Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Showing posts with label Motivasi Diri Muslim. Show all posts
Showing posts with label Motivasi Diri Muslim. Show all posts

Friday, April 15, 2011

Pesanan Buat Pejuang

Firman Allah taala :


Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)"
(Surah Al-An'aam ayat 162-163)


Inilah ayat keramat yang biasa kita bacakan pada setiap kali sembahyang fardu yang diajarkan sendiri oleh Allah dalam Al-Quran yang mulia sebagai ikrar kita dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Mungkin ada di antara kita yang tidak tahu bahawa doa ini adalah merupakan ayat-ayat Al-Quran yang menjadi petunjuk dan dasar pegangan kita. Mungkin juga ada yang sekadar membacanya tanpa mengetahui maksudnya yang sebenar, baik yang tersurat mahupun yang tersirat.

Sebagai seorang Islam yang beriman, kita perlu menyakini bahawa segala perkara yang kita lakukan dalam kehidupan ini akan dihitung serta dipertanggungjawabkan sama ada perkara itu baik atau buruk. Allah mengajar kita bahawa perkara agama bukanlah hanya dalam ibadah-ibadah seperti sembahyang, puasa, berzakat dan sebagainya, tetapi merangkumi keseluruhan cara hidup kita (Islam is the way of life) sehinggakan mati pun mestilah hanya lillahi taala iaitu demi menunaikan segala perintah Allah yang telah diperintahkan kepada kita menerusi Al-Quran dan As-Sunnah.

Setiap individu muslim dalam segenap apa pun urusannya tidak dapat lari dari dasar utama yang telah ditetapkan oleh Allah ini, dan tidak ada jalan yang lain dari jalan ini yang akan diterima oleh Allah taala selain dari jalan Allah dan rasulNya yang dengannya kita diperintahkan untuk beriman, taat dan patuh serta berserah diri.

Firman Allah taala :


"Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali"


"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir"
(Al-Baqarah 2:285
-286)

Sesungguhnya Allah tidak memberati kita melainkan apa yang terdaya oleh kita. Justru itu, seandainya di dalam diri kita sudah cukup bekalan ilmu dan tertanam matlamat lillahi taala (kerana Allah taala), janganlah gentar dalam menyusun langkah demi mencapai matlamat tersebut, kerana Allah jua yang menjadi Penolong kita demi matlamat akhir tujuan kita iaitu kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam yang keranaNya lebur segala yang fana, kepadaNya kita kembali dan menerima balasan.

Tuesday, February 15, 2011

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W

Menarik dari blog

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah :

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.

- Sumber dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Layari http://www.islam.gov.my/

Tuhan tidak melupai perbuatan si zalim

Dunia ini jika diciptakan Allah tanpa diiringi dengan hari akhirat, tentulah kehidupan ini amat mengecewakan banyak manusia. Apa tidaknya, entah berapa ramai insan yang dizalimi haknya sedangkan dia tidak dapat menuntutnya kembali disebabkan kedaifan dirinya, atau keadaan yang tidak membelanya. Sehingga ada insan yang dijatuhkan maruahnya, ditipu atau diceroboh hartanya, diseksa jasad, bahkan dibunuh tubuhnya secara zalim.

Tanpa kesalahan, tanpa kejahatan, tanpa dosa yang menghalalkan itu semua. Namun dek dia manusia bawahan, atau keadaan yang tidak membolehkan dia mempertahankan dirinya maka dia terpaksa mengharungi kekejaman ke atas dirinya. Tercungap-cungap tanpa pembelaan. Lantas dia pergi meninggalkan dunia ini sebagai insan teraniaya tanpa dibela. Jikalah dunia berakhir dengan sebuah kematian di bumi semata, tanpa manusia dibangkitkan semula dan dihitungkan segala amalan dan kerjanya, tentulah kehidupan ini sesuatu yang amat tidak adil. Atau kehidupan ini hanyalah pentas drama kezaliman dan penindasan semata. Namun Maha Suci Tuhan dari menjadikan kehidupan sia-sia.

