Kata-kata mutiara

Sesiapa yang Allah keluarkan dari kegelapan kepada cahaya, akan mendapati betapa terangnya kebenaran tersebut. Kerana cahaya tersebut akan menyingkap untuknya hakikat kebenaran, sehingga ia dapat mengetahui bahawa yang hak itulah yang hak dan yang bathil itulah yang bathil.
Asy-Syaikh ‘Abdullah al-‘Ubailan (Ulama Hadis ‘Arab Saudi).

Artikel di dalam blog ini sebahagiannya adalah diambil dari blog-blog lain yang menjadi pilihan saya sebagai koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini dan sebagai perkongsian untuk semua. Manakala jika tidak dinyatakan sumber adalah artikel dari saya sendiri. Semoga mendapat manafaat.

Pages

Sunday, February 13, 2011

Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku

Masih hangat lagi di seluruh media masa sama ada tv, surat khabar mahupun di web-web membincangkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama serta kepercayaan yang dianuti oleh kaum-kaum yang berbilang di Malaysia ini. Bukan hanya pada masa ini sahaja tapi rasanya telah berlaku sejak lama dulu memandangkan negara kita yang terdiri dari pelbagai bangsa, agama dan adat resam yang berbeza. Sudah tentu dalam sesetengah perkara akan menimbulkan konflik serta perbezaan dari segi amalan serta fahaman berdasarkan kepercayaan masing-masing. Justeru itu, semua pihak perlu mengamalkan konsep toleransi serta semangat saling memahami dalam menjaga sensitiviti untuk membentuk perpaduan dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat di negara kita.

Memahami sumber pegangan agama Islam

Dalam syariat Islam, agama adalah merupakan peraturan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah Taala sebagai penggubal undang-undang kepada semua orang yang beriman (percaya) kepada-Nya. Peraturan-peraturan agama ialah suatu yang tidak dapat dipertikaikan oleh sesiapa pun disebabkan ianya datangnya dari sumber yang paling benar dan bijaksana iaitu Allah, tuhan yang menciptakan langit dan bumi.

Sumber utama pegangan umat islam adalah melalui :

a) Al-Quran

b) Sunnah

c) Qias

d) ijma’.

Dalam Islam, adalah wajib bagi setiap orang Islam mengguna pakai peraturan-peraturan ini tanpa sebarang persoalan dan tanpa takwil sebagai bukti keimanan mereka sebagai orang Islam. Walaupun ada perbezaan pendapat ulama-ulama Islam tentang sesuatu hukum, ianya tetap tidak lari dari asas pegangan agama Islam itu sendiri. Hukum-hukum yang merangkumi HARAM, HALAL, WAJIB, SUNAT DAN HARUS merupakan peraturan-peraturan yang diikuti oleh umat Islam seluruhnya.

Isu-isu

Terdapat beberapa isu terkini yang menjadi perhatian saya yang menyebabkan rasa terpanggil untuk memberikan sedikit sebanyak penjelasan berdasarkan apa yang saya fahami.

1. Isu Penggunaan Kalimah Allah

2. Isu seruan azan

3. Isu nilai bersalaman yang dibangkitkan oleh Chua soi Lek .

4. Isu kontroversi ceramah Ustazah Bahiyah berkenaan Hari Valentine

5. Isu kempen dakwah kepada remaja sempena sambutan Hari Valentine


1. Isu Penggunaan Kalimah Allah

Mungkin sudah agak terlewat untuk membangkitkan isu ini kembali, walaubagaimana pun dalam artikel ini saya tidak mahu menyentuh panjang isu penggunaan kalimah Allah, kerana saya anggap perkara itu telah selesai dibincangkan secara panjang lebar oleh pihak-pihak berkenaan dan terpulang kepada setiap individu itu sendiri membuat keputusan yang mana boleh dijadikan pegangan diri kerana terdapat pihak yang menyokong dan juga menentang walaupun dari kalangan ulama Islam sendiri. Bagi saya, setiap hujjah yang telah disampaikan mereka dalam isu itu sama ada menyokong atau menentang itu mempunyai dalil dan sandaran tersendiri yang tidak lari dari mengikut petunjuk Al-Quran dan Hadis iaitu suatu proses untuk mencari penyelesaian dengan cara yang dibenarkan dalam Islam walau bagaimana pun keputusannya. Pendapat yang saya sokong adalah, penganut agama lain boleh menggunakan nama Allah dalam urusan agama mereka.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

(Surah al-Zukhruf ayat 87).

