Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Monday, March 5, 2012

Kisah Yang Boleh Menginspirasikan Para Pendakwah

ImageSeorang Sheikh telah mendapat jemputan ceramah agama dari sebuah perkampungan yang letaknya sejauh 400km. Untuk tidak menghampakan penganjur dan penduduk setempat, maka Sheikh tersebut pun bersetuju untuk datang ke perkampungan itu.

Sampai sahaja di perkampungan tersebut, beliau telah disambut oleh seorang lelaki yang merupakan penganjur kepada program ceramah yang diadakan. Si Sheikh agak terkejut dengan penampilan lelaki itu. Bukan sahaja pakaiannya tidak sesuai dengan majlis ilmu, malah tangannya pula asyik memegang puntung rokok yang berasap. Si Sheikh dapat mengagak latar belakang penduduk perkampungan itu dengan melihat kepada peribadi lelaki penganjur itu. Jika si penganjur majlis agama pun sudah macam itu, tentu agaknya penduduk lain lebih kurang macam itu atau lebih teruk lagi.

Betullah anggapan si Sheikh itu. Tidak sampai 15 minit ceramah disampaikan, penduduk yang hadir dalam majlis ilmu tersebut mula bercakap sesama sendiri. Ada yang tidur. Ada yang keluar dan masuk. Dan malah ada yang mula menghisap rokok. Situasi ini amat tidak menyenangkan si Sheikh itu. Sudahlah datang dengan memandu sejauh 400km untuk memberi ceramah, begini pula layanan para penduduk kepada beliau.

Selesai ceramah, si Sheikh pun pulang dengan sedikit hampa. Dalam hatinya berkata, “selepas ini memang aku tak datang dah ke sini…”

Setahun berlalu.

Tiba-tiba si Sheikh itu menerima panggilan dari seorang lelaki untuk menjemput beliau untuk memberi ceramah. Suara dan gaya percakapan lelaki tersebut dapat dicam oleh si Sheikh itu. Lelaki yang sama yang menjemput beliau ke perkampungan yang terletak 400km itu. Sheikh tersebut masih ingat.

Walaupun Sheikh itu telah mengatakan bahawa beliau tidak akan lagi ke kampung itu kerana terlalu jauh, namun jauh di sudut hatinya mengharapkan ada perubahan selepas setahun berlalu. Si Sheikh itu pun bersetuju untuk hadir memenuhi jemputan ceramah agama tersebut.

Sampai sahaja di kampung itu selepas pemanduan sejauh 400km, lalu Sheikh itu disambut oleh lelaki yang menelefon beliau dengan mesra. Rupa-rupanya lelaki tersebut masih tidak berubah. Masih dengan penampilan seperti setahun yang lalu dan juga dengan rokok di tangannya. Si Sheikh menguatkan semangat beliau untuk memberikan ceramah.

Selepas 20 minit ceramah, perkara yang sama berlaku. Iaitu ada bercakap sana-sini. Ada yang tidur. Ada yang mundar-mandir di dalam majlis ilmu dan ada juga yang menghisap rokok. Tidak berubah dari tahun yang lalu. Si Sheikh berasa sedikit kecewa namun ceramah tetap diteruskan demi untuk menyampaikan dakwah.

Seperti biasa, selepas ceramah lalu diadakan sesi soal-jawab. Hanya 3 soalan diajukan. Ini menggambarkan betapa tidak berminatnya penduduk tersebut dengan majlis ilmu yang beliau telah sampaikan. Mengikut kebiasaan, biasanya di mana-mana pun beliau berceramah, banyak soalan diajukan dan ia menandakan betapa seronoknya pendengar dengan majlis ilmu. Tetapi di sini hanya 3 sahaja.

Walaupun agak kecewa dengan layanan penduduk terhadap beliau yang datang dari jauh, namun setelah membaca salah satu surat dari pendengar yang mengajukan soalan, kekecewaan beliau terubat. Beliau kembali semakin bersemangat dan tersenyum. Kandungan surat itu berbunyi:

“Sheikh, demi ALLAH, saya tidak pernah meninggalkan walau satu hari pun solat sunnat Witir sejak setahun lepas selepas saya mendengar Sheikh menceritakan tentang solat Witir dalam ceramah yang tuan Sheikh sampaikan tahun lalu.”

ALLAHU AKBAR!

Rupa-rupanya ada juga insan yang mengambil manfaat atas apa yang beliau telah sampaikan. Walaupun persoalan solat sunnat Witir itu cuma salah satu daripada banyak perkara yang beliau telah sentuh dalam ceramah, tetapi apabila mendapat tahu bahawa ada orang mengamalkannya asbab dari ceramah tersebut, malah orang itu istiqamah pula, ia cukup menggembirakan Sheikh tersebut.

