Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Showing posts with label Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Tokoh. Show all posts

Sunday, May 8, 2011

Osama Bin Laden : Contoh pejuang Islam zaman moden

Dunia Islam dikejutkan dengan dakwaan tentera kuffar Amerika telah berjaya membunuh mastermind kumpulan Al-Qaeda As-Syeikh Osama Bin Laden. Setelah sekian lama diburu akhirnya musuh no 1 Amerika telah berjaya dijumpai tempat persembunyiannya dan dibunuh walaupun ada laporan yang menyatakan bahawa Osama pada ketika itu tidak bersenjata.

Mungkin akibat dendam kesumat yang telah membara sekian lama, mereka mengambil keputusan untuk membunuh sahaja As-Syahid (insya Allah) tanpa peluang membela diri walaupun mereka berupaya menahan Osama hidup-hidup. Mungkin juga mereka tahu sekiranya Osama berpeluang membela diri dalam sebuah mahkamah, kebenaran pasti berpihak kepada Osama justeru itu tanpa bukti-bukti yang nyata mereka (Amerika) telah mengambil keputusan menamatkan riwayat As-Syahid.


Teori-teori tentang Osama Bin Laden

Banyak teori yang berkenaan dengan Osama Bin Laden yang kadang-kadang memeningkan kepala untuk difikirkan. Ada yang menyatakan Osama Bin Laden ini sebenarnya tidak wujud tetapi sengaja direka oleh pihak Amerika untuk merasionalkan tindakan mereka menakluki negara-negara arab seperti Afghanistan di atas alasan memerangi keganasan. Ada juga yang mendakwa Osama Bin Laden ini agen CIA.

Hero Dunia Islam

Namun teori-teori itu tidak berjaya menghilangkan populariti Osama Bin Laden sebagai salah seorang ikon hero pejuang Islam terbaik di zaman ini. Setiap kali kemunculan beliau yang membawa mesej tertentu memberikan semangat kepada seluruh dunia Islam yang ternanti-nantikan amanat dan kemunculan beliau yang seterusnya. Kemunculan beliau menyerlahkan keberanian dan tekad serta semangat jihad untuk membebaskan umat Islam dari belenggu penindasan di seluruh dunia. Dunia Islam dalam keadaan dahagakan semangat baru yang dapat memberikan mereka nafas baru dalam menolak ketidakadilan yang berlaku dalam diri mereka, tanahair mereka dan agama mereka.

Terlalu banyak dosa Amerika kepada dunia Islam.

Amerika adalah menjadi sekutu kuat Israel yang menjajah Palestin, sudah terlalu lama bangsa Palestin dinafikan hak mereka dalam negara mereka sendiri akibat dari kerakusan Zionis Israel. Terlalu banyak air mata dan darah rakyat palestin telah tertumpah, sudah terlalu banyak nyawa orang yang tidak berdosa, perempuan mengandung, bayi, kanak-kanak dan orang tua telah menjadi mangsa. Dunia hanya memandang sepi tindakan Israel di bawah restu Amerika melakukan segala apa yang mereka mahu lakukan terhadap rakyat Palestin. Amerika bukan sahaja tidak menghalang tetapi telah bersekongkol dengan Israel dengan menyediakan bantuan-bantuan ketenteraan dan kelengkapan untuk membunuh rakyat Palestin.

Dunia juga telah menyaksikan darah rakyat Iraq dan Afghanistan tertumpah dalam kempen yang didakwa kononnya untuk memerangi keganasan, padahal telah terbukti apa yang mereka dakwa itu sebenarnya adalah salah.

Peristiwa yang terbaru adalah serangan Amerika dan tentera Nato terhadap Libya di atas nama memerangi ketidakadilan yang dilakukan oleh Diktator Muammar Ghadafi terhadap rakyat Libya. Sekali lagi Amerika telah menangguk di air keruh dalam suasana ketidakstabilan yang berlaku di Libya. Walaupun memang Muammar Ghadafi boleh dikatakan seorang pemimpin yang zalim tetapi dengan melakukan serangan langsung telah menafikan hak rakyat Libya yang sedang dalam proses untuk melakukan perubahan di tanah air mereka sendiri. Campurtangan tentera Amerika dan Nato dilihat sebagai mempunyai agenda sendiri yang tidak mahu melihat golongan pro-islam menjadi pemerintah baru di bumi Afrika itu.

Pedih hati seluruh umat Islam apabila melihat saudara seagama mereka diperlakukan sedemikian rupa. Tidak tega hati dan jiwa orang Islam yang beriman melihat saudara mereka dinafikan ketidakadilan dan hak asasi mereka.

Firman Allah taala :

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat”
[QS. Al Hujurat : 10]

Semangat perjuangan Osama

Osama Bin Laden telah berjaya meniupkan semangat baru dalam menghadapi kemungkaran tentera kuffar yang hendak menghancurkan semangat Islam. Walaupun tidak siapa pun dikatakan dapat menandingi kekuatan tentera Amerika dan sekutu-sekutunya sekiranya berperanag secara berdepan, namun banyak cara lain telah berjaya dilakukan untuk memberikan mesej penentangan boleh dilakukan walaupun dengan kelengkapan dan bilangan yang sedikit.

