Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Tuesday, April 13, 2010

Mujahadah nafsu di bumi Kapit.

Salam....

Sehingga rencana ini ditulis, sedar tak sedar saya telah pun berada di bumi Kapit, Sarawak ini selama 2 tahun 4 bulan dengan bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah menengah di bahagian itu. Tempat yang mengambil masa selama lebih kurang 3 jam dari Sibu dengan menggunakan bot ekspress yang merupakan satu-satunya pengangkutan yang ada untuk ke Kapit. Semua yang hendak dibawa ke Kapit mesti melalui jalan air. Tidak hairanlah dengan keadaan itu meningkatkan kos semua benda di Kapit dan berstatus sebagai salah satu bahagian yang agak terasing dari bahagian-bahagian lain di Sarawak, berada di Kapit mengundang pelbagai persoalan kepada semua orang luar sama ada mereka boleh atau tidak berada disini. Kalau hendak membanding apa yang terdapat di Kapit dengan tempat-tempat lain, terlalu jauh bezanya.

Warf Sibu untuk ke Kapit

Kalau diajukan pertanyaan kepada sesiapa pun disini 'Apa yang ada di Kapit?' Jawapannya sudah tentu berkenaan dengan kos hidup yang tinggi, semua mahal, makanan mahal, sewa rumah mahal. Kat Kapit jugak susah hendak keluar masuk lebih-lebih lagi apabila berlaku kecemasan, bot ekspress yang terakhir keluar dari kapit ke Sibu adalah pada pukul 3.15 petang, sekiranya ada perkara kecemasan terpaksa menunggu sehingga awal pagi esok, bot terawal adalah pukul 5.30 pagi. Mungkin segalanya akan berakhir apabila jalan menghubungkan Sibu-Kapit dibina. Kalau pembinaan jalan itu dimulakan sekarang, bermakna dalam 2-3 tahun baru siap jalan itu. Tapi untuk pembangunan Kapit mungkin memerlukan 5-10 tahun lagi. Mungkin pada masa itu barulah keadaan ekonomi Kapit akan sama dengan bahagian-bahagian lain di Sarawak. Itu pun kalau pembinaan jalan itu dimulakan sekarang.

Pemandangan di Warf Kapit berlatarbelakang sungai Rajang

Bagi mereka yang telah biasa dengan cara hidup 'mewah' di semenanjung, mungkin berada di Kapit adalah 'mimpi ngeri'. Semasa kali pertama diberitahu penempatan pertama sebagai guru di bahagian Kapit, ramai yang kecewa, takut, menangis pun ada. Terbayang difikiran mereka kesusahan yang bakal ditempuhi apabila berkhidmat nanti, macam-macam yang difikirkan, macamana hendak hidup disana? kalau ada kecemasan seperti kematian atau orang tua sakit dikampung macamana ? ada life ke kat sana ? Berapa lama kena berkhidmat disana? Bila dapat transfer balik ke kampung halaman ? Seribu satu masalah timbul dek perbezaan yang amat ketara dengan kehidupan di semenanjung. Kalau disemenanjung dah biasa sejak dari zaman belajar lagi, kalau setiap hujung minggu nak makan KFC, Pizza, Mc Donald dan lain-lain makanan segera. Kat Kapit cuma ada Sugarbun buat pengubat 'luka' dan 'dendam' dengan makanan segera. Tempat terdekat untuk dapat semua tu Sibu, itupun mungkin sebulan sekali kesana masa dapat gaji. Siapa boleh tahan macam ni?

Kapit, Sarawak

Kalau hendak diberikan alasan kenapa perlu keluar dari Kapit, seribu satu alasan dapat diberi untuk me'rasional'kan pertimbangan itu. Tapi untuk terus berada di Kapit tanpa menghiraukan masalah yang diperkatakan bukanlah sesuatu yang mudah walaupun ianya tidak mustahil. Kenapa begitu ? Siapa yang boleh menerbalikkan semua masalah yang sedang dihadapi akan dapat 'hidup' di Kapit tanpa menghiraukan semua masalah itu. Walaupun Kapit jauh di pedalaman, walaupun makanan di Kapit mahal, walaupun tidak dapat makan makanan KFC, Pizza, Mc Donald, walaupun sewa rumah di Kapit mahal, walaupun hidup di Kapit tidak sama dengan hidup di semenanjung atau kampung halaman sendiri, seseorang itu akan dapat kepuasan berada di Kapit sekiranya dia mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap TANGGUNGJAWAB, AMANAH serta IKHSAN terhadap masyarakat Kapit di bumi Sarawak ini.

