarkah kita cintakan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam? Sudahkah kita mengamalkan sunnah-sunnah Baginda sallAllahu `alaihi wasallam? Sejauh manakah kita menjauhi kesemua larangan-larangan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam? Dan istiqamahkah kita mendo`akan solawat buat junjungan mulia sallAllahu `alaihi wasallam?

Agaknya sebab itulah kita belum direzekikan ALLAH Ta`ala buat kita untuk bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi disebabkan keadaan kita yang belum betul-betul cintakan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Sheikh Muhammad Hassan selepas menyampaikan kisah tersebut lalu mengajak kita semua bermuhasabah:

“Berkemungkinankah untuk Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam datang di dalam mimpi seseorang yang makan dari makanan yang haram? Seseorang yang matanya melihat perkara yang haram? Seseorang yang lidahnya menipu? Seseorang yang terlibat dengan riba? Seseorang yang munafiq? Adakah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam akan datang kepada orang-orang ini???!!!

Tidak! Sama sekali tidak! Demi ALLAH, Baginda sallAllahu `alaihi wasallam tidak akan datang melainkan kepada orang yang Baginda sayangi…!”

Sheikh Muhammad Hassan seterusnya menceritakan bahawa beliau pernah bertemu dengan seorang ibu tua berumur 70 tahun yang tinggal di sebuah rumah usang yang hanya diperbuat dari tanah liat. Keistimewaan ibu tua ini ialah pada setiap malam beliau dapat berjumpa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi. Antara amalan yang selalu dilakukan ialah beliau tidak pernah berhenti dari bersolawat ke atas Baginda sallAllahu `alaihi wasallam. Setiap saat yang ada, beliau sentiasa bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Selain bersolawat sepanjang masa, Sheikh Muhammad Hassan juga memberi nasihat, untuk bertemu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi, hendaklah kita semua menguatkan rasa cinta kita kepada Baginda. Samalah seperti air di dalam kisah di atas. Seseorang yang sangat mendambakan sesuatu akan terbawa-bawa hingga ke dalam mimpinya.

Dan cara menguatkan cinta bukanlah hanya dengan mempunyai perasaan cinta sahaja. Ia mestilah disertai dengan mengikuti sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam. Iaitu dengan mahabbah (cinta) dan ittiba` (ikut) Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Tidak ada cara lain lagi. Untuk bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi, hendaklah diterapkan sekuat-kuatnya rasa cinta dan ikut Baginda. InsyaALLAH, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam akan datang bertemu dengan mukmin yang betul-betul cinta dan ikut Baginda. Semoga kita semua dapat memperbaiki diri kita dalam hal menghayati sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Dan mudah-mudahan kita semua digolongkan oleh ALLAH Subhanahu wa Ta`ala sebagai ummat Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang dapat bertemu dengan Baginda di kolam al-Haudh di Padang Mahsyar dan bersama dengan Nabi di kolam al-Kautsar di Syurga nanti, amin…

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad.

- www.muzir.wordpress.com

Saturday, August 20, 2011

Kelebihan Orang-orang Yang Mati Syahid (Syuhada)

Menarik dari blog abubasyer.com

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia akan mati dan kematian datang bila-bila masa samaada manusia sudah buat persiapan atau belum membuat persiapan. Kematian ditentukan oleh Allah SWT samaada kematian dengan mendapat husnul khatimah atau su'ul khatimah.

Nabi SAW mengajar kita supaya sentiasa berdoa setiap saat dan masa semoga Allah SWT kurniakan kita husnul khatimah (kematian yang baik) dan menjauhkan daripada su'ul khatimah (kematian yang buruk).

Di kalangan hamba-hamba Allah SWT ada diantara mereka dipilh oleh Allah SWT mendapat mati syahid iatu kematian yang sangat mulia, dan menjadi idaman para mukmin dan solihain kerana mati syahid adalah kematian yang terlepas daripada seksa kubur dan kegawatan di Padang Mahsyar. Mereka yang mati syahid akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.

Dalam Islam, mati syahid (bahasa Arab: شَهيد ‎ šyahīd, jamak: شُهَداء šyuhadā’) ertinya muslim yang mati ketika berperang atau berjuang di jalan Allah membela kebenaran atau mempertahankan hak dengan penuh kesabaran dan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah. Siapa yang berjuang membela harta miliknya, jiwanya, keluarganya, agamanya, dan meninggal dalam perjuangannya itu, maka ia meninggal fi sabilillah atau mati syahid. Mati syahid merupakan cita-cita tertinggi umat Islam. Salah satu jalan menuju mati syahid adalah berjuang di jalan Allah (jihad fi sabilillah).

Sejarah membuktikan bukan sedikit umat Islam yang gugur sebagai syahid terutama melalui perjuangan menentang golongan kafir.

Dalam perjuangan peringkat awal kebangkitan Islam dibawah pimpinan Rasulullah SAW jumlah yang syahid ialah perang Badar (14) , perang Uhud (71), perang Khandak/Ahzab (6), perang Khaibar (21), perang Muktah (12) serta perang Hunain dan Taif (16).

Dalam perang Uhud, bapa saudara Rasulullah SAW, Hamzah bin Abd Mutalib, gugur syahid.

Orang pertama gugur syahid dalam Islam ialah Sumayyah binti Khayyat, ibu kepada Ammar bin Yasir yang mati kerana mempertahankan agama Allah di tangan pemuda Quraisy Makkah, Abu Jahal.

Hakikat sebenarnya mereka yang mati syahid bukanlah mati tetapi mereka hidup di sisi Allah SWT dan sentiasa mendapat rahmat dan rezeki daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang Yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki;(169)
(dan juga) mereka bersukacita Dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) Yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira Dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam Yang sedang berjuang), Yang masih tinggal di belakang, Yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) Bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.(170). Mereka bergembira Dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), Bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman" (171)
(Surah Ali-Imran ayat 169-171)

Asbabun Nuzul ayat 169-171 :

Ibnu Abbas r.a. menjelaskan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda,"Allah telah menjadikan ruh saudara-saudaramu yang gugur di medan Uhud berada di dalam rongga burung berwarna hijau yang berada dipinggir sungai di syurga. Burung itu memakan buah-buahan syurga kemudian bertengger di atas lampu-lampu yang terbuat dari emas yang tergantung di bawah Arasy. Saat mereka telah mendapat makanan, minuman, dan tempat tidur yang menyenangkan, mereka berkata, 'Jika saudara kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa-apa yang Allah berikan kepada kita, mereka tidak akan meninggalkan jihad di jalan Allah dan tidak akan lari dari medan perang." Lalu turunlah ketiga-tiga ayat ini.(Hadis sahih riwayat Hakim diriwayatkan Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Tirmidzi)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya". (Surah al-Baqarah ayat 154)

Asbabun Nuzul ayat 154 :

Ibnu Abbas r.a mengatakan bahawa Umar bin al-Hammam r.a gugur dalam Perang Badar, Allah lalu menurunkan ayat ini, terkait dengan Umar r.a dan sahabat-sahabat lain yang gugur sebagai syuhada. (Hadis Riwayat Ibnu Mandah. Lihat al-Wahidi : 36-37)

Sahabat yang dimuliakan,
Alangkah mulianya mereka yang mendapat gelaran para syuhadah , sentiasa mendapat rezeki dan nikmat yang sungguh besar dikurniakan oleh Allah SWT jika boleh mereka ingin kembali kedunia dan mereka ingin mati syahid sekali lagi kerana betapa nikmatnya mati sebagai para syuhadah.