"Dari Abi Said Al-Khudri r.a, katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya ia tiada berkuasa, hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya (nasihatnya). Sekiranya ia tiada berkuasa, hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya (tidak meredhai perbuatan tersebut). Dan yang demikian adalah selemah-lemah iman."

(Riwayat Muslim)

Sebesar-besar perjuangan dalam menolak kemungkaran adalah mengorbankan diri sendiri dan harta benda. Itulah yang telah berjaya ditunjukkan oleh As-Syahid As-Syeikh Osama Bin Laden untuk dicontohi oleh umat Islam lain.

Firman Allah Taala :

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar." (At-Taubah 9:111)

Ku doakan semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas roh beliau dan ditempat di kalangan ahli syurga. Insya Allah.



Saturday, April 9, 2011

Nota: Socrates

Dari blog Umat Terakhir

Causa Prima

Kejadian alam bermula secara terhitung daripada Penyebab Utama yang mana ‘kewujudan Penyebab Utama’ itu pula tiada lagi penyebab lain (yang lebih berkuasa untuk mencipta Penyebab Utama itu) dan (kewujudan Penyebab Utama itu pula) tiada disebabkan oleh apa jua sebab.”Socrates.


SOCRATES yang pernah hidup pada 470SM hingga 399SM adalah satu nama besar dalam sejarah peradaban Yunani (Greek). Dia bagaimanapun dihukum mati dengan cara menelan racun pada 399SM selepas didapati menyebarkan ajaran baru yang bertentangan dengan kepercayaan pagan yang dianuti rakyat Athens pada ketika itu.

Ahli falsafah terkenal Yunani itu juga menganggap pengikut-pengikutnya sebagai anak-anaknya sendiri dan sentiasa mengajar mereka mengenai fahaman agama monotheism (penyembahan terhadap Tuhan yang satu) yang sangat bertentangan dengan fahaman pagan.

Menurut catatan pengikutnya (Plato) dalam teks falsafah Yunani yang terkenal iaitu Phaedo, Socrates diberi tempoh selama satu hari untuk menelan racun yang diberikan pembesar Yunani. Jika enggan, dia akan dihukum mati dengan cara yang lebih kejam hanya kerana membawa ajaran monotheism yang begitu bercanggah dengan fahaman politeism.

Timbul persoalan di sini ialah status Socrates sebagai seorang yang berpegang teguh kepada kepercayaannya mengenai Tuhan itu satu dan sanggup mati demi mempertahankan kepercayaannya itu meskipun pernah diumpan dengan segala kemewahan jika meninggalkan kepercayaan itu.

Konsep Causa Prima yang dicatatkan pengikutnya meninggalkan banyak petunjuk dalam mengenali siapa Socrates yang sebenarnya.

Ia termasuk pengakuan Socrates mengenai kebimbangannya untuk bertemu Tuhan yang satu selepas dia mati dengan cara menelan racun yang sama keadaannya seperti membunuh diri. Dia bimbang tidak diterima oleh Tuhannya jika dia berbuat demikian hanya kerana untuk mempertahankan kepercayannya.

Menurut catatan, Socrates sebelum teguh dengan kepercayaan monotheism selalu bersendirian bagi mencari jawapan terhadap penciptaan alam. Dia suka memerhati bintang-bintang dan langit luas untuk memikirkan mengenai Kuasa yang menciptakan semua kejadian.

Akhirnya, dia menemui jawapan bahawa alam ini tidak dicipta oleh tuhan yang banyak, melainkan oleh Satu Kuasa yang menjadi penyebab kepada semua kejadian. Kepercayaan Socrates menghampiri kepercayaan Tauhid meskipun dia tidak tahu apakah nama Tuhan yang satu itu. Namun, dia tetap yakin dengan teguh bahawa Tuhan yang menjadikan setiap kejadian hanya satu. Dia hanya mahu menyembah Tuhan itu meskipun tidak mengetahui nama-Nya. Demi kepercayaan itu, Socrates sanggup mati.

Selepas kematian Socrates, para pengikutnya kemudian berpecah demi keselamatan, termasuklah Plato dan Aristotle. Aristotle ketika melarikan diri kemudian dipelawa oleh Alexander The Great untuk mengajarnya mengenai falsafah dan pada masa yang sama melakukan ekspedisi ke timur dan barat.

Meskipun Alexander dari keturunan elit istana dan mengetahui bahawa Aristotle itu adalah pengikut Socrates, dia bagaimanapun tidak menghukum Aristotle. Sebaliknya, dia melantik Aristotle sebagai penasihat dan guru peribadi untuk membantunya melakukan ekspedisi ke timur dan barat.

Aristotle adalah salah seorang murid Socrates yang terbaik. Secara langsung, dia juga berpegang kepada kepercayaan terhadap Tuhan yang satu sebagaimana yang dipercaya oleh gurunya. Oleh sebab itu, Aristotle melarikan diri daripada pembesar-pembesar Yunani untuk menyelamatkan kepercayaannya.