2. Isu seruan azan

Agak pelik juga bagi pihak-pihak tertentu yang menimbulkan isu ini kembali setelah hidup bersama selama 50 tahun lebih negara kita merdeka. Semua orang sedia maklum, azan ini telah pun dilaungkan sejak sebelum merdeka dan bahkan semenjak Islam mula bertapak di nusantara ini. Tapi sejak akhir-akhir ini terdapat pihak yang mempertikaikan azan dengan alasan mengganggu kehidupan mereka sama ada mereka merasa tidak selesa mendengar azan dengan bahasa yang tidak difahami mereka ataupun mengganggu tidur mereka pada waktu pagi.

Azan merupakan lafaz khusus yang disyariatkan oleh Islam untuk menyatakan masuknya waktu sembahyang fardhu dan menyeru orang-orang Islam supaya berkumpul untuk mengenakannya. Penggunaan azan adalah sama seperti penggunaan loceng di gereja bagi penganut kristian bagi memanggil penganut mereka datang ke gereja. Azan yang dilaungkan setiap kali masuk waktu sembahyang adalah merupakan sunnah nabi (jalan atau cara yang diajarkan oleh nabi) dan tidak ada cara yang lain untuk menggantikan azan sebagai satu-satunya medium untuk memaklumkan masuknya waktu sembahyang mengikut syariat Islam.

Azan dari segi bahasa ialah “al-i`lam” (pemberitahuan) atau “an-nida’” (seruan). Ini dapat dilihat di dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Pemberitahuan daripada Allah dan RasulNya kepada sekalian manusia.”

(Surah at-Taubah: 3)

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mempertikaikan penggunaan azan bererti menghalang hak orang Islam yang tidak boleh dimaafkan dan perlu tuntut ke arah pelaksanaannya seperti yang berlaku di beberapa negara Eropah yang mengharamkan penggunaan azan. Di Malaysia, isu ini memang sensitif untuk dipertikaikan dan diharapkan orang-orang bukan Islam dapat memahami tentang kepentingan azan terhadap penganut Islam sebagaimana toleransi serta kebebasan yang sama diberikan untuk mereka mengamalkan ajaran agama serta adat resam mengikut kepercayaan mereka.

3. Isu nilai bersalaman yang dibangkitkan oleh Chua Soi Lek.

Seorang pemimpin politik sebuah parti telah memberi komen mengenai etika bersalaman antara perempuan islam dengan lelaki bukan muhrim dalam suatu pilihanraya tidak berapa lama dulu. Pemimpin tersebut juga mempertikaikan nilai yang digunapakai oleh calon parti yang bertanding yang tidak mahu bersalaman dengan pengundi lelaki dalam masa berkempen.

Isu yang tidak sepatunya ditimbulkan lebih-lebih lagi oleh seorang pemimpin yang sudah lama berkhidmat dalam organisasi kerajaan, mustahil beliau tidak mengetahui atau mendengar bahawa seorang wanita muslim tidak boleh bersalam dengan orang lelaki bukan muhrim dan begitu juga sebaliknya, seorang lelaki Islam itu tidak boleh juga bersalam dengan wanita lain yang bukan muhrimnya tanpa mengira sama ada orang itu muslim atau tidak. Walaupun mungkin ada terdapat perbezaan pendapat, hukum yang digunapakai di Malaysia, adalah Haram bagi individu muslim bersalaman dengan individu berlainan jantina yang bukan muhrimnya. Itulah pegangan yang praktikkan oleh wanita terbabit yang tidak mahu bersalam dengan lelaki bukan muhrimnya semasa berkempen. Mempertikaikan perkara demikian adalah termasuk menghina hukum Islam, agama Islam serta seluruh umat Islam itu sendiri.