Anas bin Malik ra.berkata : Dari Nabi SAW. baginda bersabda maksudnya : "Tidak ada satu jiwa pun yang mati dan akan memperoleh kebajikan yang menggembirakannya di sisi Allah kerana dia dapat kembali ke dunia bukan kerana untuk memperoleh dunia serta isinya kecuali orang yang mati syahid. Kerana ia berharap dapat kembali lagi lalu terbunuh lagi di dunia, melihat besarnya keutamaan mati syahid."(Hadis Riwayat Muslim : 3488)

Dalam hadis riwayat Jabir ra., ia berkata: Seorang lelaki bertanya: "Wahai Rasulullah, di mana aku nanti bila telah mati terbunuh? Baginda menjawab: "Di surga." Lelaki itu lalu segera melemparkan beberapa buah kurma yang berada di tangannya, kemudian ia berperang hingga gugur. Dalam hadis Suwaid: Seorang lelaki berkata kepada Nabi saw. pada waktu perang Uhud."(Hadis Riwayat Muslim : 3518)

Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim Rasulullah SAW bersabda maksudnya : Seorang yang mati syahid diberi enam perkara pada saat titisan darah pertama tumpah dari tubuhnya:

1. Diampunkan semua kesalahannya.
2. Diperlihatkan tempatnya di syurga.
3. Dikahwinkan dengan bidadari.
4. Diamankan daripada kesusahan kedahsyatan yang besar(pada hari kiamat).
5. Diselamatkan daripada seksa kubur.
6. Dihiasi dengan pakaian keimanan."

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
"Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu:

1. diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar

2. melihat tempatnya didalam syurga.

3. dilindungi dari azab kubur - dan terjamin keamanannya dari malapetaka besar

4. merasakan kemanisan iman,

5. dikahwinkan dengan bidadari, dan

6. diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya"

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?
Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.
Baginda bersabda: "Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit."
Kalangan sahabat kembali bertanya: "Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid."
(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

Sahabat yang dikasihi,
Golongan syahid tidak wajib disolatkan dan dimandikan sekalipun berada dalam hadas kecil atau besar.Perkara itu seperti arahan Rasulullah ke atas syuhada perang Uhud.Sabda baginda maksudnya: "Jangan kamu mandikan mereka kerana setiap luka dan darah itu adalah wangi semerbak pada hari kiamat dan tidak usah solat ke atas jenazah mereka."

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang meminta mati syahid dengan benarnya, Allah akan menyampaikan hajatnya itu pada kedudukan mati syahid, walaupun dia meninggal di tempat tidur-nya."
(Hadis riwayat Muslim (al-Nawawi, 1972, jil.13: 56).

Hadis tersebut mempengaruhi orang Islam supaya bercita-cita mati syahid, iaitu kematian yang termulia dalam Islam, dengan menjanjikannya akan mendapat kedudukan yang dimintanya itu, walaupun dia hanya meninggal di rumah.. Sesiapa yang tidak bercita-cita mahu mati syahid dan di dalam hatinya tidak ada niat langsung maka matinya dalam kehinaan kerana tidak mendapat ganjaran mati syahid sedangkan semulia-mulia kematian adalah mati syahid, setiap amalan bergantung pada niatnya.

Sumber

Monday, May 9, 2011

Betul Ke Perayaan Hari Ibu Dari Agama Kristian?

Dari blog Ustaz Nor Amin

Assalamualaikum ustaz.

Mintak pandangan Ustaz tentang sambutan Hari Ibu yang disambut pada bulan Mei setiap tahun iaitu pada Ahad kedua bulan Mei( hari ini 8 Mei 2011 ), kerana saya terbaca satu artikel yg mengatakan sambutan hari ibu itu bagi mengenangkan "mother of church" satu perayaan bagi agama kristian. Sememangnya kita sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan ibu, tetapi jika tarikh tersbeut dijadikan tarikh khusus untuk sambutan hari ibu tanpa niat untuk menyambut perayaan tersebut cara orang kirstian...apakah hukumnya?

Minta pandangan Ustaz..

Sekian,terima kasih.

Jawapannya

Sebelum ini saya tidak berani untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan Hari Ibu ini sebab segala dakwaannya belum jelas dan sahih lagi. Baru-baru ini saya cuba mencari artikel-artikel yang berkaitan Hari Ibu kebanyakkannya mendakwa perayaan tersebut adalah daripada upacara Agama Kristian.

Perayaan hari ibu ini adalah berasal dari pada budaya masyarakat greece sebagai penghormatan mereka terhadap Rhea iaitu ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai "Mothering Sunday". Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.

Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother's Church di Grafton, West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.

Peranan Sebagai Umat Islam

Tidak perlu kita tunggu Perayaan Hari Ibu barulah waktu itu kita terhegeh-hegeh untuk membelikan hadiah dan berbuat baik kepada mereka, selepas hari ibu habis semua, kembali balik kepada asalnya iaitu tidak pernah menanyakan khabarnya, tidak balik ke kampung untuk menziarah mereka, kasar dengan kedua ibu bapa dan sebagainya. Pelakuan sebeginilah yang dilarang oleh Islam, Perayaan Hari Ibu bagi Islam ini adalah pada setiap hari dan setiap masa. Sebab ini adalah tanggungjawab sebagai seorang anak untuk menjaga mereka.

Banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang menceritakan tentang menghormati kedua ibu bapa pada bila-bila masa, bukan hari atau masa yang tertentu sahaja kita menghargai ibu bapa kita. Di antara firman Allah yang bermaksud :

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, Dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Al-Isra : 23-24)

Sebagai seorang anak yang baik dan beriman kepada Allah, maka dia hendaklah menjaga dan menghormati kedua ibu bapanya jangan sesekali menyakiti hati mereka. Menderhakai kedua ibu bapa merupakan kejahatan yang paling besar dan paling dibenci oleh Allah. Di antara balasan yang dikenakan Allah kepada orang yang menderhakai kedua ibu bapanya ialah :

Segera Mendapat Balasan Allah

Orang yang derhaka kepada ibu bapanya, akan disegerakan Allah balasannya tanpa ditangguh-tangguhkan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

"Setiap dosa mungkin ditangguhkan seksanya sesuai dengan kehendak Allah sampai hari kiamat kecuali dosa terhadap ibu bapa..."
(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Segala Amal Ibadatnya Sia-Sia

Amalan baik yang kita lakukan akan menjadi kosong dan sia-sia, tidak diterima Allah sekiranya melakukan penderhakaan terhadap ibu bapa. Hal ini dapat difahami melalui sepotong hadis yang bermaksud :

"Tiga hal yang menyebabkan sia-sia amal iaitu menyekutukan Allah, menentang kedua ibu bapa dan melarikan diri daripada medan perang." (Hadis riwayat Tabrani)