Secara tidak langsung juga, kepercayaan yang dipegang oleh Aristotle perlahan-lahan mempengaruhi muridnya, Alexander. Timbul persoalan besar iaitu adakah Tuhan yang satu seperti kepercayaan yang dipegang Socrates itu merujuk kepada Allah? Siapakah Socrates? Siapakah pula Alexander yang menjadi generasi ketiga murid Socrates melalui Aristotle?

Socrates mati selepas menelan racun yang diberikan kepadanya hanya kerana mahu mempertahankan kepercayaannya terhadap tuhan yang satu. Kata kerja ‘menelan’ juga sama maksudnya dengan perkataan Arab iaitu ‘luqman’.



Jadi, siapakah Socrates yang sebenarnya?
Siapakah pula Alexander?

Sumber

Tuesday, February 15, 2011

Tuhan tidak melupai perbuatan si zalim

Dunia ini jika diciptakan Allah tanpa diiringi dengan hari akhirat, tentulah kehidupan ini amat mengecewakan banyak manusia. Apa tidaknya, entah berapa ramai insan yang dizalimi haknya sedangkan dia tidak dapat menuntutnya kembali disebabkan kedaifan dirinya, atau keadaan yang tidak membelanya. Sehingga ada insan yang dijatuhkan maruahnya, ditipu atau diceroboh hartanya, diseksa jasad, bahkan dibunuh tubuhnya secara zalim.

Tanpa kesalahan, tanpa kejahatan, tanpa dosa yang menghalalkan itu semua. Namun dek dia manusia bawahan, atau keadaan yang tidak membolehkan dia mempertahankan dirinya maka dia terpaksa mengharungi kekejaman ke atas dirinya. Tercungap-cungap tanpa pembelaan. Lantas dia pergi meninggalkan dunia ini sebagai insan teraniaya tanpa dibela. Jikalah dunia berakhir dengan sebuah kematian di bumi semata, tanpa manusia dibangkitkan semula dan dihitungkan segala amalan dan kerjanya, tentulah kehidupan ini sesuatu yang amat tidak adil. Atau kehidupan ini hanyalah pentas drama kezaliman dan penindasan semata. Namun Maha Suci Tuhan dari menjadikan kehidupan sia-sia.

Firman Allah: (maksudnya) maka apakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu dengan sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? Maka Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Maha Benar; tiada yang diabdikan diri melainkan Dia, Tuhan Yang mempunyai ‘arasy yang mulia (surah al-Mukminun ayat: 115-116).

Saya pernah melawat beberapa kota-kota tamadun lama. Antaranya saya melihat tempat yang pada zaman dahulu para pembesar mereka menjadi perlawanan manusia menentang singa sebagai majlis hiburan dan keramaian. Penentang singa itu mungkin seorang manusia yang tidak ada kesalahan, namun dia dipilih untuk dijadikan bahan hiburan. Ketika bergelut mempertahankan nyawanya di gelanggang yang disediakan, orang ramai bersorak sorai kegembiraan menyaksikan pertandingan maut itu. Demikian juga jika kita baca sejarah perhambaan yang pernah dilakukan oleh bangsa kulit putih terhadap kulit hitam. Begitu kezaliman kuasa-kuasa imperialis yang menceroboh dan menindas bangsa-bangsa yang lemah. Wanita mereka dirogol, anak-anak mereka dibunuh dan negara mereka dimusnahkan. Sesetengahnya tanpa kesalahan, tanpa campur tangan dalam sebarang percaturan politik pun, tiba-tiba dimangsakan.

Saya baru-baru ini ketika bersolat di Masjidilharam berbual dengan seorang warga Iraq. Dia dan keluarganya menjadi mangsa kekejaman pemerintah mereka yang lepas. Tidak kerana dia terlibat dengan politik, tetapi disebabkan ada keluarga mereka yang terlibat lalu semua mereka diseksa dengan penuh kezaliman. Saya katakan kepadanya; “Pemimpin awak telah pun pergi menemui Allah.” Dia menjawab: “Ya, dia telah pun hilang dari muka bumi ini, namun kekejaman yang pernah dilakukan terus terpalit dalam sanubari kami yang pernah dimangsakan dan yang dosa itu dibawa pergi menemui Allah oleh mereka yang dikorbankan olehnya sebelum kematiannya.” Saya memandang wajahnya yang barangkali menyimpan lautan kepahitan kezaliman terhadap dirinya, anak perempuannya dan insan-insan yang dia sayangi. Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran ceritanya. Namun yang pasti ramai manusia yang melakukan kezaliman telah pun melupai mangsanya, namun insan yang dizalimi tidak pernah lupa. Sudah pasti Allah tidak akan lupa perbuatan si zalim.Teringatlah saya firman Allah: (maksudnya)

Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (surah Ibrahim 42-43).

