Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Tuesday, February 1, 2011

Pentafsiran Ayat 14-16 Surah Al-Buruj - Fi Zilalil Quran

Tafsir Ayat 14-16 Surah Al-Buruj - Fi Zilalil Quran

Bismillah

"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani"

14. “Dan Dialah Yang Maha pengampun dan Maha Penyayang”

Darjat kasih mesra dari Allah.

Keampunan merupakan rahmat dan limpah kurnia yang tidak terbatas, Ia merupakan pintu yang terbuka, yang tidak tertutup kepada sesiapa yang ingin pulang ke pangkal jalan dan bertaubat, walaupun dosa dan maksiatnya amat besar. Sementara sifat kesayangan pula mempunyai hubungan dengan pendirian orang mukmin yang mengutamakan Allah di atas segala-galanya. Kesayangan itu ialah kasih mesra yang lembut. Apabila Allah mengangkat para hamba yang dicinta-Nya ke satu martabat yang menyukarkan mata pena untuk mendiskripsikannya jika ia tidak dikurniakan Allah, iaitu martabat persahabatan antara Tuhan dan Hamba. Itulah darjat kasih mesra dari Allah kepada hamba kesayangan-Nya yang muqarrabin. Apakah ertinya nyawa yang dikorbankan oleh orang mukmin itu sedangkan nyawa itu sendiri lambat laun akan hilang juga? Dan apakah ertinya azab kesiksaan (dugaan didunia) di samping setitis kemesraan yang dikurniakan Allah dan sekilas pandang kasih sayang-Nya.

Ada abdi-abdi di bumi yang dimiliki manusia bersedia untuk mencampakkan diri dalam kebinasaan kerana sepatah kata perangsang yang keluar dari mulut tuannya, atau kerana satu pandangan tanda gembira terbayang pada wajahnya. Inilah kasih sayang di antara hamba dengan hamba, maka bagaimana pula dengan hamba Allah yang mendapat kasih sayang dari Allah Yang Maha Pemurah, iaitu Allah.

15. “ Yang mempunyai singgahsana yang amat agung”

Yang Maha Tinggi, Maha Penguasa, Maha Mulia dan Maha Pemurah. Tidakkah nyawa dan azab seksaan (dugaan didunia) menjadi perkara kecil? Tidakkah segala sesuatu yang mahal dan disayangi itu menjadi perkara kecil untuk mendapatkan keredhaan Allah Yang Maha Penyayang dan memiliki singgahsana agung itu?

16. “Dialah Yang Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya”

Kehendak dan Tindakan Allah yang bebas

Inilah sifat Allah yang banyak menjadi kenyataan dan sentiasa bertindak. Dia mempunyai Iradat yang bebas, Dia memilih apa yang disukai-Nya. Dia membuat apa yang dikehendaki-Nya, Dia selama-lamanya begitu dan itulah sifat-Nya. Sekali dia mahukan orang-orang mukmin mencapai kemenangan di bumi ini kerana sesuatu hikmah yang dikehendaki-Nya, dan sekali pula Dia mahukan keimanan mengatasi malapetaka penindasan dan mahukan tubuh badan yang fana itu terkorban kerana sesuatu hikmah yang dikehendaki-Nya. Dan sekali Dia mahu bertindak terus membinasakan manusia-manusia yang zalim di bumi, dan sekali pula Dia menangguhkan balasan terhadap mereka sehingga hari kiamat yang dijanjikan itu kerana suatu hikmat tertentu yang direalitikan di dunia di sini dan di akhirat sana mengikut perencanaan-Nya yang tersusun rapi.

Semoga beroleh manafaat.

Nota penulis :

Tafsir Fi Zilalil Quran adalah sebuah tafsir yang cukup hebat dengan penafsiran ayat Al-Quran secara mendalam oleh Syed Qutb. Apa yang mampu saya paparkan di sini adalah sekadar petikan dari beberapa ayat sebagai pengenalan kepada pembaca tentang pentafsiran oleh beliau yang mengkagumkan itu. Saya syorkan kepada pembaca untuk cuba mendapatkan sendiri tafsir ini sebagai koleksi peribadi demi untuk memahami serta mempelajari ayat-ayat Al-Quran secara lebih mendalam lagi.

Insya Allah, saya akan postkan lagi tafsiran ayat dari masa ke semasa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...