Tidak Akan Masuk Syurga

Balasan setimpal disediakan Allah bagi orang yang menderhaka kepada ibu bapa ialah tidak akan dapat masuk Syurga. Perhatikan sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

"Hak Allah atas empat orang yang tidak akan dimasukkan ke dalam Syurga dan tidak akan merasakan kenikmatannya iaitu, orang yang sentiasa minum arak, pemakan riba, pemakan harta anak yatim dan orang yang tidak suka kedua orang tuanya." (Hadis riwayat al-Hakim)

Kesimpulannya

Pendapat saya yang serba kekurangan ini, lebih baik kita hindarkan diri dari menyambut Perayaan tersebut, kerana dikuatiri ia melibatkan perayaan Agama Kristian dan hal ini saya masih belum menjumpai mana-mana fatwa yang dikeluarkan lagi oleh pihak yang berwajib. Mungkin telah ada fatwa tetapi saya masih belum menjumpai maklumat tersebut. Tidak perlulah kita buat kebaikan pada masa-masa tertentu sahaja untuk berbakti kepada kedua ibu bapa, kerana mereka telah banyak berkorban untuk kita sejak dalam kandungan lagi sehinggalah kita digelar sebagai seorang bapa dan ibu. Tidak terhitung segala pengorbanan yang mereka berikan kepada anak-anak mereka sebab terlalu banyak.

Perayaan ini juga ada kaitannya dengan akidah, takut-takut apa yang kita buat itu boleh merosakkan akidah kita tanpa disedari, ini sangat bahaya dan perlu diawasi. Masyarakat Islam sekarang khususnya di Malaysia ini banyak yang jahil dan suka menerima apa-apa perkara secara bulat-bulat dan tidak menyelidikinya terlebih dahulu. Bila telah melakukannya baru disedari bahawa selama ini apa yang telah dilakukan adalah bercanggah dengan Agama Islam.

Lebih baik kita menghindarkan diri dari menyambutnya, kerena ini lebih baik dan ia juga belum terbukti lagi adakah ia sebahagian acara Agama Kristian atau bukan. Istilah mudah yang boleh digunakan dalam masalah ini ialah ragu-ragu atau syubhah. Tindakan yang baik adalah terus meninggalkan perayaan tersebut kerana ia lebih selamat. Hadis Rasulullah saw yang bermaksud :

"Sesungguhnya yang halal itu telah nyata (jelas hukumnya) dan yang haram itu juga telah nyata (jelas hukumnya) dan di antara kedua-duanya (halal dan haram itu) terdapat perkara perkara syubhah (yang tidak jelas akan kehalalan dan keharamannya) yang tidak diketahui oleh ramai manusia, maka barangsiapa yang memelihara dirinya dari perkara-perkara yang syubhah itu samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya, barangsiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara yang syubhah maka sesungguhnya ia telah terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram, seumpama penggembala yang menggembala di sekitar padang rumput yang berpagar hampir-hampir binatang gembalaannya masuk dan memakan rumput-rampai yang berpagar ini.Maka ketahuilah sesungguhnya bagi setiap raja itu ada padanya kawasan larangan dan ketahuilah bahawa sesungguhnya kawasan larangan Allah adalah perkara-perkara yang telah diharamkanNya. Dan ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh itu terdapat satu ketul daging, jika ia baik maka baiklah keseluruhan tubuh dan sekiranya ia rosak maka rosak pulalah keseluruhan jasad, sesungguhnya ia adalah hati." (Riwayatkan AI-Bukhari dan Muslim)

Sumber

Tuesday, February 1, 2011

Ulama dan budaya membaca


Budaya membaca perlu dipupuk sejak kanak-kanak lagi kerana manfaatnya amat besar dalam membentuk pemikiran masyarakat.


SENGAJA ditulis pada ruangan ini berkenaan dengan kepentingan membaca. Mudah-mudahan masyarakat Malaysia membudayakan budaya iqra’ dalam kehidupan harian mereka.

Di sini, disertakan mutiara kata dan hikmah oleh cendekiawan dan tokoh berkenaan dengan menuntut ilmu dan membaca.

Suatu ketika, ada seorang lelaki mengadu kepada Imam Ahmad bin Hanbal tentang perasaannya yang sedih dan kesepian, lalu Imam Ahmad berkata kepada sahabatnya: “Ambil buku lalu baca!”

Pernah suatu ketika, para sahabat Abdullah bin Mubarak berkata kepadanya: “Kenapa kamu tidak mahu duduk dan berkumpul dengan kami?” Lalu dia berkata kepada mereka: “Saya lebih senang duduk dan berkumpul bersama Baginda SAW dan para sahabat (iaitu lebih senang bersama buku-bukunya), kerana setiap kali berkumpul di dalam majlis, kamu selalu mengumpat dan membicarakan orang lain.”

Abdullah bin al-Amri berkata: “Tidak ada sesuatu yang lebih bermanfaat dari buku”.

Al-Ma’mun berkata: “Tidak ada sesuatu yang lebih mengasyikkan dari berjalan-jalan di alam fikiran orang-orang berilmu”.

Al-Jahiz berkata: “Buku adalah sebaik-baik kawan penghibur tatkala kesepian dan sebaik-baik kawan di kala menyendiri”.

Sesungguhnya berbual dengan kitab-kitab pada saat-saat yang panjang menanamkan air mata yang banyak berkilauan, terpancar daripadanya sungai-sungai hikmah terbelah, lalu keluar daripadanya air bayan, turun daripadanya khazanah-khazanah kecerdikan dan petikan-petikan genius.

Maka kitab-kitab adalah pintu gerbang agama dan nikmat pendidikan asal, bagi akal yang waras.

Kitab tidak mempunyai sifat mengumpat, riak, hasad dan takbur, kitab tidak mempunyai perasaan bosan, jemu, muak dan kebencian.

Kitab mengandungi hikmat yang terang benderang, pengajaran yang cemerlang, ungkapan yang fasih, metod yang betul, pandangan yang segar, khabar yang terpilih dan eksperimen yang hidup.

Dr. Aidh al-Qarni berkata: “Antara buku-buku yang akan cepat mati adalah buku-buku pemikiran yang hanya bersifat karangan belaka, di dalamnya tidak tercantum nas-nas agama, penukilan, analisa mahupun pendalaman suatu bidang”.

Dr. Aidh al-Qarni menyeru supaya membaca dan merenungi riwayat hidup para sahabat, tabi’in, para ulama besar dan orang soleh.

Ini kerana hal sedemikian dapat menjadikan hati seseorang lembut dan tidak keras.

Francis Bacon berkata: “Sedikit ilmu malah memungkinkan dapat membuat anda menjadi orang yang ateis, dan jika anda mahu memperdalam ilmu, maka anda akan beriman kepada Tuhan”.

Amat baik kita meneruskan aktiviti membaca kerana terlalu banyak faedah dan manfaatnya. Dinukilkan di sini, pendapat Dr. Aidh al-Qarni melalui bukunya Beginilah Zaman Memotivasikan Kita.