Selepas peristiwa itu, si Sheikh cuba untuk membuangkan perasaan kecewa atau hampa akibat dari layanan para pendengarnya. Mengingati peristiwa tersebut membuatkan beliau sentiasa bersemangat untuk menyampaikan dakwah walau sejauh mana pun tempat itu dan bagaimana pun layanan masyarakat setempat.

Ternyata, dalam ramai-ramai orang kampung itu, walaupun majoriti tidak memberikan perhatian, namun di sana tentu ada orang yang menyambut seruan dakwah. Kalau tidak ramai, seorang pun sudah cukup. Memang suatu yang menggembirakan buat pendakwah jika mengetahui apa yang disampaikannya diamalkan oleh para pendengar yang hadir.

Tuan/puan sekalian yang dirahmati ALLAH sekalian,

Kisah di atas cuma secuit contoh dari masyarakat yang boleh diambil iktibar dan pengajaran. Sudah tentulah kisah-kisah besar dari para Nabi, Rasul dan para pejuang yang memperjuangkan agama ALLAH sentiasa menjadi pedoman ampuh buat kita semua dalam terus bersemangat mencari redha ALLAH melalui usaha dakwah.

Dan hadith dari Abu Mas`ud `Uqbah bin `Amr al-Ansori al-Badri radhiAllahu `anhu ini sentiasa menjadi motivasi dan inspirasi besar buat para pendakwah untuk terus menyampaikan dakwah, iaitu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda:

“Barangsiapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya”

(HR Muslim)

Dan jika tiada langsung yang menyahut seruan dakwahmu wahai pendakwah, jangan bersedih dan layu semangat, kerana ALLAH sentiasa melihat usahamu dan pasti akan membalasinya.

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman:

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ

Maksudnya: ”Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya.”

(Surah al-Zalzalah, ayat ke-7.)

Kebaikan dari sisi ALLAH buat penyeru kebaikan dan pendakwah pasti ada walau zahirnya nampak seperti gagal atau tidak berhasil.

Peranan pendakwah adalah terus menyampaikan seruan-seruan kebaikan. Adapun tentang perubahan yang bakal terjadi kepada orang yang didakwah itu serahkan sahaja pada ALLAH. Terpulang kepada ALLAH. DIA lah memberikan hidayah dan taufiq kepada hamba-hambaNYA.

Sebagaimana kisah di atas telah memberi inspirasi buat saya, saya berharap kisah ini bermanfaat juga buat tuan/puan yang membacanya, khususnya buat para pendakwah. Dan kena ingat, kita semua adalah pendakwah.

(Kisah di atas saya dengar dari Ustadz Syed Norhisyam dalam majlis Konvensyen Fiqh 2012, PWTC)

Sekadar menyampaikan,

Shahmuzir Nordzahir

Sumber

muzir.wordpress.com

2 Mac 2012.

Monday, February 6, 2012

Maulidur Rasul: Sunnah yang ditinggalkan

Artikel menarik dari blog pasgongpauh

Maulidur Rasul datang lagi dan seperti biasa acara sambutan mengingati kelahiran agung Baginda Rasullulah s.a.w. diadakan di seluruh negara dan melibatkan banyak pihak termasuk kerajaan, NGO, jemaah jemaah Islam, masjid masjid ,surau surau dan tidak ketinggalan juga jemaah PAS.Acara mengingati Kelahiran besar dan penuh bermakna bagi umat Islam asalnya bertujuan membawa umat Islam kembali mematuhi segala ajaran baginda yang telah dirumuskan oleh sabda baginda yang bermaksud :
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat buat selama lamanya selagi kamu berpegang dengannya, ia itu Kitab ALLAH dan Sunnah Nabi.".

Inilah tujuan utama Maulidur Rasul disambut dan diingati setiap tahun.Maulidur Rasul menjadi salah satu check point umat Islam bagi melihat sejauh mana Al Quran dan Al Sunnah diikuti.Namun di negara kita, acara sambutan Maulidur Rasul tidak menepati tujuannya malah saban tahun, umat Islam yang menyertai acara perarakan, selawat, zanji dan seumpamanya seolah olah tidak terkesan dengan sebahagian besar sunnah nabi yang ditinggalkan dan langsung tidak terpanggil untuk membetulkan keadaan walaupun saban tahun berarak dan berusaha memenangi pertandingan yang dianjurkan.Saban tahun anugarah demi anugerah diberikan kepada individu tertentu sempena sambutan Maulidur Rasul namun individu terbabit tidak langsung terpanggil untuk menyumbang agar umat Islam kembali menghayati(menghidupkan) Sunnah yang tinggalkan.

