Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Sunday, January 30, 2011

Muqaddimah Tafsir Fi Zilalil Quran

Oleh : Asy-Syahid Sayyid Qutb

Hidup di bawah bayangan al-Quran adalah suatu keni’matan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu keni’matan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang telah mengurniakan kepadaku keni’matan hidup di bawah bayangan al-Qur’an selama beberapa waktu, di mana aku telah mengecapi nimat yang tidak pemah aku kecapi sepanjang hidupku, iaitu ni’mat yang meluhur, memberkati dan membersihkan usiaku.

Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku dengan al-Quran ini…ya Dia bercakap kepadaku seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab süci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Pencipta Yang Maha Mulia?

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seorang?

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku dapat meni’mati kefahaman yang sempurna dan meliputi, tanggapan yang tinggi dan bersih terhadap alam al-wujud, terhadap matlamat seluruh alam alwujud dan terhadap matlamat kewujudan manusia itu sendiri. Kemudian aku bandingkan dengan kefahaman-kefahaman dan tanggapan jahiliyah yang dihayati oleh umat manusia di Timur dan di Barat, di Utara dan di Selatan. Kemudian aku bertanya: Mengapa manusia sanggup hidup dalam paya yang busuk, di tahap yang amat rendah dan di dalam gelap gelita kesesatan yang menghitam itu, sedangkan mereka mempunyai padang-padang yang bersih, tempat-tempat yang tinggi dan cahaya yang terang benderang?

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an, dan di sana aku dapat merasa adanya keseimbangan yang indah di antara harakat manusia seperti yang dikehendaki Allah dengan harakat alam buana yang diciptakan Allah. Kemudian aku melihat keadaan simpang-siur yang dialami oleh umat manusia yang telah menyimpang dan undang-undang alam buana, juga melihat percanggahan di antara pengajaran-pengajaran yang merosak dan jahat yang diajarkan kepada mereka dengan fitrah semulajadi mereka, lalu aku berkata di dalam hatiku: Manakah syaitan yang jahat yang telah memimpin umat manusia ke Neraka ini?

Alangkah ruginya manusia!

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat alam al-wujud ini adalah jauh lebih besar dari saiznya yang lahir yang dapat dilihat itu. Ia lebih besar dari segi hakikatnya dan dari segi bilangan aspek-aspeknya. Ia mencakup alam ghaib dan alam syahadah kedua-dua sekali bukannya alam syahadah sahaja. Ia merangkumi dunia dan Akhirat kedua-dua sekali bukannya dunia ini sahaja. Dan kewujudan manusia adalah bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh itu. Maut bukannya penghabisan perjalanan hidup manusia, malah ia merupakan suatu peringkat perjalanan di tengah jalan. Segala sesuatu yang dicapai oleh seseorang di dunia ini bukanlah merupakan seluruh habuannya, malah hanya merupakan sebahagian dari habuannya sahaja. Segala balasan yang terluput di dunia ini tidak akan terluput di Akhirat nanti. Di sana balasan tidak akan mengalami penganiayaan, pengurangan dan kesesiaan. Peringkat perjalanan yang dilalui manusia di bumi ini merupakan peringkat perjalanan di sebuah alam hidup yang lumrah, sebuah alam sahabat yang mesra dan sebuah alam yang mempunyai roh yang sentiasa menerima, menyambut dan ia bertawajjuh kepada Allah Pencipta Yang Maha Esa sebagaimana roh orang yang beriman bertawajjuh kepada-Nya dengan penuh khusyu’.


15. “Hanya kepada Allah jua sujudnya sekalian penghuni langit dan bumi sama ada dengan sukarela atau terpaksa dan bayang bayang mereka (juga turut sujud) di waktu pagi dan petang.” (Surah ar-Ra’d)

44 . “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian penghuninya sentiasa bertasbih kepada Allah dan tiada suatu kejadian pun melainkan seluruhnya bertasbih memuji Allah.” (Surah al-Isra’)

Manakah kerehatan, keselesaan, kemesraan dan kepercayaan (yang lebih besar) dari kerehatan, keselesaan kemesraan dan kepercayaan, yang dicurahkan ke dalam hati kita oleh kefahaman yang syumul, sempurna, luas dan betul ini?


Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat manusia jauh lebih mulia dari segala penghargaan dan penilaian terhadap mereka yang dikenali mereka dahulu dan kemudiannya. Manusia telah menjadi insan dengan tiupan roh ciptaan Allah:


29. “Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan meniupkan padanya roh ciptaan-Ku, maka rebahkanlah diri kamu sujud kepada-Nya.”(Surah al-Hijr)

Dan dengan tiupan roh inilah manusia dilantik menjadi khalifah di bumi:

30. “Dan (kenangilah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhya Aku hendak melantik khalifah di muka bumi.” (Surah al-Baqarah)

Dan segala apa yang ada di bumi ini adalah ditundukkan untuk faedah manusia:

29. “Dialah yang telah menciptakan untuk kamu segala apa yang ada di bumi” (Surah al-Baqarah)

Oleh sebab manusia mempunyai darjah kemuliaan dan ketinggian yang seluhur ini, maka Allah telah menjadikan tali hubungan yang mengikat umat manusia itu ialah tali hubungan yang diambil dari tiupan ilahi yang mulia, iaitu tali hubungan ‘aqidah kerana Allah. Oleh itu ‘aqidah seseorang Mu’min merupakan tanahairnya, kaumnya dan keluarganya dan di atas ‘aqidah inilah umat manusia harus bersatu padu bukannya seperti haiwan yang berpadu kerana rumput, kerana padang ragut, kerana kumpulan dan kerana pagar.

Orang yang beriman mempunyai keturunan yang amat tua yang bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh. Dia adalah salah seorang dan angkatan manusia yang mulia yang dipimpin oleh para rasul yang mulia, iaitu Nuh, Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya’kub, Yusuf, Musa, ‘Isa dan Muhammad alayhimus-salam.


92. “Dan sesungguhnya umat (para anbia’) ini adalah umat kamu iaitu umat yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu. Oleh itu sembahlah Aku.” (Surah al-Anbia’)

Angkatan manusia yang mulia yang bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat lama itu menghadapi — seperti yang tergambar di bawah bayangan al-Qur’an — keadaan-keadaan yang serupa, krisis-krisis yang serupa dan pengalaman-pengalaman yang serupa di sepanjang zaman di berbagai-bagai tempat dan di kalangan berbagai-bagai kaum. Angkatan itu menghadapi kesesatan, kebutaan, kezaliman, hawa nafsu yang liar, penindasan, kekejaman, ancaman dan pengusiran, tetapi ia terus mara menyusuri jalannya dengan langkah-Iangkah yang tetap, dengan hati nurani yang tenteram, dengan kepercayaan dan harapan yang penuh terhadap pertolongan Allah dengan hati yang menunggu-nunggu di setiap saat ketibaan janji Allah yang benar:


13 - 14 “Dan orang-orang kafir itu berkata kepada rasul-rasul mereka: Kami tetap akan mengusir kamu dari negeri kami atau kamu kembali semula kepada agama kami lalu Allah Tuhan mereka mewahyukan kepada mereka: Sesungguhnya Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang zalim dan Kami tetap akan menempatkan kamu di negeri itu selepas (kebinasaan) mereka. (Janji) yang sedemikian adalah untuk orang orang yang takut kepada maqam-Ku dan takut kepada janji azab-Ku.” (Surah Ibrahim)

Itulah sikap yang sama, pengalaman yang sama, ancaman yang sama, keyakinan yang sama dan janji yang sama kepada angkatan iman yang mulia, juga nasib kesudahan yang sama yang ditunggu-tunggu oleh para Mu’min di akhir perjalanan mereka semasa mereka menerima penindasan dan ancaman. Di bawah bayangan al-Qur’an juga aku dapat mempelajari bahawa di dalam alam al-wujud ini tiada ruang bagi kebetulan yang membuta tuli dan bagi kejadian-kejadian luar dugaan yang mendadak. Kerana:

49. “Sesungguhnya Kami ciptakan segala sesuatu itu dengan ukuran yang rapi” (Surah al-Qamar)


29. “Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu iaitu menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.” (Surah al-Furqan)

Bacaan selanjutnya boleh download di sini

Tafsir Fi Zilalil Quran - Ayat-Ayat Pilihan



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...