Antara lain, beliau berkata: “Aktiviti membaca dapat menambah ilmu, wawasan dan meluaskan lagi cakerawala pemikiran setiap orang yang mahu membaca, karya-karya orang lain dan ilmu pengetahuan mereka, maka sudah pasti pengetahuan dan wawasannya akan semakin bertambah luas dan akal fikirannya dapat berkembang, terutama jika yang dibaca adalah hal-hal yang bermanfaat.

“Saya dapat merenungi pelbagai permasalahan dan pengalaman yang nampak, kerana tidak lain adalah dari membaca buku.

“Daripada aktiviti membaca, saya dapat mengemukakan pelbagai hal yang menarik dan menakjubkan.

“Saya dapat mengetahui pelbagai pengalaman, kejadian dan musibah yang menimpa umat manusia.

“Melalui aktiviti membaca, abad-abad yang telah lalu seolah-olah digulung di hadapan saya seperti lembaran-lembaran kertas, seolah-olah bangsa yang telah lalu dikumpulkan di hadapan saya.

“Wahai orang yang dapat bersabar untuk menyendiri, yang dibukakan baginya pintu pengetahuan dan wawasan yang bersabar hanya berteman buku, jangan kamu bersedih hati dan menyesal kerana telah kehilangan beberapa hal di luar sana.

“Ini kerana sebenarnya kamu hanya kehilangan orang yang iri hati, cepat bosan atau orang yang pemarah.

“Sesiapa yang telah merasakan nikmatnya uzlah (menyendiri) bersama buku-buku yang bermanfaat, maka ia tidak akan menginginkan pengganti yang lain, sekalipun ia berupa kerajaan Kisra dan Kaisar.

Sumber

Friday, November 12, 2010

Tips Mencari Calon Suami Yang Baik

MENARIK DARI BLOG

Kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi. Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janjiNya pasti, itulah sedikit dari lagu Raihan. Lantaran kasih manusia yang sering bermusim dan sayangnya yang tak kekal lama, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya dalam memilih pasangan. Andainya sikit daripada cinta itu hendak diberi pada seseorang yang boleh digelar suami, pilihlah seorang lelaki yang....


Kuat Agamanya

Biar sibuk macamana, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yang kuat pengamalan agamanya. Lihat saja Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaqwaannya yang tinggi biarpun dia pemuda paling miskin.

Baik Akhlaknya

Ketegasannya nyata tapi dia lembut dan bertolak-ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara.

Tegas Mempertahankan Maruah

Pernahkah dia menjengah ke tempat-tempat yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam.

Amanah

Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, lupakan saja si dia.

Tidak Boros

Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.

Tidak Liar Matanya

Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.

Terbatas Pergaulan

Sebagai lelaki dia tahu dia tak mudah jadi fitnah orang, tapi dia tak amalkan cara hidup bebas.

Rakan Pergaulannya

Rakan-rakan pergaulannya adalah mereka yang sepertinya.

Bertanggungjawab

Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk parents dan ahli familynya. Jika parentsnya hidup melarat sedang dia hidup hebat, nyata dia tak bertanggungjawab.

Tenang Wajah

Apa yg tersimpan dalam sanubari kadang2 terpancar pd air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak. Berbahagialah kamu jika diintai calon yang demikian sifatnya

SUMBER

Monday, November 8, 2010

Kefahaman Para Sahabat Sebagai Methodologi

MENARIK DARI BLOG.

Islam ini datangnya dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, diwahyukan kepada Nabi-Nya melalui perantaraan Jibril ‘alaihis Salam. Melalui Nabi-Nya (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), agama ini pun disampaikan kepada masyarakat. Difahami dan dibantu pula oleh para sahabat Nabi ridhwanullah ‘alaihim ajma’in. Yang kemudian diikuti dan diwarisi dari generasi ke generasi setelahnya sehinggalah sekarang.

Secara umumnya, agama ini besumber dari dua rujukan yang baku. Iaitu Kitabullah (al-Qur’an) dan al-Hadis (sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam). Inilah yang disepakati dan diperakui oleh setiap mereka yang beragama Islam.

Firman Allah (maksudnya): “Jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian.” (Surah an-Nisa’, 4: 59)

Setelah itu, tidak dapat tidak, dua sumber tersebut tidak akan dapat difahami tanpa mengambil dan merujuk kepada kefahaman yang difahami oleh orang-orang pertama dan terawal memahaminya. Yang daripada mereka kita mewarisi agama ini. Tidak lain dan tidak bukan, merekalah yang digelar dengan gelaran Sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang diredhai.

Daripada merekalah kefahaman agama ini diambil dan diperturunkan kepada generasi demi generasi. Mereka adalah golongan terbaik dari golongan manusia yang beriman kepada agama yang dibawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka adalah kelompok manusia pertama yang memeluk Islam. Kelompok pertama yang melihat Nabi dan beriman dengan apa yang dibawanya. Di masa merekalah turunnya mukjizat yang paling agung, iaitu al-Qur’an yang menjadi huda (petunjuk) dan rahmat ke seluruh alam. Para sahabat ini berpeluang berguru dan memahami al-Qur’an secara langsung terus melalui Nabi yang dengannya kefahaman mereka dibentuk. Bersama-sama Nabi mereka mengutip mutiara-mutiara hikmah yang sangat berharga dalam memahami agama ini yang berupa hadis-hadis dan sunnah-sunnah beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Al-Qur’an diturunkan ayat demi ayat kepada mereka.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfiman (maksudnya): “Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal masuk Islam (generasi sahabat) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)

Sedar atau tidak, setiap hari kita berdoa di dalam solat meminta diletakkan di atas jalan-jalan mereka (para sahabat): “Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka (para sahabat dan generasi yang mengikuti mereka) - bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.” (Surah al-Fatihah, 1: 6-7)

Sehingga Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H) berkata dalam kitabnya, Syarhus Sunnah (m/s. 21):

فمن السنة لزوم الجماعة و من رغب غير الجماعة وفارقها فقد خلع ربقة الإسلام من عنقه وكان ضالا مضلا والأساس الذي بينا عليه الجماعة هم أصحاب محمد صلى الله عليه و سلم رحمهم الله أجمعين وهم أهل السنة والجماعة فمن لم يأخذ عنهم فقد ضل وابتدع وكل بدعة ضلالة


“Sesiapa yang berpegang dengan as-Sunnah, dialah yang melazimi al-jama’ah (termasuk dalam kumpulan kebenaran). Dan sesiapa yang cenderung kepada selain al-jama’ah dan menyelisihinya, maka dia telah melepaskan tali Islam dari bahunya sehingga dia menjadi sesat dan menyesatkan. Dan asas ukuran kebenaran al-jama’ah adalah dengan melihat para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, semoga Allah merahmati mereka semua. Mereka adalah Ahlus Sunnah wal-jama’ah. Sesiapa yang tidak mengambil kebenaran daripada mereka, maka ia telah memilih jalan kesesatan dan agama yang diada-adakan (bid’ah). Setiap yang diada-adakan (bid’ah) dalam beragama adalah sesat.”