Banyak Sunnah yang ditinggalkan dan semakin ditinggalkan.Antaranya pemakaian serban dan jubah terutama ketika bersolat, kerana itu, senariao yang boleh kita lihat di kebanyakan masjid hari ini ketika solat berjemaah ialah ramainya umat Islam memakai seluar dan kemeja serta t shirt(setengah itu bergambar lagi).Inilah masalah yang dihadapi oleh umat Islam hari ini kerana meringankan pakaian sunnah walaupun banyak kitab kitab feqah yang menerangkan fadhilat memakai serban dan jubah terutama ketika bersolat.

Sehingga hari ini tidak kedengaran suara suara besar dari mana mana pihak untuk menggalakan pemakaian serban dan jubah sebaliknya yang banyak diperkatakan orang ialah aspek aspek negatif yang dikaitkan dengan serban dan jubah.Malah ramai umat Islam yang malu untuk memakai serban dan jubah kerana persepsi negatif terhadap serban dan jubah ini.Ada yang mengatakan tidak samapi tarafnya lagi untuk memakai serban dan jubah kerana kekurangan ilmu, ada yang bimbang kalau kalau ada yang meminta untuk mengetuai majlis tahlil arwah, solat hajat dan sebagainya.Sebenarnya, amatlah rugi berpendirian sebegini kerana fadhilat yang dijanjikan baginda Nabi kepada sesiapa yang memakai serban dan jubah.

Selain itu banyak lagi sunnah yang ditinggalkan seperti sunnah makan dan minum, sunnah ketika membuang air, sunnah ketika tidur dan sebagainya.Sunnah sunnah ini merupakan sunnah sunnah yang kecil dan melibatkan individu dan keluarga sahaja.Sesekali kita boleh mendengar kuliah dari ustaz ustaz tertentu yang memperkatakan mengenai sunnah sunnah ini tetapi satu lagi bentuk sunnah yang lebih besar dan lebih penting kepada kehidupan umat Islam yang ditinggalkan untuk sekian lama tetapi jarang diperkatakan oleh kebanyakan ustaz terutama ustaz yang cari makan dengan kerajaan ia itu sunnah "BERNEGARA"

Ada beberapa aspek yang boleh dilihat dalam sunnah bernegara ini yang sudah lama tidak diamalkan di kebanyakan negara umat Islam termasuk negara kita.Rengkasnya, ianya boleh diterangkan dari sudut sistem nilai kehidupan yang boleh dibahagikan kepada politik, ekonomi dan sosial.Islam sebagai carahidup menekankan kesemua sistem nilai kehidupan ini dan dalam kesemua aspek nilai ini ada sunnah sunnah yang mesti diikuti oleh umat Islam sesuai dengan arahan baginda Nabi menerusi hadis yang disebut di atas.Kesemua aspek kehidupan mesti dipandukan kepada Al Quran dan Al Sunnah bagi mengelakkan umat Islam tersesat dan ini bermakna sekiranya ada satu daripada ajaran Al Quran dan Al Sunnah yang ditinggalkan maka sudah pasti umat Islam berada dalam keadaan sesat dan sekiranya pula golongan umat yang sesat itu menegaskan mereka sudah mengikuti ajaran baginda nabi, maka merekalah golongan yang menyesatkan.

Oleh itu menganjurkan acara sambutan Maulidur Rasul ketika tidak semua ajaran Al Quran dan Al Sunnah diamalkan sebagai carahidup adalah sesuatu yang menyedihkan bagi umat Islam..Berarak sambil berselawat tidak akan membawa makna dan perubahan kepada kehidupan umat Islam selagi tidak ditanamkan tekad dan dipertingkatkan ikhtiar untuk kembali menghayati(menghidupkan) sunnah bernegara yang merupakan aspek terpenting dalam mengamalan sunnah sebelum sunnah sunnah yang kecil dapat diamalkan.

Untuk kembali kepada sunnah bernegara umat Islam seharusnya mendengar sabda Baginda agar sentiasa berada dalam jemaah Islam yang berjuang untuk kembali kepada carahidup Islam yang syumul.Umat Islam seharusnya komited kepada jemaah tersebut dengan tidak menjadi duri dalam daging atau kemucup atau parasit yang mungkin boleh merencatkan perancangan jemaah untuk kembali kepada carahidup Islam.Komited dengan makna ikhlas dan jujur dalam perjuangan dan redha dan yakin dengan janji pertolongan ALLAH walau dalam keadaan mana sekalipun.