Ya, ramai orang zalim telah melupai mangsa mereka. Bahkan sebahagian mereka tidak mengenali pun siapakah mangsa mereka. Ketika mereka bergolek dalam keseronokan, mangsa-mangsa mereka merintih penderitaan dan kesakitan. Lihatlah berapa ramai pemaju perumahan yang berarak ke sana sini sedangkan pembeli-pembeli rumah yang ditipu atau terbengkalai terus menderita dek penipuan tersebut. Mungkin mereka tidak kenal pun bagaimanakah rupa si pemaju dan si pemaju pun tidak kenal rupa mereka. Namun Allah tidak pernah lalai dan alpa atas apa yang dilakukan. Entah berapa ramai insan yang dicemari maruahnya. Dibuat dan direka cerita palsu mengenai dirinya. Maka mata-mata manusia memandangnya dengan sinis. Terpinga-pinga dia dan bertanya: siapakah yang memulakan cerita dusta ini yang aku menderita kerananya? Tersenyum barangkali si pereka cerita disebabkan dia tidak dapat dikesan. Namun Allah Maha Mengetahui segalanya dan tidak pernah lupa. Entah berapa ramai pula insan yang dicedera atau dibunuh tanpa dia sempat mengenali siapakah si penjenayah yang menzaliminya. Namun Allah Maha Memerhati segalanya. Sehingga saya pernah menyebut: entah berapa ramai yang menaiki kereta dengan kesombongannya meredah becak atau lopak di jalan lalu mencemari pakaian si hamba Allah yang berjalan di tepi atau menaiki motosikal. Menangislah dan meratap si mangsa atas kekotoran bajunya. Dia barangkali tidak sempat pun memerhati wajah si pemandu, namun Allah tidak akan lupa dan alpa.

Sabda Nabi s.a.w.: Segala hak akan dibayar kepada empunya pada hari kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk (riwayat Muslim).

Hadis ini menggambarkan betapa setiap yang dizalimi dan menzalimi walau sekecil mana pun akan diadili pada hari kiamat kelak.

Kadangkala kita kenal orang yang memangsakan kita. Namun tidak dapat kita mengelakkan kezalimannya disebabkan kuasa yang dimilikinya, atau keadaan yang berpihak kepadanya. Demikian kita lihat ada kerajaan pemerintah yang menzalimi rakyatnya. Ada majikan yang menzalimi pekerjanya. Ada ibu bapa yang menzalimi anaknya. Atau suami yang menzalimi isterinya. Si mangsa hanya mampu berdiam diri kerana bimbang kesan yang lebih buruk jika dia bertindak. Namun Allah tidak akan lupa itu semua. Begitu juga mereka yang mempunyai saluran tertentu seperti wartawan atau penulis buku dan internet yang memuatkan kisah peribadi orang lain sehingga menderitakan si mangsa. Atau ahli politik yang menjadikan pentas politiknya untuk menuduh dan memalitkan keaiban kepada musuh-musuh politiknya. Tanpa mempedulikan maruah orang dan larangan Allah agar jangan diintip keaiban orang serta arahan Nabi s.a.w. agar jangan didedahkan keaiban peribadi insan lain tanpa sebab-sebab yang dihalalkan syarak. Mereka ini tidak berasa zalim dan berdosa. Jika ditanya, mereka menjawab: ini kerja aku sebagai wartawan atau penulis politik atau ahli politik. Bagi mereka seakan kerjaya mereka telah melangkaui batasan dan sempadan agama. Mereka seakan lupakan peringatan Nabi s.a.w.:

Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (hari kiamat). Sekiranya baginya amalan soleh maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tidak ada baginya kejahatan, maka akan diambil kejahatan orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya (riwayat al-Bukhari).

Satu lagi sikap sesetengah manusia adalah mereka sering lupa kezaliman terhadap orang lain dan hanya mengungkit kezaliman apabila ia terkena kepada diri mereka sahaja. Jika orang lain bertindak tidak adil terhadap mereka, mereka akan membantah lalu berkata, kami dizalimi. Apabila mereka menzalimi orang lain, mereka akan berkata, kami hanya menuntut hak. Saya masih ingat dahulu apabila ada seorang pemimpin yang dituduh melakukan perbuatan seks yang sumbang maka para ustaz dan selain ustaz yang membelanya membacakan dalil-dalil al-Quran dan Sunah yang melarang kita menuduh orang lain dengan tuduhan zina tanpa empat orang saksi. Lalu dibacalah firman Allah: (maksudnya) Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik (surah al-Nur ayat 4). Lalu mereka menyatakan perbuatan menuduh tersebut adalah zalim lagi haram dan si penuduh menurut Islam hendaklah disebat lapan puluh rotan. Namun apabila para ustaz dan ‘pengikut para ustaz’ yang sama menuduh musuh-musuh politik mereka – sebelum dan selepas itu – dengan tuduhan skandal seks dan berbagai lagi, tidak pula mereka mendatangkan saksi seperti yang dituntut oleh syarak. Bahkan sebahagian ceramah-ceramah politik itu dihiasi dengan tuduh-menuduh yang amat berat di sisi syarak. Namun mereka ini jika ditanya akan menjawab: “ini politik syeikh! Anta mana faham.” Saya menyatakan mungkin mereka lebih faham ‘politik ala mereka’, namun apa yang saya faham hukum Tuhan itu tidak pernah terbatas. Islam ini bukan sekular yang memisahkan agama dari politik. Jika anda bercakap tentang Islam dan politik, maka cara politik hendaklah mengikut Islam. Sebahagian perkataan-perkataan dalam ceramah itu bak kata al-Quran dalam surah al-Nur ayat 15: (maksudnya)

Ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ia perkara kecil, padahal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya.