Para sahabat adalah golongan manusia terbaik. Hidup pada zaman terbaik bersama-sama Nabi. Mereka adalah golongan manusia yang diredhai dan dijamin Syurga oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,


خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِيءُ أَقْوَامٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ


Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku, kemudian generasi setelah mereka, kemudian generasi setelah mereka. Kemudian akan muncul suatu kaum yang memberi persaksian mendahului sumpahnya, dan bersumpah mendahului persaksiannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 9/133, no. 2458)


Para sahabat adalah golongan yang sentiasa bersama-sama Nabi dalam apa jua keadaan, sama ada senang atau sukar. Teguh beraqidah sebagaimana yang diperintahkan, hidup di dalam suasana yang mendapat perhatian Nabi, dan mati di atas jalan yang benar. Di masa hidupnya sentiasa bersama-sama Nabi mengutip kebenaran yang disampaikan. Mereka bermusafir dan berperang bersama-sama Nabi. Berjuang dan berdakwah menegakkan agama yang dibawa oleh Nabi.


Setelah kewafatan Nabi, merekalah kelompok manusia yang meneruskan perjuangan dan kesinambungan dakwah Rasulullah. Merekalah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah memelihara al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah dari pelbagai bentuk penyelewengan, pendustaan dan penyembunyian. Mereka menyampaikan, mengajarkan, dan menyebarkannya kepada generasi manusia seterusnya.


Tidak ada lagi bentuk-bentuk agama selain dari apa yang difahami dan disampaikan oleh mereka. Kerana apa yang difahami dan diamalkan oleh mereka dari agama Islam, sudah sangat-sangat memadai dan itulah yang terbaik. Kerana apa yang diamalkan oleh mereka, itulah yang mendapat restu dan pembenaran secara langsung daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan bentuk-bentuk amalan (sandaran beragama) selain dari itu, maka ia adalah suatu yang asing lagi tertolak disebabkan agama ini telah pun sempurna dan mencukupi sebagaimana yang difahami oleh golongan terbaik bernama sahabat.


Begitulah sebuah hakikat yang perlu kita terima dengan hati terbuka. Datangnya agama kepada kita secara sempurna dan tulin melalui apa yang difahami oleh mereka. Bukan melalui kefahaman kita yang lemah yang hanya bergantung semata-mata kepada akal kita yang sangat-sangat terhad untuk memikirkan, apatah lagi untuk memahaminya. Tidak dapat tidak, kefahaman kita melalui akal-akal kita perlu dibantu dan dibina di atas kefahaman, iaitu sebuah methodologi yang diwariskan oleh para sahabat Nabi ridhwanullah ‘alaihim ajma’in yang dibawa pula oleh orang-orang terpercaya (ahlul hadis).


Secara amnya, segala perkara yang berkaitan dengan agama mencakupi persoalan aqidah (iman), mu’amalah, zuhud, ibadah, fiqh, hadis, akhlak, taqwa, dan seumpamanya, perlulah dirujuk kepada methodologi para sahabat sebagai golongan contoh yang paling terpercaya lagi berkelayakan.


Daripada ‘Abdullah B. ‘Amru radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,


وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيل تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّة , وَتَفْتَرِق أُمَّتِي عَلَى ثَلَاث وَسَبْعِينَ مِلَّة , كُلّهمْ فِي النَّار إِلَّا مِلَّة وَاحِدَة , قَالُوا : مَنْ هِيَ يَا رَسُول اللَّه ؟ قَالَ : مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي


Sesungguhnya bani Israel telah berpecah-belah menjadi 72 golongan, dan umatku akan berpecah-belah menjadi 73 golongan. Mereka semua di Neraka melainkan satu golongan.” Para sahabat bertanya, “Siapakah mereka yang selamat itu?” Beliau menjawab, “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/235, no. 2565. Beliau berkata: “Hadis ini adalah hadis yang hasan gharib yang telah ditafsirkan, kami tidak mengetahui melainkan daripada periwayatan ini.” Hadis iftiraqul ummah ini diriwayatkan dengan beberapa jalur periwayatan. Para ulama berhujjah dengannya)


Melalui hadis ini, Rasulullah telah menjelaskan bahawa mereka yang selamat dan berada di atas landasan agama yang benar adalah sesiapa sahaja yang berada di atas jalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya. Iaitu mereka yang memahami agama sebagaimana para sahabat memahaminya. Sebab itulah, jika kita perhatikan di ketika era-era akhir pemerintahan Khulafa al-Rasyidin, telah mula muncul kelompok-kelompok umat Islam yang menyimpang dari kebenaran seperti al-Khawarij, kemudian Syi’ah, seterusnya seperti Qadariyah, Muktazilah, Jahmiyah, pelbagai kelompok sufi (tarekat), sehinggalah ke hari ini begitu banyak bentuk-bentuk penyimpangan dan kelompok-kelompok sesat telah muncul. Semuanya bermula apabila kelompok-kelompok ini mengambil agama dengan tidak berteraskan kefahaman para sahabat radhiyallahu ‘anhum.


Sebagai penutup, saya tinggalkan pesanan imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H) sebagai panduan sekaligus merupakan prinsip:


أصول السنة عندنا التمسك بما كان عليه أصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم والاقتداء بهم


“Dasar Ahlus Sunnah menurut kami adalah tetap teguh di atas jalan hidup para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan menjadikan mereka sebagai contoh ikutan (qudwah) dalam beragama.” (Imam Ahmad bin Hanbal, Ushulus Sunnah, no. 1-2)


Wallahu a’lam...

Sumber

Monday, October 25, 2010

Bidaah baik dan buruk

Bidaah baik dan buruk

ALHAMDULILLAH, dengan izin-Nya jua dapat kita menunaikan hasrat seperti yang dinyatakan di minggu lepas untuk kita memulakan perbahasan beberapa isu yang sering dimanipulasikan oleh sesetengah pihak untuk memakaikan imej negatif terhadap Tasawuf.

Berdasarkan kitab rujukan kita, Mafahim karya Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki, isu pertama yang diberi tumpuan adalah isu bidaah. Tasawuf atau aliran Sufi yang sebenarnya merupakan pegangan dan kecenderungan para ulama arus perdana umat, termasuk para ulama hadis dan fiqh sering digambarkan sebagai penuh dengan pegangan dan amalan bidaah.

Untuk mengelakkan kita terjerumus kepada menyalahkan sekian ramai para ulama umat yang terpilih ini, marilah kita meneliti makna dan erti bidaah yang sebenar.

Di akhir perbincangan nanti, kita berharap sekurang-kurangnya mereka yang tidak bersetuju tetap akan mengakui bahawa kita tetap ada asas pijakan ilmiah bagi pendirian kita lantas bersedia untuk lebih berlapang dada dalam berbeza pendapat.

Terdapat di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai ulama atau pakar ajaran Islam telah menisbahkan diri mereka kepada salafussoleh.

Malangnya, mereka mengajak umat Islam mengikut jejak langkah atau Sunnah ulama Salafussoleh dengan cara-cara yang primitif, penuh kejahilan, fanatik buta, akal yang senteng, pemahaman yang dangkal dan dada yang sempit.