Semuga kita semua mampu mengambil pengajaran dari Maulidur Rasul yang sedang disambut ini kearah satu cita cita dan tujuan, mencari redha ALLAH menerusi penghayatan sunnah yang sudah lama ditinggalkan, Insyaalah.

Sumber

Tuesday, January 31, 2012

Bagaimana Mahu Berjumpa Nabi Di Dalam Mimpi?

Masjid Nabi, Madinah al-Munawwarah.

Seorang remaja lelaki menghantar mesej SMS kepada saya bertanya soalan bagaimanakah untuk berjumpa dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi? Ma Sya ALLAH, memang bagus betul soalan tersebut. Ia biasanya ditanya oleh orang-orang yang soleh yang rindukan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Saya tidak mampu untuk menjawabnya. Soalan itu berat untuk saya menjawabnya kerana saya sendiri pun belum lagi direzekikan oleh ALLAH Ta`ala untuk mengalami mimpi yang mulia itu. Beruntunglah sesiapa yang dapat bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi semasa hayatnya.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu, bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda:

“Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, bererti dia benar-benar melihatku. Sesungguhnya Syaitan tidak mampu menjelma rupaku.” (HR Muslim)

Saya pernah mendengar jawapan yang sangat cantik yang pernah dijawab oleh Sheikh Muhammad Hassan (semoga ALLAH memelihara beliau) apabila ditanya soalan yang sama. Beliau telah menjawabnya dengan menyampaikan suatu kisah yang beliau perolehi dari seseorang yang beliau kenali. Kisahnya seperti berikut:-

Pada suatu hari, seorang pelajar datang bertemu tuan gurunya kerana ingin bertanya suatu soalan yang sangat penting.

“Wahai tuan guru, tolonglah ajarkan kepada saya tentang caranya untuk bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi saya” Tanya pelajar itu kepada tuan gurunya.

“Engkau mahu melihat Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpimu?” Tuan guru bertanya semula.

“Ya, wahai tuan guru” Jawab pelajar tersebut dengan sungguh-sungguh.

“Jika begitu. Marilah datang ke rumah saya malam ini. Kita makan malam sama-sama ya…” Jemput tuan guru kepada pelajarnya yang bertanya itu.

“Apa? Ma Sya ALLAH, ini sudah bagus, rezeki” Pelajar tersebut terkejut dan gembira dengan pelawaan tuan gurunya itu.

Lalu pada malamnya si pelajar itu datang ke rumah tuan gurunya untuk mendapatkan jawapan yang ditanya itu, iaitu bagaimana untuk berjumpa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi. Beliau sangat mengharapkan tuan gurunya yang alim dan murobbi itu dapat memberikannya jawapan.

Tuan guru menjemput pelajar itu makan makanan yang dihidangkan. Tetapi makanan yang disediakan itu sengaja dilebihkan garam dan beliau tidak pula menyediakan air untuk pelajar tersebut minum.

“Boleh saya minta air? Saya dahaga, wahai tuan guru” Pinta pelajar tersebut yang berasa haus disebabkan oleh kemasinan makanan yang disediakan.

“Oh tidak, air tidak dibenarkan” Jawab tuan guru.

“Tetapi tuan guru, saya berasa sangat dahaga.” Pelajar itu memberitahu keadaannya yang sedang mengalami kehausan.

“Tidak, air tidak dibenarkan. Makan sahajalah” Tuan guru bertegas lalu memintanya teruskan makan.

“Baiklah tuan guru.” Pelajar tersebut akur.

Setelah selesai makanan, pelajar itu pun meminta agar jawapannya dijawab oleh tuan gurunya.

“Tuan guru, mengenai soalan saya siang tadi. Boleh tuan guru ajarkan kepada saya bagaimana untuk bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi” Pelajar itu bertanya.

“Oh, tidak. Bukan sekarang. Saya tidak akan ajar kamu tentang itu sekarang.” Jelas tuan gurunya dengan lembut.

“Habis tu, bila wahai tuan guru?” Tanya pelajar itu dengan nada sedikit kecewa.

“Tidurlah sekarang. Nanti sebelum Subuh, insyaALLAH saya akan tunjukkan kepada kamu bagaimana caranya untuk bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi” Jawab tuan gurunya sambil memujuk.

Pelajar itu pun lalu tidur dengan harapan Subuh nanti beliau akan memperolehi suatu pelajaran yang sangat beliau nantikan. Beliau benar-benar ingin bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi, tetapi tidak tahu caranya.