Dari Abdullah bin Amr bin al-Ass. berkata: "Rasulullah tidak pernah berjabat tangan tangan dengan perempuan dalam pembai'atan."

(Riwayat Imam Ahmad)

Dalil kedua, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan. Ucapanku kepada seorang perempuan seperti kataku pada seratus perempuan.”

(HR Ibnu Hibban, Malik & Nasa’i)

4. Isu kontroversi ceramah Ustazah Bahiyah berkenaan Hari Valentine

Ceramah seorang ustazah berkenaan hari valentine mendapat kritikan dari Pemuda Majlis Gereja Malaysia yang mempertikaikan kenyataan ustazah tersebut kerana mengeluarkan kenyataan yang mengandungi unsur penghinaan kepada penganut kristian. Pemuda Majlis Gereja Malaysia mendakwa ustazah tersebut telah mengaitkan amalan maksiat dengan agama kristian semasa mengendalikan rancangan yang disiarkan oleh TV tempatan dan menuntut ustazah tersebut meminta maaf.

Apa yang telah berlaku mengingatkan saya tentang perkara yang berlaku tidak lama dulu antara seorang kawan yang telah menghantar suatu artikel melalui email dalam yahoogroup , di mana telah menyebabkan ramai kawan yang beragama kristian terasa tersinggung dengan kandungan artikel tersebut. Mujur juga ada yang sanggup menjadi orang tengah meredakan keadaan dengan memberi penjelasan dan orang yang menghantar email tersebut juga telah meminta maaf.

Inilah antara perkara yang pernah kita dengar berlaku di negara kita, apabila suatu perkara sesuatu agama menyentuh agama lain, akan timbul rasa tidak puas hati, tersinggung sehingga menimbulkan dendam dan permusuhan yang tidak akan selesai. Dalam kes ini, penganut agama kristian pula yang tersinggung. Sekiranya pihak yang tersinggung itu membalas dengan mengaitkan persoalan agama pihak yang satu lagi, sudah tentu sampai pun tidak akan selesaikan masalah.

" Termasuk dosa besar, memaki ibu-bapak." Seorang sahabat bertanya, " apa mungkin seseorang memaki ibu-bapaknya??" Nabi menjawab : " benar, ia memaki bapak orang lain, maka orang lain itu membalas memaki bapaknya, dan ia memaki ibu orang lain, maka orang itu membalas memaki ibunya"

(HR Bukhari dan Muslim)

5. Isu kempen dakwah kepada remaja sempena sambutan Hari Valentine

Seterusnya, isu yang antara pemimpin parti politik iaitu pemuda Pas dengan pemuda Gerakan yang mana pemuda Gerakan telah mempertikaikan tindakan pemuda pas yang menganjurkan kempen dakwah kepada remaja-remaja semasa sambutan hari valentine.

Perbezaan nilai yang ketara antara setiap individu mungkin menyebabkan suatu perkara itu mendapat response yang berbeza. Kalau bagi seseorang yang biasa hidup patuh beragama, perkara utama yang difikirkan dan dinilai dalam menjalani kehidupan ini ialah adakah perkara yang dilakukan itu mendapat keredhaan Allah ataupun bertentangan dengan nilai-nilai serta peraturan islam. Bukan hanya keseronokan atau kebebasan yang diutamakan. Agama Islam telah menetapkan garis panduan yang jelas bagi orang Islam dalam sambutan hari perayaan. Yang paling utama adalah suatu sambutan itu tidak mengandungi unsur maksiat, bermakna walaupun seseorang itu menyambut Hari Raya Aidilfitri tapi dipenuhi dengan aktiviti berbentuk kemaksiatan, tetap tidak memenuhi criteria yang ditetapkan oleh Islam. Apatah lagi untuk sambutan perayaan yang tidak diiktiraf oleh Islam.

Mempraktikan Islam juga bukan bermakna hanya digunapakai pada diri individu sahaja tanpa melibatkan orang lain. Islam menganjurkan konsep amar ma’ruf nahi munkar (menyuruh membuat baik, mencegah kemungkaran).

