Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Tuesday, February 1, 2011

Ulama dan budaya membaca


Budaya membaca perlu dipupuk sejak kanak-kanak lagi kerana manfaatnya amat besar dalam membentuk pemikiran masyarakat.


SENGAJA ditulis pada ruangan ini berkenaan dengan kepentingan membaca. Mudah-mudahan masyarakat Malaysia membudayakan budaya iqra’ dalam kehidupan harian mereka.

Di sini, disertakan mutiara kata dan hikmah oleh cendekiawan dan tokoh berkenaan dengan menuntut ilmu dan membaca.

Suatu ketika, ada seorang lelaki mengadu kepada Imam Ahmad bin Hanbal tentang perasaannya yang sedih dan kesepian, lalu Imam Ahmad berkata kepada sahabatnya: “Ambil buku lalu baca!”

Pernah suatu ketika, para sahabat Abdullah bin Mubarak berkata kepadanya: “Kenapa kamu tidak mahu duduk dan berkumpul dengan kami?” Lalu dia berkata kepada mereka: “Saya lebih senang duduk dan berkumpul bersama Baginda SAW dan para sahabat (iaitu lebih senang bersama buku-bukunya), kerana setiap kali berkumpul di dalam majlis, kamu selalu mengumpat dan membicarakan orang lain.”

Abdullah bin al-Amri berkata: “Tidak ada sesuatu yang lebih bermanfaat dari buku”.

Al-Ma’mun berkata: “Tidak ada sesuatu yang lebih mengasyikkan dari berjalan-jalan di alam fikiran orang-orang berilmu”.

Al-Jahiz berkata: “Buku adalah sebaik-baik kawan penghibur tatkala kesepian dan sebaik-baik kawan di kala menyendiri”.

Sesungguhnya berbual dengan kitab-kitab pada saat-saat yang panjang menanamkan air mata yang banyak berkilauan, terpancar daripadanya sungai-sungai hikmah terbelah, lalu keluar daripadanya air bayan, turun daripadanya khazanah-khazanah kecerdikan dan petikan-petikan genius.

Maka kitab-kitab adalah pintu gerbang agama dan nikmat pendidikan asal, bagi akal yang waras.

Kitab tidak mempunyai sifat mengumpat, riak, hasad dan takbur, kitab tidak mempunyai perasaan bosan, jemu, muak dan kebencian.

Kitab mengandungi hikmat yang terang benderang, pengajaran yang cemerlang, ungkapan yang fasih, metod yang betul, pandangan yang segar, khabar yang terpilih dan eksperimen yang hidup.

Dr. Aidh al-Qarni berkata: “Antara buku-buku yang akan cepat mati adalah buku-buku pemikiran yang hanya bersifat karangan belaka, di dalamnya tidak tercantum nas-nas agama, penukilan, analisa mahupun pendalaman suatu bidang”.

Dr. Aidh al-Qarni menyeru supaya membaca dan merenungi riwayat hidup para sahabat, tabi’in, para ulama besar dan orang soleh.

Ini kerana hal sedemikian dapat menjadikan hati seseorang lembut dan tidak keras.

Francis Bacon berkata: “Sedikit ilmu malah memungkinkan dapat membuat anda menjadi orang yang ateis, dan jika anda mahu memperdalam ilmu, maka anda akan beriman kepada Tuhan”.

Amat baik kita meneruskan aktiviti membaca kerana terlalu banyak faedah dan manfaatnya. Dinukilkan di sini, pendapat Dr. Aidh al-Qarni melalui bukunya Beginilah Zaman Memotivasikan Kita.

Antara lain, beliau berkata: “Aktiviti membaca dapat menambah ilmu, wawasan dan meluaskan lagi cakerawala pemikiran setiap orang yang mahu membaca, karya-karya orang lain dan ilmu pengetahuan mereka, maka sudah pasti pengetahuan dan wawasannya akan semakin bertambah luas dan akal fikirannya dapat berkembang, terutama jika yang dibaca adalah hal-hal yang bermanfaat.

“Saya dapat merenungi pelbagai permasalahan dan pengalaman yang nampak, kerana tidak lain adalah dari membaca buku.

“Daripada aktiviti membaca, saya dapat mengemukakan pelbagai hal yang menarik dan menakjubkan.

“Saya dapat mengetahui pelbagai pengalaman, kejadian dan musibah yang menimpa umat manusia.

“Melalui aktiviti membaca, abad-abad yang telah lalu seolah-olah digulung di hadapan saya seperti lembaran-lembaran kertas, seolah-olah bangsa yang telah lalu dikumpulkan di hadapan saya.

“Wahai orang yang dapat bersabar untuk menyendiri, yang dibukakan baginya pintu pengetahuan dan wawasan yang bersabar hanya berteman buku, jangan kamu bersedih hati dan menyesal kerana telah kehilangan beberapa hal di luar sana.

“Ini kerana sebenarnya kamu hanya kehilangan orang yang iri hati, cepat bosan atau orang yang pemarah.

“Sesiapa yang telah merasakan nikmatnya uzlah (menyendiri) bersama buku-buku yang bermanfaat, maka ia tidak akan menginginkan pengganti yang lain, sekalipun ia berupa kerajaan Kisra dan Kaisar.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...