Demikian kita, kita hanya sedar kezaliman apabila ia terkena kepada kita, melupainya apabila terkena kepada orang lain. Saya masih ingat seorang yang berpakaian agama dalam negara ini yang mengkritik sikap sesetengah anak-anak muda yang kononnya tidak menerima pakai pendapat ‘tokoh-tokoh agama Nusantara’ dan beliau mensifatkan itu sebagai koboi dan biadap. Itu katanya tidak menghormati ulama. Tetapi saya melihat beliau dan mereka ‘sebaju’ dengan beliau dalam masa yang sama menghina, memfitnah bahkan sehingga mengkafirkan tokoh- tokoh ulama umat Islam seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, al-Hafiz Ibn Qayyim, al-Hafiz al-Zahabi, al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab, Dr. Yusuf al-Qaradawi dan lain-lain lagi, tidaklah pula mereka menganggap diri mereka zalim, koboi dan biadap terhadap para ulama. Mereka menghukum diri mereka tidak sama dengan hukuman mereka terhadap orang lain. Inilah yang sering saya ulangi firman Allah s.w.t: dalam surah al-Maidah: 8: (maksudnya):

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang- orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Islam ini adil untuk semua tanpa sempadan. Allah Tuhan Yang Maha antikezaliman telah berfirman dalam hadis qudsi: Wahai hamba-hamba-Ku! Aku telah haramku kezaliman untuk Aku lakukan dan Aku jadikan ia haram di kalangan kamu, jangan kamu zalim-menzalimi (riwayat Muslim). Kezaliman itu haram sekalipun terhadap orang yang pada zahirnya tidak berperwatakan baik dan sekalipun terhadap bukan muslim. Tidak dibolehkan oleh agama kita menuduh atau menzalimi seseorang hanya kerana dia tidak kuat beragama atau kerana dia bukan seorang muslim. Apatah lagi terhadap seorang soleh dan berakhlak baik dalam hidupnya. Nabi s.a.w. bersabda: Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tidak ada sebarang hijab (penghalang) (riwayat al- Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Ahmad: Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya bagi dirinya (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/al-Sahihah: 767) dalam riwayat Ahmad yang lain: Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ianya tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/al-Sahihah: 767).

Entah berapa ramai si zalim yang belum pun sempat datang hari akhirat telah pun merasai padah kezaliman di atas muka bumi ini hasil dari doa mangsanya. Sehingga dek terlupa perbuatan zalimnya, apabila tiba saat pembalasan Tuhan di bumi ini ke atasnya dia tertanya-tanya: mengapa aku jadi begini? atau mengapakah Tuhan melakukan padaku begini? Dia terlupa kezalimannya, sedang si mangsa dan Tuhan tidak lupa perbuatannya. Dalam hadis yang lain,

Nabi s.a.w. bersabda: Takut kamu doa orang yang dizalimi kerana ia dibawa atas lindungan awan

Allah Yang Maha Tinggi berfirman: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, akan Aku menangkan engkau walaupun selepas beberapa lama (riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir, dinilai hasan/al-Sahihah: 870).

Ketika si zalim tidur lena di katilnya, si mangsa mendongak ke langit menyeru Tuhannya. Justeru itu, janganlah hampa sesiapa yang dizalimi dan takutlah kita doa orang yang kena zalim!

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Sumber


Wednesday, February 2, 2011

Kebangkitan rakyat Mesir: Saat sekutu Israel dijatuhkan Allah

Oleh : Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.

Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.

Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).

Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?

Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.

Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.

Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.

Sekian, wasalam.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.

Sumber

Thursday, January 27, 2011

Asy-Syahid Sayyid Qutb - Pengarang Tafsir Fi Zilalil Quran

Biodata Pengarang Tafsir Fi Zilalil Quran (Di bawah Bayangan Al-Quran)


Al-Maqhfurulahu al-Arif billah as-Syahid Sayyid ibn Qutb Ibrahim telah dilahirkan pada tahun 1906 di Kampung Musyah, daerah Asyut, Egypt dalam satu keluarga yang kuat mematuhi ajaran agama dan mempunyai kedudukan yang terhormat di kampung itu.

Bapanya Haji Qutb Ibrahim seorang yang disegani umum dan banyak berbakti kepada orang-orang miskin. Setiap tahun beliau menghidupkan hari-hari kebesaran Islam dengan mengadakan majlis-majlis jamuan dan tilawah al-Quran di rumahnya terutama di bulan Ramadhan. Ibunya juga seorang yang bertaqwa dan menyintai al-Quran. Ketika majlis-majlis tilawah al-Quran diadakan di rumahnya, ia mendengar dengan penuh khusyu’, dengan seluruh perasaan dan jiwanya. Pemandangan ini begitu melekat dalam ingatan anaknya Sayyid Qutb yang masih kecil di waktu itu dan menjadi kenangan yang manis dalam usia selanjutnya sehingga beliau pernah berangan-angan mempunyai suara yang merdu dan lunak seperti para qari untuk memperdengarkan tilawah al-Qur’an kepada ibunya yang menyintai al-Qur’an, tetapi beliau tidak sedar bahawa takdir ilahi tidak melahirkannya untuk menjadi seorang qari yang bersuara emas, malah untuk menjadi seorang muffasir yang agung di zamannya.