Firman Allah: (maksudnya) maka apakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu dengan sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? Maka Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Maha Benar; tiada yang diabdikan diri melainkan Dia, Tuhan Yang mempunyai ‘arasy yang mulia (surah al-Mukminun ayat: 115-116).

Saya pernah melawat beberapa kota-kota tamadun lama. Antaranya saya melihat tempat yang pada zaman dahulu para pembesar mereka menjadi perlawanan manusia menentang singa sebagai majlis hiburan dan keramaian. Penentang singa itu mungkin seorang manusia yang tidak ada kesalahan, namun dia dipilih untuk dijadikan bahan hiburan. Ketika bergelut mempertahankan nyawanya di gelanggang yang disediakan, orang ramai bersorak sorai kegembiraan menyaksikan pertandingan maut itu. Demikian juga jika kita baca sejarah perhambaan yang pernah dilakukan oleh bangsa kulit putih terhadap kulit hitam. Begitu kezaliman kuasa-kuasa imperialis yang menceroboh dan menindas bangsa-bangsa yang lemah. Wanita mereka dirogol, anak-anak mereka dibunuh dan negara mereka dimusnahkan. Sesetengahnya tanpa kesalahan, tanpa campur tangan dalam sebarang percaturan politik pun, tiba-tiba dimangsakan.

Saya baru-baru ini ketika bersolat di Masjidilharam berbual dengan seorang warga Iraq. Dia dan keluarganya menjadi mangsa kekejaman pemerintah mereka yang lepas. Tidak kerana dia terlibat dengan politik, tetapi disebabkan ada keluarga mereka yang terlibat lalu semua mereka diseksa dengan penuh kezaliman. Saya katakan kepadanya; “Pemimpin awak telah pun pergi menemui Allah.” Dia menjawab: “Ya, dia telah pun hilang dari muka bumi ini, namun kekejaman yang pernah dilakukan terus terpalit dalam sanubari kami yang pernah dimangsakan dan yang dosa itu dibawa pergi menemui Allah oleh mereka yang dikorbankan olehnya sebelum kematiannya.” Saya memandang wajahnya yang barangkali menyimpan lautan kepahitan kezaliman terhadap dirinya, anak perempuannya dan insan-insan yang dia sayangi. Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran ceritanya. Namun yang pasti ramai manusia yang melakukan kezaliman telah pun melupai mangsanya, namun insan yang dizalimi tidak pernah lupa. Sudah pasti Allah tidak akan lupa perbuatan si zalim.Teringatlah saya firman Allah: (maksudnya)

Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (surah Ibrahim 42-43).

Ya, ramai orang zalim telah melupai mangsa mereka. Bahkan sebahagian mereka tidak mengenali pun siapakah mangsa mereka. Ketika mereka bergolek dalam keseronokan, mangsa-mangsa mereka merintih penderitaan dan kesakitan. Lihatlah berapa ramai pemaju perumahan yang berarak ke sana sini sedangkan pembeli-pembeli rumah yang ditipu atau terbengkalai terus menderita dek penipuan tersebut. Mungkin mereka tidak kenal pun bagaimanakah rupa si pemaju dan si pemaju pun tidak kenal rupa mereka. Namun Allah tidak pernah lalai dan alpa atas apa yang dilakukan. Entah berapa ramai insan yang dicemari maruahnya. Dibuat dan direka cerita palsu mengenai dirinya. Maka mata-mata manusia memandangnya dengan sinis. Terpinga-pinga dia dan bertanya: siapakah yang memulakan cerita dusta ini yang aku menderita kerananya? Tersenyum barangkali si pereka cerita disebabkan dia tidak dapat dikesan. Namun Allah Maha Mengetahui segalanya dan tidak pernah lupa. Entah berapa ramai pula insan yang dicedera atau dibunuh tanpa dia sempat mengenali siapakah si penjenayah yang menzaliminya. Namun Allah Maha Memerhati segalanya. Sehingga saya pernah menyebut: entah berapa ramai yang menaiki kereta dengan kesombongannya meredah becak atau lopak di jalan lalu mencemari pakaian si hamba Allah yang berjalan di tepi atau menaiki motosikal. Menangislah dan meratap si mangsa atas kekotoran bajunya. Dia barangkali tidak sempat pun memerhati wajah si pemandu, namun Allah tidak akan lupa dan alpa.

