Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Sunday, April 18, 2010

Baca Al-Quran...???

Salam...

Ini artikel kedua saya untuk malam ini, terpanggil untuk membicarakan suatu perkara yang boleh dikatakan ada kena mengena dengan setiap orang termasuk diri saya sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengata orang atau menjaga tepi kain orang dalam hal ibadat peribadi tapi lebih kepada muhasabah diri agar perkara ini tidak diambil remeh iaitu berkenaan membaca Al-Quran.

Mungkin bagi setiap individu itu berbeza level dari segi ilmu Al-Quran, mungkin juga kita adalah salah satu dari yang berikut :

1. Tidak boleh membaca langsung Al-Quran.
2. Boleh baca tapi sudah lama tidak membaca Al-Quran.
3. Tiap malam Jumaat tidak mis baca Yasin.
4. Selalu baca selepas sembahyang fardhu.
5. Khatam setahun sekali.
6. Dan sebagainya......

Kalau hendak ditingkatkan level lagi sebenarnya masih banyak lagi dari apa yang saya nyatakan di atas. Tidakkah pernah kita fikirkan hal ini atau kita rasa perkara itu tidak penting?

Macamana jika yang khatam setahun sekali tetapi sekadar baca dan tidak memahami makna yang dibaca, adakah tercapai matlamat Al-Quran itu diturunkan sebagai petunjuk?

Bagi saya, setiap orang islam tentu tahu peranan Al-Quran sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa, kalau suruh jelaskan tentang perkara ini semua orang tahu, tapi sekadar tahu sajalah.

Saya rasa sebagai orang islam yang beriman perlulah ada impian atau suatu hasrat untuk meningkatkan ilmu Al-Quran sehingga mencapai tahap tertinggi dan itu merupakan matlamat yang patut dicapai dalam hidup ini.Tidak dapat dinafikan baca Al-Quran ini akan dapat pahala bagi setiap huruf berdasarkan sabda nabi, tetapi adakah kita hendak berhenti setakat itu sahaja.

Saya bekas pelajar sekolah arab tetapi cuma setakat tingkatan 3 sahaja, tidak sempat untuk mendalami bahasa arab secara mendalam kerana bertukar ke sekolah lain untuk mengambil aliran sains. Saya baca Al-Quran dan alhamdulillah dapat memahami cuma separuh dari apa yang dibaca, saya terfikir, sayang betul kalau tidak dapat memahami maksud yang dibaca secara terus. Sudah tentu level, pahala dan pengajaran yang boleh diambil juga kurang jika nak dibandingkan dengan mereka yang lebih arif dalam makna bacaan.

Untuk belajar bahasa arab memerlukan masa yang panjang, tetapi masih boleh dilakukan sekiranya kita tekun. Yang paling senang adalah membaca tafsir Al-Quran. Bagi yang ada asas bahasa arab mungkin lebih mudah, cuma merujuk kepada bahagian yang tidak difahami sahaja. Yang tiada asas tiada pilihan, baca ayat dan kemudian maknanya, walaupun lambat asalkan dapat memahami makna Al-Quran adalah suatu yang memberi kepuasan kepada jiwa.

Apabila sudah khatam tafsir Al-Quran 30 juzuk, adakah tamat disitu? Terdapat banyak tafsir-tafsir Al-Quran yang ditafsir oleh ulama-ulama besar yang mengandungi huraian secara mendalam setiap ayat serta sebab diturunkan (asbabun nuzul). Bagi yang ingin mendalami boleh mendapatkannya di pasaran.

Tafsir Quran
1. Tafsir Pimpinan Al-Rahman
2. Tafsir Quran Mahmud Yunus.
3.Tafsir Al-Azhar
4. Tafsir Fi-Zilalil Quran
5. Tafsir Jalalain
6. Tafsir Ibnu Kathir
(sekadar memberi contoh sebahagian)

Untuk sampai keperingkat tertinggi bagi mendalami Al-Quran ini sudah tentu memerlukan masa, dan sepertimana yang saya katakan tadi ini adalah perancangan seumur hidup dan patut bermula sedikit demi sedikit bermula dari sekarang.

Adakah tidak penting hal ini ? Tepuk dada tanya iman kita.

Wassalam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...