Beliau telah menghafal al-Qur’an sejak dalam usianya yang belum mencecah sepuluh tahun dan dengan itu beliau telah merealisasikan cita-cita dan impian ayah dan ibu yang dikasihi dan beliau telah merakamkan hutang budi keduanya yang telah menanam benih-benih kecintaan kepada al-Qur’an di dalam kata persembahan dua buku karya sulungnya yang terkenal di dalam pengajian al-Qur’an.

Di sepanjang zaman kanak-kanak dan remajanya beliau telah memperlihatkan petanda-petanda kecerdasan yang tinggi dan bakat-bakat yang cemerlang yang menarik perhatian para guru dan pendidiknya, di samping memperlihatkan kegemaran membaca yang lahap, keberanian mengemukakan pertanyaan-pertanyaan dan mengeluarkan pendapat pendapat yang bernas.

Beliau sentiasa mendampingi al-Quran sehingga beliau memasuki Kuliah Darul ‘Ulum sebuah insutusi pengajian tinggi Islam dan sastera Arab yang terkenal di seluruh dunia Islam, di mana kefahaman al-Qur’aniyah dan pemikiran Islamiyah beliau semakin subur dan terserlah. Setelah menamatkan pengajian tingginya, beliau menceburkan di bidang keguruan dan penulisan dan akhirnya dipindah ke bahagian Pentadbiran Kementerian Pelajaran di Qahirah.

Kini nama beliau begitu terkenal selaku seorang penulis yang prolific yang bukan sahaja menulis dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah ilmiyah yang terkemuka, malah menerbitkan majalah-majalah yang lebih berwawasan dari majalah-majalah yang wujud masa itu hingga menggugatkan pihak-pihak yang tertentu. Penulisan-penulisan beliau diminati ramai terutama generasi muda. Mereka tertarik dengan penjelasanpenjelasan yang tajam, pendedahannya yang berani dan analisisnya yang mendalam.

Setelah merasa cukup matang, maka pada tahun 1945 beliau memutuskan untuk memulakan penulisan buku-buku. Ketika itu usia beliau menghampiri empat puluh tahun. Dan sejak tahun itu hingga ke tahun 1950 beliau telah berjaya menghasilkan dua puluh enam buah buku yang bermutu dalam berbagai-bagai bidang penulisan sastera Islamiyah.

Pada tahun 1948 beliau dihantar ke Amerika untuk mempelajari system pengajian dan pembelajaran di negeri yang termaju itu dan selama hamper dua tahun berada di sana beliau telah membuat kajian yang lebih mendalam dalam bidang yang menyangkut pendidikan dan pelajaran di negeri itu, iaitu beliau telah melakukan pengamatan-pengamatan yang luas mengenai kehidupan Amerika yang banyak mengecewakannya. Kini beliau telah melihat dan mengenal tamadun Amerika dari dekat. Kemudian dalam suratnya kepada pujangga Taufiq al-Hakim beliau menulis: “Amerika mempunyai segala sesuatu kecuali roh.”

Sekembalinya dari Amerika beliau memutuskan untuk menumpukan seluruh hayatnya kepada pengajian lslamiyah dan harakat Islamiyah dan meninggalkan gelanggang sastera yang menjadi gelanggang peminatannya di zaman silam. Sewaktu merakam titik peralihan ini beliau menulis: “Orang yang menulis kajian ini ialah seorang yang hidup membaca selama empat puluh tahun genap. Kegiatannya di peringkat pertama ialah membaca dan menelaah kebanyakan hasil-hasil pengajian dalam berbagaibagai bidang pengetahuan manusia termasuk kajian yang menjadi bidang ikhtisasnya dan kajian-kajian yang menjadi bidang kegemarannya. Dan pada akhirnya Ia pulang ke pangkal jalan iaitu pulang kepada sumber ‘aqidah (al-Qur’an), pandangan dan kefahamannya. Dan di sana Ia dapati bahawa seluruh apa yang dibacanya itu amat kerdil jika dibandingkan dengan potensi-potensi ‘aqidah Islam yang agung itu dan akan terus dengan sifat agungnya. Walau bagaimanapun ia tidak menyesal atas kehabisan umurnya selama empat puluh tahun itu kerana dengan usianya yang selama itu Ia berjaya mengenal hakikat jahiliyah, mengenal penyelewengnya, kekerdilannya, kekosongannya, kesongsangannya, kesesiaannya dan dakwaan-dakwaannya yang karut. Sejak itu Ia sedar dengan penuh keyakinan bahawa seorang Muslim tidak boleh menyatukan dua sumber ilmu pengetahuan yang berlainan itu untuk diterima olehnya.