Sabda Nabi s.a.w.: Segala hak akan dibayar kepada empunya pada hari kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk (riwayat Muslim).

Hadis ini menggambarkan betapa setiap yang dizalimi dan menzalimi walau sekecil mana pun akan diadili pada hari kiamat kelak.

Kadangkala kita kenal orang yang memangsakan kita. Namun tidak dapat kita mengelakkan kezalimannya disebabkan kuasa yang dimilikinya, atau keadaan yang berpihak kepadanya. Demikian kita lihat ada kerajaan pemerintah yang menzalimi rakyatnya. Ada majikan yang menzalimi pekerjanya. Ada ibu bapa yang menzalimi anaknya. Atau suami yang menzalimi isterinya. Si mangsa hanya mampu berdiam diri kerana bimbang kesan yang lebih buruk jika dia bertindak. Namun Allah tidak akan lupa itu semua. Begitu juga mereka yang mempunyai saluran tertentu seperti wartawan atau penulis buku dan internet yang memuatkan kisah peribadi orang lain sehingga menderitakan si mangsa. Atau ahli politik yang menjadikan pentas politiknya untuk menuduh dan memalitkan keaiban kepada musuh-musuh politiknya. Tanpa mempedulikan maruah orang dan larangan Allah agar jangan diintip keaiban orang serta arahan Nabi s.a.w. agar jangan didedahkan keaiban peribadi insan lain tanpa sebab-sebab yang dihalalkan syarak. Mereka ini tidak berasa zalim dan berdosa. Jika ditanya, mereka menjawab: ini kerja aku sebagai wartawan atau penulis politik atau ahli politik. Bagi mereka seakan kerjaya mereka telah melangkaui batasan dan sempadan agama. Mereka seakan lupakan peringatan Nabi s.a.w.:

Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (hari kiamat). Sekiranya baginya amalan soleh maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tidak ada baginya kejahatan, maka akan diambil kejahatan orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya (riwayat al-Bukhari).

Satu lagi sikap sesetengah manusia adalah mereka sering lupa kezaliman terhadap orang lain dan hanya mengungkit kezaliman apabila ia terkena kepada diri mereka sahaja. Jika orang lain bertindak tidak adil terhadap mereka, mereka akan membantah lalu berkata, kami dizalimi. Apabila mereka menzalimi orang lain, mereka akan berkata, kami hanya menuntut hak. Saya masih ingat dahulu apabila ada seorang pemimpin yang dituduh melakukan perbuatan seks yang sumbang maka para ustaz dan selain ustaz yang membelanya membacakan dalil-dalil al-Quran dan Sunah yang melarang kita menuduh orang lain dengan tuduhan zina tanpa empat orang saksi. Lalu dibacalah firman Allah: (maksudnya) Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik (surah al-Nur ayat 4). Lalu mereka menyatakan perbuatan menuduh tersebut adalah zalim lagi haram dan si penuduh menurut Islam hendaklah disebat lapan puluh rotan. Namun apabila para ustaz dan ‘pengikut para ustaz’ yang sama menuduh musuh-musuh politik mereka – sebelum dan selepas itu – dengan tuduhan skandal seks dan berbagai lagi, tidak pula mereka mendatangkan saksi seperti yang dituntut oleh syarak. Bahkan sebahagian ceramah-ceramah politik itu dihiasi dengan tuduh-menuduh yang amat berat di sisi syarak. Namun mereka ini jika ditanya akan menjawab: “ini politik syeikh! Anta mana faham.” Saya menyatakan mungkin mereka lebih faham ‘politik ala mereka’, namun apa yang saya faham hukum Tuhan itu tidak pernah terbatas. Islam ini bukan sekular yang memisahkan agama dari politik. Jika anda bercakap tentang Islam dan politik, maka cara politik hendaklah mengikut Islam. Sebahagian perkataan-perkataan dalam ceramah itu bak kata al-Quran dalam surah al-Nur ayat 15: (maksudnya)

Ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ia perkara kecil, padahal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya.

Demikian kita, kita hanya sedar kezaliman apabila ia terkena kepada kita, melupainya apabila terkena kepada orang lain. Saya masih ingat seorang yang berpakaian agama dalam negara ini yang mengkritik sikap sesetengah anak-anak muda yang kononnya tidak menerima pakai pendapat ‘tokoh-tokoh agama Nusantara’ dan beliau mensifatkan itu sebagai koboi dan biadap. Itu katanya tidak menghormati ulama. Tetapi saya melihat beliau dan mereka ‘sebaju’ dengan beliau dalam masa yang sama menghina, memfitnah bahkan sehingga mengkafirkan tokoh- tokoh ulama umat Islam seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, al-Hafiz Ibn Qayyim, al-Hafiz al-Zahabi, al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab, Dr. Yusuf al-Qaradawi dan lain-lain lagi, tidaklah pula mereka menganggap diri mereka zalim, koboi dan biadap terhadap para ulama. Mereka menghukum diri mereka tidak sama dengan hukuman mereka terhadap orang lain. Inilah yang sering saya ulangi firman Allah s.w.t: dalam surah al-Maidah: 8: (maksudnya):

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang- orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Islam ini adil untuk semua tanpa sempadan. Allah Tuhan Yang Maha antikezaliman telah berfirman dalam hadis qudsi: Wahai hamba-hamba-Ku! Aku telah haramku kezaliman untuk Aku lakukan dan Aku jadikan ia haram di kalangan kamu, jangan kamu zalim-menzalimi (riwayat Muslim). Kezaliman itu haram sekalipun terhadap orang yang pada zahirnya tidak berperwatakan baik dan sekalipun terhadap bukan muslim. Tidak dibolehkan oleh agama kita menuduh atau menzalimi seseorang hanya kerana dia tidak kuat beragama atau kerana dia bukan seorang muslim. Apatah lagi terhadap seorang soleh dan berakhlak baik dalam hidupnya. Nabi s.a.w. bersabda: Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tidak ada sebarang hijab (penghalang) (riwayat al- Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Ahmad: Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya bagi dirinya (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/al-Sahihah: 767) dalam riwayat Ahmad yang lain: Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ianya tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/al-Sahihah: 767).

Entah berapa ramai si zalim yang belum pun sempat datang hari akhirat telah pun merasai padah kezaliman di atas muka bumi ini hasil dari doa mangsanya. Sehingga dek terlupa perbuatan zalimnya, apabila tiba saat pembalasan Tuhan di bumi ini ke atasnya dia tertanya-tanya: mengapa aku jadi begini? atau mengapakah Tuhan melakukan padaku begini? Dia terlupa kezalimannya, sedang si mangsa dan Tuhan tidak lupa perbuatannya. Dalam hadis yang lain,

Nabi s.a.w. bersabda: Takut kamu doa orang yang dizalimi kerana ia dibawa atas lindungan awan

Allah Yang Maha Tinggi berfirman: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, akan Aku menangkan engkau walaupun selepas beberapa lama (riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir, dinilai hasan/al-Sahihah: 870).