Pelajar dengan pakaian tradisional mereka

Sekiranya difikirkan serta dihalusi dengan mata hati, tergamakkah kita disebabkan hanya mementingkan kesenangan serta tidak sanggup hidup susah, kita sanggup meninggalkan masyarakat ini yang memerlukan bantuan serta sokongan kita terutama guru-guru semenanjung untuk membantu mereka mendapat kehidupan yang lebih baik di masa akan datang. Kita sendiri telah datang, menjejakkan kaki dan melihat sendiri kesusahan yang telah mereka hadapi, adakah kita sanggup melihat generasi seterusnya terus berada dalam keadaan ini. Adakah kita sanggup merelakan anak-anak mereka yang pernah menjadi pelajar kita hanyut tidak mengenal erti kehidupan, belum terbuka pemikiran. Adakah kita mengharapkan orang lain datang dan memikul tanggungjawab yang pernah kita pikul. Itulah tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada kita sebagai guru semenanjung yang datang menabur bakti di tanah pertiwi Sarawak. Walaupun kita hanya sekadar dibayar gaji, walaupun mereka bukanlah sebangsa dengan kita. Tapi atas dasar kesedaran terhadap TANGGUNGJAWAB, AMANAH serta IKHSAN, tiada yang lebih besar selain dari itu.

Bergambar bersama-sama anak didik

Kita cuma sekadar menjalankan tugas kecil sebagai pendidik tidak mampu mengubah sesuatu, tapi dengan pendidikan, pelajar kita mampu mengubah keadaan masyarakat mereka, dan kita sebagai guru adalah pencetusnya. Siapa yang sanggup?


3 comments:

  1. Hi, saya anak jati Kapit yg telah lama keluar merantau ke semenanjung hampir 10 tahun.Bekas pelajar SMK Kapit juga pengkhususan Antropologi & Sosiologi.Walaupun Kapit "miskin" pada pandangan masyarakat luar tetapi kaya dengan keaslian masyarakatnya.Saya tak rasa kemewahan hidup di semenanjung bak kata orang mewah dengan KFC,Pizza,McD..dll.Itu cuma lambang amalan pemakanan masyarakat bandar yang urban & disebabkan arus pembangunan yg lebih mendahului pekan-pekan terpencil seperti Kapit.Pada saya Kapit bukanlah cabaran besar kepada guru-guru semenanjung datang untuk menguji diri.Begitu juga semenanjung bukan juga 100% tempatnya yang boleh menampung segala-galanya.Kita sepatutnya perlu berfikiran luas & berpandangan jauh.Semenanjung & Borneo masih banyak yg perlu diteroka.Baik dari segi kisah kehidupan masyarakatnya mahu pun budaya.Pada guru-guru yg datang ke Kapit, tunaikanlah tanggungjawab anda tanpa memikirkan batasan agama & bangsa.Salam.

    ReplyDelete
  2. Anonymous,

    Terima kasih atas komen anda. Betul kata anda. Pada saya, memang kapit mempunyai banyak keistimewaan tersendiri bukan sahaja dari segi budaya serta alam semulajadinya, malah mungkin lebih dari itu yg mungkin hanya dirasai mereka yg mampu merasainya.
    Tulisan saya di atas sekadar untuk memberi galakan kepada sahabat2 warga pendidik mahupun dari sektor2 yg lain agar dapat memperkukuhkan matlamat serta mampu "hidup" di Kapit dengan "kekuatan" kesedaran tentang tanggungjawab yang diberi. Mudahan, kita akan dapat membantu pelajar2 kita ketahap yg lebih baik.
    Salam

    ReplyDelete
  3. as salam..cikgu,,
    bagaimana nk dapatkan rumah sewa di kapit?saya muslim dn bakal pindah ke kapit untuk bkerja.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...