Allah berfirman “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh kepada ma'ruf serta mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung”.

(Ali ‘Imran, 3: 104)

"Dari Abi Said Al-Khudri r.a, katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya ia tiada berkuasa, hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya (nasihatnya). Sekiranya ia tiada berkuasa, hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya (tidak meredhai perbuatan tersebut). Dan yang demikian adalah selemah-lemah iman."

(Riwayat Muslim)

Inilah penjelasan dan jawapan kepada sesiapa yang menghalang urusan sesuatu pihak sama ada pihak kerajaan atau NGO yang bergiat aktif untuk turun memberikan nasihat ataupun menggunakan kuasa undang-undang bagi menangkap mereka yang melakukan kesalahan yang melanggari syariat Islam. Agama Islam mempunyai cara tersendiri dalam membawa pengikutnya ke arah jalan yang telah ditentukan dalam agama ini, sama ada dalam mendidik atau menghukum. Tiada siapa yang boleh mempertikaikan ketentuan yang telah ditetapkan di dalam agama. Urusan amar ma’ruf nahi mungkar yang dilakukan adalah bertujuan untuk menunaikan hak-hak Allah dan bukannya atas kepentingan diri sendiri dan juga tidak boleh sama sekali meninggalkannya untuk tujuan lain termasuk bagi menarik undi pihak-pihak tertentu.

Penyelesaian

1. Memahami keadaan. Secara logiknya, tidak ada seorang pun di atas dunia ini yang sanggup menerima penghinaan terhadap apa-apa saja ajaran dan kepercayaan yang dianutinya tidak kira dari agama atau kepercayaan mana sekali pun. Setiap agama dan kepercayaan sesuatu kaum itu adalah unik dan tidak akan sama dengan yang lain, mempertikaikan secara langsung bererti mengundang pergaduhan dan menyebabkan berlaku permusuhan yang berpanjangan walaupun untuk berdakwah.

Firman Allah SWT : "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat dan nasihat pengajaran yang baik, dan bahaskanlah mereka secara yang baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk." (An-Nahl: 125).

2. Menghormati kepercayaan bukan mempercayai ajaran. Islam juga mengajar penganutnya menghormati kepercayaan agama lain walaupun bertentangan akidahnya dengan Islam. Setiap individu perlu memahami bahawa perbezaan pendapat manusia sama ada dalam perkara agama atau dunia merupakan merupakan lumrah hidup dan tabie manusia.

3. Menerima persamaan dalam perbezaan. Persamaan antara agama Islam, Kristian dan Yahudi adalah, ketiga agama itu asalnya datangnya dari sumber yang sama. Islam mempunyai penjelasannya yang tersendiri untuk menjelaskan mengapa perkara itu berlaku.

Firman Allah “ Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).”

(Al-Baqarah 2:213)

4. Perkara yang terbaik yang patut dilakukan adalah melalui penjelasan yang baik bagi kedua-dua belah pihak yang terbabit bagi menjernihkan keadaan sama ada melalui kenyataan media atau ceramah. Ini perlu dilakukan atas dasar saling memahami, tanpa prejudis dan ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang diperselisihkan agar dapat meredakan ketegangan yang wujud antara pengikut pihak-pihak yang terlibat.

5. Melalui dialog, debat atau diskusi seperti yang dilakukan oleh seorang tokoh Islam Sheikh Ahmed Deedat yang berdebat dengan Paderi Josh McDowell. Walaupun terdapat banyak perbezaan yang boleh menyebabkan pihak lawannya ‘panas punggung’ tetapi melalui cara ini, kedua-dua pihak sama-sama mendapat peluang yang adil dalam memahami kehendak dan aspirasi orang lain dalam mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.

Penutup

Firman Allah “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang-orang kafir (yang tidak percaya). Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”

(Surah Al-Kaafirun 109:1-5)

Semoga beroleh manfaat.

Oleh : Cikgu Syahir

http://cikgusyahir.blogspot.com/

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...