Ketika si zalim tidur lena di katilnya, si mangsa mendongak ke langit menyeru Tuhannya. Justeru itu, janganlah hampa sesiapa yang dizalimi dan takutlah kita doa orang yang kena zalim!

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Sumber


Masjid Paling Aneh di Dunia

Menarik dari blog.

oleh : Ust. Urkhan Mohamad Ali

Bentuknya sederhana benar, namun jemaah sudah berdatangan dari penjuru desa sebelum waktu solat masuk

Mungkin kita tak percaya jika tidak melihat faktanya. Seorang yang tidak kaya, bahkan tergolong miskin, namun mampu membangun sebuah Masjid di Turki. Nama masjidnya pun paling aneh di dunia, iaitu “Shanke Yadem” (Anggap Saja Sudah Makan). Sangat aneh bukan? Di sebalik masjid yang namanya paling aneh tersebut ada cerita yang sangat menarik dan mengandungi pelajaran yang sangat berharga bagi kita.

Ceritanya begini :

Di sebuah kawasan Al-Fateh, di pinggiran kota Istanbul ada seorang yang wara’ dan sangat sederhana, namanya Khairuddin Afandi. Setiap kali ke pasar dia tidak membeli apa-apa. Saat merasa lapar dan ingin makan atau membeli sesuatu, seperti buah, daging atau manisan, dia berkata pada dirinya: Anggap saja sudah makan yang dalam bahasa Turkinya “ Shanke Yadem” .

Nah, apa yang dia lakukan setelah itu? Wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli keperluan makanannya itu dimasukkan ke dalan kotak (tromol)… Begitulah yang dia lakukan setiap bulan dan sepanjang tahun. Dia mampu menahan dirinya untuk tidak makan dan belanja kecuali sebatas menjaga kelangsungan hidupnya saja.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun Khairuddin Afandi konsisten dengan amal dan niatnya yang kuat untuk mewujudkan impiannya membangun sebuah masjid. Tanpa terasa, akhirnya Khairuddin Afandi mampu mengumpulkan dana untuk membangun sebuah masjid kecil di daerah tempat tinggalnya. Bentuknyapun sangat sederhana, sebuah pagar persegi empat, ditandai dengan dua menara di sebelah kiri dan kanannya, sedangkan di sebelah arah kiblat ditengahnya dibuat seperti mihrab.

Akhirnya, Khairuddin berhasil mewujudkan cita-ciatanya yang amt mulia itu dan masyarakat di sekitarnyapun kehairanan, bagaimana Khairuddin yang miskin itu di dalam dirinya tertanam sebuah cita-cita mulia, iakni membangun sebuah masjid dan berhasil dia wujudkan. Tidak bayak orang yang menyangka bahwa Khairudin ternyata orang yang sangat luar biasa dan banyak orang yang kaya yang tidak mampu berbuat kebaikan seperti Khairuddin Afandi.

Setelah masjid tersebut berdiri, masyarakat penasaran apa gerangan yang terjadi pada Khiruddin Afandi. Mereka bertanya bagaimana ceritan seorang yang miskin berjaya membangun masjid. Setelah mereka mendengar cerita yang sangat menakjubkan itu, merekapun sepakat memberi namanya dengan: “Shanke yadem” (Angap Saja Saya Sudah Makan).

Subhanallah! Sekiranya orang-orang kaya dan memiliki penghasilan lebih dari kaum Muslimin di dunia ini berfikir seperti Khairuddin, berapa banyak dana yang akan terkumpul untuk kaum fakir miskin? Berapa banyak masjid, sekolah, rumah sakit dan fasilitas hidup lainnya yang dapat dibangun? Berapa banyak infra struktur yang dapat kita realisasikan, tanpa harus meminjam ke lembaga dan Negara yang memusuhi Islam dan umatnya?