Bahkan, mereka juga berani memerangi setiap sesuatu yang baru dan mengingkari setiap penemuan baru yang baik dan berfaedah hanya kerana menilai (dengan pemahaman mereka yang sempit) perkara tersebut sebagai bidaah. Pada pemahaman mereka, semua bidaah adalah sesat tanpa membezakan di antara jenis-jenis bidaah yang ada.

Sedangkan, roh dan semangat agama Islam menghendaki supaya kita membezakan di antara pelbagai bidaah yang ada. Sepatutnya umat Islam perlu mengakui bahawa bidaah itu ada yang baik dan ada yang sesat. Inilah perkara yang lebih selari dengan akal yang cerdas dan penelitian yang cemerlang.

Inilah perkara yang telah ditahqiq (diakui kebenarannya setelah dilakukan penelitian) oleh ulama usul daripada kalangan ulama Salaf umat ini seperti Imam al 'Iz Ibnu Abdul Salam, Imam Nawawi, Imam Suyuti, Imam Jalaluddin al Mahalli, dan Ibnu Hajar, semoga Allah merahmati mereka semua.

Inilah perbahasan awal dalam menetapkan bahawa sebenarnya ada hujah yang kuat dan muktabar untuk menerima pembahagian bidaah kepada yang tercela dan terpuji, baik dan buruk. Insya-Allah kita akan menyambung perbincangan ini di minggu hadapan dengan harapan agar Allah SWT sentiasa membuka hati-hati kita untuk mendengar kalam yang baik lalu mengikut yang terbaik. Hanya Dialah yang menunjukkan seseorang ke jalan yang lurus.

Memahami hadis tentang bidaah

KAEDAH ilmu menetapkan bahawa hadis-hadis Nabi SAW perlu ditafsir di antara sebahagiannya dengan sebahagian hadis yang lain dan perlu disempurnakan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain. Umat Islam perlu memahami sabda Nabi Muhammad SAW dengan pemahaman yang cermat, komprehensif dan sempurna. Ia juga mesti ditafsirkan dengan roh Islam dan difahaminya bertepatan dengan pendapat dan penelitian Ahli Nazar (Pakar-pakar pengkaji Islam).

Oleh kerana itu, kita mendapati untuk memahami atau mentafsir banyak hadis, memerlukan kepada kecemerlangan akal, kecerdasan intelektual dan pemahaman yang mendalam serta disertai hati yang sensitif. Pemahamannya mesti berdasarkan syariat Islam. Di samping memerhatikan keadaan dan situasi umat Islam serta pelbagai keperluannya. Situasi dan keadaan umat memang harus diselaraskan dengan batasan-batasan kaedah Islam, nas-nas al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW tanpa terkeluar daripadanya.

Contohnya termasuklah hadis ini: "Setiap bidaah adalah sesat." Untuk memahami hadis seperti ini dengan betul, kita mesti mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis ini ialah bidaah sayyi'ah, iaitu bidaah yang salah dan menyesatkan. Yang tidak didasarkan kepada ajaran pokok agama Islam.

Pendekatan seperti ini atau apa diistilahkan sebagai taqyid (membataskan yang mutlak) juga digunakan pada hadis yang lain seperti hadis:"Tidak ada solat (yang sempurna) bagi tetangga masjid, kecuali (yang dilakukan) di dalam masjid."

Hadis di atas, meskipun mengandungi hasr (pembatasan), iaitu menafikan solat tetangga masjid, tetapi kandungan umum daripada hadis-hadis lain mengenai solat, mengisyaratkan bahawa hadis tersebut perlu difahami dengan suatu qayyid atau pengikat. Maka pengertiannya ialah, "tidak ada solat (fardu) yang sempurna bagi tetangga masjid, kecuali di masjid." Namun, tetap terdapat perselisihan pendapat di antara ulama dalam isu ini.

Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW ini: "Tidak ada solat di samping makanan (yang telah terhidang)." Maksudnya adalah "tidak sempurna solat di samping makanan yang telah terhidang."

Pendekatan yang sama juga harus kita gunakan untuk memahami hadis berikut: "Tidak beriman seseorang kamu kecuali ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri." Iaitu dengan erti kata, "tidak sempurna iman."

Begitu juga hadis berikut: "Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman (dengan keimanan yang sempurna)." Ada yang bertanya, "Siapakah (yang tidak sempurna keimanannya) itu, wahai Rasulullah?" Baginda SAW bersabda: "Orang yang jirannya tidak berasa aman dengan gangguannya."

Demikian juga hadis-hadis ini: "Tidak masuk syurga pengadu domba." "Tidak masuk syurga pemutus tali persaudaraan. Tidak masuk syurga orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya."

Menurut tafsiran ulama, yang dimaksudkan dengan tidak masuk syurga itu adalah tidak masuk awal ke dalam syurga, atau tidak masuk syurga jika menghalalkan perbuatan mungkar tersebut. Justeru kita dapati, para ulama tidak memahami hadis tersebut menurut zahirnya, tetapi mereka memahaminya melalui dengan pendekatan takwil (melihat makna alternatif yang muktabar).

Maka hadis bidaah tersebut juga termasuk dalam bab ini. Keumuman kandungan pelbagai hadis lain dan amalan para sahabat RA memberikan kesan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis tersebut hanyalah bidaah sayyi'ah; yakni bidaah yang jelas tidak mempunyai landasan pokok daripada ajaran Islam; dan bukan semua bidaah.

Cuba pula kita perhatikan hadis berikut: "Sesiapa yang melakukan suatu Sunnah yang baik, maka ia berhak mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya hingga hari Kiamat." Juga hadis, "Hendaklah kalian mengikut Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang memberikan petunjuk." Perhatikan juga perkataan Umar al Khattab RA mengenai solat Terawih (secara jemaah): "Sebaik-baik bidaah adalah perbuatan ini."

Sumber

Sunday, June 6, 2010

Jangan takut untuk belajar

Artikel menarik dari blog
http://an-nawawi.blogspot.com

Pada masa kini, kaedah untuk belajar ada banyak caranya. Tapi, apa itu yang dimaksudkan dengan belajar?

Secara mudahnya, belajar ialah suatu proses mendapatkan (menguasai) ilmu, kemahiran, atau menambahkan maklumat untuk keperluan tertentu.

Belajar juga memerlukan kita untuk berguru. Berguru adalah seseorang yang memiliki ilmu yang kurang (rendah), belajar kepada seseorang yang tinggi ilmunya (yang banyak maklumatnya) dalam skop yang dimaksudkan. Pada masa kini, tidak dapat dinafikan bahawa kaedah dan sarana untuk berguru itu sangat banyak sekali dan mungkin berbeza-beza di antara satu individu (atau kumpulan) dengan individu yang lainnya.