“Wahai anakku, marilah ke sini…” Tuan guru memanggil pelajarnya setelah mereka sama-sama bangun sebelum Subuh.

“Ajarlah saya wahai tuan guru tentang bagaimana untuk bertemu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi!” Pelajar tersebut tanpa bersabar terus meminta agar diajarkan beliau dengan suatu ilmu yang besar itu.

“Nanti dulu. Sebelum itu saya ingin bertanya adakah kamu melihat apa-apa malam tadi di dalam mimpi kamu?” Tanya tuan guru dengan wajah yang manis.

“Ya, ada.” Jawab pelajar tersebut ringkas.

“Apa yang kamu lihat?” Tanya tuan guru lagi.

“Wahai tuan guru, saya telah melihat hujan yang lebat turun dari langit, sungai mengalir dan laut berombak pula berada di hadapan saya” Pelajar itu menjelaskan apa yang beliau lihat di dalam mimpinya. Ternyata beliau sangat senang sekali dengan apa yang dilihatnya.

“Benarlah wahai anakku. Engkau telah bercakap benar. Engkau telah bercakap benar. Dan engkau juga mempunyai niat yang benar. Maka sebab itulah mimpi engkau juga benar.” Tuan guru lalu memberikan respon terhadap jawapan pelajarnya itu.

“Dan jika cintamu benar terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, maka engkau akan dapat melihat Baginda di dalam mimpi sebagaimana benar dan kuatnya perasaanmu terhadap air tadi.” Tuan guru menyambung lagi.

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad. Kisah tersebut membuka suatu pertanyaan yang besar buat kita yang perlu kita sendiri muhasabah dengan jawapan tersebut.

Benarkah kita cintakan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam? Sudahkah kita mengamalkan sunnah-sunnah Baginda sallAllahu `alaihi wasallam? Sejauh manakah kita menjauhi kesemua larangan-larangan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam? Dan istiqamahkah kita mendo`akan solawat buat junjungan mulia sallAllahu `alaihi wasallam?

Agaknya sebab itulah kita belum direzekikan ALLAH Ta`ala buat kita untuk bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi disebabkan keadaan kita yang belum betul-betul cintakan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Sheikh Muhammad Hassan selepas menyampaikan kisah tersebut lalu mengajak kita semua bermuhasabah:

“Berkemungkinankah untuk Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam datang di dalam mimpi seseorang yang makan dari makanan yang haram? Seseorang yang matanya melihat perkara yang haram? Seseorang yang lidahnya menipu? Seseorang yang terlibat dengan riba? Seseorang yang munafiq? Adakah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam akan datang kepada orang-orang ini???!!!

Tidak! Sama sekali tidak! Demi ALLAH, Baginda sallAllahu `alaihi wasallam tidak akan datang melainkan kepada orang yang Baginda sayangi…!”

Sheikh Muhammad Hassan seterusnya menceritakan bahawa beliau pernah bertemu dengan seorang ibu tua berumur 70 tahun yang tinggal di sebuah rumah usang yang hanya diperbuat dari tanah liat. Keistimewaan ibu tua ini ialah pada setiap malam beliau dapat berjumpa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi. Antara amalan yang selalu dilakukan ialah beliau tidak pernah berhenti dari bersolawat ke atas Baginda sallAllahu `alaihi wasallam. Setiap saat yang ada, beliau sentiasa bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Selain bersolawat sepanjang masa, Sheikh Muhammad Hassan juga memberi nasihat, untuk bertemu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi, hendaklah kita semua menguatkan rasa cinta kita kepada Baginda. Samalah seperti air di dalam kisah di atas. Seseorang yang sangat mendambakan sesuatu akan terbawa-bawa hingga ke dalam mimpinya.

Dan cara menguatkan cinta bukanlah hanya dengan mempunyai perasaan cinta sahaja. Ia mestilah disertai dengan mengikuti sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam. Iaitu dengan mahabbah (cinta) dan ittiba` (ikut) Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Tidak ada cara lain lagi. Untuk bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi, hendaklah diterapkan sekuat-kuatnya rasa cinta dan ikut Baginda. InsyaALLAH, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam akan datang bertemu dengan mukmin yang betul-betul cinta dan ikut Baginda. Semoga kita semua dapat memperbaiki diri kita dalam hal menghayati sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Dan mudah-mudahan kita semua digolongkan oleh ALLAH Subhanahu wa Ta`ala sebagai ummat Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang dapat bertemu dengan Baginda di kolam al-Haudh di Padang Mahsyar dan bersama dengan Nabi di kolam al-Kautsar di Syurga nanti, amin…

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad.

- www.muzir.wordpress.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...