Jemaah yang melimpah, tanda keberkahan dan amal soleh dari harta yang halal dan bersih

Kalaulah kaum Muslimin saat ini memiliki konsep hidup sederhana dan mementingkan kehidupan akhirat dan mengutamakan istana di syurga ketimbang rumah di dunia, seperti yang dimiliki Khairuddin Afandi, pastilah umat ini mampu meninggalkan yang haram dan syubhat dalam hidup mereka. Mereka pasti mampu mengalahkan syahwat duniawi yang menipu itu. Sebagai hasilnya, pastilah negeri-negeri Islam akan berlimpah keberkahan yang Allah bukakan dari langit dari bumi. Kenyataannya adalah sebaliknya.(Q.S. Al-A’raf / 7 : 96) Maka ambil pelajaranlah wahai orang-orang yang menggunakan akal sehatnya!

Note : (FJ)Dari buku “Keajaiban Sejarah Ustmani”, oleh : Ust. Urkhan Mohamad Ali

Sumber

Friday, November 12, 2010

Tips Mencari Calon Suami Yang Baik

MENARIK DARI BLOG

Kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi. Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janjiNya pasti, itulah sedikit dari lagu Raihan. Lantaran kasih manusia yang sering bermusim dan sayangnya yang tak kekal lama, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya dalam memilih pasangan. Andainya sikit daripada cinta itu hendak diberi pada seseorang yang boleh digelar suami, pilihlah seorang lelaki yang....


Kuat Agamanya

Biar sibuk macamana, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yang kuat pengamalan agamanya. Lihat saja Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaqwaannya yang tinggi biarpun dia pemuda paling miskin.

Baik Akhlaknya

Ketegasannya nyata tapi dia lembut dan bertolak-ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara.

Tegas Mempertahankan Maruah

Pernahkah dia menjengah ke tempat-tempat yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam.

Amanah

Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, lupakan saja si dia.

Tidak Boros

Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.

Tidak Liar Matanya

Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.

Terbatas Pergaulan

Sebagai lelaki dia tahu dia tak mudah jadi fitnah orang, tapi dia tak amalkan cara hidup bebas.

Rakan Pergaulannya

Rakan-rakan pergaulannya adalah mereka yang sepertinya.

Bertanggungjawab

Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk parents dan ahli familynya. Jika parentsnya hidup melarat sedang dia hidup hebat, nyata dia tak bertanggungjawab.

Tenang Wajah

Apa yg tersimpan dalam sanubari kadang2 terpancar pd air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak. Berbahagialah kamu jika diintai calon yang demikian sifatnya

SUMBER

Sunday, April 18, 2010

Baca Al-Quran...???

Salam...

Ini artikel kedua saya untuk malam ini, terpanggil untuk membicarakan suatu perkara yang boleh dikatakan ada kena mengena dengan setiap orang termasuk diri saya sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengata orang atau menjaga tepi kain orang dalam hal ibadat peribadi tapi lebih kepada muhasabah diri agar perkara ini tidak diambil remeh iaitu berkenaan membaca Al-Quran.

Mungkin bagi setiap individu itu berbeza level dari segi ilmu Al-Quran, mungkin juga kita adalah salah satu dari yang berikut :

1. Tidak boleh membaca langsung Al-Quran.
2. Boleh baca tapi sudah lama tidak membaca Al-Quran.
3. Tiap malam Jumaat tidak mis baca Yasin.
4. Selalu baca selepas sembahyang fardhu.
5. Khatam setahun sekali.
6. Dan sebagainya......

Kalau hendak ditingkatkan level lagi sebenarnya masih banyak lagi dari apa yang saya nyatakan di atas. Tidakkah pernah kita fikirkan hal ini atau kita rasa perkara itu tidak penting?

Macamana jika yang khatam setahun sekali tetapi sekadar baca dan tidak memahami makna yang dibaca, adakah tercapai matlamat Al-Quran itu diturunkan sebagai petunjuk?

Bagi saya, setiap orang islam tentu tahu peranan Al-Quran sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa, kalau suruh jelaskan tentang perkara ini semua orang tahu, tapi sekadar tahu sajalah.