Tahun 1951 - 1964 merupakan masa peralihan beliau kepada penulisan-penulisan Islamiyah yang serius dan cemerlang di samping merupakan tahun-tahun yang amat produktif di mana lahirnya karya-karya agung yang menjadi buku-buku warisan Islamiyah yang penting di zaman ini dan di zaman-zaman mendatang. Dan karya yang menjadi mercu tanda daya penghasilan intelektualnya ialah tafsir “Fi Zilalil-Qur’an” dan juzu’ pertama dari tafsir ini muncul pada tahun 1952 dan beliau telah menyelesaikan penulisan tafsir ini sebanyak tiga puluh juzu’ pada akhir tahun lima puluhan, iaitu mengambil masa kita-kira hampir lapan tahun.

Tafsir Fi Zilalil-Qur’an adalah ditulis dengan bersandarkan kepada kajian-kajian beliau yang mendalam, yang ditimba secara langsung dari al-Qur’an dan as-Sunnah, di samping bersumberkan kepada kitab-kitab tafsir yang mu’tabar. Beliau memasuki ke dalam penulisan tafsir ini setelah melengkapkan dirinya dengan pengalaman-pengalaman dan kajian-kajian yang kaya di bidang penulisan, keguruan, pendidikan dan pengamatannya yang luas dan tajam dalam perkembangan-perkembangan sosial dan politik dunia semasa. Beliau telah menghabiskan lebih dari separuh usianya dalam pembacaan dan penela’ahan yang mendalam terhadap hasil-hasil intelektual manusia di dalam berbagai-bagai bidang pengajian dan teori-teori, berbagaibagai aliran pemikiran semasa dan berbagai-bagai kajian mengenai agamaagama yang lain.

Di samping itu tafsir Fi Zilalil-Qur’an adalah ditulis dengan tinta derita dan sengsara yang begitu pahit akibat penindasan dan permainan politik gila kuasa yang zalim di zaman itu. Beliau telah menjalani penyeksaan fizikal yang kejam dan tidak berperi kemanusiaan dan seluruh kesengsaraan ini telah membuat seluruh entiti beliau tertumpu kepada Allah dan kepada penghayatan al-Qur’an, di mana beliau hidup di bawah bayangan al-Qur’an dengan seluruh jiwa dan perasaannya dan hidup sebagai seorang penda’wah yang ‘arifbillah, sabar, gigih, redha, tenang, tenteram, berserah bulat kepada Allah, tidak mengenal kalah dan putus asa. Semuanya itu merupakan faktorfaktor penting yang melahirkan tafsir “Fi Zilalil-Qur’an” di dalam bentuknya yang unik yang mengatasi tafsir-tafsir yang lain.

Sebelum memasuki ke dalam pentafsiran isi kandungan al-Qur’an beliau telah membuat kajian yang mendalam selama beberapa tahun untuk mencungkil rahsia-rahsia struktur pengungkapan al-Qur’an dan uslub penyampaiannya yang indah dan penuh mu’jizat. Hasil kajian Qur’aniyahnya yang ulung itu telah dibukukan dengan jodol “ ”التصرالفني في القرأن (Penggambaran Yang Seni Di Dalam Al-Qur’an) diterbitkan pada tahun 1945 kemudian diiringi pula dengan buku “ مشاهدالقيامةفيالقرأن ” (Pemandanganpemandangan Qiamat di Dalam Al-Quran) diterbitkan pada tahun 1947 sebagai huraian dan pelengkap kepada bukunya yang pertama. Hasil kajian yang gemilang ini telah disifatkan oleh para pengkaji sebagai anak kunci yang dikurniakan Allah kepada beliau untuk membongkarkan rahsia-rahsia keindahan al-Qur’an yang unik itu. Dan buku buku inilah yang banyak dirujukkan oleh beliau dalam tafsirnya, yang lahir kira-kira tujuh tahun selepas lahirnya bukunya yang pertama itu.

Tafsir Fi Zilalil-Qur’an berbeza dari tafsir-tafsir yang lain apabila beliau menggunakan satu methodologi pentafsiran yang membersihkan pentafsiran alQuran dari pembicaraan pembicaraan sampingan dan selingan yang tidak disarankan oleh nas-nas al-Quran. Justeru itu beliau menjauhkan tafsirnya dari perbahasan-perbahasan bahasa dan tata bahasa, perbahasanTafsir perbahasan ilmu al-kalam dan ilmu fiqah dan dari cerita-cenita dongeng israeliyat yang lumrah dalam kebanyakan tafsir termasuk tafsir-tafsir yang terkenal sebagai sumber sumber rujukan. Di samping itu beliau juga menjauhkan tafsirnya dan menundukkan nas nas al-Qur’an kepada penemuan-penemuan dan pendapat-pendapat sains yang sering dilakukan oleh orang-orang yang terlalu ghairah untuk mendampingkan pentafsiran al Qur’an dengan pentafsiran sains, sedangkan sumber kedua-dua tafsir ituadalah berlainan iaitu al-Qur’an bersumberkan wahyu dari Allah pencipta yang mengetahui segala sesuatu sementara sains bersumberkan intelektual manusia yang tidak syumul, tidak mantap dan sedang berubah-ubah.

Beliau telah menyifatkan perbahasan-perbahasan sampingan itu sebagai campuraduk yang merosakkan jalan penyampaian al-Qur’an yang indah, lurus dan jelas dan seterusnya menyifatkan perbahasan-perbahasan itu sebagai halangan-halangan “yang melindungkan al-Qur’an dari jiwa saya dan melindungkan jiwa saya dari al-Qur’an.”