Mungkin kaedah berguru tidak sahaja boleh dilakukan dengan cara berhadapan (face to face) sahaja, iaitu dengan tanpa menafikan bahawa kaedah berhadapan (dengan guru) adalah antara yang terbaik. Sebagaimana kumpulan ilmuan yang terdahulu dan lebih awal dari kita sendiri banyak sekali meninggalkan ilmunya melalui buku-buku tertentu (menurut skop ilmu masing-masing) yang sehingga kini menjadi rujukan, panduan, dan bahan kajian. Perlu kita akui dan sedari, pada saat kemudahan sains dan teknologi yang meletus dengan begitu hebat sekali di era ini, ia secara tidak langsung sekaligus membolehkan kita untuk belajar dengan cara yang antaranya melalui pembacaan dari medium berupa buku, e-book, internet, website, majalah, dan pelbagai lagi. Selain itu, ia juga membolehkan kita untuk belajar berpandukan dari medium berupa VCD (rakaman video), rakaman audio (seperti mp3), berdialog di internet (chatting), bertukar ilmu melalui telefon dan e-mail, serta pelbagai lagi. Malah, baru-baru ini saya menemukan satu kaedah belajar yang diuruskan oleh sebuah universiti iaitu cara belajar secara online. Mendapatkan ijazah juga secara online, yang mana ianya diuruskan oleh universiti-universiti di luar negara. Sebenarnya, semua ini bukanlah suatu perkara yang menghairankan pada masa ini.

Kalau mungkin sebelum ini kita menonton rancangan memasak untuk menguasai sesuatu menu yang baru, baru-baru ini saya menjumpai pelbagai jenis VCD yang menyediakan kepada kita cara-cara untuk mempelajari solat sama ada VCD untuk anak-anak kecil atau pun untuk peringkat umur yang umum. Saya melihatkan ia sangat berkesan sekali dan mudah untuk difahami. Ia juga dilengkapi dengan buku panduan yang lengkap dengan hadis-hadis dan terjemahan bahasa melayu. Hasil daripada VCD tersebut, saya sendiri telah berjaya memanfaatkannya bagi tujuan membantu dan mengajak beberapa orang rakan untuk sama-sama memperbaiki solat.

Kesimpulan dari VCD solat tersebut membuatkan saya berfikir bahawa alasan tidak sempat untuk belajar agama dan tidak tahu di mana ada kelas agama adalah tidak relevan lagi pada masa ini. Kerana kaedah dan medium untuk belajar itu kini ada pelbagai. Buku-buku terjemahan yang mudah dan mesra pembaca juga sudah banyak memenuhi pasaran. Penulisan-penulisan yang ilmiyah bersumberkan al-Qur’an dan hadis juga sudah mula menyebar di pasaran. Rakaman-rakaman kuliah (seperti format MP3) juga sudah begitu banyak boleh didapati secara percuma di internet. Janganlah hanya berkhayal untuk memuat turun mp3 lagu-lagu yang tidak senonoh, tetapi kita lupa (melupakan) bahawa di sana juga terdapat rakaman audio mp3 yang lebih bermanfaat untuk agama kita.

Suatu yang tidak perlu dihairankan jika seseorang yang asas pendidikannya adalah biologi, tiba-tiba dia begitu mahir dalam bidang komputer dan IT (teknologi maklumat) sama ada mahir dalam membangunkan sebuah website, mengendalikan aplikasi php, menyelesaikan permasalahan hardware, atau mungkin software sekaligus. Malah, mungkin juga dia begitu mahir dalam beberapa bidang tertentu untuk satu-satu masa. Malah sahabat saya sendiri yang merupakan seorang pelajar di dalam jurusan kimia industri, dia begitu mahir dalam bidang graphic design dengan menggunakan beberapa jenis perisian komputer tertentu. Malahan dia tahu membezakan perisian yang mana adalah terbaik untuk rekaan tertentu. Dia juga mahir dalam flash animation. Saya pernah menanyakan dari mana dia belajar? Dia menjelaskan bahawa dia hanya mempelajarinya dari beberapa sumber dari internet di samping minat yang mendalam dalam bidang tersebut. Maka, di sini jelas bahawa ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Seperti kata peribahasa “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Langkah ke seribu itu bermula dengan langkah yang pertama, walaupun terpaksa jalan merangkak sebelum mampu berjalan betul.

Terimalah hakikat bahawa dunia kita sudah berubah. Apa yang patut kita fahami adalah sama ada kita mahu belajar atau tidak? Kita mahu berusaha atau tidak. Ia juga bergantung kepada kretiviti serta kebijaksanaan kita untuk memilih kaedah pembelajaran dan menguruskan masa bersesuaian dengan corak dan situasi kita. Minat yang mendalam dan sikap amanah serta ilmiyah adalah teras kejayaan kita. InsyaAllah. Sekaligus, kenyataan kuno, “Siapa yang menuntut ilmu tanpa guru (atau dengan berpandukan buku semata-mata) maka dia sebenarnya menuntut ilmu dengan syaitan” tidak lagi relevan pada zaman ini. Bahkan ia hanya akan merencatkan perkembangan dan kemajuan masyarakat di era intelek. Tetapi, hakikatnya ramai juga orang yang berguru dan bertalaqi masih juga ditakuk lama natijah dari diri sendiri yang tidak memiliki jiwa yang berdaya maju, tidak mahu berusaha untuk membangun, dan mungkin juga disebabkan memilih guru yang salah.

Hanya apa yang perlu ditekankan adalah perlunya untuk kita mengambil dari sumber yang tepat bagi setiap skop dan bidang yang dikehendaki. Jangan sampai kita mahu menguasai maklumat permotoran, tetapi asyik buku IT yang kita belek, maka mungkin ilmu IT yang akan kita perolehi. Begitu pula dalam persoalan agama, jangan sampai disesatkan oleh kitab-kitab orientalis!

Oleh itu janganlah takut untuk sentiasa belajar. Sama-samalah kita berusaha untuk sentiasa memperbaiki diri dari masa ke semasa supaya jangan sampai dikatakan ketinggalan zaman!

Friday, June 4, 2010

Benarkah Berguru Dengan Buku, Ibarat Berguru Dengn Syaitan?

Artikel menarik dari blog Sebuah Perkongsian

Oleh: Abu Bakr Al-Humaidi

Benarkah Berguru Dengan Buku, Ibarat Berguru Dengn Syaitan?


Pernah sekali di kampus, saya membawa buku Kitab Fikih Mazhab Syafie ke Masjid di kampus saya untuk berbincang dengan Ustaz tentang suatu permasalahan agama kerana saya mempunyai beberapa kekeliruan semasa membaca kitab berkenaan. Semasa sesi perbincangan, ada beberapa orang jemaah masjid yang sama-sama mengikuti sesi perbincangan bersama Ustaz. Di akhir sesi perbincangan tersebut, seorang senior membelek-belek buku berkenaan lalu menasihati saya supaya berguru jika mahu membaca kitab-kitab fikih. Saya hanya tersenyum bila mendengar nasihatnya sambil timbul dalam benak fikiran saya beberapa persoalan untuk menjawab semula nasihatnya seolah-olah tidak boleh membaca kitab fikih secara sendirian.


