Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Sunday, June 6, 2010

Jangan takut untuk belajar

Artikel menarik dari blog
http://an-nawawi.blogspot.com

Pada masa kini, kaedah untuk belajar ada banyak caranya. Tapi, apa itu yang dimaksudkan dengan belajar?

Secara mudahnya, belajar ialah suatu proses mendapatkan (menguasai) ilmu, kemahiran, atau menambahkan maklumat untuk keperluan tertentu.

Belajar juga memerlukan kita untuk berguru. Berguru adalah seseorang yang memiliki ilmu yang kurang (rendah), belajar kepada seseorang yang tinggi ilmunya (yang banyak maklumatnya) dalam skop yang dimaksudkan. Pada masa kini, tidak dapat dinafikan bahawa kaedah dan sarana untuk berguru itu sangat banyak sekali dan mungkin berbeza-beza di antara satu individu (atau kumpulan) dengan individu yang lainnya.

Mungkin kaedah berguru tidak sahaja boleh dilakukan dengan cara berhadapan (face to face) sahaja, iaitu dengan tanpa menafikan bahawa kaedah berhadapan (dengan guru) adalah antara yang terbaik. Sebagaimana kumpulan ilmuan yang terdahulu dan lebih awal dari kita sendiri banyak sekali meninggalkan ilmunya melalui buku-buku tertentu (menurut skop ilmu masing-masing) yang sehingga kini menjadi rujukan, panduan, dan bahan kajian. Perlu kita akui dan sedari, pada saat kemudahan sains dan teknologi yang meletus dengan begitu hebat sekali di era ini, ia secara tidak langsung sekaligus membolehkan kita untuk belajar dengan cara yang antaranya melalui pembacaan dari medium berupa buku, e-book, internet, website, majalah, dan pelbagai lagi. Selain itu, ia juga membolehkan kita untuk belajar berpandukan dari medium berupa VCD (rakaman video), rakaman audio (seperti mp3), berdialog di internet (chatting), bertukar ilmu melalui telefon dan e-mail, serta pelbagai lagi. Malah, baru-baru ini saya menemukan satu kaedah belajar yang diuruskan oleh sebuah universiti iaitu cara belajar secara online. Mendapatkan ijazah juga secara online, yang mana ianya diuruskan oleh universiti-universiti di luar negara. Sebenarnya, semua ini bukanlah suatu perkara yang menghairankan pada masa ini.

Kalau mungkin sebelum ini kita menonton rancangan memasak untuk menguasai sesuatu menu yang baru, baru-baru ini saya menjumpai pelbagai jenis VCD yang menyediakan kepada kita cara-cara untuk mempelajari solat sama ada VCD untuk anak-anak kecil atau pun untuk peringkat umur yang umum. Saya melihatkan ia sangat berkesan sekali dan mudah untuk difahami. Ia juga dilengkapi dengan buku panduan yang lengkap dengan hadis-hadis dan terjemahan bahasa melayu. Hasil daripada VCD tersebut, saya sendiri telah berjaya memanfaatkannya bagi tujuan membantu dan mengajak beberapa orang rakan untuk sama-sama memperbaiki solat.

Kesimpulan dari VCD solat tersebut membuatkan saya berfikir bahawa alasan tidak sempat untuk belajar agama dan tidak tahu di mana ada kelas agama adalah tidak relevan lagi pada masa ini. Kerana kaedah dan medium untuk belajar itu kini ada pelbagai. Buku-buku terjemahan yang mudah dan mesra pembaca juga sudah banyak memenuhi pasaran. Penulisan-penulisan yang ilmiyah bersumberkan al-Qur’an dan hadis juga sudah mula menyebar di pasaran. Rakaman-rakaman kuliah (seperti format MP3) juga sudah begitu banyak boleh didapati secara percuma di internet. Janganlah hanya berkhayal untuk memuat turun mp3 lagu-lagu yang tidak senonoh, tetapi kita lupa (melupakan) bahawa di sana juga terdapat rakaman audio mp3 yang lebih bermanfaat untuk agama kita.

Suatu yang tidak perlu dihairankan jika seseorang yang asas pendidikannya adalah biologi, tiba-tiba dia begitu mahir dalam bidang komputer dan IT (teknologi maklumat) sama ada mahir dalam membangunkan sebuah website, mengendalikan aplikasi php, menyelesaikan permasalahan hardware, atau mungkin software sekaligus. Malah, mungkin juga dia begitu mahir dalam beberapa bidang tertentu untuk satu-satu masa. Malah sahabat saya sendiri yang merupakan seorang pelajar di dalam jurusan kimia industri, dia begitu mahir dalam bidang graphic design dengan menggunakan beberapa jenis perisian komputer tertentu. Malahan dia tahu membezakan perisian yang mana adalah terbaik untuk rekaan tertentu. Dia juga mahir dalam flash animation. Saya pernah menanyakan dari mana dia belajar? Dia menjelaskan bahawa dia hanya mempelajarinya dari beberapa sumber dari internet di samping minat yang mendalam dalam bidang tersebut. Maka, di sini jelas bahawa ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Seperti kata peribahasa “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Langkah ke seribu itu bermula dengan langkah yang pertama, walaupun terpaksa jalan merangkak sebelum mampu berjalan betul.

Terimalah hakikat bahawa dunia kita sudah berubah. Apa yang patut kita fahami adalah sama ada kita mahu belajar atau tidak? Kita mahu berusaha atau tidak. Ia juga bergantung kepada kretiviti serta kebijaksanaan kita untuk memilih kaedah pembelajaran dan menguruskan masa bersesuaian dengan corak dan situasi kita. Minat yang mendalam dan sikap amanah serta ilmiyah adalah teras kejayaan kita. InsyaAllah. Sekaligus, kenyataan kuno, “Siapa yang menuntut ilmu tanpa guru (atau dengan berpandukan buku semata-mata) maka dia sebenarnya menuntut ilmu dengan syaitan” tidak lagi relevan pada zaman ini. Bahkan ia hanya akan merencatkan perkembangan dan kemajuan masyarakat di era intelek. Tetapi, hakikatnya ramai juga orang yang berguru dan bertalaqi masih juga ditakuk lama natijah dari diri sendiri yang tidak memiliki jiwa yang berdaya maju, tidak mahu berusaha untuk membangun, dan mungkin juga disebabkan memilih guru yang salah.

Hanya apa yang perlu ditekankan adalah perlunya untuk kita mengambil dari sumber yang tepat bagi setiap skop dan bidang yang dikehendaki. Jangan sampai kita mahu menguasai maklumat permotoran, tetapi asyik buku IT yang kita belek, maka mungkin ilmu IT yang akan kita perolehi. Begitu pula dalam persoalan agama, jangan sampai disesatkan oleh kitab-kitab orientalis!

Oleh itu janganlah takut untuk sentiasa belajar. Sama-samalah kita berusaha untuk sentiasa memperbaiki diri dari masa ke semasa supaya jangan sampai dikatakan ketinggalan zaman!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...