Walaupun tafsir Fi Zllalil-Qur’an telah selesai ditulis dan walaupun masih meringkuk di dalam pen jara, namun beliau masih belum puas menimba lautan kalamullah. Ufuk-ufuk pemikirannya yang meluas, gagasangagasan lslamiyah yang segar dan baru, pandangan pandangan dan perasaan-perasaan kesedarannya yang lebih halus merangsangkan hati dan jiwanya, justeru itu pada awal tahun 1960 beliau sekali lagi tampil dengan penuh dedikasi mengemaskinikan tafsir Fi Zilalil-Qur’an dengan menokokkan huraian-huraian tambahan yang baru dan penghalusan-penghalusan yang perlu untuk menjadikan tafsir itu sebuah tafsir haraki yang sempurna. Usaha ke arah itu menjadi lebih lancar apabila beliau dibebaskan dari penjara dengan campurtangan Presiden Republik Iraq Abdul Salam ‘Arif pada masa itu. Dalam kesempatan ini beliau telah berjaya membuat pembaharuan tafsir itu hingga ke juzu’ yang ketiga belas di mana tamatnya Surah Ibrahim, tetapi beliau tidak sempat mengemaskinikan juzu yang baki, kerana beliau tiba-tiba ditangkap kembali atas tuduhan-tuduhan yang palsu dan zalim.

Setelah diundang ke alam para syuhada’ tafsir Fi Zilalil-Qur’an merupakan satu satunya tafsir yang paling luas tersebar di seluruh dunia Islam di zaman ini, di samping menjadi bahan-bahan kajian dan rujukan utama para ulama’ dan para mufassirin. Ujar Dr. Hasan Farahat: “Tafsir Fi Zilalil-Quran” telah menjadi begitu terkenal dengan sebab Sayyid Qutb (Rahimahullah) telah menulis tafsir ini sebanyak dua kali; kali pertama ia menulis dengan tinta seorang alim dan kali kedua dia menulis dengan darah syuhada’. Ujar Yusof al-‘Azym” “Tafsir Fl Zilalil-Qur’an” adalah wajar dianggap sebagai suatu pembukaan Rabbani yang diilhamkan Allah kepada penulisnya. Beliau telah dianugerahkan matahati yang peka yang mampu menanggap pengertian-pengertian, gagasan-gagasan dan fikiran yang halus yang belum dicapai oleh mana-mana penulis tafsir yang lain. Adalah jelas sekali bahawa keimanan beliau yang tulen, pembacaan beliau yang luas, pengalamannya yang mendalam dan bakat-bakat semulajadinya yang gemilang telah menjadikan tasir Fi Zilalil Qur’an sebuah tafsir yang unik dan secara adil dapat diletakkan di kemuncak tafsir-tafsir yang lama dan yang baru, di mana terkumpul penjelasan-penjelasan yang syumul, himpunan ilmu pengetahuan, huraian yang citarasa dan da’wah yang lantang ke arah mengulangi semula hayat Islamiyah”, sementara Dr. Saleh Abdul Fatah al-Khalidi pengkaji karya-karya Sayyid Qutb dan penulis biografinya yang terkenal telah berkata: “Sayyid Qutb dalam tafsir “Fi Zilalil-Quran” adalah dianggap sebagai mujaddid di dalam dunia tafsir, kerana beliau telah menambahkan berbagai-bagai pengertian dan fikiran haraki, dan berbagai-bagai pandangan tarbiyah yang melebihi tafsir-tafsir yang lalu, juga dianggap sebagai pengasas pengajian baru dalam ilmu tafsir, di mana beliau telah memperkenalkan aliran tafsir haraki.”

Itulah liku-liku hidup yang penuh bersejarah yang dilalui oleh al-alim ar-Rabbani Syed Qutb dalam perjalanan menamatkan pengembaraannya yang jauh di bawah bayangan al-Qur’anul-Karim dan meninggalkan hasil pengembaraannya yang kekal abadi kepada umat Muslimin.

Kemudian di waktu fajar hari Isnin 13 Jamadil Awal 1386 bersamaan 29 Ogos 1966 beliau telah menemui syahadatnya di tiang gantung setelah didapati bersalah oleh “Mahkamah Tentera” yang telah ditubuhkan oleh kerajaan revolusi di zaman itu. Mahkamah ini mempunyai sejarah pengadilan yang hitam dan banyak mengorbankan orang-orang yang tidak berdosa. Hukuman gantung itu telah dilaksanakan secara mendadak ke atas al-Marhum tanpa menghiraukan bantahan dunia Islam dan menolak secara tidak sopan telegram rayuan penbadi dari Raja Saudi Al-Marhum Faisal ibn Abdul Aziz di mana baginda merayu supaya beliau dibebaskan dan hukuman gantung dan baginda bersedia memberi apa sahaja yang dituntut oleh Kerajaan Mesir.

Rujukan : Tafsir Fi Zilalil Quran

Nota : Insya Allah akan menyusul selepas ini Surah Pilihan dari Tafsir Fi Zilalil Quran



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...