Saya pernah juga berhujah dengan seorang senior saya di dalam email mengenai hal-hal berkaitan wajibnya mentaati pemerintah walaupun mereka zalim (iaitu dalam hal-hal yang ma’ruf). Dalam perbincangan tersebut banyak juga dalil yang saya kemukakan.Sebenarnya bukan semua dalil saya hafal, saya hanya copy dan paste dari internet dan sempat merujuk buku-buku yang ada di hadapan saya semasa itu sebagai bahan hujah saya. Yang sangat menggelikan hati saya adalah, dalam sesi berhujah itu, senior saya ada mengugut saya dengan perkataan “kuarantin” dari jemaah/organisasi kerana selalu memberi pendapat yang berbeza dengan sebahagian ahli-ahli organisasi. Akhir dari sesi perbincangan tersebut, senior saya memberi amaran kepada saya sekali lagi dengan satu ungkapan yang katanya merupakan hadis Nabi saw (padahal ianya bukan hadis), katanya “Barangsiapa yang berguru dengan buku, ia ibarat berguru dengan syaitan”.


Saya begitu terkejut dengan perkataan beliau yang menyatakan ayat tersebut adalah hadis nabi, lalu saya terus search di internet dan mendapat beberapa artikel berkenaan ungkapan berkenaan. Ternyata, ianya bukanlah perkataan Nabi mahupun perkataan sahabat Nabi saw. Lalu saya pun memberi amaran kepada beliau dengan hadis Nabi saw yang bermaksud “Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka” (HR Bukhari dan Muslim). Selepas dari posting tersebut, senior saya terus tidak membalas email saya. Moga-moga dia mengambil pelajaran betapa bahayanya mencipta hadis palsu dan perlunya berhati-hati menukilkan kata-kata Nabi saw.


Buku Karangan Manusia Vs Quran Al-Karim


Ternyata, jika kita membezakan darjat buku-buku yang dikarang oleh manusia biasa (termasuklah para ulama), maka ianya tidaklah boleh menandingi darjat Kitab Al-Quran yang merupakan perkataan-perkataan Allah. Tetapi, ternyata Nabi saw menyarankan kita supaya membaca Al-Quran seperti sabdanya;


“Dari Abu Umamah r.a dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bacalah Al-Quran itu kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat bagi para pembacanya.” (HR Muslim).


Malah, Nabi saw menyarankan para sahabatnya supaya membaca al-Quran walaupun masih merangkak-rangkak seperti dalam sabdaannya yang bermaksud;


Orang yang membaca al-Quran dan dia mahir dalam membacanya, dia bersama para malaikat yang mulia lagi sangat taat. Sedangkan yang membaca al-Quran dengan bertatih-tatih dan bacaan itu terasa sulit baginya mendapat dua pahala” (HR Bukhari dan Muslim)


Sudah pastilah yang mendapatkan kebaikan dari pembacaan Quran itu mestilah memahami isi kandungan Quran dan mengamalkan ajarannya. Dan yang dimaksudkan mendapat dua pahala itu adalah pahala membaca Quran dan satu lagi pahala belajar membaca al-Quran. Wallahua’lam.


Maka di sini jelas, Quran yang sangat tinggi darjatnya pun dituntut untuk dibaca sendiri-sendiri sebagai sumber peringatan, inikan pula buku-buku karangan manusia yang berlambak di atas muka bumi ini. Maka boleh jugalah dibaca untuk mendapatkan peringatan dan ilmu-ilmu yang lain.


Bertanya Kepada Ahli Ilmu Jika Tidak Tahu


Allah swt mengajar kita supaya beradab dalam menimba ilmu iaitu kita tidak boleh memandai-mandai menafsirkan sesuatu perkara yang kita tidak tahu. Oleh itu, Allah swt menyarankan kita supaya bertanya kepada pakar-pakar ilmu jika kita tidak faham atau tidak tahu tentang sesuatu perkara seperti firmanNya yang bermaksud;


“…maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui” (Al-Anbiya’: 7)


Dari ayat ini dapatlah kita mengambil pelajaran bahawa, jika kita tidak faham sesuatu permasalahan semasa membaca buku, keliru atau ingin kepastian lanjut, maka ketika itu, seharusnya kita bertanya kepada orang yang tahu iaitu pakar-pakar dalam bidang yang dibaca ataupun orang yang tahu permasalahan tersebut.


Anjuran Berkata “Allah lebih mengetahui” (Allahu A’lam)


Salah satu dari tuntutan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah mengatakan “Allah lebih mengetahui” dalam perkara-perkara yang tidak jelas kepada kita. Inilah tuntutan disiplin ilmu dalam Islam. Kita hanya boleh berkata dalam ruang lingkup yang kita tahu sahaja, sebaliknya jika kita tidak tahu hendaklah kita mengatakan Allahu A’lam (Allah lebih mengetahui) dan berdiam diri dari menambah-nambah perkara yang dia tidak tahu.


Pernah sekali Imam Malik r.h didatangi oleh seorang lelaki untuk bertanya kepadanya tentang empat puluh persoalan. Akan tetapi beliau hanya menjawab empat daripada empat puluh persoalan tersebut. Selebihnya beliau menyatakan “Saya tidak tahu”. Sehingga lelaki yang bertanya itu mengatakan, “Saya datang dari negeri yang jauh dengan tungganganku dan anda hanya mengatakan ‘Saya tidak tahu’


Imam Malik lalu berkata “Naikilah tungganganmu, dan kembalilah ke negeri asalmu dan katakanlah “Saya telah bertanya kepada Malik, dan dia hanya mengatakan “Saya tidak tahu”.


Demikian juga Nabi saw, apabila ditanya sesuatu yang belum diturunkan wahyu kepadanya, beliau akan menunggu sehingga ada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepadanya.


Hayatilah firman Allah swt yang bermaksud;


“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pedengaran, penglihatan dan hati semua itu akan diminta petanggungajawabannya” (Al-Isra’ :36)


Penutup


Oleh itu, kepada para pembaca. Marilah kita menuntut ilmu terutamanya ilmu berkaitan dengan agama. Yang dikatakan agama itu adalah al-Quran dan As-Sunnah.


Sumber mendapatkan ilmu itu ada pelbagai. Melalui kuliah agama di masjid secara bertalaqi, mendengar mp3 taupun rakaman video, malah melalui pembacaan. Semua memberi manfaat kepada kita semua.


Usah takut untuk membaca, kerana membaca itu adalah kunci ilmu. Kejayaan sesuatu tamadun adalah kerana tingginya budaya membaca dalam masyarakatnya. Yang penting, kita mestilah mengikuti adab dan disiplin dalam menuntut ilmu.


Usahlah percaya dengan slogan-slogan orang yang lemah fikirannya. Mereka melarang manusia membaca kitab-kitab agama dengan alasan “Berguru dengan buku ibarat berguru dengan syaitan”. Dari perbuatan mereka ini, ternyata mereka mengharamkan apa yang tidak diharamkan oleh Allah. Semoga Allah mengampuni kesilapan kita semua atas kejahilan kita yang terdahulu.


Semoga bermanfaat.

Wallahua’lam.

Sumber:


1. Penjelasan Ringkas Matan Akidah At-Thahawiyah, Akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah, Syaikh Salih bin Fauzan, ms 269. Pustaka Asy-Syifa, Indonesia.

2. Riadus Solihin, Imam Nawawi, Bab Keutamaan Membaca Al-Quran, ms 211.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...