Saya rasa sebagai orang islam yang beriman perlulah ada impian atau suatu hasrat untuk meningkatkan ilmu Al-Quran sehingga mencapai tahap tertinggi dan itu merupakan matlamat yang patut dicapai dalam hidup ini.Tidak dapat dinafikan baca Al-Quran ini akan dapat pahala bagi setiap huruf berdasarkan sabda nabi, tetapi adakah kita hendak berhenti setakat itu sahaja.

Saya bekas pelajar sekolah arab tetapi cuma setakat tingkatan 3 sahaja, tidak sempat untuk mendalami bahasa arab secara mendalam kerana bertukar ke sekolah lain untuk mengambil aliran sains. Saya baca Al-Quran dan alhamdulillah dapat memahami cuma separuh dari apa yang dibaca, saya terfikir, sayang betul kalau tidak dapat memahami maksud yang dibaca secara terus. Sudah tentu level, pahala dan pengajaran yang boleh diambil juga kurang jika nak dibandingkan dengan mereka yang lebih arif dalam makna bacaan.

Untuk belajar bahasa arab memerlukan masa yang panjang, tetapi masih boleh dilakukan sekiranya kita tekun. Yang paling senang adalah membaca tafsir Al-Quran. Bagi yang ada asas bahasa arab mungkin lebih mudah, cuma merujuk kepada bahagian yang tidak difahami sahaja. Yang tiada asas tiada pilihan, baca ayat dan kemudian maknanya, walaupun lambat asalkan dapat memahami makna Al-Quran adalah suatu yang memberi kepuasan kepada jiwa.

Apabila sudah khatam tafsir Al-Quran 30 juzuk, adakah tamat disitu? Terdapat banyak tafsir-tafsir Al-Quran yang ditafsir oleh ulama-ulama besar yang mengandungi huraian secara mendalam setiap ayat serta sebab diturunkan (asbabun nuzul). Bagi yang ingin mendalami boleh mendapatkannya di pasaran.

Tafsir Quran
1. Tafsir Pimpinan Al-Rahman
2. Tafsir Quran Mahmud Yunus.
3.Tafsir Al-Azhar
4. Tafsir Fi-Zilalil Quran
5. Tafsir Jalalain
6. Tafsir Ibnu Kathir
(sekadar memberi contoh sebahagian)

Untuk sampai keperingkat tertinggi bagi mendalami Al-Quran ini sudah tentu memerlukan masa, dan sepertimana yang saya katakan tadi ini adalah perancangan seumur hidup dan patut bermula sedikit demi sedikit bermula dari sekarang.

Adakah tidak penting hal ini ? Tepuk dada tanya iman kita.

Wassalam

Tuesday, April 13, 2010

Cabaran orang mukmin...

Bismillaahir rahmaanir rahiim...
[214] Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). Surah Al-Baqarah (ayat 214)

Subhanallah.....
Alangkah lemah dan kerdilnya diri ini mengenangkan ujian dan cobaan yang telah dilalui oleh orang-orang yang beriman pada masa lepas....
Alangkah teguhnya keimanan mereka dalam melaksanakan suruhan tuhan....
Alangkah mulianya perjuangan hidup mereka.....
Alangkah tingginya tawakkal dan harapan mereka pada tuhan...
Alangkah dekatnya pertolongan tuhan pada mereka....
Alangkah bahagianya mereka diakhirat....

Alhamdulillah....
Syukur kepada tuhan yang memberikan kami petunjuk-Mu menuju jalan yang lurus melalui lisan hamba-Mu dan rasul-Mu, junjungan kami Nabi Muhammad SAW...
Semoga dengan petunjuk Al-Quran, dapat kami jadikan pedoman dalam menjalani kehidupan ini..

Allahu Akbar...

Wa ilal liqa'.....


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...